Erti Kematangan…

A ONE-YEAR-OLD CHILD’S VIEW OF LIFE

· If I want it, it’s mine

· If I give it to you and change my mind later, it’s mine

· If I had it a little while ago, it’s mine

· If it’s mine, it will never belong to anyone else, no matter what

· If we are building something together, all the pieces are mine

· If it looks like mine, it’s mine

Terjemahan :

PANDANGAN HIDUP SEORANG BUDAK BERUMUR 1 TAHUN

· Jika saya nak sesuatu, maka ia milik saya

· Jika saya beri sesuatu pada kamu dan berubah fikiran kemudian, maka ia tetap milik saya

· Jika saya memiliki sesuatu seketika dahulu, maka ia milik saya

· Jika sesuatu itu milik saya, ia tak akan jadi milik orang lain, walau apa pun terjadi

· Jika kita membina sesuatu bersama-sama, setiap kepingan itu adalah milik saya

· Jika ia kelihatan seperti kepunyaan saya, maka ia milik saya

Kematangan

Ramai orang bertanya, apakah yang diertikan dengan kematangan? Ramai pula tampil dengan versi definisi masing-masing tentang kematangan. Dewasa ini dengan pelbagai polemik melanda dunia politik, sosial, dan ekonomi membawa manusia ke era krisis epistemologi yang kritikal. Semua menjadi keliru dengan pegangan dan falsafah masing-masing, dan tempiasnya turut terkena pada cabang akidah beragama. Dalam kecelaruan pemikiran dan pemahaman ini, semua pihak dituntut untuk bertindak dengan matang dalam mendepani cabaran semasa.

Isu Lina Joy.

Isu kalimah Allah.

Isu pilihanraya.

Isu bakar gereja.

Setiap antara kita digesa untuk bertindak matang; matang dalam berkata-kata, berfikir dan bertindak. Kerana setiap tindakan kita itu akan dipertanggungjawabkan kesannya kelak, di dunia atau akhirat.

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya

[17:36]

Soalnya apakah kayu ukur untuk menilai tindakan kita itu matang atau tidak?

Kuasa Membuat Keputusan

Acapkali ditekan dalam usrah, tazkirah dan ceramah, bahawa kita senantiasa diberi hak untuk membuat pilihan. Kali ini saya berminat berkongsi pandangan saya apakah yang dikatakan ‘matang’ dalam membuat keputusan berdasarkan perspektif Islamik (dan peribadi).

Sesuatu tindakan itu dikira matang apabila, keputusan itu dibuat dengan memikirkan kesan keputusan itu ke atas manusia dan persekitaran, dan tidak hanya manfaat kepada diri semata-mata. Jadi tindakan yang tidak memikirkan kesan ke atas orang lain adalah tidak matang.

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri

[4:36]

Robert Havighurst

Robert Havighurst menekankan bahawa dalam setiap peringkat perkembangan manusia ada tugas yang perlu dicapainya. Keupayaannya melaksanakan tugas tersebut dengan jayanya akan membawa kebahagiaan kepada dirinya. Sebaliknya kegagalan melaksanakan tugas tersebut akan membawa masalah dalam proses perkembangan dirinya yang seterusnya. Pemahaman tentang tugasan ini pula dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Contohnya :

Sistem pendidikan di Malaysia membahagikan peperiksaan kepada beberapa peringkat, UPSR, PMR, SPM dan lain-lain. Budaya di Malaysia pula mendoktrinkan satu idea bahawa kecemerlangan dalam pelajaran diukur melalui keputusan peperiksaan tersebut. Maka pelajar di Malaysia, pada setiap perkembangan usianya, ada tugas yang perlu digalas. Apabila dia mencecah 12 tahun, tugasnya ialah cemerlang dalam UPSR, kemudian 15 tahun perlu cemerlang dalam PMR dan begitulah seterusnya. Kecemerlangan beliau dalam peperiksaan akan membawa kebahagiaan pada dirinya. Manakala kegagalannya akan membawa masalah, iaitu malu, krisis identiti dan sebagainya.

Maka dapat disimpulkan, semakin tinggi tahap perkembangan (kematangan) manusia, semakin tinggi beban tugas yang perlu dipikulnya.

Jika kita memandang isu ini dari perspektif Islam, setiap individu diutuskan ke dunia dengan tugas yang hakiki, iaitu menjadi hamba dan khalifah di muka bumi. Namun, tugas ini tidak disandarkan kepada kanak-kanak (golongan tidak matang). Selain itu, oleh kerana tugas ini bersifat subjektif, maka pelbagai tafsiran timbul untuk mentakrifkan tugas hamba dan khalifah ini.

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) main-main (tanpa ada maksud) dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

[23:115]

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

[51:56]

Pecahan-pecahan tafsiran ini, membawa kepada wujudnya pelbagai matlamat dan wasilah (jalan) yang kita pilih untuk melunaskan tanggungjawab kita sebagai hamba dan khalifah ini.

Sungguh usahamu memang beranika macam

[92:4]

Menjaga alam sekitar.

Berkhidmat kepada masyarakat.

Memimpin Negara.

Menjaga solat dan puasa.

Berdakwah.

Jadi bagaimanakah menentukan tahap kematangan kita? Nilailah apakah matlamat atau apakah pemahaman anda tentang tugas anda di dunia ini? Jika besar matlamat dan tugas, maka tinggi jualah kematangan anda.

Kesimpulan :

Berdasarkan definisi saya dan Robert Havighurst saya berpendapat, kematangan itu adalah sejauh mana tahap kita menetapkan matlamat dan tugas kita dalam kehidupan ini. Dan pertimbangan kita untuk menetapkan matlamat itu adalah dengan memikirkan kesan yang terbaik kepada manusia dan persekitaran sekeliling.

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

[67:2]

One thought on “Erti Kematangan…

  1. dengan rendah hati, saya mohon maaf jika tidak dapat menyampaikan maksud dengan berkesan disebabkan kekangan masa dan kelemahan sendiri…

    peringatan, ini merupakan pendapat peribadi, sy berbesar hati jika ada yang sudi menegur atau berkongsi pandangan pula…

Comments are closed.