Salam Maulidurrasul : Travelog Sekumpulan Sahabat, Buat Selautan Saudara…

Suasana ketika itu cukup genting.

Sedetik sahaja membezakan antara hidup dan mati.

Tentera diasak dari kiri dan kanan. Kemudian terdengar pula jeritan,

“Rasullullah telah terbunuh!”

Tentera makin kucar-kacir. Apa lagi yang hendak dipertahankan, ketika pemimpin tercinta telah pergi selama-lamanya. Tentera menghadapi dua peperangan yang besar. Di depan mata, mereka diasak dengan peperangan fizikal yang dahsyat yang boleh merampas nyawa. Di hati mereka diasak dengan perang emosi kesedihan yang boleh merampas iman. Di saat itu, bangkit suara-suara;

Anas bin al-Nadhr : Apa yang kamu tunggukan ini?

Tentera                       : “Rasulullah sudah terbunuh”. Jawab beliau:

Anas bin al-Nadhr : Kalau demikian, tak ada erti hidup selepas Baginda. Kalau demikian matilah kamu seperti mana Rasulullah mati.Ya Allah,Ya Tuhanku sesungguhnya daku memohon maaf akan tindakan golongan ini, yakni kaum muslimin. Dan daku menjauhkan diri dari angkara apa yang dilakukan oleh golongan musyrikin.

Dengan itu beliau terus mara dengan perjuangannya. Di dalam medan pertempuran, itu beliau bertemu dengan Saad bin Muaz.

Muaz: Ke mana wahai Abu Umar?

Anas: Aduh! selesanya daku menghidu udara Syurga wahai Saad, kini daku menciuminya di perkarangan Uhud ini.

Beliau terus bertempur hingga jatuh sebagai Syahid. Tidak dikenali beliau di akhir peperangan, kecuali saudara perempuannya yang cam dengan jari-jari tangannya, kerana terdapat lebih lapan puluh tetakan di jasadnya, bekas tikaman tombak, tetakan pedang dan asakan anak panah.

Thabit bin Dahdah : Wahai kalian Ansar, kiranya Muhammad sudah terbunuh dan mati, maka sesungguhnya Allah tetap hidup tidak mati. Ayuh! berperanglah kamu kerana agama kamu, sesungguhnya Allah membantu dan memenangkan kamu.

Dengan itu, maka berkumpullah sebahagian dari orang-orang Ansar dan terus mereka menerkam ke kelompok tentera berkuda Khalid, bergelut habis-habisan hinggalah Khalid menikamnya dengan tombak dan membunuh sahabat-sahabatnya yang lain.

Muhajirin : Saudara! Kau sedar tak di mana Muhammad yang sudah pun terbunuh?

Ansar: Sekiranya Muhammad telahpun terbunuh maka Baginda sudah pun mencapai tujuannya, sedang kamu pula hendaklah berperang mempertahankan agama kamu ini.

Dengan semangat juang dan keberanian seperti ini, maka tekad perjuangan kembali memarak semula di kalangan seluruh tentera Islam.

.

Suasana Lebih Genting!

Rupa-rupanya di suatu sudut yang lain, suasana lebih genting. Rasullullah belum wafat, tetapi sedang diancam bahaya kematian.

Rasulullah menyeru kaum muslimin: Ayuh di sampingku! Aku Rasulullah!

Namun seruan itu telah didengar terlebih dahulu oleh kaum musyrikin. Apa lagi, mereka pun terus menerkam ke arah Rasulullah beramai-ramai. Sebelum sempat tentera Islam berkumpul semula, maka berlakulah pertarungan hebat di antara mereka dan tentera Islam yang sembilan orang itu (di samping Rasullullah ketika itu hanya sembilan orang).

Imam Muslim meriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersendirian di dalam peristiwa Uhud bersama dengan tujuh orang Ansar dan dua orang Muhajirin Quraisy, setelah mereka hampir mengancam Rasulullah, Baginda pun merangsangkan mereka dengan sabdanya:

“Siapa yang dapat mengundurkan mereka Itu dari kita, maka balasannya Syurga. Atau ianya temanku di Syurga”.

Maka tampillah seorang pemuda Ansar,terus bertarung hingga beliau jatuh syahid. Musyrikin sekali lagi mengancam Baginda. Baginda menyeru sekali lagi. Beginilah berulang kali hingga ke tujuh mereka jatuh sebagai syahid semua. Orang terakhir dari kumpulan tujuh orang itu ialah Ammarah bin Yazid bin al-Sakan, beliau berjuang hingga luka parah menyebabkan beliau jatuh dan tidak berdaya lagi untuk berperang.

.

Talhah bin Ubaidillah dan Saad bin Abi Waqqas

Maka tinggallah hanya Talhah bin Ubaidillah dan Saad bin Abi Waqqas, itulah saat yang tercemas di dalam hidup Baginda, dan peluang keemasan bagi pihak musyrikin. Peluang ini tidak dibiar berlalu sia-sia, mereka sebulat untuk melenyapkan Rasulullah.

Utbah bin Abi Waqqas telah melontar Rasulullah dengan seketul batu hingga terjatuh ke atas diri Baginda dan terluka di kepalanya, menyebabkan terpatah pula gigi depan sebelah kanan dan bibir bawah Baginda terluka.

Abdullah bin Syihab meluru ke hadapan Rasulullah dan memukul menyebab dahi Baginda terluka, datang lagi penunggang ganas Abdullah bin Qamiah menetak Rasulullah ditengkoknya dengan pedang namun beliau tidak dapat melukakan kerana terdapat dua lapisan baju besi yang dipakai Baginda.

Walau bagai manapun oleh kerana hentakan pukulan itu terlalu kencang menyebabkan Rasulullah mengadu .kesakitan beberapa bulan’ selepas kejadian itu, sekali lagi Ibnu Qamiah memukul dahi Rasulullah sekencang yang pertama menyebabkan dua gelang baju besinya menikam masuk ke dahinya bersama jeritan bengisnya: Nah! terima ini, dan kenalilah aku ini Ibni Qamiah. Jawab Rasul sambil menyapu darah dari mukanya:

“Aqma’aka Allah” bertepatan dengan nama Ibni Qamiah yang membawa erti: “Allah mengkerdilkan/menghinakan kamu”

Di dalam hadith sahih meriwayatkan bahawa gigi depan Rasulullah terpatah, kepalanya terluka hingga darah pun mengalir.

Namun usaha kafir Quraisy untuk membunuh Rasullullah terhalang dek serangan Saad bin Abi Waqqas dan Talhah.

Saad bin Abi Waqqas meluncurkan panah-panahnya, Rasulullah bertindak menghulurkan anak-anak panahnya kepada Saad sambil bersabda: “Panahkan mereka, bapaku dan ibuku jadi pembelamu”. Ini menunjukkan kehandalan beliau memanah. Tidak pernah Rasulullab mengesa seseorang sebelum ini dengan melafazkan perkataan dua ibu bapanya selain dari Saad ini.

Talhah pun terus bertarung melawan sekumpulan seramai sembilan orang musyrik, hingga terkena tetakan sebanyak tiga puluh sembilan atau tiga puluh lima lubang dan menyebabkan tercantas jarinya, maka kata Talhah; “Itu adalah baik”. Jawab Rasulullah: “Sekiranya kau kata: Bismillah” nescaya para malaikat mengangkat kamu dan sekalian manusia akan memerhati kamu”.

.

Sahabat Mula Berkumpul

Kesemuanya berlaku dalam masa yang terlalu singkat, para sahabat yang berada di saf hadapan mendengar laungan Rasulullah (s.a.w),  lalu terus mereka meluru ke sisi Rasulullah. Namun agak terlewat mereka sampai ke sisi Rasulullah, kerana Baginda sudah pun luka-luka, enam orang Ansar sudah terkorban dan yang ketujuh sudah terlalu parah lukanya hingga sukar untuk bangun. Ketika Saad dan Talhah berjuang habis-habisan, para sahabat yang baru tiba dari saf depan terus memagari Rasulullah dengan jasad-jasad dan senjata-senjata mereka, mereka bersungguh-sungguh mempertahankan diri Rasulullah dari ancaman musuh dan menangkis setiap serangan.

.

Abu Bakar:

Beliau orang pertama sampai ke hadapan Rasulullah, dan mendapati Talhah sedang bergelut mempertahankan Rasulullah. Bila beliau terkena anak panah dan sudah terlalu parah, kami pun meletakkannya ke sisi Rasulullah di mana Talhah jatuh rebah.

.

Abu Ubaidah:

Ketika itu, Rasulullah telah pun dipanah di dahinya hingga terbenam dua utas rantaian baju besinya ke dalam dahi Baginda, dan Abu Bakar cuba menarik keluar rantaian itu. Abu Ubaidah berkata:

“Aku pintalah wahai Abu Bakr, hal ini tinggalkan untuk ku seorang menguruskannya”.

Abu Ubaidah cuba mencungkilnya sedikit demi sedikit untuk tidak menyakiti Rasulullah, Akhir sekali beliau menggigit hujung besi yang tertikam itu, hingga terserpih gigi Abu Ubaidah.

.

Abu Talhah:

“Bapaku dan ibuku korban untuk Rasulullah, janganlah tuan hamba memerhati sedemikian nanti Rasulullah akan terkena panah Quraisy, nah biarlah leherku ini menjadi benteng kepada leher tuan hamba”.

.

Abu Dujanah :

Beliau bertindak membentengi Rasulullah dengan belakangnya, gedang anak-anak panah musyrikin berpusu-pusu menikam belakangnya tanpa beliau menghiraukannya.

.

Hatib bin Abi Baltaah :

Beliau telah terpatah gigi depan memburu Utbah bin Abi Waqqas, sempat beliau memancung Utbah hingga tercerai kepala dari badannya terus beliau menawan dan merampas kuda dan pedangnya. Sebenarnya Saad bin Abi Waqqas begitu perihatin untuk membunuh saudaranya Utbah, tetapi tidak diizinkan Allah namun Hatib telah melaksanakan hasratnya itu.

.

Sahl bin Hanif:

Salah seorang pemanah handalan, telah berbaiah dengan Rasulullah untuk berjuang hingga syahid, beliau telah memainkan peranan yang amat cemerlang dalam mengundurkan tentera musyrikin.

.

Qutadah bin al-Nukman:

Rasulullah memanah dengan busurnya hingga terpatah hujungnya, Qutabah pun mengambil yang itu, di dalam kegawatan itu Qutabah terkena panah di matanya, hingga terpelanting keluar biji matanya, Rasulullah mengambilnya memasukkan semula, hinggalah matanya menjadi lebih baik dari yang sebelah lagi.

.

Abdul al-Rahman bin Auf:

Beliau terkena pukulan seteru di mulutnya menyebabkan gigi hadapan tercabut. Di seluruh tubuhnya ke hadapan lebih dari dua puluh tetakan di antaranya terkena pada kakinya menyebabkan beliau hilang sebelah kaki.

.

Malik bin Sinan:

Beliau menyedut buang darah beku dari dahi Rasulullah yang terkena pukulan Ibni Qami’ah, hingga dengan usahanya itu dapat dicucikan luka baginda itu, kata Rasulullah: “Luahkan darah itu”, jawab Malik: “Tidak”, sebaliknya beliau menelan darah luka Rasulullah yang mulia itu. Setelah itu, beliau beredar dari situ untuk meneruskan perjuangannya, Rasulullah bersabda: “Sesiapa ingin melihat seorang lelaki ahli syurga lihatlah Malik bin Sinan, akhirnya beliau gugur sebagai syahid.

.

Ummu ‘Ammarah:

Beliau berperang, dan sempat beliau menentang Ibnu Qami’ah bersama beberapa orang kaum muslimin, Ibnu Qami’ah telah menetak tengkok Ummu ‘Ammarah menyebabkan beliau luka parah namun sempat juga beliau memukul Ibnu Qami’ah tetapi oleh kerana beliau memakai baju besi jadi tetakannya tidak berkesan dan beliau terlepas lari, namun demikian Ummu ‘Ammarah terus berjuang, di hari itu beliau mengalami luka lebih dari dua belas tetakan.

.

Mus’ab bin Umair:

Panji Islam di tangan Mus’ab, beliau telah dicantas sebelah tangan kanannya, lantas tangan kirinya mengambil panji berkenaan, penuh ketabahan hati beliau menghadapi serangan musyrikin hingga terputus tangan kirinya, sekali lagi beliau mempertahankan bendera Islam itu dari terjatuh dengan mengepitkannya ke dada dengan lehernya, akhir sekali beliau dibunuh oleh kaum musyrikin, pembunuhnya ialah Ibnu Qami’ah yang menyangkanya Rasulullah, kerana beliau hampir menyerupai Baginda.

.

Wahai para pembaca,

Sekalian kisah ini, berlaku serentak, dalam suasana penuh genting di medan Uhud. Perhatikan betapa kasih dan cintanya para sahabat kepada baginda sehingga sanggup berkorban segalanya. Namun tahukah anda, di sebalik segala pengorbanan sahabat itu, Rasullullah tetap mengiktiraf anda, saya dan kita semua (umat selepas Rasullullah sebagai saudara.

”Rasulullah s.a.w. datang ke kawasan perkuburan lalu memberi salam : Salam sejahtera kepada kamu negeri kaum mukminin dan kami insyaAllah akan mengikuti kami, lalu nabi berkata,

“aku ingin sekali melihat saudara-saudara ku”

Sahabat bertanya : ”Tidakkah kamu saudara-saudaramu wahai Rasulullah.

Nabi menjawab ”Kamu adalah sahabatku, saudara-saudaraku ialah mereka yang masih belum datang lagi…. (petikan hadir riwayat Muslim no. 367)

.

Jika ini pengorbanan yang melayakkan Umat Islam terdahulu digelar sahabat, apakah pula yang sanggup kita korbankan untuk layak digelar saudara Rasullullah?

Salam Muhasabah.

Salam Maulidur Rasul.

Advertisements

2 thoughts on “Salam Maulidurrasul : Travelog Sekumpulan Sahabat, Buat Selautan Saudara…

  1. sangat tersentuh dengan artikel ini, bayangkan kalau baginda sedang melihat kita waktu ini,apa yang kita tengah buat,apa yang berlaku terhadap saudara baginda di Malaysia ini, mesti baginda sedih… ya Allah,ampunkan diri yang kerdil ini

  2. tekadnya para sahabat inginkan syahid…kita?
    tekadnya para sahabat melindungi kekasih ALLAH…kita?
    tekadnya para sahabat inginkan cinta dan redha ALLAH…kita???

    Golongkan kami di kalangan mereka ini, Ya Rahim…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s