NISFU SYAABAN : TAWAKKAL TAK SEINDAH KERTAS YANG KOSONG

“Ada orang minta tuliskan artikel tentang nisfu syaaban…”

Terkedu saya mendapat tugasan menulis nisfu Syaaban dalam keadaan serba kekurangan ilmu dan persiapan. Saya mencari beberapa point penting untuk dibincangkan dan saya membuat keputusan untuk kurang membincangkan fadhail amal (kelebihan beramal) pada malam atau hari nisfu Syaaban ini kerana terdapat beberapa khilaf dalam beberapa amalan yang menjadi adat kebiasaan orang melayu.

Contohnya membaca yassin 3 kali pada malam nisfu Syaaban. Menurut pengetahuan saya yang terbatas, tiada dalil sahih mengenai amalan ini. Namun saya lebih cenderung untuk berpendapat, tiadalah salah dalam beramal kerana sememangnya pada bulan Syaaban ini kita digalakkan memperbanyak amal untuk mendekatkan diri pada Allah. Namun adalah lebih baik, jika kita tidak menyertakan fadhilat-fadhilat yang tidak kita ketahui sumber dan kesahihannya.

Seterusnya berpuasa pada hari nisfu Syaaban. Setakat pencarian saya juga saya tidak bertemu dalil sahih yang membicarakan fadhilat-fadhilat tertentu berpuasa pada hari nisfu Syaaban. Namun saya berpendapat tiadalah kesalahannya untuk berpuasa, berpandukan dua hadis di bawah [saya petik dari kitab fiqh sunnah, Sayyid Sabiq, Jilid ketiga]

.

daripada Usamah bin Zaid berkata:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku belum pernah melihat engkau berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan sebagaimana (banyaknya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban” Baginda bersabda: “Sedemikian itu kerana bulan Sya’ban, bulan yang manusia lalai (kerana terletak) di antara bulan Rajab dan bulan Ramadan, dan Ia adalah bulan di mana diangkat padanya amalan-amalan manusia kepada Allah Rabbul ‘Alamin, maka aku suka supaya diangkat amalanku sedang aku di dalam keadaan berpuasa.”

(Hadith riwayat Abu Daud dan An-Nasa’I dan dinyatakan sah oleh Ibnu Khuzaimah)

Berkata Abu Dzar al-Gaffari:

Ertinya : “kami dititah oleh Rasullullah saw agar berpuasa sebanyak tiga hari setiap bulan, yakni pada hari-hari cemerlang ; Tanggal tiga belas, empat belas dan lima belas. Sabdanya, bahwa itu seperti berpuasa sepanjang masa”.

(Riwayat Nasa’I dan disahkan oleh Ibnu Hibban)

Bertawakkallah!!!

Dalam tulisan kali ini saya cenderung untuk membincangkan mengenai amalan manusia yang diangkat serta mengaitkannya sedikit dengan artikel yang lepas (bertawakkallah walaupun kertas jawapan anda kosong).

…Ia adalah bulan di mana diangkat padanya amalan-amalan manusia kepada Allah…

Dalam artikel yang lepas, telah dibincangkan dengan panjang lebar, betapa Allah berkuasa menjadikan sesuatu yang dikehendaki-Nya hatta kertas jawapan yang kosong juga boleh berubah menjadi kertas penuh bertulis jawapan. Setelah segala usaha dicurahkan, maka bertawakkallah sepenuh hati kepada Allah, penentu segala keputusan.

Sebelum saya teruskan, jangan salah faham. Saya tidak pernah menolak bahkan saya meyakini sepenuh hati bahawa Allah memang berkuasa membuat sedemikian. Namun yang saya risaukan, kita sering mengharapkan nikmat-nikmat luar biasa, walaupun amal kita biasa-biasa (bahkan kadangkala lebih rendah dari taraf biasa).

Kita belajar ala kadar, mengharapkan kertas kosong menjadi penuh berisi jawapan.

Umpama kita berzikir ala kadar, mengharapkan dapat keramat terbang di atas awan.

Hingga selalu kita sampai kepada ayat-ayat yang sedap didengar yang selalu digunakan aktivis dakwah,

“kita tolong agama Allah, Allah pasti tolong kita”

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]

Allah berjanji akan membantu dan mengajar kita namun syarat asasnya perlulah berTAQWA kepada Allah terlebih dahulu. Tentu sahaja taqwa ini membawa kepada ketaatan terhadap Allah dalam segenap aspek dari sudut syariat dan sunnatullah.

Syariah

Semak semula ketaqwaan kita dalam solat, puasa dan ibadat-ibadat lain yang kita tunaikan. Allah berjanji, solat yang kita tunaikan akan dapat mencegah diri kita dari perbuatan mungkar. Maka jika kita masih liat dalam maksiat, ada yang tidak kena dengan solat kita. Semak semula penghayatan, pemahaman dan ketundukan kita ketika solat.

Dalam dewan periksa kita meniru, walaupun lecturer mengeluarkan ayat “Jangan meniru. Sesiapa meniru tu memang tak takut la dengan Allah”. Kita tidak merasa ketundukan pada ketika itu, namun selepas selesai segalanya baru mencari tuhan.

Sunnatullah

Sesiapa berusaha pasti berjaya. Maka semak kembali, sudahkah usaha kita itu benar-benar boleh dikategorikan sebagai usaha yang bersungguh-sungguh. Sehingga kita tega pula merasakan kertas yang kosong boleh berubah wajah.

Jangan bertawakkal?

Seperti saya katakan saya meyakini penuh kekuasaan Allah untuk melakukan sesuatu bertentangan dengan hukum alam sesuai dengan kehendak-Nya. Maka sudah tentulah sebagai Muslim, saya yakin kita wajib bertawakkal kepada Allah.

Namun yang menjadi persoalannya, janganlah tawakkal kita itu, tawakkal yang kosong, sekosong kertas jawapan peperiksaan kita. Tawakkal itu bukan dengan rasa besar hati, “Aku dah buat part aku, sekarang Allah pulak buat kerja Dia”.

Namun tawakkal itu diiringi dengan rasa rendah diri, betapa pun yang kita lakukan masih tidak cukup untuk mendapat ganjaran, melainkan dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Seterusnya tawakkal itu diiringi dengan muhasabah diri, merenung segala kesilapan dan akhirnya membawa kepada tingkat penyesalan. Penyesalan itu pula membawa kita kepada suatu momentum untuk melakukan anjakan perubahan supaya akan datang (hari esok) akan lebih cemerlang daripada hari ini.

  1. أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
  2. وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَ Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu,
  3. الَّذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ yang memberatkan punggungmu?
  4. وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.
  5. فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
  6. إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
  7. فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
  8. وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

[al-insyirah]

Moving forward

Maka ujian kepada tawakkal itu bukan ketika kita mengungkapkan “aku bertawakkal pada-Mu ya Allah” dalam esak tangis ketika solat tahajjud dalam resah menanti keputusan periksa. Bahkan ujian kepada tawakkal kita itu adalah pada bagaimana kita menguruskan kehidupan kita selepas itu.

Ertinya,  tawakkal kita untuk ujian sem kali ini bukan diuji pada saat kita mengambil result, sama ada kita mampu bersabar atau tidak. Tetapi ujiannya pada bagaimana kita menguruskan diri untuk menduduki peperiksaan akan datang?

  1. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
  2. dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

Bagaimana kita hari ini? Setelah selesai peperiksaan lalu, dan sesi penggal baru bermula. Apakah sudah diatur strategi untuk meningkatkan keputusan supaya menjadi lebih baik. Apakah telah dikaji kelemahan teknik-teknik belajar yang lepas supaya boleh diperbaiki kali ini. Apakah sudah diatur perubahan-perubahan yang ingin kita laksanakan?

Atau kita sudah merangka, untuk bermain sepuas-puasnya. Belajar ala kadar, tidur dalam kelas, meniru dalam ujian, dan di akhir peperiksaan semester depan, kembali bertawakkal kepada Allah. Moga-moga kertas jawapan yang kosong, penuh berisi jawapan. Kan Allah maha Berkuasa.

Jika sekadar itu, yang mampu kita capai dari tawakkal kita sebelum ini, maka kosonglah erti tawakkal itu, sekosong kertas periksa kita.

Buku Catatan Amal

Maka kembali kepada persoalan pokok, mengenai amalan kita yang akan dibawa naik menghadap Allah. Mungkin ada yang merintih sayu, menangis mengenangkan dosa-dosa lalu dalam tahajjud di penghujung malam. Sedih mengenangkan buku catatan amal yang kosong dari amal kebaikan, bahkan mungkin penuh pula dengan amal maksiat. Apakah sudi Allah menerima catatan amal ini, sebelum disoal apakah sudi Allah menerima diri ini?

Sekali lagi dalam konteks ini, kita disarankan bertawakkal kepada Allah sama ada menerima atau tidak amal kebaikan kita. Namun sahabat yang dikasihi, seperti dikatakan tadi janganlah tawakkal itu menjadi tawakkal yang kosong pada makna dan penghayatan. Biarlah tawakkal dan keyakinan pada kekuasaan Allah itu menjadi momentum kepada kita untuk memperbanyakkan amal, moga-moga catatan amal akan datang akan terhias dengan amal makruf yang lebih banyak.

Janganlah hendaknya malam ini kita bertawakkal sepenuhnya, namun selepas itu tidak diniatkan untuk mengubah diri membentuk peribadi yang lebih baik.

Pesanan Untuk Orang Berdosa (Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni)

Semestinya walaupun dengan azam dan niat untuk berubah, kita akan seringkali tergelincir ke lembah kesesatan dan kejahilan. Maka sentiasalah memperbaharui taubat, kerana Allah sentiasa membukakan pintu taubatnya kepada kita.

” Hai orang-orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat sebaik-baiknya. Mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari Allah tidak akan mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersamanya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata ” Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami, cahaya kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(at-tahrim:8)

Semoga kita tidak menjadi dalam golongan yang melupakan Allah seterusnya Allah menjadikan kita lupa kepada diri sendiri.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.

(al-Hasyr : 19)

Jangan hanya ingat dan bertawakkal kepada Allah ketika peperiksaan atau malam nisfu Syaaban semata-mata, tetapi dalam seluruh aspek kehidupan.

Saya menyeru kepada diri sendiri, sebelum orang lain.

Renung-renungkan dan selamat beramal!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s