Bukan Setakat Mati "Pucuk"

pucukTatkala azzariyat.com dibanjiri kisah-kisah teladan untuk kaum hawa yang membawa ke syurga, saya terfikir sendiri, adakah terlalu ramai wanita yang ingin diselamatkan dari neraka hingga terlupa membawa lelaki ke syurga? Tatkala kita lantang menegur kaum wanita dalam bab menjaga aurat hatta dengan memakai stoking Giant 99 sen, hingga ke soal tabarruj dan menghias diri bahkan sehingga soal sekompleks ikhtilat (pergaulan silang jantina), terlupakah kita wahai kaum adam betapa besarnya peranan dan tanggungjawab tergalas di pundak kita sesuai dengan amanah kekuatan dan kemampuan akal yang kita miliki.

Dalam membicarakan soal tanggungjawab kaum adam terhadap agama ini, saya tertarik dalam melihat isu solat berjemaah. Ramai mempersoalkan hukum solat berjemaah, wajib atau sunat. Soalnya kita mencari hukum untuk mencari kebenaran atau alasan untuk melarikan diri dari peranan.

-Jika terjumpa hukum mengatakan ia sunat, kita pun menarik nafas lega kerana boleh solat sendirian tanpa rasa bersalah atau setidak-tidaknya boleh dijadikan hujah menentang ‘geng’ dakwah yang sibuk mengajak anda ke surau.
-Jika terjumpa pula hukumnya wajib, kita gunakan alasan kita masih lagi baru nak mengenal agama dan tuhan, maka perubahan perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Takkanlah baru belajar merangkak terus nak berlari. Islam itukan mudah dan tidak membebankan hambanya.

Tuntasnya, tanyalah apa jua soalan, berilah apa jua jawapan, semuanya akan diolah mengikut apa yang anda mahu dengar. Maka jadilah anda seorang hamba, yang beribadat menyembah tuhannya mengikut apa yang anda mahu, bukan pada apa yang Allah mahu.
Bukankah ibadat anda itu kerana Allah. Dan rasa-rasanya (common sense), Allah lebih suka anda solat di mana?

Mati “akar”
Bukanlah saya ingin mengulas tentang hukum solat berjemaah namun tumpuan saya adalah pada cara kita berinteraksi dengan hukum dan kemahuan Allah. Tolak ke tepi masalah kekurangan ilmu kita dalam soal agama, soalnya apa yang kita ‘tahu’ sudahkah cukup mencetuskan rasa ‘mahu’ kita kepada tuhan? Maka ilmu yang kita miliki cukuplah berlegar-legar di akal tanpa meresap ke dalam hati. Umpama tanah keras yang menampung air di atasnya, air itu boleh dimanfaatkan orang lain, namun tidak bermanfaat untuk dirinya, kerana air itu gagal meresap ke dalam tanah.

Dengan membuang elemen ketuhanan dalam diri maka bertempiaranlah kita mendepani kehidupan tanpa tujuan yang jelas. Bertemulah kita dengan pelbagai konflik luaran dan krisis dalaman terhadap diri sendiri dan orang lain. lantas lahirlah rasa benci, bosan, marah, dan menyampah dengan kehidupan apabila yang diingini tak dapat kita kecapi yang akhirnya menatijahkan segala masalah sosial kesan tindak balas kita memberontak terhadap sistem kehidupan yang kita ciptakan sendiri. Lahirlah ungkapan-ungkapan :

“tidak kupinta lahir ke dunia…..”
“batinku menjerit namun tiada suara….”
“harusnya takkan kubiarkan engkau pergi, membuat ke terpuruk rasa ingin mati…..”

Who you are determine how you see. What you see is what you get.
Siapa kita menentukan cara kita melihat, ‘worldview’. dari sudut pandangan yang kita tetapkan kita membentuk sebuah system keyakinan, ‘belief system’ yang menjadi asas kita mendepani hidup. System keyakinan ini akan memandu kita membuat pilihan dan keputusan dalam kehidupan.

Jika kita gagal melihat diri sebagai hamba yang layak diuji bila-bila masa, maka tiadalah ibrah yang dapat kita ambil dari ujian dan dugaan yang didatangkan kepada kita. Analisislah segala permasalahan di dunia hatta di bidang ekonomi dan politik sekalipun, di hujung pencarian anda pasti bertemu satu titik punca yang menyatukan segala masalah ini iaitu manusia-manusia yang tersalah membuat pilihan kesan salahnya system keyakinan kita.
Maka tanyakan pada diri, siapa saya? Kenapa saya hidup, kenapa saya akan mati? Ke manakah saya selepas mati?

Ujian membawa kita kepada-Nya
Suka atau tidak, sudi atau tidak, anda akan memikirkan hal-hal ketuhanan dan keyakinan ini, jika bukan sekarang mungkin satu hari nanti. Cuba lihat tatkala dunia dilanda krisis ekonomi global, semua pihak berpusu-pusu mencari alternatif sistem perbankan Islam sebagai penyelamat. Begitulah juga kita, apabila gagal dalam peperiksaan, atau dilanda kesempitan kewangan, menggagaulah kita mencari sejadah mendekatkan diri dengan tuhan.

Mungkin nanti ada yang pesimis menempelak “haaa tu lah, bila dah susah baru nak ingat tuhan”. Namun bersyukurlah kerana setidak-tidaknya Allah “memaksa” anda pulang kepada-Nya dengan “hambatan” ujian dari-Nya, kerana ramai juga golongan-golongan yang tidak sedar diri (lupa diri), setelah diuji masih lagi berdegil melupakan Allah (al-hasyr:19).

Malu-malu manja
Namun sayangnya akibat terlalu lama meminggirkan diri dari Islam, ramai yang masih segan-segan untuk kembali kepada Islam walaupun kesedaran itu telah ada.

Takut untuk turun solat di surau, nanti orang kata buang tabiat pula.
Takut nak pakai menutup aurat, nanti orang kata aktivis dakwah.
Sayangnya tak takut pula mendengar apa yang Allah kata.

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sekalian pembaca, marilah kita perbetulkan cara kita melihat dunia ini dengan cara mengenal siapa kita. Jika pencarian kita menemukan kita dengan hakikat kita hamba yang berTuhan, nescaya kita akan melihat kebaikan dan hikmah dalam setiap hukum dan ujian yang Allah tetapkan kepada kita. Kepada yang dibukakan jalan, dan dicampakkan sedikit kesedaran untuk mula mencari tuhan, mulakanlah langkah perjalanan anda selangkah demi selangkah dan janganlah berhenti di persimpangan kerana anda tidak tahu bila saatnya ajal menjemput anda pulang.

Carilah tuhan di dalam hati.
Untuk tahu siapa anda di sisi Allah, tanyalah siapa Allah di sisi anda. Jika Allah di sisi anda ibarat melukut di tepi gantang, siapalah anda di sisi Allah?

Pinggan tak retak, nasi tak dingin,
Kita tak hendak, Allah lagi tak ingin…
Wallahualam.

2 thoughts on “Bukan Setakat Mati "Pucuk"

  1. sohih,sohih.Remaja sekarang belajar untuk mencari alasan bukan mencari peranan.Apabila hukumnya sunat,dia lega dan apabila hukumnya wajib, dia belum sedia.Apabila perempuan pakai tudung labuh,dikatakanya ayu, dan apabila perempuan dedah sini sana,dikatanya seksi.Semua tidak kena. Islam diuli mengikut bekas masing-masing,menjadikan nafsu sesuatu yang penting.
    Mereka adalah manusia yang bertuhankan hawa nafsu..[45:23]

  2. aku melihat dunia hari ini….
    manusia sgt bijak berkata2 dan reka hujah sendiri
    untuk ‘membenarkan’ kemahuan diri
    sama2 kita muhasabah diri
    jgn sewenang2nya keluarkan hujah sehingga menampakkan diri kita ni cetek ilmu agama
    jika sesuatu bende tu adalah benda baik, buat je. kalu x nak buat, jgn nk bg hujah2
    takut hujah itu termakan diri
    wallahualam….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s