Ramadan Yang Sungguh Meletihkan…

baby_sleep_thumbSaje tulis tajuk sebegitu. Tapi jujurnya, memang begitu.

Saya kelelahan.

Saya mencuri sedikit masa dan menyabarkan hati, menekan papan kekunci ini, menunaikan amanah untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran (serta berpesan-pesan dengan kasih sayang).

Sebentar tadi saya solat tarawih di surau Unisel, dengan masih berbaju kemeja, tidak sempat pulang ke rumah selepas tamat kelas kerana menguruskan beberapa urusan. Sebetulnya rasa letih, lapar dan tidak selesa kerana belum mandi, sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi saya ketika solat. Kemudian bergegas pulang ke Taman Bukit Pelangi, terus menuju ke kedai runcit, membeli beberapa alatan untuk masakan Iftar esok. Saya tiba ke rumah, mandi ala kadar, makan malam (Alhamdulillah rakan serumah telah sediakan makan malam) dan memulakan operasi menyediakan Iftar untuk esok hari. Kerana kelas esok tamat lewat, maka Iftar harus disediakan malam ini juga, waktu yang berbaki petang esok diperuntukkan untuk membuat air pula. Sambil-sambil sediakan makanan, saya perlu berbincang dengan senior di Jepun berkenaan program Jom Surau akan datang yang dilanda sedikit masalah teknikal.

Sambil-sambil sedang menyiapkan makanan (makanan ringan je pun sebenarnya), saya mencuri masa untuk duduk seketika dan meneliti list tugasan yang perlu disiapkan hari ini. Nampaknya masih banyak lagi belum terlaksana. Tiba-tiba teringat sesuatu, “Alamak giliran aku tulis Azzariyat!”.

Saya mohon keampunan Allah dari sifat pelupa saya. Saya menarik nafas panjang-panjang dan mula menaip.

Pertamanya, saya tidak menulis untuk menarik simpati atau menunjuk-nunjuk, bahkan semoga di bulan Ramadan ini anda mendapat manfaat dari apa yang saya kongsikan. Keduanya, saya memang tiada idea, maka apa yang saya rasa di saat ini sahaja dapat saya kongsikan.

Dalam keletihan menguruskan segala kerja-kerja dakwah dan akademik yang menekan jiwa dan masa ini, saya terduduk seketika. Saya mengimbau kembali, bagaimana Ramadan-ramadan lalu yang telah saya lepasi. Tahun lalu, keadaannya begini juga, setiap hari sibuk dengan iftar dan urusan Ramadan ditambah dengan urusan akademik. Sehinggakan, keletihan itu sangat menggugat keimanan, untuk bangun malam beribadat di hujung malam. Bahkan saya kira, kalau dapat bangun solat dua rakaat itu pun dah untung.

Saya berkira-kira pula, tahun ini lebih banyak tanggung jawab, lebih banyak urusan perlu diselesaikan. Ditambah dengan jadual kelas yang sangat padat. Apakah mampu diri ini bertahan? Untuk terus beribadat dan menambah amal dalam keadaan tubuh yang sangat lesu dan fikiran yang sangat bercelaru? Apakah Ramadan kali ini akan saya sia-siakan dengan tidur sahaja di penghujung malam?

Walaupun syaitan diikat, bisikan-bisikan hati ini cukup menggoda untuk saya meninggalkan segala tanggungjawab ini dan fokus kepada ibadat seorang diri.

Khatamkan al-Quran.

Qiamullail.

Namun sejenak saya terfikir kembali. Adakah tanpa segala urusan-urusan agama (dakwah) yang mencengkam masa ini, saya akan lebih beramal? Adakah semakin jauh saya dengan urusan ini akan menjadikan saya semakin dekat dengan Allah?

Saya kira tidak.

Kerana dua tahun yang lalu, serta tahun-tahun sebelumnya, saya ialah orang yang sangat bebas dari tanggungjawab agama. Nak sebut perkataan dakwah pun, tergagap-gagap lidah ini. Jangan kata nak solat sunat, nak solat fardhu pun bertatih-tatih melawan nafsu. Dapat turun surau sekali-sekala solat berjemaah tu, saya kira dah cukup alim, dan boleh dibanggakan kepada rakan-rakan. Jangan kata nak qiam, nak sahur pun tak bangun, lagi teruk kalau terlajak subuh sampai matahari dah terik (kalau hari cuti).

Begitulah Ramadan saya seketika dahulu.

Saya kira, kini biarlah badan letih menunaikan janji untuk menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah. Kerana di atas keletihan itu, saya terjumpa ikatan yang menghubungkan saya dengan Tuhan. Kerana saya tahu segalanya untuk Dia!

Saya menoleh sekitar orang-orang yang saya kenali. Mereka diuji dengan cabaran yang jauh lebih besar daripada saya. Sahabat saya di Unisel lagi hebat dugaannya, mahu mengajak manusia yang pelbagai ragam mencari jalan Tuhan. Saya dan rakan-rakan di JAD ni, saya rasa amat beruntung kerana dikurniakan persekitaran dan sahabat-sahabat yang sangat baik akhlaknya, mudah menjalankan urusan agama. Bahkan pak cik-pak cik yang telah bekerja dan berkeluarga, masih lagi menyibukkan diri, sehingga jatuh sakit kerana hendak menghidupkan usaha dakwah ini.

Namun di sebalik ujian mereka yang berkali-kali ganda itu, mereka lebih tabah menambah amal sempena Ramadan ini. Mereka lebih lagi ghairah untuk mengejar segala fadhilat dan kelebihan Ramadan. Bahkan tidak pula mereka mengeluh kepenatan (sepertimana saya).

Maka saya memohon kepada Allah agar Ramadan kali ini saya diberi peluang untuk ditarbiyyah (dididik) sekali lagi, melalui ujian-ujian yang menekan diri. Agar apabila saya tersungkur jatuh tersembam bumi, saya mula tunduk pada aturan Ilahi. Fitrahnya manusia bila tidak merasa lemah, tidak akan merasa perlu kepada Tuhan yang Maha Kuat dan Maha Besar. Semoga madrasah Ramadan ini menjanjikan seribu satu kebaikan yang boleh saya ambil pengajaran daripadanya. (silap, memang dah dijanjikan pun. Semoga Ramadan ini saya dimudahkan jalan untuk mengambil pengajaran darinya.)

Biarlah saya menyambung sisa-sisa kehidupan yang singkat ini dengan keletihan dan kesusahan di jalan ini. Janganlah saya menjadi golongan yang minta dibangkitkan semula selepas mati, untuk menambah amal di dunia kembali.

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu) maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

[Sajdah:12]

Dan saya mohon Ramadan kali ini, akan menjadi lebih bermakna kepada saya dan rakan-rakan. Semoga Ramadan ini menjadi titik mula, perubahan-perubahan positif dalam diri kita.

Akhirnya inilah kisah Ramadan saya dulu, kini dan harapan Ramadan kali ini.

Anda pula bagaimana?

Adakah Ramadan ini sibuk beramal? Atau sibuk menempah baju dan kuih raya?

Atau anda sedikit pun tidak kisah dengan segala tawaran dan ganjaran Ramadan, bahkan ditawarkan pelepasan dari neraka?

Jangan begitu, jangan lah kita melupakan Allah, nanti kelak Allah melupakan kita.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.

[al-Hasyr : 19]

Mari kita semak amal dan ibadat kita, moga-moga kita mendapat manfaat Ramadan kali ini.Semoga segala amal kebaikan yang kita lakukan mendapat balasan daripada Allah. Biarpun amal kita sekecil biji sawi yang tersembunyi di langit atau di bumi atau di dalam hati, kerana Allah sentiasa memerhati setiap langkah dan gerak geri. Renung-renungkan dan selamat beramal!

3 thoughts on “Ramadan Yang Sungguh Meletihkan…

  1. “ Makin kita mendekatiNya, maik kita diuji. Makin banyak doa, makin banyak ujian yang menimpa kerana segala yang dipinta tak dating dengan segera. Tapi ia akan diperolehi apabila kita berjaya mengharungi ujian yang diberikanNya kerana Allah tak memberi apa yang kita MAHU tapi Allah beri apa yang kita PERLU. SABAR adalah ubat segala derita, berkat kesabaran itu ada ganjaran dariNya. InsyaAllah.

  2. hm, orang lain pun penat jugak…penat sebab banyak tidur, banyak maen game, banyak tengok youtube, banyak makan dan macam2 lagi..bersyukurlah kerana dikurniakan kepenatan berada dalam jalan dakwahNya..Kerana mungkin kalau kita tidak disibukkan dengan hal dakwah, hal-hal lain pula yang akan memenuhi jadual harian kita…

    bersabarlah dengan segala ujianNya..Semoga terus tsabat di jalanNya..
    kerana manisnya syurga, pahit perjuangan ditelan..

  3. [Akhirnya inilah kisah Ramadan saya dulu, kini dan harapan Ramadan kali ini.

    Anda pula bagaimana?

    Adakah Ramadan ini sibuk beramal? Atau sibuk menempah baju dan kuih raya?

    Atau anda sedikit pun tidak kisah dengan segala tawaran dan ganjaran Ramadan, bahkan ditawarkan pelepasan dari neraka?]

    -mnilai diri sbgai pnduduk jenis ketiga,
    -mndapati Ramadan anda dulu adlh Ramadan sy skrang,
    -tnpa ada rasa utk mngejar ap yg ditawar,
    -leka lalai bertahun lamanya.

    [Jangan begitu, jangan lah kita melupakan Allah, nanti kelak Allah melupakan kita]

    -terima ksih utk ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s