p/s : I luv U

Fitri : Saya ada benda nak cakap dengan awak

Nur : Apa dia cakap la

Fitri : Sebenarnya… saya….saya….

Nur : Saya apa?

Fitri : Saya…. errr saya…

Nur : Cakap je la!!!

Fitri : Saya suka kat awak!

Nur : Hah!

Dialog di atas adalah rekaan semata-mata. Artikel ini bukan hendak membincangkan masalah cinta, atau halal haram couple. Apa yang hendak saya sampaikan adalah kita (lebih-lebih lagi orang melayu) sukar nak meluahkan perasaan kan. Kenapa agaknya ya?

Satu perkara yang saya belajar dari seorang pengarah eksekutif suruhanjaya komunikasi Malaysia, perkara paling sukar bukanlah menyatakan sesuatu pendapat, bahkan menghadapi kesan selepas mengucapkan sesuatu pendapat/perasaan.

Mungkin itulah jawapannya mengapa kita sukar meluahkan perasaan (tidak terhad kepada cinta sahaja). Jika dalam kes bercinta, sukarnya melafazkan kata cinta, bukan semata-mata kerana malu menyatakan perasaan sendiri, bahkan lebih risau lagi memikirkan adakah diri ini diterima atau tidak. Kesan selepas melafazkan kata cinta itu bakal merubah keseluruhan jalan hidup dan perasaan kita maka ia wajar dirisaukan.

Begitu juga apabila marah. Kadangkala dalam berkawan, tentu sahaja ada perkara yang menimbulkan kemarahan kita. Setiap orang ada perkara yang ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Contohnya yang suka makan, sukar berkrompomi bila tidak dapat makan, yang suka menepati masa sukar berkrompomi jika terpaksa menanti rakannya dan pelbagai lagi contoh yang lain.

Kadangkala tahap kemarahan kita berada di puncak, dan hampir-hampir meletus. Namun kebanyakan daripada kita memilih untuk menahan diri dan memendam rasa malah menyakiti perasaan dan jiwa sendiri. Mengapa?

Kerana kita risau akan kesan selepas meluahkan kemarahan kita. Mungkin setelah kita melepaskan kemarahan dengan kata-kata, persahabatan kita akan renggang dan putus. Sedangkan kemarahan kita akan reda, tetapi hubungan yang putus sukar disambung kembali.

Memang sukar meluahkan apa yang kita rasa…

MUNGKIN…

Mungkin kerana itu, ramai antara kita takut menyatakan perasaan kita kepada agama ini.

Saya pernah bertanya kepada ahli usrah saya, siapa antara mereka yang nak masuk syurga? Pelik soalan ini kan? Memanglah di akhirat nanti kita sedia maklum ada dua tempat sahaja; syurga dan neraka. Kalau tak masuk syurga, kenalah masuk neraka, dan siapa sahaja yang berakal waras tentu sahaja tidak mahu masuk neraka. Ia seolah-olah satu soalan bodoh yang kita dah tahu jawapannya, umpama menyoal kalau minum air gula rasa apa?

Namun percaya atau tidak, soalan ini sukar dijawab. Kalau dijawab pun dengan rasa takut-takut, malu-malu manja, tersipu-sipu dan sebagainya. Mengapa?

Kerana selepas mengungkapkannya (lebih-lebih lagi kalau sebut dalam usrah), kita akan dihakimi oleh orang yang mendengar. Kesannya adalah pada kehidupan selepas itu. Setiap tindak tanduk kita akan diperhatikan. Kalau kita membuat salah, kita akan diselar oleh rakan-rakan atau naqib yang pernah mendengar pengakuan kita dahulu.

  • Isy kata nak masuk syurga tapi malas sembahyang jemaah
  • Laa kata nak masuk syurga tapi dok mengumpat tak habis-habis

Atau mungkin kerana kehidupan silam kita membuatkan kita segan nak menyebut kita nak masuk syurga. Mungkin kita ni bukan lah orang yang baik sangat sebelum ni, baru je nak belajar jadi baik, maka seganlah nak menyebut depan orang ramai kita nak masuk syurga. Nanti kena gelak dengan rakan-rakan pula.

Maka jalan paling selamat, bila ditanya, diam sahaja dan senyum kemudian tundukkan kepala agar tidak disoal lagi.

Namun saya berpendapat, lebih baik anda hidup dalam ketakutan atau segan dengan orang yang sentiasa memerhatikan anda. Secara tak langsung dapat juga mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat kerana segan dengan orang lain sebelum segan dengan Allah. Setidak-tidaknya, jika anda terbuat maksiat, dan dikutuk oleh orang lain, itu adalah lebih baik untuk menjadi peringatan dan pedoman. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada anda buat salah dan tidak ada orang yang menegur.

Abu Dzar yang teruk dibelasah di Ka’abah kerana mengisytiharkan keislamannya, turut tidak terlepas daripada berbuat kesalahan selepas itu. Abu Dzar pernah ditegur oleh Baginda s.a.w kerana Abu Dzar r.a pernah memandang hina seorang budak dgn panggilan ‘Hai budak hitam…’ Baginda bersabda,’kamu masih memiliki saki baki sifat jahiliyyah dalam dirimu‘.

Seperti yang saya nukilkan sebelum ini, setiap manusia diberi pilihan, dan kadangkala kita tersalah membuat pilihan. Maka pilihlah untuk kembali bertaubat.

Namun jika kita tidak mengisytiharkan cinta kita untuk menjejak syurga Allah, sampai bila-bila pun kita akan duduk dalam zon selesa, tidak tercabar oleh rasa segan dan risau apabila membuat kesalahan.

Rakan-rakan yang lain pula, mainkan peranan anda. Berikan galakan, nasihat, teguran, malah marah dan kutuk lah jika terlihat rakan-rakan anda yang mengaku nak masuk syurga ni, buat kesalahan. Semoga itu menjadi pengajaran dan asbab kesedaran baginya. (Mungkin sahabat yang paling banyak mengkritik kita adalah sahabat yang paling menyayangi kita di kala orang lain sibuk merosakkan diri kita dengan pujian dan gelak tawa)

Mari saya mulakan sekali lagi. Siapa antara anda nak masuk syurga???

One thought on “p/s : I luv U

  1. takot nk tegur kesalahan kawan..sbb takot diri ni tak ikhlas nk betul kn dia…cume hanya nk cari salah dia…:-(

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s