Batalkan Perarakan Maulidul Rasul Jika….

Peringatan:Artikel ini tiada kaitan dengan Politik Malaysia.

Sambutan Maulud Nabi pada tahun ini lebih popular berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya kerana satu kenyataan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dengan sengajanya membatalkan perarakan Sambutan Maulidul Rasul pada tahun ini. Saya tidak ingin menyentuh hal politik Malaysia yang anda semua sudah sedia maklum tapi perlu diingatkan buat semua bahawa sambutan Maulidul Rasul itu sendiri dicipta bukan untuk perarakan memakai baju yang seragam,memegang kain rentang dan berselawat ke atas nabi sepanjang perjalanan,tidak.

Sebelum kita berbicara tentang perarakan Maulidul Rasul,wajar atau tidak,ada baiknya kita rujuk kembali sejarah Maulidul Rasul itu sendiri. Bak kata pepatah,tak kenal maka tak cinta,tak belajar maka tak tahu.Nabi Muhammad S.A.W. sendiri tidak pernah menyambut hari kelahiran baginda,begitu juga dengan 4 Khalifah Ar-Rashidin,Abu Bakar As-Siddiq,Umar Al-Khattab,Uthman Al-Affan dan Ali Karamallah.Tindakan mereka diikuti oleh para sahabat yang lain dan para Tabi’in.

Sambutan Maulidul Rasul disambut oleh khalifah Fatimi dan keluarganya iaitu Daulah Fatimiyyun.Namun,tradisi ini dibatalkan oleh seorang khalifah yang juga daripada Daulah Fatimiyyun cuma apabila khalifah ini meninggal dunia,tradisi Maulidul Rasul disambut kembali sehinggalah pemerintahan Salahuddin Al-Ayyubi. Salahuddin Al-Ayyubi,seorang yang sangat arif tentang sunnah nabi, membatalkan perayaan Maulidul Rasul,begitu juga keturunannya yang menjadi khalifah selepasnya.Selepas pemerintahan Daulah Al-Ayyubi,perayaan Maulidul Rasul dirayakan kembali sehingga lah sekarang.

Setakat apa yang saya tahu,perayaan Maulidul Rasul ini dikira sebagai Bid’ah kerana Rasulullah sendiri tidak pernah lakukannya tapi bukan semua Bid’ah boleh kita tolak bulat-bulat. Ada jenis Bid’ah yang boleh kita ambil andaikata Bid’ah itu membawa kebaikan terhadap kita.Semua sedia maklum bahawa perayaan Maulidul Rasul dibuat adalah untuk mengingati perjuangan Rasulullah, adakah motif ini tercapai atau tidak,saya tidak pasti.

Di Malaysia,perayaan Maulidul Rasul disambut secara besar-besaran,dari peringkat kampung hinggalah ke peringat negara. Perarakan pakaian seragam,memegang sepanduk Maulidul Rasul dan berselawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad menjadi ‘trademark’ perayaan Maulidul Rasul di Malaysia. Tapi saya perhatikan,apa yang berlaku selepas perarakan ini,yang tadinya elok bertudung, bila habis sahaja perarakan,tudung dibuang dek panas,yang tadinya bersongkok,lena dibuai mimpi tatkala azan Zohor dilaungkan dek keletihan berarak. Adakah ini dikira mencapai maksud Maulidul Rasul?Wallahua’lam.

Memang benar bahawa ketika perarakan diadakan,selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad Bin Abdullah rancak berkumandang tapi apa ertinya jika mulut kita sahaja yang menyebutnya tapi kita lansung tidak mengingati baginda? Alhamdulillah, saya pernah mengikuti perarakan Maulidul Rasul peringkat sekolah dan saya ada ternampak beberapa orang yang berarak menangis kerana rindunya pada Baginda tapi berapa ramai yang seperti mereka? Menangis ketika berselawat ke atas baginda? Berapa ramai yang mampu menitiskan air mata ketika berarak?Berapa ramai ketika berarak terbayang bagaimana nabi berarak ke medan Badar? Berapa ramai yang berarak sepertimana kaum Muhajirin dan Ansar berarak menyambut kedatangan Nabi di Madinah?

Saya yakin kenapa Khalifah Ar-Rasyidin tidak raikan Maulud Nabi kerana mereka yakin dengan kasih dan sayangnya mereka kepada nabi,jadi kenapa perlu diadakan satu perayaan untuk mengingati Nabi? Kalau Bilal yang sudah lama berpisah dengan Nabi,balik ke Makkah dan tidak mampu untuk laungkan azan disebabkan ‘merasai’ Nabi masih hidup,kenapa masih perlu perayaan mengingati nabi? Begitu juga dengan Salahuddin Al-Ayyubi,kalau cinta tenteranya kepada Nabi begitu tinggi kenapa masih perlu dirayakan hari lahir Rasulullah? Bagi mereka,setiap hari adalah Maulud Nabi,setiap hari mereka mengingati Nabi dan menangisi pemergian Nabi tapi kita?Tepuk dada kuat-kuat,tanya iman cepat-cepat.

Maulud Nabi dicipta bukan untuk perarakan,tapi untuk kita,umat Islam,yang sentiasa lupa akan nabi ini mengingati dan menghayati perjuangan baginda,supaya hadis-hadis baginda dipenuhi dalam kepala kita,supaya sunnah baginda menjadi ikutan kita. Apa guna Maulud Nabi jika kita sibuk berarak tapi ketika berarak itu kita lansung tidak mengingati Nabi,apa yang terbayang di kepala kita ketika itu ialah makanan lazat atau duit upah yang akan diberikan kepada kita selepas perarakan?

Cukup tentang perarakan Maulidul Rasul,anda tentukan samada berarak atau tidak. Saya menyokong anda berarak jika dengan perarakan sebegitu anda lebih mengingati Rasulullah tapi baik batalkan jika perarakan sebegitu tidak memberi apa-apa makna buat diri anda.Maka saya menyeru kepada diri saya sendiri dan anda untuk kembali kepada motif asal Maulidul Rasul. Cuba kita duduk bertafakkur sekejap,betapa peritnya Nabi mengajak manusia kepada Allah.Seperti yang ditulis oleh Euforia dalam artikelnya Jika Anda Seorang Nabi, cuba anda bayangkan anda seorang penjual skim cepat kaya. Anda berjumpa orang, anda promot , “abang mesti join skim ni,skim ni je yang mampu buat abang kaya. Syaratnya tak susah,abang kena bagi semua harta abang untuk skim ni then satu hari nanti abang akan dapat kekayaan yang melampau.” Bayangkan pula kalau anda Abang tersebut,apakah anda percaya pada dia?Walaupun dia terkenal dengan sikap jujurnya tapi dengan memberi semua harta yang kita ada,anda sanggup?Siapa tidak tahu resam manusia yang boleh menipu kan,jadi anda sanggup berikan semua harta anda kepadanya demi kekayaan yang anda belum pasti?

Anda seorang pelajar Tingkatan 5 dan dikehendaki menubuhkan satu kelab baru. Anda pergi berjumpa budak-budak sekolah yang lain yang sudah menyertai kelab lain,baik ahli biasa mahupun pengerusi,anda pelawa mereka sertai kelab anda. Anda yakinkan mereka bahawa dengan menyertai kelab anda,mereka akan dapat satu kelebihan yang melebihi kelab-kelab lain cuma kelebihan itu tidak boleh dilihat sekarang,mereka akan dapat bila sekolah tamat.Apakah senang untuk mereka percaya bahawa kelab anda kelab yang akan memberi kelebihan kepada mereka,lebih-lebih mereka yang sudah berkepentingan dalam kelab masing-masing.Susah tapi Muhammad Bin Abdullah telah lakukan dengan jayanya.

Dia insan yang telah mengubah Arab Jahiliah yang dulunya dikeji oleh kaum lain kepada kaum yang disegani. Dia yang telah menyatukan 2 hati yang saling berbalah menjadi satu kaum yang sayang-menyanyangi.Dia yang telah membawa cahaya kepada tanah arab sehingga tanah Arab diterangi dengan cahaya-cahaya ketika dunia barat dalam kegelapan. Dia seorang Rasul dan dia adalah Muhammad Bin Abdullah.

Sempena Maulidul Rasul ini,biar tiada perarakan sekalipun,marilah sama-sama kita mengingati baginda dan sama-sama beramal dengan sunnah baginda,kalau tidak boleh dengan sunnah yang besar,cukuplah sekadar dengan sunnah yang kecil iaitu senyum kepada orang lain. Moga-moga,roh kita akan ditempatkan bersama baginda suatu hari nanti.

http://www.youtube.com/v/bYmmXkvVpBk&hl=en_GB&fs=1&color1=0x2b405b&color2=0x6b8ab6

http://www.youtube.com/v/enDBWZgXppA&hl=en_GB&fs=1&color1=0x2b405b&color2=0x6b8ab6

2 thoughts on “Batalkan Perarakan Maulidul Rasul Jika….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s