Aku Gerenti Masuk Syurga!!!

Sebenarnya agak risau juga nak menulis tentang artikel kali ini kerana dialog atau isu yang saya nak bangkitkan ini melibatkan orang-orang yang rapat dengan saya dan saya hormati serta sayangi. Tetapi saya merasakan elok juga kalau kita berkongsi pandangan masing-masing, kerana kita semua masih lagi sedang belajar mendalami ilmu agama.

Seketika dahulu saya selalu mendengar (sekarang dah kurang) cerita-cerita tentang kita pasti akan masuk syurga walaupun dimasukkan ke dalam neraka dahulu buat seketika, ataupun istilah yang terkenal ketika itu, “kita kena celup (basuh) dulu kat neraka lepas tu masuk syurga”. Untuk memudahkan pemahaman saya reka satu dialog di bawah :

Ahmad : Umat Islam ni cukup bertuah kerana kita pasti akan masuk syurga!

Muzaffar : Walaupun orang tu jahat pun masuk syurga jugak ke?

Ahmad : Contohnya macam ni. Kalau kau bagi pinjam pinggan dekat aku, lepas tu masa aku pulang pinggan tu, aku pulang dalam keadaan bersih mesti kau terus simpan dalam rak pinggan betul tak? Tapi, kalau aku pulangkan dalam keadaan kotor kau buat apa?

Muzaffar : Aku belasah kau, lepas tu aku tarik telinga kau pergi dapur, basuh pinggan tu.

Ahmad : Hahaha. Yang penting mesti kau basuh dulu baru simpan dalam rak pinggan kan?

Muzaffar : Ye la. Takkan nak simpan terus pinggan yang kotor. Mestilah basuh dulu.

Ahmad : Macam tu jugak la orang Islam. Allah dah bagi pinjam hati kat kita, kalau kita pulangkan dalam keadaan bersih, mesti Allah terus letak kita dalam syurga. Kalau kita pulangkan hati kita dalam keadaan kotor dengan dosa dan maksiat, tentu Allah ‘basuh’ dulu kita bersih-bersih dalam neraka lepas tu masukkan kita dalam syurga. Tetapi syaratnya kita kenalah Islam, itu tiket untuk masuk syurga.

Muzaffar : Oh kalau macam tu, semua orang Islam boleh masuk syurga la kan!

Saya tak berminat mengulas tentang isi dialog ini kerana (pada pendapat peribadi saya), dialog ini memang berasas, berpandukan beberapa hadis Rasullullah. Tetapi yang ingin menjadi topik perbincangan kali ini adalah, bagaimana sikap kita dalam menanggapi (memberi respons) terhadap dialog ini?

Ada sesetengah golongan apabila diceritakan kisah ini, merasa sangat selesa dengan dosa-dosa yang mereka lakukan. Tidak terlintas pun di hatinya untuk bertaubat, kerana dia berfikir selagi dia masih mengucap syahadah tentu dia masuk syurga. Perkiraannya mudah, kehidupan yang kekal adalah di akhirat kelak, bermakna kita hidup selama-lamanya. Setakat masuk neraka (walaupun berjuta tahun), nanti berjuta-juta tahun pula (bahkan selama-lamanya) kita akan masuk syurga.

Kepada yang berpandangan sedemikian, saya nak kongsikan beberapa potong ayat al-Quran yang mungkin boleh dijadikan panduan :

Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari saja.” Katakanlah: “Sudahkah kamu menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?”

(Bukan demikian), yang benar, barang siapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

Dan orang-orang yang beriman serta beramal saleh, mereka itu penghuni surga; mereka kekal di dalamnya.

(al-Baqarah : 80-82)

Sahabat,

Kita ni sebagai manusia, seringkali mengharapkan perkara-perkara yang luar biasa walaupun amal kita biasa-biasa sahaja. Seringkali juga kita tanpa sedar mendesak Allah menunaikan janji-Nya dan rajin pula kita menghafal segala dalil, umpama nak mengingatkan Allah jika Allah terlupa yang Dia pernah berjanji macam-macam dengan kita, naudzubillah. Sedangkan kita sendiri lupa nak tunaikan janji kita pada Allah.

Bagaimana sahabat, adakah anda masih rasa anda penghuni neraka sementara? Atau menempah tiket tetap ke neraka?

Saya pernah diingatkan di dalam usrah mengenai suatu kisah. Cuba bayangkan, andai di dunia ini, anda dihukum, dikurung di dalam tandas selama 1 bulan. Tanpa diberi makan atau minum kecuali makanan basi dan air longkang. Semestinya hukuman itupun sudah cukup menakutkan kita, dan membuatkan kita menangis, meratap memohon agar dibebaskan daripada hukuman itu. Sesiapa yang tidak merasa takut, cubalah kurung diri anda di dalam tandas selama sehari. Nescaya tidak tertanggung azabnya.

Tetapi sahabat-sahabat, neraka jauh beribu-ribu bahkan berjuta-juta kali ganda lebih busuk, jijik, kotor dan hina daripada tandas. Bukan sahaja menjijikkan, dihuni pula oleh berjuta-juta makhluk yang menakutkan. Bukan sekadar diberi makan makanan basi, bahkan makanan panas menggelegak dan berduri. Bukan pula dikurung sehari atau sebulan bahkan bukan juga setahun, malah berpuluh-puluh, bahkan beratus-ratus ribu tahun malah mungkin juga selama-lamanya.

Sekiranya kita tahu bagaimanakah agaknya neraka yang sebenar, usahkan sementara, sedetik pun kita tidak mahu ke neraka.

Namun sahabat,

Anda dan saya, kita sama-sama sering terlupa dan terleka. Ditambah pula dengan segala macam dugaan dan cabaran beragama dewasa ini.

Kita tenggelam dalam pencarian hukum halal haram.

Kita tenggelam dalam perbahasan politik Islam.

Kita tenggelam dalam perbahan ulama’ silam tentang ilmu ibadah, feqah dan akidah.

Kita tenggelam dalam berbahas isu wahhabi, salafi, khalafi dan lain-lain.

Saya percaya, anda yang membaca Azzariyat.com ketika ini, tentu sahaja orang yang mempunyai kecenderungan atau minat yang tinggi terhadap Islam. Dan nasihat ini saya tujukan buat anda dan saya, kita yang selalu tenggelam dalam penggalian ilmu, menyumbat akal dengan segala dalil. Mari ketika ini, di saat ini, kita duduk sejenak, renung ke dalam diri kita, muhasabah kembali niat kita mengapa kita melakukan semua ini? Adakah untuk dipuja manusia atau diredha Allah? Mari kita semak dada kita, adakah segala ilmu yang kita telah kuasai itu, benar-benar menyelamatkan kita dalam neraka, atau menuntun kita ke sana?

Akhir kata, sebagai kesimpulan, saya mohon maaf jika ada kesalahan. Cuma seperkara yang saya nak tekankan dalam tulisan kali ini, jangan terlalu ghairah menuntut Allah menunaikan janjinya kepada kita, sedangkan diri sendiri gagal atau sengaja tidak menunaikan janji kepada Allah. Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun, tetapi jangan lupa bahawa Dia juga Maha Pembalas!

Apa pendapat anda?

2 thoughts on “Aku Gerenti Masuk Syurga!!!

  1. ana pernah tonton video dalam youtube,maulana Asri tentang jawapannya tentang isu neraka..(masih mencari video tu balik utk dikongsi bersama)
    beliau ditanya apakah sama azab orang Islam dengan azab yang diterima oleh orang kafir sedangkan walaupun teruk mana orang Islam,dia masih berimankan Allah dan tidak pada orang kafir..jika sama,maka Allah tidak adil.

    Lalu beliau menjawab(dengan olahan ana sendiri): tidak sama,seringan-ringan azab yang kita dengar ialah pakai selipar neraka, menggelegak isi otak dek panasnya.Itu adalah seringan azab orang kafir. Tapi bagi umat Islam,seringan azab neraka ialah terasa seperti dibius dan seteruk2nya pom hanyalah menjadi hitam sahaja.

    Sesape mendengar jawapan ini pasti gembira,mana taknya,azab neraka bagi umat Islam taklah teruk sangat.
    Tapi ana ingin utarakan pendapat seorang mad’u ana, “walaupun kita azab Allah utk umat Islam ringan tp belum tentu kita mati dengan Husnul Khatimah,belum tentu kita mampu mengucap sebelum kita mati, jadi beringat-ingatlah..”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s