Nak Jadi Baik

jari_bagus_thumb Kehidupan seorang muslim penuh dengan seruan untuknya memperbaiki akhlak dan kelakuan terhadap hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Bahkan dilorongkan segala jalan, disuruh berpuasa, bersolat, berzakat untuk membantu mendidik hati. Untuk meninggikan lagi darjat kita sebagai umat yang mulia, digubal segala bentuk peribadatan agar tidak menyamai kaum-kaum terdahulu (pertukaran arah kiblat, disunatkan berpuasa hari asyura berserta hari sebelum/selepasnya dan lain-lain). Sehingga ke soal remeh temeh seperti makan minum pun, umat ini dijaga kemuliaannya. Kita dilarang makan babi kerana hinanya babi yang menjamah apa sahaja hatta najis sehingga tidak layak bagi kita umat yang mulia menjadikannya sebahagian darah daging kita. Seperti itu juga dengan larangan memakan daging keldai yang sinonim dengan sifat bodoh dan hina. Begitu sekali Allah memuliakan umat ini.

Sehinggakan kita disuruh berdoa sekurang-kurangnya 17 kali sehari agar ditunjukkan jalan yang lurus, bukan jalan orang yang dimurkai (yahudi) dan bukan pula jalan orang yang sesat (nasrani). Maka sepatutnya setelah beratus ribu kali kita memohon ditunjukkan jalan yang lurus, masih lagi umat ini tenggelam dalam masalah maksiat dan gejala keruntuhan akhlak. Semakin bertambah usaha membersihkan masyarakat semakin banyak pula terhasilnya ‘sampah masyarakat’.

Mari teladani bagaimana terhasilnya sampah masyarakat ini. Analoginya pertama, ibaratkan sebatang pen, saya ambil dan cucuk-cucuk pada dinding. Akhirnya pen itu rosak dan menjadi ‘sampah’ untuk dibuang. Analogi kedua, ibaratkan tin sardin, saya buka tin dan memasak isi tin, maka tin itu sudah hilang fungsinya maka ia menjadi ‘sampah’ untuk dibuang. Kesimpulannya, sama ada digunakan bertentangan dengan matlamat penciptaan sehingga rosak atau kehilangan fungsi diri, maka ia menjadi sampah.

Begitu juga sampah masyarakat. Manusia yang dicipta dengan semulia-mulia keadaan untuk menjalankan tugas yang mulia, bertindak membelakangi tujuan penciptaannya. Maka manusia-manusia ini rosak akidahnya, rosak akhlaknya sehingga tidak berfungsi kepada masyarakat dan layaklah kita gelarkan ‘sampah’ masyarakat yang layak ‘dibuang’ sahaja dalam tong gelap bernama ‘kubur’.

Hairannya semakin banyak pula sampah-sampah ini muncul di Malaysia, negara rasmi Islam yang rata-rata masyarakatnya berdoa 17 kali sehari memohon ditunjukkan jalan yang lurus.

Apakah kita memang sudah hilang minat menjadi baik?

Saya yakin tidak. Kaji selidik baru-baru ini ke atas batch 5, rata-rata masing-masing memasang tekad untuk menjadi baik. Jelasnya, fitrah seorang manusia untuk menjadi baik belum lagio terluput dari dada masyarakat akhir zaman ini.

Namun mungkin hasrat kita menjadi baik tidak sekuat mana. Teladani kisah Socrates ini :

Suatu hari, seorang pemuda datang kepada Socrates dan berkata, “saya mahu belajar dan tahu semua yang kamu tahu!”

“Kalau itu yang kamu mahukan, mari ikut aku ke sungai”, jawab Socrates.

Dengan perasaan penuh ghairah, pemuda tersebut mengekori Socrates berjalan menuju ke sungai yang dimaksudkan. Apabila tiba di tebing sungai, Socrates memanggil pemuda tersebut, menyuruhnya merenung ke air.

“Tengok betul-betul dalam air tu, apa yang kamu nampak?”, katanya.

“Saya tak nampak apa-apa pun”, jawab pemuda tersebut.

“Tengok betul-betul. Dekatkan lagi kepala kamu itu ke air”, tegas Socrates.

Apabila pemuda itu meniarap dan mendekatkan mukanya ke air, Socrates segera memegang kepalanya dan membenamkan ia ke dalam air! Pemuda tersebut meronta-ronta dan tangannya terkapai-kapai kelemasan. Terdesak!

Bila mana pemuda tersebut kelihatan sudah seperti mahu lemas, Socrates menarik keluar kepalanya dan menyandarkan beliau ke tebing.

“Hoi orang tua. Engkau gila ke apa?”, tanya lelaki itu sambil terbatuk-batuk mencuba nafas.

“Engkau nak bunuh akukah?”, geram benar bunyinya.

“Semasa aku benamkan kepala engkau ke dalam air, apakah benda yang paling engkau hajatkan pada detik itu?”, tanya Socrates.

“Aku nak bernafas, aku mahukan udara!”, jawabnya tegas.

“Jangan sekali-kali kamu tersilap fikir bahawa HIKMAH itu boleh diperolehi dengan mudah, wahai anak muda”, kata Socrates.

“Apabila kamu mahu belajar, seperti kamu mahu dan berhajat kepada udara sebentar tadi, barulah datang kepadaku”, tegas Socrates, menyimpulkan pelajaran pertamanya petang itu.

[petikan The 7 Habits of Highly Effective Teens – Sean Covey]

Sunnatullah menetapkan tiada yang mudah di dunia ini. Maka jika ikhlas mahu menjadi baik, maka ia tidak datang bergolek, perlu ada usaha, perlu ada pengorbanan yang mengiringi. Tekad untuk menjadi baik, perlu sekuat tekad kita untuk mahukan udara. Sebelum memulakan usaha dan langkah, perlu lebih dahulu faham, mengapa perlu menjadi baik? Mengapa perlu mendidik hati jadi baik?

Firman Allah SWT:

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera” [AL-Shu’araa’ 26: 88-89]

Alam Mahsyar adalah alam penilaian terhadap manusia. Ia adalah hati pengisytiharan keputusan bagi ujian yang telah ditempuhi oleh manusia semasa hidupnya di dunia. Seandainya manusia hidup di dunia dengan berbekalkan hati yang sejahtera, maka hati itulah yang akan menjadi persembahannya kepada Allah di akhirat.

Prasangka manusia terhadap peri pentingnya harta dan anak-anak semasa hidup di dunia, akhirnya akan dihadapkan kepada kenyataan bahawa semuanya tidak bermanfaat lagi, kecuali bagi yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Hati yang sejahtera di dunia, akan menguruskan harta sebagai amanah Allah, lantas segala tuntutan dan tanggungjawab infaq ditunaikan. Hati yang sejahtera di dunia juga, akan menguruskan anak-anak sehingga terdidik dan membesar sebagai manusia soleh dan bertaqwa, memiliki hati-hati yang juga sejahtera kepada Allah.

Maka hati yang sejahtera di akhirat, adalah indikasi kepada nilai amalan seseorang. Hiduplah di dunia ini dengan hati yang sejahtera, dan temuilah Allah di alam mendatang juga dengan hati yang sejahtera, kerana di situlah letaknya kebahagian dan keselamatan yang kekal abadi.

Namun ada masalahnya mendidik hati yang sejahtera walaupun kita tahu matlamatnya. Kerana manusia sering sahaja diserang penyakit BOSAN.

Bosan tersenyum.

Bosan bersedekah.

Bosan datang usrah.

Bosan sembahyang.

Kerana bosan yang bersarang inilah melahirkan mat-mat rempit yang mencari kepuasan di jalan raya bagi membunuh kebosanan. Malangnya jiwa dan hati turut terbunuh.

Bosan bukanlah penyumbang kepada kelemahan. Jika ditanggapi dengan cara berbeza, ia mampu melonjakkan hikmah yang besar.

Umpamakan nasi kerabu. Mungkin nasi berwarna biru itu terhasil akibat bosannya seseorang dengan nasi lemak. Maka tercipta sejenis resepi nasi baru yang digaul bersama ulam, sambal dan pelbagai ramuan lain. al-hasil tercipta resepi yang baru, segar dan sedap.

Begitu juga dalam beramal. Mungkin ada kala kita bosan berpuasa sunat, maka hiasi kebosanan itu dengan sesuatu yang baru, seperti turun iftar berjemaah, sediakan iftar, ajak kawan berpuasa, buat games untuk berpuasa dengan ahli rumah. Buatlah apa sahaja untuk menyeronokkan diri anda beramal tika dilanda kebosanan.

Untuk tujuan itu anda perlukan suasana dan teman yang baik. Kerana setiap manusia memiliki nilai yang berbeza-beza. Anda mungkin seorang yang suka membaca al-quran tapi malas bersedekah, rakan anda mungkin rajin bersedekah tapi malas berpuasa sunat. Maka dari pelbagai kerajinan dan kemalasan, dari pelbagai akhlak dan tabiat kita saling belajar dan melengkapi satu sama lain. setiap individu ada keistimewaan sendiri (sekai ni hitotsu dake no hana).

Sebagai seorang yang proaktif anda tidak boleh menunggu suasana yang baik (teman-teman yang baik) datang sendiri. Bahkan anda perlu bergerak bersama-sama mengubah keadaan. Ubahlah diri di samping mengubah rakan-rakan. Sama-sama saling menegur ahli rumah. Bukan untuk menunjuk pandai, bahkan saling berkongsi kelebihan.

Tak perlu pergi jauh untuk membetulkan akhlak. Cuba jaga amal yang kecil untuk permulaan muqaddimah menjadi baik ini.

Jangan kamu perkecilkan sesuatu yang ma’ruf walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi di dalam Syi’ab al-Iman)

Umat Muhammad ini dipandang tinggi kerana mulianya akhlak yang dibawa. Sehingga dengan akhlak itu kita memimpin 2/3 dunia. Bayangkan nak tadbir 2/3 dunia yang manusianya pelbagai ragam, kalau bukan dengan akhlak yang mulia mesti kita tak mampu tadbir 2/3 dunia kerana berlaku pemberontakan jika ada yang tidak berpuas hati. Kepimpinan kita membuktikan kita mampu memuaskan hati 2/3 dunia. Dengan apa? Dengan akhlak yang mulia.

Mari mulakan langkah pertama muliakan akhlak kita semulia penciptaan kita. Mulakan dengan amal yang paling mudah untuk dilaksanakan.

2 thoughts on “Nak Jadi Baik

  1. Dari Jabir, beliau mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat (jari-jari)nya. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang diberkati Allah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s