Nik Aziz Bukan Malaikat, Mahathir Bukan Syaitan, Dan Sebaliknya…

Sengaja mencoret tajuk provokatif untuk menjentik harapnya bukan sekadar emosi tapi juga mentaliti untuk kita sama-sama berkongsi pandangan dan ilmu serta memperbaiki dunia hari esok. Sebagai mukaddimah, saya peringatkan pembaca, artikel ini ditulis sekadar lontaran pendapat, tidak disandarkan pada mana-mana kitab atau rujukan, maka sebarang komen balas untuk memeriahkan dan meraikan perbezaan pendapat sangat dialu-alukan.

Saya terdetik untuk menulis tentang isu ini setelah berlaku dialog antara rakan-rakan saya (yang ketika itu sedang hangat semangat BTN). Seseorang mempertikaikan mengapa ada segelintir individu (dan ulama) dalam PAS yang tidak mahu bersatu dengan Barisan Nasional. Kemudian dibalas oleh sahabat yang lain bahawa kita tidak boleh mempertikaikan keputusan ulama-ulama, mereka buat begitu tentu ada alasan yang tepat, ilmu agama mereka tinggi, ilmu kita ni apalah sangat untuk pertikaikan keputusan ulama. Kemudian perbincangan semakin hangat dengan isu-isu politik dan semangat menegakkan pendapat antara kedua-dua pihak.

Dari satu sudut saya sangat bersetuju untuk kita yang kurang ilmu ini menghormati orang yang lebih berilmu daripada kita. Bahkan saya percaya kalau seseorang itu kurang berilmu daripada kita sekalipun, tetap menjadi teras dalam Islam untuk kita menghormatinya. Tetapi saya risau, jika pendekatan ini disalahgunakan oleh kita dalam memahami konteks menghormati, sehingga kita cenderung bertaklid membabi buta, dan menutup kotak pemikiran kita daripada berfikir dan mencari di mana rasional sesuatu perkara yang diputuskan oleh pemimpin. Malah lebih teruk jika kita terlalu taasub dengan manusia, sehingga kita cenderung memutuskan sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengannya adalah salah tanpa mendengar dan berfikir secara rasional terlebih dahulu.

Artikel ini bukan artikel politik, dan saya bukan penyokong PAS atau Barisan Nasional (sekurang-kurangnya undi saya rahsia-hehe), tetapi sekadar berkongsi pandangan dan perasaan tentang apa yang saya faham tentang kefahaman berpolitik dan sempadan yang patut kita junjung apabila terlibat dalam perbahasan politik.

Oleh kerana ini web islamik, tentu sahaja isu kematangan berpolitik akan dikupas dari sudut islamik melalui beberapa perkara yang pada hemat saya merupakan garis batasan yang sama-sama perlu kita lindungi.

Berfikir Dengan Rasional Serta Bersandarkan Hujah Yang Jelas

Apabila sesuatu isu itu hendak ditanggapi dari sudut pandangan Islam, perlulah kita berhati-hati membuat tanggapan atau kesimpulan yang berlandaskan emosi semata-mata. Tentu sahaja lebih teruk jika kita cenderung untuk menyokong apa juga tindakan yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin hanya kerana beliau datang dari parti yang kita sokong. Dan kita pula percaya setiap parti yang kita sokong ada ulama tersendiri (PAS, BN, PKR dan lain2) dan ulama-ulama ini tentu sahaja ada alasan mereka tersendiri yang semestinya betul dari sudut syarak.

Setidak-tidaknya, jika benar pun pandangan mereka ada asasnya dari hukum syarak, kita haruslah sedaya upaya mengkaji, berfikir dan memahami apa alasan mereka berbuat demikian. Dalam suasana era global, yang mana Islam diserang dari pelbagai sudut terutama oleh golongan intelek dan liberal, tentu sahaja perbuatan bertaklid membabi buta tanpa memahami alasan dan sebab yang tersirat tidak akan membantu menaikkan Islam di mata dunia.

Bersedia Untuk Mendengar, Sepertimana Kita Bersedia Untuk Bercakap

Seringkali kita yang diamuk semangat berpolitik ini terlalu teruja untuk menyatakan pandangan, kerana pada penilaian kita, kita berada di pihak yang benar maka semua orang perlu mendengar pendapat kita. Kadangkala juga kita makin seronok jika ada yang membidas, bukan kerana meraikan kepelbagaian pendapat, tetapi teruja untuk mematahkan hujah lawan dengan ayat-ayat pedas kita. Apalah erti perjuangan kalau tiada rintangan kan? Apabila berjaya membuatkan lawan terdiam, itulah tanda pahlawan sejati. Malangnya jika ada yang berfikir begini.

Kita harus sedar sebagai manusia biasa kita tidak lari dari membuat kesilapan. Maka jika kita terlalu taasub dengan sesuatu pandangan dan gemar pula mengutuk, dan me’laser’kan pihak lain, manalah tahu suatu hari nanti kita merasakan pandangan kita salah, kita akan menjadi malu sendiri untuk kembali ke pangkal jalan. Maka kekallah kita dalam kesilapan kerana terhalang dek ego yang kita sendiri bina.

Bukalah ruang untuk mendengar dengan teliti idea orang lain dan adililah pendapat mereka menurut neraca Islam. Jika tidak sependapat, lontarkan pula pandangan anda dengan cara berhemat.

JAGA ADAB DAN SALING MENGHORMATI

Jangan sekali-kali melampaui batas dalam berbahas isu politik. Kadang-kadang sehingga ke tahap yang lebih teruk kita gemar pula mengkafirkan atau menggunakan segala istilah yang lancar keluar dari bibir kita seperti sesat, pengkhianat agama dan lain-lain. Ironinya jika kita mengatakan kita ingin menghidupkan suasana politik yang islamik, namun baru sekadar berbahas peringkat warung kopi kita sudah menggadaikan prinsip-prinsip Islam kita.

Pesanan Buat Pengikut PAS Dan BN (Mewakili Pembangkang Dan Kerajaan)

Jangan terlalu cepat dibuai perasaan. Bukan semua yang dibuat kerajaan bertentangan dengan Islam sepertimana juga masih banyak ruang dalam gerak kerja PAS yang boleh diperbaiki mengikut kaca mata Islam.

Saya tertarik dengan ulasan Ustaz Pahrol dalam sebuah buku beliau, tentang kematangan berpolitik ini. Beliau mengulas mengapa tidak PAS berusaha membangunkan negeri Kelantan yang berada di bawah kekuasaannya untuk memberikan gambaran kepada seluruh rakyat apakah yang dikatakan negeri Islam sebenar. Tahap kebersihan di Pasar Siti Khadijah, tahap pembangunan sosio-ekonomi, pembangunan daya saing, dan lain-lain (walaupun sekarang masih sedang membangun), namun perlu diberi penekanan kerana masyarakat umum sedang menilai, kemampuan PAS mentadbir sebuah negeri sebelum diberi kepercayaan mentadbir sebuah negara. Sila ambil perhatian, bahawa saya tidak berniat mempertikaikan kredibiliti PAS mentadbir kerajaan negeri namun saya tekankan masih ada ruang untuk diperbaiki dari kaca mata Islam.

Kita juga harus sedar bukan semua yang dilakukan kerajaan (BN) adalah salah dan lari daripada Islam. Jika kita individu-individu yang cemerlang mengapa tidak berjuang dengan ruang yang ada dan memanfaatkan segala peruntukan dan kemudahan yang diberi untuk membangunkan Islam di mata masyarakat. Isu Islam Hadhari, saya kira bukan lah perkara yang sangat penting untuk terus membahaskan sama ada istilah itu tepat atau tidak dan sepatutnya diganti dengan hadharah islamiyyah ataupun tidak dan sebagainya. Namun saya fikir, mengapa kita tidak menggunakan peluang itu untuk terjun ke masyarakat dengan peruntukan ruang dan kewangan yang diberi kerajaan. Jika benar pun istilah itu salah, mengapa tidak digunakan ruang untuk berceramah kepada masyarakat dalam cara yang terkawal dengan tidak mengelirukan masyarakat umum. Bayangkan, masyarakat umum melihat dua orang ustaz saling berbalah, seorang menyokong Islam hadhari seorang menentang Islam hadhari. Bukankah kedua-dua nya datang dari rumpun yang sama iaitu Islam?

Namun demikian, tidak dapat dinafikan, masih banyak kepincangan dalam kerajaan dan jauh lagi perjuangan membentuk kerajaan yang islamik. Maka penyokong-penyokong kedua-dua pihak perlu terbuka dalam menerima kekurangan, teguran, dan kesilapan pihak masing-masing.

KEPADA SEMUA PEMBACA

Akhir kata, kesimpulannya, semuanya berbalik kepada diri kita sendiri. Tanyakan kembali kepada diri, mengapa kita sibuk bercakap tentang politik. Jika tujuannya adalah Allah, maka muhasabahlah diri kembali. Sudahkah kita benar-benar tunduk dan patuh pada perintah Allah sebelum kita sibuk mempertikaikan kepatuhan dan ketundukan para pemimpin kepada Allah. Berjuanglah membina perubahan dalam ruang yang kita mampu kawal, iaitu diri sendiri. Sungguh ironi sekali, jika kita sibuk bercakap tentang usaha membina negara Islam sedangkan kita sendiri terumbang-ambing ibadatnya, turun solat berjemaah pun masih lagi tercungap-cungap.

Kerana kita perlu sedar, sehebat mana pemimpin membina negara Islam, yang akan mencorakkan hala tujunya adalah kita sebagai rakyat. Sebenarnya, besar tanggungjawab sebagai pemimpin, besar juga tanggungjawab sebagai rakyat dalam usaha membina negara Islam yang kita idam-idamkan.

Semaklah diri masing-masing dan sentiasa perbaiki keislaman kita, dan sama-sama mendoakan hala tuju negara yang lebih gemilang.

5 thoughts on “Nik Aziz Bukan Malaikat, Mahathir Bukan Syaitan, Dan Sebaliknya…

  1. saya sentiasa menyokong usaha kerajaan jika bertepatan dengan Islam, sepertimana saya menyokong usaha PAS yang selari dengan Islam…

    saya sentiasa menyanjung tinggi Nik Aziz, dan saya juga mengagumi kepimpinan Mahathir…

    apa-apa pun semua undi adalah rahsia…. hehe

  2. post pertama yang menyentuh dengan jelas mengenai politik…hrp mesej yg nk dismpaikan jelas..isu mengenai islam hadhari bknlah satu isu yg bsr..mengapa perlu terus ‘menyalak’ pada bnda yg telah brlaku. tidak perlulah kita persoalkn apa yg ‘mereka’ telah lakukan ttp yg patut mnjadi persoalan adalah apa yg kita telah sumbangkan..semua yg dicdgkn mgkn ada baik buruknya ttp mengapa tidak kita sama2 gerakkn apa yg baik..jgnlah sekadar mnjadi satu kata yg tnpa makna
    mengulas mengenai isu kematangan dlm berpolitik..apa yg dapat disimpulkan adalah ketidakmatangan sesebuah pihak dalam menerima dan menegur pendapat seseorang yang lebih berilmu spt yg berlaku baru2 ini (xnk ulas pnjg klu nk tau blh brtnye yg mnulis komen ni secara trus..hehe)..juga pada mereka yg menggunakan isu2 trtntu yg timbul secara tidak sengaja utk menjatuhkan pihak lain..keji mengeji sudah spt prkara biasa..
    dalam lebih 50 thn kita merdeka dan berpolitik kematangan itu masih blum wujud..bagaimana pula dgn generasi yg akan dtg?..hrp brlaku sesuatu perubahan ke arah yg lbh baik..moga kita lbh matang dlm berpolitik(“,)

  3. betul kata penulis….sebagai intelektual kita perlu memahami hakikat sebenar sesuatu perkara dan kurangkan berbahas berdasarkan emosi semata-mata

  4. politik kepartian natijahnya rosak pegangan,
    politik berprinsip jadi pilihan,
    lalu prinsipnya islam jadi panduan,
    maka seringkali manusia hilang tujuan,
    luangkan sedikit kekosongan,
    buka lembaran al-quran,
    di situ ada selembar penyelesaian,
    buat manusia2 yang mahu mencari kebenaran

    “Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin.” (Al-Maidah:50)

    p/s= rmai yg taksub politik,tp ikut musim,mcm Autumn In My Heart,Winter Sonata,Summer Scent,Spring Falls over =P

  5. “tidak perlulah kita persoalkn apa yg ‘mereka’ telah lakukan ttp yg patut mnjadi persoalan adalah apa yg kita telah sumbangkan”

    setuju2… apa yang telah kita sumbangkan untuk memimpin Islam dalam diri kita sendiri, sebelum kita persoalkan kepimpinan mereka menurut Islam…

    tapi tidak bermakna perkara yang bertentangan dengan Islam yang dibuat pemimpin perlu kita diamkan sahaja, namun usaha untuk mengubahnya perlulah seiring dengan perubahan diri… perubahan bermula dari kita, kalau apa yang kita kata mampu kita kotakan dalam diri kita, saya yakin negara Islam akan tertegak…

    setuju?

    mari berusaha…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s