Diri ini tidak layak…

“Reefqi(bukan nama sebenar),anda dilantik sebagai presiden MPP JAD tahun depan,”beritahu Akmal.(juga bukan nama sebenar)

“Eh,maafkan saya. Saya tidak dapat terima jawatan itu,saya belum layak,” jawab Reefqi yang agak terkejut dengan kenyataan Akmal.

“Presiden BADAR JAD tahun depan ialah Taqiyudin(bukan nama sebenar),” umum pengerusi majlis.

“Tidak,saya tidak berhak menyandang jawatan itu. Masih ramai lagi yang layak,”tegas Taqiyudin.

Imam Abu Hanifah,pengasas mazhab Hanafi,pernah ditawarkan menjadi ketua hakim di Kufah.Imam Abu Hanifah adalah seorang yang warak,berilmu, zuhud,boleh kata apa yang baik yang tiada pada orang lain,semuanya ada padanya.Ilmunya hanya Allah sahaja yang tahu,orang ramai mengibaratkan ilmunya bagaikan lautan.Suatu hari dia dipanggil ke istana menghadap Gabenor Kufah.Dia pergi ke istana dan Gabenor Kufah ketika itu menawarkan jawatan ketua hakim kepadanya,namun dia menolak tawaran itu.

Dia ditanya mengapa dia tolak dan dia menjawab sebab dia tidak layak.  Gabenor bersuara, “wahai Imam,jika kamu tidak layak,maka tiada seorangpun yang layak.”Imam Abu Hanifah mengulangi jawapannya, “tapi aku tidak layak.”Mendengarkan jawapan yang sama daripada Imam Abu Hanifah,Gabenor naik berang dan berkata, “kamu adalah orang yang paling layak,jika kamu tidak layak maka tiada orang lain yang layak.”Imam Abu Hanifah mengulang jawapan yang sama.

“Mengapa kamu tidak layak?”Tanya Gabenor yang mukanya menjadi merah disebabkan menahan marah.

“Sebab aku tidak cukup ilmu,aku tidak cukup segala-galanya,”jawab Imam Abu Hanifah dengan tenang.

“Kamu dusta,kamu bohong!”Marah Gabenor.

“Maka jelaslah bahawa aku tidak layak kerana aku dusta dan aku bohong,” jawab Imam Abu Hanifah. (^^)-lawak

Gabenor tidak dapat menahan marahnya lagi,lalu dipanggilnya pegawai istana dan diarahkan supaya memenjarakan Imam Abu Hanifah. Selepas 3 hari dipenjara,Imam Abu Hanifah dipanggil menghadap Gabenor untuk soalan yang sama dan Imam Abu Hanifah menjawab dengan jawapan yang sama.Dipenjaranya Imam Abu Hanifah buat kali kedua dan selepas 2 hari, dia dipanggil dan dia masih memberi jawapan yang sama.Dia dihukum penjara dan hukuman ke atasnya ditambah lagi,sehari dia disebat dengan sepuluh sebatan di atas belakangnya.Dia dipenjara selama 10 hari bermakna dia disebat sebanyak 100 sebatan sehingga tiada tempat di belakangnya yang tidak pernah disebat,semuanya merah dengan kesan sebatan.

Lalu dia dipanggil lagi menghadap Gabenor,ditanyanya soalan yang sama dan dia memberi jawapan yang sama.Gabenor sudah tidak tahu untuk bertindak macamana lagi ke atasnya,lalu berita ini sampai ke telinga Khalifah Umayyah ketika itu,Abu Ja’far Al-Mansuri.

“Kamu dilantik menjadi hakim di Kufah,”beritahu Abu Ja’far.

“Aku tolak,aku tidak layak,”jawab Imam Abu Hanifah.

“Kalau begitu tidak apa,kami pun tidak ingin paksa kamu.Pegawai, ambilkan Imam kita ini air untuk diminum,”terang Abu Ja’far sambil mengarahkan pegawainya mengambil air.

Imam Abu Hanifah bersyukur kerana tidak dihukum lagi,lalu dia meminum air yang dihidangkan.Sebaik sahaja air diminum,dia menggelupur di atas lantai.Rupa-rupa air yang diminumnya dicampur dengan racun.Dalam keadaan nazak,dia bangun dan sujud ke arah kiblat,akhirnya dia kembali ke Rahmatullah.

+++++++

Bagaimana Imam besar,seorang yang mempunyai ilmu bagaikan lautan, sanggup mati untuk tolak satu jawatan kerana bagi dirinya dia tidak layak. Bagaimana pula pendapat anda,adakah Imam Abu Hanifah layak menjadi hakim di Kufah?Pasti,pendapat anda selari dengan pendapat gabenor kufah dan khalifah ketika itu,kan?

Kebiasaannya,orang yang sedar dirinya lemah,tidak akan menerima sebarang jawatan dan kebiasaannya juga,ilmu lah menjadi alasan yang utama.

“sorry,aku tidak cukup ilmu”

Ini bukan kesalahan tetapi inilah fitrah.

Fitrah?

Ilmu manusia tidak akan cukup

Ketahuilah bahawa orang yang menolak jawatan kerana ilmunya tidak cukup, merasakan dirinya tidak layak jika diberi jawatan kepadanya, pasti dia akan berjaya.Kerana orang yang merasakan dirinya tidak layak akan memastikan amanah yang diberikan dibuat sebaik mungkin kerana dia tahu yang dirinya lemah.Memang ramai yang berjaya kerana mereka yakin dengan diri mereka mampu melakukannya tetapi ramai juga yang berjaya kerana merasakan diri mereka tidak layak.

Ingat lagikah anda dengan kisah wahyu pertama?Adakah nabi Muhammad terus membaca apabila disuruh membaca?Apa yang dijawab oleh nabi Muhammad apabila disuruh membaca?Adakah nabi Muhammad menerima tugas kerasulan tanpa mempersoalkannya?

Nabi Muhammad disuruh membaca oleh Jibrail tetapi baginda tidak membacanya,kata baginda yang baginda tidak tahu membaca atau jika dikaitkan dengan tajuk kali ini,nabi tidak ada ilmu untuk membaca.

Tetapi diterimanya juga tugas kerasulan,baginda menjalankan amanah sebagai seorang rasul dan seorang hamba dalam satu masa.Dalam menjadi Rasul pun,Rasulullah masih menuntut ilmu dengan sebaik-baik guru,Jibrail.Rasulullah tidak pernah angkuh dalam menuntut ilmu kerana baginda yakin yang diri ini penuh dengan kekurangan,baginda sedar yang dirinya adalah manusia dan manusia dipenuhi 1001 kekurangan.

Baginda mengingatkan kita dengan sabdaannya, “menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslimin dan muslimah.”Tambah baginda lagi, “jika kamu ingin berjaya di dunia,dengan ilmu.Jika kamu ingin berjaya di akhirat,juga dengan ilmu dan jika kamu inginkan kedua-duanya,juga dengan ilmu.”

Kadang-kadang,diri ini merasakan ilmu yang ada sudah cukup.Ilmu yang ada sudah melayakkan diri ini menyandang apa-apa tugas yang diberikan. Diri ini lupa bahawa ilmu manusia hanyalah setitis daripada lautan ilmu Allah.Baru sahaja tahu ilmu solat,diri ini sudah menjadi bangga seperti semua ilmu diketahuinya.

Nabi Allah,Musa ditegur oleh Allah apabila merasakan dirinya sudah mempunyai ilmu yang cukup.Allah menyuruhnya mencari Nabi Khaidir untuk menuntut ilmu.Pertemuan mereka berdua berlaku di hadapan sebuah laut,nabi Khaidir mengarahkan nabi Musa melihat burung yang sedang terbang berputaran di atas lautan.Tiba-tiba burung itu merendahkan dirinya dan meminum air lautan yang masin.

“Wahai Musa,lihatlah air di paruh burung itu,”ujar nabi Khaidir.

“Ya,hanya setitik,”jawab nabi Musa.

“Itulah ilmu kita dan lautan ini ilmu Allah,”terang Khaidir.

Maka nabi Musa meminta nabi Khaidir supaya diterimanya sebagai anak murid tetapi nabi Khaidir enggan.Katanya, “pasti kamu tidak dapat bersabar denganku.”

“Tidak,aku mampu.Ajari lah daku wahai Khaidir,”rayu nabi Musa.

“Baiklah tetapi kamu tidak boleh bertanya kenapa aku lakukan sedemikian,” beritahu nabi Khaidir.

Al-Kahfi [18:71-82]

Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar”.[71]

Ia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”[72]

Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)”.[73]

Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”[74]

Ia menjawab: “Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”[75]

Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku”.[76]

Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”[77]

Ia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.[78]

Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.[79]

Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.[80]

Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.[81]

Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar[82]

Nabi Musa menyesal dan sedar bahawa ilmu yang dimilikinya hanya setitik daripada lautan ilmu Allah seperti firman Allah di dalam surah yang sama ayat 109:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.

Wahai Dai’e semua,

Bangunlah,jangan merasakan diri anda hina dan lemah.Ketahuilah anda dibangga-banggakan oleh Allah dan Rasulullah.Jika ilmu yang tidak cukup dijadikan alasan,insaflah!

Bayangkan kalau sahabat-sahabat berfikiran yang sama dengan kita,ilmu tidak cukup lalu tidak boleh berdakwah,alamatnya Islam tidak akan berkembang.Masakan ilmu mereka cukup sedangkan 23 tahun dakwah Rasulullah,Islam belum sempurna.Mereka hanya berpegang dengan ilmu yang mereka ada dan dengan ilmu itu mereka sebarkan Islam.

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa engkau Muhammad adalah pesuruh Nya,”ucap Abu Bakar.

“Alhamdulillah,kini kamu sudahpun Islam,”beritahu Rasulullah.

“Jadi,sekarang apa yang perlu aku lakukan?”Tanya Abu Bakar.

“Sebarkan,”jawab Rasulullah.

Maka Abu Bakar,tanpa ilmu aqidah,tanpa ilmu ibadah,tanpa ilmu muamalat,menyebarkan Islam sehingga pada hari kedua,8 orang memeluk Islam.

Wahai Da’ie sekalian,

Ingatlah kita bukan berkerja untuk hasilkan para ustaz,kita berkerja untuk hasilkan da’ie-da’ie yang lain.Kita berkerja supaya semua orang memeluk Islam.Kita bukanla mufti besar untuk menetapkan hukum,kita bukanlah ustaz yang arif dengan pelbagai cabang ilmu,tetapi kita penyeru,kita menyeru manusia daripada penyembahan sesama manusia kepada penyembahan kepada Allah.

Wahai Da’ie-da’ie,

Ingatlah sabda nabi yang berbunyi:sampaikanlah olehku walaupun satu ayat.Satu ayat pun Rasulullah suruh sebarkan inikan pula banyak ayat. Di dalam diri kita semua pasti sudah ada kalimah syahadah,apa yang ditunggu lagi?Sebarkan!

Wahai Pendakwah,

Ingatlah dalam berdakwah,jangan sesekali berasa diri anda yang terhebat. Ramai lagi yang hebat di luar sanan dan pasti Allah lagi hebat daripada mereka semua.Janganlah kamu perkatakan apa yang kamu tidak perbuat kerana sesungguhnya sangat besar kemurkaan Allah,inilah pesan Allah kepada semua pendakwah dalam surah As-Saf ayat 2 dan 3.

Wahai hamba suruhan Allah,

Jangan sesekali mengaku kalah dalam berjuang.Jika masalah datang melanda,bersyukurlah kerana itu tandanya dakwah anda diterima Allah. Itu tandanya anda melakukan kerja.Hanya orang yang berkerja diuji dengan masalah.

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah

Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela taufiq..

Dipisah dia berkelana
Dibelenggu dia uzlah mula dibina
Namun jiwa tetap marak memburu cinta
Membara demi Allah dan Rasulnya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang, resah silih berganti
Inilah sunnah..orang berjuang..

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat mencurah tenaga
Itulah sunnah..berjuang..ke jalan Allah..

Berjuang memang pahit..
Kerana syurga itu manis

Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan.
Dunia yang fana atau syurga..


[sunnah orang berjuang-nadamurni]

Sama-samalah kita muhasabah diri yang hina ini..

idea asal:huda shafiee

3 thoughts on “Diri ini tidak layak…

  1. Jika masalah datang melanda,bersyukurlah kerana itu tandanya dakwah anda diterima Allah

    pahitnya bersyukur di kala itu……

  2. nice post..

    ingatlah pesan Rasulullah SAW “ballighu anni walau ayah”

    “sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat”

    isnyaAllah sama2 usaha n doa agar diberi ketetapan hati utk terus berada di jalanNya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s