Jejak Insan Agung 1: Menyelusuri zaman kanak-kanaknya

boysilhouette_thumbTak kenal maka tak cinta. Maka, dalam usaha kita untuk meletakkan baginda Rasulullah SAW di tempat kedua dalam hati kita selepas Allah SWT, menjadi kewajipan untuk kita mengenali baginda dan kisah hidupnya. Insan sempurna yang membuktikan kepada kita bahawa Islam itu sesuai dan boleh diamalkan oleh kita semua. Insan ini jugalah yang sangat rindu untuk berjumpa dengan kita semua, umat akhir zaman. Atas jasa baginda jugalah, kita berjaya untuk mentauhidkan Allah dan mengamalkan cara hidup Islam.

“Ya Allah, temukanlah kami dengan baginda Rasulullah SAW di hari akhirat kelak. Ya Allah, berkatilah usaha kami untuk memupuk rasa cinta kepada baginda dalam hati kami. Ampunilah kami dan rahmatilah kami semua..”

Keturunan

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Fihr(Quraisyh) bin Malik bin Nadr bin Kinanah bin Adnan bin Ismail a.s bin Ibrahim a.s. Sesungguhnya Allah telah memilih baginda daripada kabilah yang paling murni. Baginda juga adalah keturunan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Menurut riwayat yang paling tepat, insan agung ini lahir pada malam Isnin 12 Rabiul Awwal pada tahun gajah.

Permulaan Yang Ajaib

Baginda lahir dalam keadaan yatim. Ayahanda baginda meninggal ketika baginda berusia dua bulan di dalam kandungan ibunya. Sejak lahir, baginda dipelihara oleh datuknya, Abdul Muttalib dan disusukan oleh seorang wanita Bani Saad bin Bakr yang bernama Halimah binti Abu Zuaib.

Para riwayat sirah sepakat mengatakan sejak baginda disusukan oleh Halimah, kampung Bani Saad yang dilanda kemarau yang menjadikan susu dan tanaman kering itu berubah sama sekali. Kehadiran baginda di kampung itu membuatkan tanaman kembali menghijau dan kambing ternakan Halimah kembali mengeluarkan susu dengan banyaknya.

Berikut juga adalah antara irhas nubuwwah dan tanda Allah telah memilih baginda untuk memikul tugas mulia memimpin seluruh umat manusia untuk mengesakan Allah SWT.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas bin Malik,

“Sesungguhnya Rasulullah SAW didatangi Jibril ketika baginda dalam usia kanak-kanak. Pada waktu itu baginda sedang bermain-main dengan rakan-rakannya. Lalu Jibril mendatanginya, memegang dan membaringkannya. Kemudian dia membelah dada baginda dan mengeluarkan hatinya. Dia mengeluarkan seketul darah daripada hati itu dan seraya berkata, “Ini akan menjadi sarang syaitan dalam dirimu.” Kemudian Jibril membasuh hati itu menggunakan jag emas yang berisi air zam-zam. Setelah itu dia menutup kembali belahan dada tersebut dan kembali kepada keadaan asal. Kanak-kanak lain berlari-lari sambil menjerit: “Muhammad telah dibunuh!” Sesampainya mereka dihadapan baginda, baginda dalam keadaan pucat. Kata Anas, “Sesungguhnya saya pernah melihat kesan jahitan pada dada baginda SAW..”

Ini menunjukkan pemeliharaan dan perhatian Allah SWT kepada Nabi SAW. Syaitan tiada lagi jalan untuk memperdayakan baginda SAW. Peristiwa ini jugalah yang menjadi faktor Halimah as-Sa’diah mengembalikan baginda SAW kepada bondanya. Ketika itu baginda berusia genap 5 tahun. Setahun kemudian bondanya Aminah pula meninggal dunia. Selepas itu baginda dipelihara pula oleh datuknya sehinggalah usianya 8 tahun, datuknya pula meninggal dunia. Maka tugas menjaga baginda diambil alih pula oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Masa Depan yang Agung

Sewaktu berusia 12 tahun, baginda dibawa berniaga ke Syam oleh Abu Talib. Apabila tiba di busra, mereka melintas di hadapan seorang rahib yang terkenal di sana iaitu Buhaira. Beliau merupakan pakar tentang kitab Injil dan agama Nasrani. Beliau mengamati baginda SAW dan bersembang dengannya. Lalu beliau bertanya kepada Abu Talib,

Apa hubungan tuan dengan kanak-kanak ini?

Dia anak saya.

Dia bukan anak tuan. Sepatutnya bapa anak ini telah meninggal dunia.

Dia anak saudara saya.

Dimana ayahandanya?

Telah meninggal dunia dan ibunya adik ipar saya.

Benar. Bawalah anak ini pulang ke negerinya dan hati-hati dengan orang Yahudi. Demi Allah jika mereka melihatnya, pasti anak ini akan ditimpa kecelakaan. Sesungguhnya anak saudara tuan ini memiliki masa hadapan yang agung.

Maka setelah itu, Abu Talib pun terus membawa Rasulullah SAW pulang ke Mekah. Beliau pada mulanya mengaku sebagai ayahanda Rasulullah SAW adalah kerana kasihnya yang terlalu tinggi untuk baginda SAW.

Remaja pengembala kambing

Setelah meningkat remaja, baginda mencari rezeki dengan mengembala kambing. Baginda bersabda tentang dirinya,

“Dahulu saya pernah mengembala kambing penduduk Mekah dengan bayaran qararit(1/24 dinar).”

Baginda juga terpelihara daripada kegiatan suka-ria remaja lain yang sezaman dengannya. Sabda baginda SAW,

“Saya tidak pernah terdetik untuk melakukan perbuatan sebagaimana yang dilakukan oleh masayarakat jahiliah melainkan 2 kali. Namun Allah melindungi saya daripada melakukannya. Kemudian saya tidak pernah lagi terniat untuk melakukannya sehingga Allah memuliakan saya dengan risalah ini…”

Pernah dua kali dalam hidupnya, baginda merancang untuk melepak dengan pemuda-pemuda lain di Mekah. Saat itu baginda meminta sahabatnya untuk menolong menjaga kambing-kambingnya. Sewaktu di kota Mekah, baginda terdengar alunan gitar di sebuah Majlis Perkahwinan. Baginda pun duduk ingin mendengar alunan tersebut, tetapi beliau akhirnya tertidur. Peristiwa ini berulang sekali lagi, dan baginda akhirnya tertidur juga.

Hikmah di sebalik yang berlaku

Sungguh, percaturan Allah itu Maha Hebat. Baginda hidup dalam keadaan yatim piatu, tiada ibu dan ayah, tiada datuk, dan tiada harta. Sesungguhnya Allah ingin agar hati baginda tidak bergantung kepada yang lain, selain dariNya. Hanya Allah yang mengurus dan memelihara baginda. Jauh daripada tangan mengajar dan harta yang membekalkan kenikmatan. Hingga baginda tidak terfikir untuk mengungkapkan kata-kata seperti, “Ayah….ayah…”. Tetapi yang terkeluar hanyalah, “Tuhanku…tuhanku…”

Pengajaran Untuk Kita

1. Sensitiviti dan semangat yang tinggi

Walaupun hidup dengan bapa saudaranya, baginda SAW tidak lupa diri dan mencari kerja untuk meringankan beban bapa saudaranya. Meskipun hasilnya tidak seberapa, tetapi nilai yang didapati daripada bekerja sebagai pengemabala kambing sangat tinggi harganya. Kata orang, kambing adalah antara binatang yang paling susah untuk dijaga. Maka, mereka yang megembala kambing akan terdidik dengan sifat sabar, bersemangat dan lain-lain

2. Tabah mengharungi hidup

Sesungguhnya inilah fitrah bagi orang beriman yang ingin Allah tonjolkan kepada kita semua. Sesungguhnya amatlah mudah bagi Allah untuk menyediakan segala kemewahan dan kesenangan pada permulaan hidup baginda. Agar hidupnya tidak susah dan tidak pelu bekerja sebagai pengembala kambing. Namun ada hikmah lain yang Allah ingin sampaikan pada kita semua melalui kesusahan itu. Mengajar kita untuk tekun dan terus berusaha. Juga mengajar kita agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa positif dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran. Juga kepentingan untuk mencari rezeki yang halal walaupun hasilnya sedikit.

3. Rasulullah juga manusia biasa

Keinginan rasulullah SAW untuk berseronok dan bersuka ria menunjukkan bahawa baginda juga mempunyai jiwa remaja seperti kita. Namun Allah SWT melindungi baginda daripada terpesong kepada tindakan yang tidak layak bagi sesiapa yang dipersiapkan untuk menyempurnakan akhlak mulia dan membina syariat yang abadi. Ulama’ ada mengatakan, “Sesetengah perkara harus bagi orang awam adalah dosa bagi seorang da’ie”. Makan, berhibur, menonton cerekarama, bersembang-sembang kosong adalah harus selagimana tidak berlebihan. Tetapi bagi mereka yang memakai lencana da’ie, ketahuilah masih banyak masalah umat yang perlu kita selesaikan. Risalah ini perlukan pewaris supaya berkekalan hingga ke akhir zaman. Semoga Allah SWT memelihara kita semua daripada perkara-perkara yang melalaikan.

p/s: Selamat menyambut kedatangan ramadhan. Maaf andai ada terkasar bicara atau tersalah kata. Maksimumkan amal kita di bulan mulia ini, semoga istiqamah juga di bulan-bulan lain. Semoga kita semua dapat keluar daripada ramadhan kali ini dalam keadaan suci daripada dosa. InsyaAllah…[konokokoro]

“Ya Allah, berkatilah kami di bulan rejab dan syaaban…dan sampaikanlah kami dengan bulan ramadhan…pertemukanlah kami dengan ramadhan…berilah kami kekuatan untuk beramal di bulan ramadhan…”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s