Kata Dikota…

“If we are resolved to describe Islam as a system of superior values, we are obliged, first of all, to acknowledge that we are not the true representatives of Islam.” – ‘Allama Sir Muhammad Iqbal (1877-1938)

“Jika kita bersedia untuk menjelaskan Islam sebagai sebuah sistem yang tidak terhingga nilainya, pertamanya haruslah kita sedar bahawa kita sebenarnya bukanlah wakil Islam yang sebenar.” – ‘Allama Sir Muhammad Iqbal (1877-1938)

Seperkara harus kita sedar, Islam itu bukan diturunkan untuk manusia kayangan, bahkan menjadi panduan cara hidup manusia yang serba kekurangan. Acapkali dalam menafsirkan sistem Islam, kita menjadi terlalu obses, dalam bermain dengan kata-kata indah, sehingga Islam itu begitu cantik sekali terukir dalam lembaran-lembaran kitab dan blog yang membanjiri dunia massa.

Bukan pula saya merasakan tidak perlu kita berkias dan bersastera indah dalam Islam, bahkan Islam itu sendiri memang indah. Namun, kecenderungan kita untuk bermain bahasa, dan berhenti setakat di situ sahaja, tanpa merenung kembali apa sebenarnya yang kita maksudkan, sangat tidak membantu kita menghidupkan Islam di dalam penghayatan.

Sebagai contoh, ada 3 orang pernah mengajar saya erti ikhlas.

  • Ibu saya akan marah jika saya diminta mengisar lada, dan lada yang saya kisar masih kasar dan tidak dikisar dengan sempurna. Ibu saya akan berkata “Inilah kerja orang tak ikhlas!”
  • Guru bahasa melayu saya, suatu hari pernah melenting pada seisi kelas, kerana kami membuat nota komponen sastera ala kadar sahaja. Maka seperti ibu saya beliau menafsirkan ikhlas itu sebagai “buat kerja bersungguh-sungguh”
  • Ustaz saya ketika kecil dahulu pernah mengajar saya bahawa, ‘ikhlas itu adalah umpama semut hitam, yang berjalan di atas batu hitam pada malam yang gelap’

Kemudian, apabila menjejak kaki di JAD pula, kisah yang diceritakan ustaz saya, diceritakan pada versi yang lebih panjang, ditambah di akhir ayat dengan ‘sambil memakai cermin mata hitam.’

Soalnya, saya faham dari segi teori, kita hendak mengaitkan betapa sukarnya mencari keikhlasan dalam setiap amal perbuatan kita. Namun secara praktikalnya, bagaimana kita hendak mempraktikkan ikhlas, dengan kayu ukur bahawa ikhlas itu umpama semut hitam, di atas batu hitam pada malam yang gelap?

Apakah kita mahu terapkan dalam hati umat ini, keikhlasan itu adalah suatu puncak makrifat yang terlalu tinggi sifatnya sehingga hampir mustahil dikecapi? Akhirnya, kita semua gagal mempraktikkan ikhlas dalam mendepani aktiviti seharian.

Pada saya, lebih mudah versi yang diajar ibu dan cikgu bahasa melayu saya, untuk dipraktikkan ikhlas dalam kehidupan. Cuma perlu ditambah, ‘buat kerja bersungguh-sungguh kerana Allah’ sebagai pelengkap iman.

Itu baru soal ikhlas, banyak lagi perkara-perkara dalam Islam ini, yang masih kabur. Umat teraba-raba dalam kesiangan, tidak tahu hendak hidup selaku muslim bagaimana?

Baru-baru ini, dalam satu diskusi, seorang pelajar menceritakan beliau sanggup mengorbankan jiwanya demi mendapat keredhaan Allah. Sekali imbas, memang sedap didengar, “sejuk perut mak kau mengandung” kata orang tua-tua.

Namun apabila saya tanyakan, apakah maksudnya berkorban jiwa? Apakah seperti berkorban nyawa? Apakah yang dia faham tentang jiwa?

Beliau hanya tersenyum.

Saya tidak salahkan beliau. Beliau hanya menjawab soalan mengikut kebiasaan yang diterapkan dalam pemikirannya. Mangsa keadaan!

Soalnya kita sudah terbiasa dalam hidup ini, suka sangat mentafsirkan Islam itu dengan perkara-perkara superior sehingga kita terlupa menterjemahkannya dalam bahasa yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan.

Saya mungkin orang biasa-biasa, tidak pandai ilmu agama, cuma satu perkara sahaja yang saya tahu, Islam itu agama untuk semua. Maka seharusnya, menafsirkan sistemnya, perlu pada bahasa yang boleh diaplikasikan oleh semua.

Kerana Islam itu bukan agama yang dihias indah dengan bahasa, dan disimpan dalam muzium buat tatapan. Tetapi sebuah panduan cara hidup yang dijadikan pedoman sepanjang jalan kehidupan.

Jangan terlalu leka merenung bulan di awan,

hingga terlupa berpijak rumput di halaman,

Jangan dibiarkan Islam terawang di awanan,

bumikan ia di dalam segenap perlakuan.

-Islam itu indah. Tambah indah bila ditafsirkan dengan bunga-bunga bahasa. Namun akan menjadi lebih indah lagi jika dapat dipraktikkan segenap anggota…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s