Nota Ringkas : Sayang Nak Patah Balik

Saya berkesempatan menonton siri drama Aliff Firdaus sebentar tadi. Walaupun saya secara peribadi tidak menganggap drama tersebut sebagai drama islamik, namun saya tidak dapat menafikan ada unsur-unsur hikmah yang dapat kita ambil.

Secebis dialog dalam drama tersebut mencuit hati saya. oleh kerana saya tidak berapa hafal dialog tersebut maka saya olah menggunakan bahasa sendiri :

Ayah : Kalau dah tahu jalan tu salah, kenapa teruskan lagi? Patahlah balik semula…

Anak : Betul lah tu ayah. Tapi kadang-kadang bila dah jauh sangat berjalan, rasa sayang nak patah balik. Alang-alang dah melangkah, baik teruskan sampai habis.

Dialog ini bersempena adegan seorang ayah menasihati anaknya kembali semula ke pangkal jalan setelah membuat banyak pilihan yang salah dalam hidup.

Saya sering menekankan dalam usrah bahawa kita sentiasa diberi pilihan dalam hidup. Walaupun adakala kita berada dalam situasi yang menekan, dan kelihatan seperti cuma tinggal satu sahaja jalan, namun sebenarnya kita masih ada banyak pilihan lain, cuma tinggalnya kita mahu pilih yang mana.

Saya bertemu dengan ramai manusia yang asalnya berada dalam kategori manusia-manusia yang baik, tinggi ilmu agamanya, kuat amal ibadatnya, namun selalu membuat pilihan yang salah dalam hidup dan akhirnya semakin jauh tercicir dari landasan ini. Saya juga sering bertemu ramai manusia yang asalnya dilabel sebagai manusia-manusia rosak, tak kenal surau, mengaji jauh sekali, namun membuat pilihan-pilihan yang tepat dalam hidup, dan akhirnya kini hidupnya kembali terarah.

Besarnya peranan membuat pilihan dalam kehidupan bukan setakat menerima kesan di dunia bahkan di akhirat. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap pilihan yang dibuat, iaitu menanggung kesan di dunia dan menjawab di hadapan Allah di akhirat untuk setiap perkara yang kita buat.

Maka amat penting membuat pilihan yang tepat. Soalnya apakah pilihan yang tepat dan apakah pilihan yang salah?

Jadikanlah titik rujukan kita dalam membuat sebarang pilihan dan keputusan ialah Allah. Biarlah setiap pilihan kita itu berlandaskan apa yang Allah suka dan apa yang Allah tak suka. Janganlah kita menipu diri sendiri, dalam kebanyakan aspek dalam kehidupan kita, kita tahu yang mana Allah suka yang mana Allah tak suka, cuma kita mahu mendengar atau tidak bisikan hati.

  • Dalam bersolat, pilihlah untuk bersolat sebagaimana yang Allah suka. Iaitu berjemaah di tempat azan dilaungkan.
  • Dalam berpakaian, pilihlah pakaian yang Allah suka iaitu yang menutupi aurat dan menjaga kehormatan diri.

Namun akhirnya, manusia-manusia yang lemah seperti saya dan anda, tentu sahaja seringkali tersasar dalam membuat pilihan dan sengaja atau tidak kita membuat pilihan yang salah. Pilihan yang mencederakan iman, meresahkan hati kita.

Di saat itu, janganlah kita menjadi seperti si anak dalam dialog di atas, alang-alang terlanjur biar terlanjur terus. Di saat itu, pilihlah untuk bertaubat dan pilihlah untuk mencari keampunannya.

Seorang sahabat pernah menasihati saya, “aku tak risau kalau kau buat salah, kerana aku bukan Tuhan untuk menghukum kau dan aku sedar kau juga manusia biasa yang fitrahnya senang mengikut nafsu. Tapi aku cukup risau kalau kau tak rasa nak buat baik, kerana manusia itu fitrahnya sukakan kebaikan, maka kalau kau tak terasa nak buat baik, aku risau hati kau masa tu dah cukup gelap sampaikan tertutup fitrah semulajadi kau nak buat baik”.

Pilihlah untuk terus membuat kebaikan.

Jika tersasar, pilihlah untuk kembali ke pangkal jalan.

Jangan memilih untuk lebih jauh tersasar.

Pilihan di tangan anda!

Anda mampu mengubahnya!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s