Camping?? Oh, Tidak!!!

Mungkin ramai orang akan rasa tertekan jika terpaksa mengikuti perkhemahan lebih-lebih lagi jika terpaksa mengorbankan hari cuti yang jarang-jarang didapati seperti di JAD. Tapi saya tidak. Saya suka dan menikmati aktiviti camping atau perkhemahan.

Semasa kecil, keluarga saya bukan orang berada. Maka ibu saya tidak akan sekali-kali membenarkan wang dibazirkan untuk apa-apa perkhemahan yang padanya tidak berfaedah. Jadi semasa tingkatan 1, saya mengumpul wang belanja dan mengikuti perkhemahan KRS. Walaupun kami hanya berkhemah di sekolah, saya tetap rasa teruja. Mungkin kerana keterujaan saya yang luar biasa, tahun-tahun berikutnya saya dilantik menjadi AJK dalam perkhemahan anjuran badan KRS.

Semasa tingkatan 2, saya terpilih menjadi anak angkat yayasan bandaraya Johor Bahru. Maka ada banyak perkhemahan yang perlu saya ikuti sepanjang tahun. Kem Matematik, Kem Motivasi, Kem Sains, Kem Bahasa Inggeris, Kem Ibadah, dan pelbagai jenis kem mengisi cuti saya setiap tahun. Tentu sekali, saya menikmati setiap perkhemahan yang dihadiri.

Semasa di JAD, perkhemahan pertama ialah Kem Kaizen di Johor semasa kami menjalani kursus intensif. Ia merupakan pengalaman pahit dan ngeri bagi sesetengah pelajar, tetapi saya menikmati kem tersebut. Kemudian, apabila terbabit dengan usrah, naqib-naqib saya ada pelbagai cara untuk memastikan saya berada dalam keadaan serba salah sehingga tidak dapat menolak pelawaan mereka untuk mengikuti perkhemahan-perkhemahan tarbiyyah.

Walaupun saya suka berkhemah, saya tidak gemar mengikuti perkhemahan tarbiyyah (suatu ketika dahulu). Kerana berbeza dengan kem-kem yang lain, perkhemahan tarbiyyah membabitkan peserta-peserta yang saya tidak kenal. Sesiapa yang mengenali saya akan tahu, yang saya sebenarnya seorang yang pemalu (hehe). Walaubagaimanapun, terima kasih kepada naqib-naqib saya yang sangat pandai membuatkan saya rasa bersalah setiap kali tidak hadir program, 3 tahun di JAD juga dipenuhi dengan perkhemahan tarbiyyah termasuk perkhemahan anjuran YPM.

Apabila saya mengatakan saya menikmati setiap perkhemahan, tidak bermakna setiap perkhemahan itu menyeronokkan. Adakalanya perkhemahan itu sangat membosankan, sangat menyeksa fizikal dan mental serta menimbulkan banyak ketidakpuasan hati kepada pihak penganjur. Namun adakalanya perkhemahan itu sangat seronok, memberi peluang saya menjalinkan ukhuwwah dengan orang baru, serta menyimpan banyak kenangan manis. Jadi setiap perasaan gembira, suka, sedih, tertekan, geram, marah, bahagia, bosan dan sebagainya yang hanya boleh didapati melalui perkhemahan, saya sangat menikmatinya.

Setelah melalui banyak pengalaman mengikuti perkhemahan, saya perasan satu perkara. Sama ada menjadi peserta atau AJK program, setiap aktiviti perkhemahan sangat meletihkan. Peserta terpaksa mengikut sahaja setiap aktiviti anjuran serta kalau lebih malang lagi akan mendapat pelbagai denda dan hukuman. AJK pula walaupun boleh skip beberapa aktiviti tetapi terpaksa bersengkang mata setiap malam kadangkala tidak tidur, menyiapkan segala persiapan aktiviti dan menyerabutkan kepala dengan pelbagai urusan untuk kelancaran program.

Jadi kesimpulannya, kita semua berkongsi satu perasaan di akhir program, iaitu penat!!!

Mungkin kita tidak sedar, tetapi satu perkara yang sangat kita inginkan dalam setiap perkhemahan adalah, di akhir perkhemahan nanti kita dapat tidur dengan sepuasnya. Betul?

Saya sangat gembira apabila balik dari program, saya dapat mandi sepuasnya kemudian tidur nyenyak atas katil tanpa gangguan. Tetapi bayangkan, jika setelah penat lelah berkhemah, anda pulang ke rumah dan tidak mendapat peluang berehat, dan terpaksa pula menyiapkan pelbagai kerja lain. Tentu sangat menyeksakan bukan?

Setelah fizikal dan mental letih melalui satu perjalanan yang melelahkan, apa yang kita semua boleh harapkan cumalah suatu kerehatan.

Jadi saya terfikir, bukankah hal ini sama dengan kehidupan kita di dunia ini.

Saban hari kita sentiasa disibukkan dengan kerja, belajar, berdakwah, bersosial, dan pelbagai lagi perkara yang menuntut kesabaran dan kekuatan fizikal dan mental. Tentu sahaja di sepanjang jalan kehidupan ini, ada pelbagai perasaan yang kita hadapi, gembira, suka, sedih, tertekan, geram, marah, bahagia, bosan dan sebagainya. Namun sama ada kita gembira atau tidak, kita terpaksa akui, setiap perjalanan kehidupan itu sangat meletihkan. Tidakkah anda berasa penat?

Dan apa yang kita harapkan di penghujung kehidupan ini, apabila kita pulang dari ‘perkhemahan’ dunia, pulang ke rumah akhirat hanyalah suatu kerehatan.

Saya terfikir, Setelah melalui pelbagai perkara yang meletihkan di dunia ini, dapatkah saya berehat dan tidur tanpa gangguan di kubur kelak?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s