Tidak Cukup Besar?

Rabu lalu usrah kami bersama kouhai membincangkan ayat 111 surah at-taubah.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar.

Sebagai ringkasan, saya ceritakan sebuah analogi kepada anda :

Andaikan ada dua sahabat Ali dan Azizan.

Ali : Azizan, nah I-Phone yang baru aku beli ni, aku bagi pinjam kat kau. Nanti sampai satu masa kau pulang la semula.

Azizan : Wow, terima kasih!

Keesokan harinya, ketika mereka sedang berjalan berdua, telefon bimbit yang digunakan Ali kehabisan bateri dan dia harus menelefon seseorang. Dia berkias kepada Azizan, dengan harapan Azizan akan memberi I-Phone yang dipinjamkannya dahulu untuk digunakan sebentar. Namun setelah melihat Azizan seperti pura-pura tidak faham;

Ali : Boleh aku guna kejap I-Phone aku tu?

Azizan : Eh mana boleh! Aku tengah main game ni!

Ali : Sekejap je. Ok la aku bagi kau Rm 1000 kalau kau bagi aku guna I-Phone tu 5 minit.

Azizan : Eh mana boleh!!!

Ali : Boleh lah sekejap je.

Azizan : Isy kau ni! Haa ye la, cepat sikit! Bagi la duit Rm 1000 tu!!!

Cuba anda perhatikan berapa banyak benda yang tak masuk akal dalam kisah di atas.

  1. I-Phone itu kepunyaan Ali, dan Azizan hanya meminjamnya sahaja
  2. Sepatutnya bila-bila masa je Ali boleh ambil balik I-Phone tu.
  3. Sepatutnya, common sense buat Azizan untuk bagi Ali guna I-Phone tu sekejap
  4. Ali tak perlu pun buat tawaran Rm 1000 tu

Memang tak sepatutnya saya kaitkan kisah ini dengan ayat Quran di atas, tapi sebagai sedikit pengajaran mungkin ada iktibar jika kita dapat mengambil hikmah yang tersirat. Saya teringat olahan yang diceritakan oleh ustaz Muhaimin:

Segala yang kita miliki, tubuh badan, harta, jiwa adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada kita. Sepatutnya sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk menggunakannya ke jalan Allah.

Tapi, betapalah kedekut dan bakhilnya kita sehinggakan Allah harus membuat tawaran sebesar-besar ganjaran iaitu syurga supaya kita menginfakkan sebahagian daripada kehidupan kita untuk-Nya.

Yet, kita masih lagi tidak mahu mengorbankan sebahagian dari diri kita, yang sebenarnya keseluruhan dari kita adalah milik-Nya. Betapalah kedekutnya kita!

Saya teringat lagi, sebuah soalan yang ditanyakan ustaz kepada kami dalam sesi tersebut.

“Apakah redha Allah itu tidak cukup besar untuk kita mengorbankan sedikit daripada kehidupan kita untuk mendapatkannya?”

Saya soalkan kembali soalan ini kepada kohai (junior). Namun seperti yang dijangka tiada jawapan. Maka saya teringat kepada tag line drama Nur Kasih “Apa lagi yang sanggup dikorbankan demi cinta?” lalu saya menukar soalan;

“Untuk membuktikan keredhaan Allah itu besar nilainya kepada kita, apakah yang sanggup kita korbankan demi mendapatkan keredhaan Allah?”

  • Ada yang sanggup berkorban masa untuk mengingati Allah.
  • Ada yang sanggup berkorban jiwa.
  • Ada yang sanggup berkorban masa tidur, untuk solat subuh di awal waktu.
  • Ada yang sanggup berkorban sifat ‘suka mengumpat orang di dalam hati’
  • Ada yang sanggup berkorban cintanya kepada wanita.

Dan banyak lagi.

Saya ingatkan kepada adik-adik ini, dan suka untuk saya ingatkan kepada rakan-rakan pembaca, Islam ini sebuah cara hidup. Maka apabila menafsirkan amal di sisi Islam perlulah kita melihat pada sudut praktikaliti dan bukan teori semata-mata yang cantik pada bahasa.

Contohnya jika kita katakan sanggup berkorban jiwa. Saya tanyakan semula apakah maksud berkorban jiwa? Apakah tidak sama dengan berkorban nyawa? Dia tidak dapat menjawab.

Maka bagaimana mungkin kita ingin menunaikan sesuatu yang kita sendiri pun tidak pasti apa bendanya?

Saya lebih suka mendengar jawapan;

“Saya sanggup berkorban untuk tersenyum pada 5 orang sehari kerana Allah. Kerana sebelum ini saya tidak suka tersenyum pada orang lain.”

Daripada jawapan “saya sanggup berkorban jiwa raga” yang akhirnya menjadi slogan semata-mata.

Carilah dalam diri anda, keburukan yang dapat anda ubah, dan ubahlah sedikit demi sedikit. Tidak usah terlalu jauh merenung bulan di awan, sehingga terlupa berpijak rumput di halaman. Jangan terlalu tinggi menanam cita, tanpa langkah pertama memanjat tangga!

Wallahualam, mungkin saya tersalah pertimbangan.

Tetapi, mari kita muhasabah diri kita masing-masing dengan soalan;

“Apakah yang sanggup kita korbankan demi mendapatkan keredhaan Allah?”

Ataukah keredhaan Allah itu belum cukup besar, hingga tidak berbaloi kita mengorbankan sedikit dari diri?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s