Semerbak Bau Atar

Semerbak Bau AtarSalam sakinah,

Artikel ini mungkin tidak layak dikategorikan sebagai artikel kerana pendek dan kontang pengisian ilmu bahkan lebih molek digelar cetusan hati secara peribadi, yang mungkin akan menyinggung sesiapa yang membaca, namun dipanjatkan doa kepada yang Maha Memberi agar yang menulis dan membaca sama-sama mendapat manfaat.

Sewaktu sejurus sebelum mengangkat takbir ketika hendak bersolat tempoh hari, tiba-tiba sahabat di sebelah menghulurkan sebotol kecil minyak atar kepada saya agar turut dicalitkan bagi memenuhi sunnah. Saya mencium muncung botol dahulu kemudian menolak kerana baunya agak kuat bagi saya. Untuk perhatian saya bukan menentang budaya memakai minyak atar bahkan saya juga penggemar minyak atar yang berbau lembut. Apa yang menggusarkan saya, sahabat saya tersebut memberi alasan tidak boleh menolak pelawaan beliau (saya juga keliru asas yang digunakan untuk saya tidak boleh menolak pelawaan beliau). Namun saya tetap berkeras kerana saya gusar solat saya terganggu dengan bau yang tajam menusuk hidung.

Berbalik kepada soal saya tidak boleh menolak pelawaan beliau (menurut katanya), bahkan saya jadi keliru, adakah kiranya saya menolak sunnah Rasullullah? Jadi terbit pula soal kedua, adakah itu sunnah yang ditetapkan? Pencarian saya kepada jawapan menyebabkan saya menggali semula mutiara ilmu dalam majalah solusi edisi ketiga yang pernah saya tekuni seketika dahulu, dan saya berminat mencoretkan ringkasan pemahaman saya di sini untuk perkongsian minda bersama.

Situasi ini saya percaya boleh berlaku di mana sahaja. Kadang-kadang apabila ketika hendak solat berjemaah akan ada seseorang mencalit tangan anda dengan minyak atar yang baunya semerbak tetapi kadang-kadang memeningkan kepala. Rakan yang mencalit itu biasanya orang dakwah yang peribadinya kita hormati, dan kita tersenyum kembali padanya untuk menunjukkan tanda terima kasih walaupun pada masa sama kita terganggu dengan bau yang tidak menyenangkan itu.

Saya tidak mempertikaikan keikhlasan sahabat yang menghulurkan minyak atar dengan niat agar kita sama-sama beroleh pahala mendapat pahala sunat memakai bau-bauan yang wangi dan berhias sesuai dengan gesaan Rasullullah ketika hendak bersembahyang.

Sebelum itu, apakah yang dikatakan minyak atar itu sebenarnya?

Dalam bahasa arab, ‘bau-bauan’ biasa disebut sebagai atar. Berdasarkan kepada pengertian ini segala minyak bau atau perfume disebut sebahai atar. Sejajar dengan perkembangan industri,jenis minyak bau yang dikenali sebagai minyak atar menjadi begitu sinonim dengan nama tersebut. Lama-kelamaan perkataan atar telah dinisbahkan kepada satu jenis produk khusus seperti kita kenali hari ini yang berbotol kecil dan tanpa alcohol.

Samalah seperti mi segera yang selalu dinisbahkan dengan jenama Maggie. Orang akan selalu bertanya “makan Maggie ke?” berbanding “makan mi segera ke?”, kerana Maggie sudah begitu sinonim dengan mi segera maka secara automatic penggunaan perkataan Maggie merujuk kepada mi segera. Kemudian anda pun menjawab “ya” walaupun anda sedang makan mi segera jenama Mamee. Begitu jugalah atar dinisbahkan kepada sejenis minyak wangi berbotol kecil yang dijual di kedai-kedai menjual barangan agama dan sebagainya sedangkan jika mengikut maksud asal atar membawa pengertian yang lebih luas iaitu apa sahaja yang berbau sedap.

Mungkin begitulah rakan kita ini memahami bauan yang berjenama atar itu yang disebutkan oleh Rasullullah. Maksudnya, sunat memakai minyak wangi berjenama atar (minyak atar), sedangkan minyak wangi lain tidak sunat dipakai kerana bukan berjenama atar.

Di pasaran umum sekarang terdapat lambakan produk wangian sama ada mengandungi alcohol ataupun tidak (saya tidak berminat membahaskan pula adakah alcohol itu dibenarkan atau tidak). Baunya sedap dan menyenangkan sekali. Sedangkan apa yang sahabat kita maksudkan tadi tidak boleh lagi digelar atar kerana baunya tidak menyenangkan.

Pada peringkat awal kitab fiqah ditulis, atar seperti yang kita fahami sebagai atar itulah yang ada di pasaran dan baunya ketika itu harum sekali. Tetapi dengan perkembangan industri dan perubahan corak kehidupan (bahkan persekitaran di Malaysia berbeza dengan persekitaran Arab menyebabkan tafsiran kita kepada minyak berbau sedap berbeza) minyak atar klasik itu sudah tidak harum lagi kerana baunya janggal sekali menusuk hidung.

Berasaskan kepada kefahaman yang mendalam, iaitu fiqah maksudnya yang sunat dipakai itu minyak wangi yang benar-benar enak dan menyenangkan penghidunya tidak kiralah jenama apa sekalipun.

Saya bukan penentang sunnah jauh sekali menentang penggunaan minyak atar, bahkan telah saya katakan saya penggemar minyak atar yang berbau lembut. Cuma persoalan yang hendak dibangkitkan ialah pada bagaimana kita mengambil ibrah dan hikmah dalam sunnah yang kita ikuti. Apakah hikmahnya memakai minyak wangi yang menyengat hidung jemaah lain sehingga mengganggu kekhusyukan orang lain?

Benar, kita tidak mampu memuaskan hati semua orang, tetapi biarlah tindakan yang kita ambil itu dibuat selepas memikirkan maslahah orang lain juga. Bukankah lebih baik memilih minyak atar yang berbau lembut dan sesuai dengan penerimaan masyarakat melayu secara umumnya kerana kita bersolat dengan orang melayu bukan orang Arab yang budayanya mendidik mereka terbiasa dengan bau yang kuat itu. Biarlah nanti jika ada juga yang tidak berpuas hati, biarlah hal itu berlaku selepas kita mengambil segala langkah berjaga-jaga sedaya yang kita termampu.

Biarlah kita berfikir juga dalam zikir. Biarlah kita mengamalkan sunnah seiring dengan penerimaan akal, kerana Islam itu agama yang rasional yang sesuai dengan fitrah insan. Jangan lah nanti sunnah yang kita amalkan hanya sekadar ritual semata-mata yang gagal secara total melahirkan hikmah yang dikehendaki dalam Islam melalui pengamalan sunnah tersebut.

(boleh semak artikel terdahulu oleh saudara uwais tantang makan dan komen yang tertulis tentang makan dalam dulang)

Maaf jika ada yang tersinggung, seruan saya bukan pada membuang segala minyak atar yang ada di rumah anda, seruan saya adalah pada memikirkan hikmah yang ingin diajar oleh uswah hasanah kita melalui sunnah baginda yang mulia. Kerana Islam mengajar kita menjaga hubungan dengan Allah (hablum minallah sebagai hamba) dan menjaga hubungan sesama manusia dan alam (hablum minannaas sebagai khalifah).

Bukankah tidak sempurna iman kita jika tidak mencintai bagi sahabat kita apa yang kita cintai bagi diri kita. Apakah dalam kita mengejar kecintaan mendekatkan diri dengan tuhan, kita menjadi penghalang pula kepada orang lain mendekatkan diri dengan tuhan ketika solat kerana terganggu kekhusyukannya.

Saya menyeru marilah berhias dan memakai wangian sebelum solat, namun biarlah berpada-pada dan bersederhana.

Wallahualam. Maaf atas kekurangan dan jika ada kesilapan.

Rujukan : artikel “kisah minyak atar dan kayu sugi” dalam solusi edisi 3, oleh Dato’ Dr Mahmood Zuhdi.

One thought on “Semerbak Bau Atar

  1. Aq pernah diberitahu bahawa ada 3 perkara yang nabi tidak akan tolak apabila ditawarkan kepadanya:
    1.susu
    2.bau-bauan
    3.bantal
    Namun,aq tidak tahu status hadis ini.Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s