Pilihan Kedua Mungkin Lebih Baik

Ini mungkin kisah peribadi namun saya percaya ada ibrah (pengajaran) tersendiri. Cerita tentang iman dan keyakinan. Cerita tentang harapan dan kenyataan. Cerita tentang semalam dan masa depan. Cerita tentang hajat yang tak kesampaian, dan hikmah yang tersimpan.

Menjadi satu-satunya pelajar lelaki batch 3 yang tidak lulus universiti pilihan pertama (Nagaoka University of Technology) tidak dapat dinafikan memang sedih dan kesal. Apatah lagi apabila seisi kelas mekanikal berjaya mendapatkan universiti pilihan pertama masing-masing. Namun, dengan nasihat yang tidak putus-putus, saya berjaya memberitahu hati ini ada hikmah di sebalik segalanya.

MELANGKAH KE JAD

Jika diputar masa 3 tahun dahulu, situasinya lebih kurang sama ketika saya masuk ke JAD. Dulu, kejuruteraan adalah salah satu bidang selain perakaunan dan arkitek yang saya percaya saya tidak akan ceburi sampai bila-bila. Sejak kecil lagi, saya telah menyimpan hasrat untuk menjadi seorang doktor. Namun akhirnya takdir mendahului cita-cita, surat tawaran JAD sampai dahulu sebelum tawaran biasiswa yang lain.

Seisi keluarga gembira mendengar saya bakal ke Jepun dan begitu bersemangat, kecuali saya. Saya datang ke JAD dengan sungguh berat hati, sehinggakan pada hari pendaftaran saya mendiamkan diri daripada bercakap dengan keluarga sehingga ibu saya berkecil hati.

“Kalau tak nak masuk sini, jom la kita balik!”

Sepotong ayat ibu membuatkan hati saya beristighfar kembali. Betapa saya tahu ibu dan ayah berangkat terus dari Johor ke Kuala Lumpur selepas mendapat panggilan tawaran pada malam hari yang sama, membawa bersama segala dokumen dan barang keperluan saya. Betapa saya tahu dari riak wajah ibu, beliau sangat bersyukur dan gembira dengan berita ini namun sayangnya hari itu saya telah melukakan hatinya.

Saya memujuk diri untuk terus berusaha sepanjang kursus intensif ini demi menggembirakan hati ibu dan saya mula tersenyum. Perlahan-lahan riak wajah ibu kembali tenang dan beliau sekeluarga pulang dengan senyuman tipis di bibir.

Namun saya masih tidak mahu masuk JAD dan belajar bidang kejuruteraan. Tambahan pada hari pertama pelbagai perkara berlaku, kasut yang saya baru beli terpijak tahi kucing menyebabkan saya terlepas sarapan untuk mencucinya. Kemudian kunci pintu bilik terpatah menyebabkan saya dan teman-teman sebilik terpaksa masuk lewat ke bilik. Kemudian saya masuk lambat ke kelas dan terpaksa duduk di hadapan sekali di sebelah perempuan yang saya tidak kenal. Segala-galanya serba tidak kena dan menguatkan anggapan saya bahawa saya tidak ditakdirkan untuk berada di sini.

Sepanjang kursus, saya masih mengintai peluang biasiswa lain untuk mengambil bidang kedoktoran. Satu-satunya permohonan biasiswa untuk bidang kedoktoran yang saya mohon adalah biasiswa MARA.

Namun malangnya, tanpa saya duga, nama saya tidak dipanggil untuk sesi temuduga MARA. Menurut kata teman-teman nama kami telah disenaraihitamkan kerana telah menerima tawaran JAD dari Yayasan Pelajaran Mara.

Ketika itu, betapalah menyesal, sedih dan kecewa yang saya rasakan. Kalaulah saya buat begini, kalaulah saya buat begitu…. dan pelbagai ‘kalau’ lagi mencelarukan perasaan dan pemikiran.

Maka saya pun masuk ke JAD bukan sebagai pilihan pertama namun lebih sebagai pengubat rasa kecewa dan saya yakin saya akan menyesal satu hari nanti kerana memilih bidang ini.

Ditambah pula dengan rasa terkilan melihat rakan-rakan sekolah dahulu, terbang lebih awal, melanjutkan pelajaran ke bidang yang dikehendaki. Ketika itu pelbagai persoalan terbayang. Kenapa aku tidak diberi peluang oleh Tuhan? Kenapa orang yang dapat result SPM lebih rendah dari aku boleh terbang lebih awal?

Namun saya pasrah dan menerima kenyataan bahawa Allah ada perancangan yang lebih baik untuk saya. Dan akhirnya, hampir tiga tahun di sini, tidak pernah saya menyesal memilih jalan ini.

Siapa sangka, di JAD saya bertemu dengan rakan-rakan yang sangat baik dan membimbing saya mengharungi arus kedewasaan. Saya diberi peluang menjawat jawatan MPP dan merasai pahit manis gerak kerja berorganisasi. Saya ditemukan dengan senpai-senpai (senior) yang sangat baik dan penyayang, saban minggu menjalankan Smart Group (walaupun saya dahulu sering ponteng). Saya diberi peluang untuk mendalami agama ini, memahami agama ini dari sudut pandangan yang baru. Saya ditemukan dengan kohai-kohai (junior) yang sangat baik dan peramah, yang daripada mereka saya banyak belajar erti kehidupan dan muhasabah diri atas segala kesilapan. Saya berpeluang belajar dengan sensei-sensei (lecturer) yang sangat hebat dan baik hati, yang daripada mereka saya belajar mendewasakan diri.

Walaupun saya masuk ke JAD bukan sebagai pilihan utama, 3 tahun di JAD ini penuh dengan cerita suka duka, pengalaman yang sangat manis dan berharga yang menjadikan saya seperti saya hari ini. Tidak ada lagi nikmat tuhan yang dapat saya dustakan.

Dan saya percaya, mungkin ada lagi pelajar yang masuk ke JAD kerana rasa terpaksa namun akhirnya melalui pengalaman yang berharga kan?

MUHASABAH KEMBALI

Maka saya terfikir, kekecewaan tiga tahun yang lepas rupa-rupanya langkah pertama untuk kehidupan yang lebih bahagia hari ini. Maka apakah tidak mungkin kesedihan hari ini adalah jalan pertama menempa gembira hari esok?

Sebenarnya, kita selalu meletakkan harapan dan impian dalam setiap yang kita lakukan. Kemudian kita berusaha keras untuk mencapai impian tersebut. Kita berusaha lagi dan lagi dan lagi, sehingga kita menanamkan dalam minda kita, impian tersebut pasti terlaksana. Namun akhirnya apabila yang terjadi sebaliknya, kita rasa kecewa. Kecewa kerana kenyataan tak seperti diharapkan. Kita lupa bahawa manusia itu, selamanya layak diuji.

Namun rakan-rakan, sesiapa pun tidak tahu apa yang bakal mereka tempuhi esok hari. Saya yakin, bukan sahaja saya dan 2 lagi rakan yang gagal ke universiti pilihan pertama, bahkan semua orang juga berdebar-debar untuk ke Jepun bukan? Semua ternanti-nanti apa yang akan terjadi hari esok. Bagaimana kehidupan di sana? Kita akan menjadi lebih baik atau lebih teruk di sana? Dan pelbagai lagi perkara bermain di fikiran kita semua, di samping rasa teruja dan ghairah bershopping barangan untuk dibawa terbang.

Maka untuk hari esok yang kita tidak ketahui di mana hujungnya, mari kita berusaha sepenuh hati! Walau di mana kita berdiri, mari kita berjuang di gelanggang sendiri. Keputusan akhir, mari kita serahkan kepada Ilahi.

Dan ingatlah selalu untuk sentiasa bersangka baik dengan Allah. Pasti ada yang lebih baik menanti kita di atas setiap yang berlaku.

Jika nanti, tidak dapat apa yang kita hajati, ingatlah secebis kegagalan yang kita hadapi hanyalah secebis pengalaman daripada keseluruhan kehidupan ini.

Inilah saatnya untuk kita menguatkan diri kita dan meyakini bahawa kita mampu melalui segala kesulitan. Kita tidak lagi akan menyerah kepada situasi dan nasib semata-mata. Orang lain mungkin boleh membuatkan kita menjadi lemah tapi kita tidak boleh melemahkan diri kita sendiri. Orang lain mungkin ingin melihat kita mundur tapi Allah tidak ingin kita mundur dan berputus asa.

(http://meniti-hari.blogspot.com/2009/12/yakinlah-bahawa-kita-mampu.html)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s