Ketika Berbeza Pendapat

brbzpndpt

Dalam Islam, perbincangan yakni dialog yang harmonis adalah amat digalakkan tetapi perdebatan adalah amat ditegah kerana di dalam perdebatan pasti akan ada unsur keinginan untuk menewaskan pihak lawan dengan apa jua cara sekalipun walaupun tidak disandarkan kepada logik dan neraca persetujuan bersama. Allah mengeji orang kafir dan musyrik yang suka berdebat:

“Dan di antara manusia ada orang-orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang bercahaya.” (al-Haj:8 )

Sebagai contoh, ketika Nabi Ibrahim mengatakan Tuhannya adalah Allah ynag berupaya menghidup dan mematikan, Raja Namrud berdebat dengannya dan bertegas dengan mengatakan dialah tuhan yang mampu menghidupkan dan mematikan. Kemudian, dia mengambil dua orang tahanan lalu menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang tahanan  dan melepaskan tahanan yang satu lagi untuk membuktikan kekuasaannya. Tafsirannya terhadap terma menghidup dan mematikan adalah jauh berbeza dengan apa yang dimaksudkan dengan Nabi Ibrahim.

Sebenarnya, terdapat banyak hadis yang mencela perbuatan suka berdebat ini. Antaranya, daripada Abu Umamah Nabi Muhammad SAW pernah berkata:

“Saya menjadi penjamin sebuah rumah di pinggir syurga (yang disediakan) bagi mereka yang meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar dan (penjamin) sebuah rumah di tengah-tengah syurga (yang disediakan) bagi mereka yang meninggalkan dusta sekalipun dia hanya bergurau dan (penjamin) sebuah rumah di sebelah atas syurga (yang disedikan) bagi mereka yang berakhlak mulia.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Baihaqi dan lain-lain)

Baginda juga pernah bersabda:

“Tidak sesat sesuatu kaum selepas diberi petunjuk keuali mereka menimbulkan perdebatan”. Kemudian baginda membaca sepotong ayat: “Mereka tidak menghentam sesuatu kepada kamu kecuali dengan perdebatan”. (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Perdebatan merupakan sesuatu yang fitrah di dalam diri manusia. Seperti yang difirmankan oleh Allah:

“Dan manusia itu (makhluk) banyak membantah”. (al-Kahfi : 45)

Oleh itu, sememangnya kita tidak dapat lari dari perbuatan berdebat tetapi seelok-eloknya adalah mencuba untuk mengelak dari melakukan perdebatan. Di dalam medan dakwah, terutamanya, terdapat golongan yang hanya mahu berdebat dan tidak sedia menerima pendapat orang lain. Mereka mahu orang lain mengikut mereka dan mendakwa mereka sahaja yang benar. Mereka mengutuk padahal mereka  mencipta sesuatu yang baru. Mereka mengharamkan pandangan yang lain tetapi meminta orang supaya menerima pendapat mereka. Maka, berhati-hatilah terhadap golongan ini. Allah telah berfirman dalam al-Quran mengenai  isu berdebat ini:

“Maka sesungguhnya kami mudahkan al-Quran itu dengan bahasamu supaya kamu dapat memberi khabar gembira kepada kepada orang-orang yang bertakwa dan member peringatan kepda kaum pembangkang.” (Maryam : 97)

“Dan di antara manusia itu ada orang yang perkataannya mengenai dunia mengagumkan kamu dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang paling keras.” (al-Baqarah : 204)

Debat menjadi lebih buruk apabila ia melibatkan al-Quran. Rasulullah amat marah apabila Quran diperdebatkan dan ayat-ayatnya dilaga-lagakan. Terdapat sebuah kisah menceritakan mengenai kemarahan Rasulullah terhadap mereka yang berdebat mengenai al-Quran.

Pada suatu pagi, Abdullah bin Amru pergi menemui Rasulullah. Pada masa yang sama dia mendengar dua orang sahabat berselisih pendapat mengenai satu ayat al-Quran, Rasulullah pun keluar dengan marah. Kemarahannya dapat dilihat pada wajahnya dan berkata, “Orang-orang sebelum kamu binasa kerana mereka berselisih mengenai kitab (mereka).”

Berdialog adalah sebahagian daripada adab di dalam menyelesaikan perbezaan pendapat. Bukannya melalui perdebatan.  Allah telah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.”

Di dalam nas di atas terdapat dua ungkapan mengenai dialog yang harmonis. Kedua-duanya digunakan dalam dua konteks yang berlainan. Ungkapan yang pertama (mau’izah hasanah) bermaksud nasihat yang baik, tunjuk ajar ataupun member peringatan dengan cara yang baik. [Teguran yang berhikmah]. Ungkapan yang kedua pula  yang bermaksud berdebat dengan cara yang lebih baik. Dua pendekatan yang berbeza dalam dua situasi yang berbeza.Apabila suasana itu dalam bentuk memberi nasihat, memberi peringatan (mau’izah) hanya perlu dilakukan dengan cara yang baik (hasanah). Apabila berada dalam suasana perdebatan (jidal), ia perlu dilakukan dengan cara yang paling baik (ahsan). Dalam suasana perdebatan, umat Islam dituntut melakukan yang paling baik (ahsan) dan paling utama kerana orang yang tidak komited pada Islam memerlukan dialog yang paling baik (ahsan). Ini adalah kerana pada kebiasaannya dialog akan membawa kepada perdebatan keras dan suasana yang tegang. Berbeza halnya dengan mereka yang tahu mengenai ajaran Islam, mereka hanya memerlukan nasihat ataupun peringtaan (mau’izah) sahaja. Nasihat dan peringatan hanya perlu dilakukan dengan cara yang baik (hasanah),tidak perlu dengan cara yang paling baik (ahsan).

Antara cara dialog yang paling adalah pemilihan perkataan yang elok. Al-Quran sendiri menggunakan ungkapan ahli kitab kepada orang Yahudi dan Nasrani, sebagai contoh.

Selain daripada penggunaan perkataan yang elok, dialog perlu ditumpukan kepada titik pertemuan yang wujud antara kedua belah pihak. Sebagai contoh, al-Quran menggunakan ungkapan “Tuhan kami dan Tuhan kamu” (al-Baqarah:139) yang menunjukkan titik perkongsian antara orang Islam, Yahudi dan Nasrani, iaitu sama-sama mengakui satu Tuhan. Begitu juga dengan ungkapan  “Adakah kamu berdebat dengan kami tentang Allah sedangkan dia Tuhan kami dan Tuhan kamu?”(al-Baqarah:139) Dialog ini mengajar Rasulullah melalui pendekatan yang lunak, tidak menuduh mereka bersalah, tidak menunjukkan Rasulullah yang benar, tetapi seolah-olah sama ragu tentang benar ataupun salah.

Ramai ilmuan yang berdebat seolah-olah mereka bukan menggunakan mata pena, tetapi menggunakan mata pedang. Perbincangan sepatutnya di adakan dalam suasana yang tenang dan harmoni. Perkataan yang keras dan kesat tidak memberikan sebarang faedah.  Walaupun mereka mengatakan perbezaan pendapat tidak membawa permusuhan, tetapi itu hanya kepada mereka yang berdialog dengan beradab. Dialog yang keras dan kesat tetap mengguris hati.

Umat Islam, terutama golongan pemimpin dan ahli fikir perlu mengambil berat perkara ini semasa memberi komen terhadap kumpulan atau pendapat lain, yang berbeza dengan pendapatmereka. Memuji kejayaan masyarakat yang kembali mengamalkan Islam dengan menggunakan ungkapan ” ini satu kemajuan dalam penghayatan Islam” mungkin lebih baik daripada menggunakan ungkapan “Kini masyarakat kembali kepada ajaran Islam.” Dua ungkapan ini mempunyai maksud yang amat berbeza. Ungkapan yang kedua menggambarkab seolah-olah umat Islam selama ini meninggalkan Islam dan sekarang baru mereka kembali kepadanya. Manakala, dalam ungkapan yang pertama pula menunjukkan mereka selama ini mengamalkannya dan sekarang mereka telah maju setapak ke hadapan. Sebenarnya, dalam menyampaikan pendapat atau ingin mempertikaikan pendapat orang lain tidak memerlukan perkataan yang meliarkan dan menyakitkan hati, tidak memerlukan perkataan yang tidak membawa gembira dan perkataan yang tidak menyatukan. Perkataan tersebut tidak patut digunakan kerana Rasulullah berkata: “Permudahkanlah, jangan susahkan.” Wallahu’alam.

Advertisements

2 thoughts on “Ketika Berbeza Pendapat

  1. hm, saidina abu bakar rasenye(klau salah tlg btolkan) yang apabila mengeluarkan pendapat, akan mengucapkan Alhamdulillah apabila pendapatnya ditolak dan mengucapkan astaghfirullah apabila pendapatnya diterima. kerana ditakuti pendapatnya salah dan akan membawa keburukan kpd islam.

    berdebat bukan utk menangkan pendapat kita, tapi mencari solusi terbaik bg sesuatu isu.

  2. sebab tu lah tak suka bekas2 pendebat macam saudara asraff tu….

    gurau2…

    orang kata menangislah agar kamu sedar hidup ini bukan untuk tertawa semata2, dan tertawalah agar kamu tahu mahalnya harga sebuah air mata..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s