Ini Kisah Jepun

11 Mac telah menjadi tanggal yang penuh bermakna buat 79 pelajar JAD batch 3 apabila mereka secara rasminya diumumkan sebagai Graduan Diploma Kejuruteraan,tahniah buat mereka. Namun perjuangan mereka tidak terhenti di situ,21 Mac ini,mereka akan menyambung pengajian mereka di 15 Institusi Pengajian Tinggi di Jepun. Rata-rata pelajar yang ditanya adakah sudah bersedia untuk hidup di negara matahari terbit menjawab belum bukan disebabkan masalah bahasa tapi masalah dalaman. Biar,kita ketepikan masalah mereka sekejap dan jom kita imbas kembali sejarah Matahari Terbit ini dan adakah negara ini mempunyai kaitan dengan Islam atau tidak.

Kisah 1

Kebanyakan penceramah atau senior selalu berkata, “orang Jepun punya perangai macam orang Islam cuma mereka belum Islam.” Ada juga yang meminjam kata-kata Syeikh Tahir Jalaludin. “Aku ke Eropah,aku lihat Islam tanpa Iman,bila aku pulang ke Mesir,aku lihat Iman tanpa Islam.” Maknanya,di Eropah,rakyatnya mementingkan masa,menjaga kebersihan dan berkerja keras sepertimana apa yang disuruh oleh Islam tapi mereka tidak beriman tapi di Mesir,walaupun mereka beriman,mereka tidak mengamalkan budaya-budaya hidup seorang Muslim. Begitulah di Jepun,mereka menepati masa,berkerja keras,belajar bersungguh-sungguh,menepati janji dan sebagainya tapi mereka tidak beragama.

Tahukah anda suatu ketika dahulu Maharaja Meiji pernah menghantar utusan kepada Khalifah di zaman Turki Uthmaniyah?

Artikel di bawah diambil dari artikel Saiful Islam:

Lebih 100 tahun yang lalu, tatkala Jepun diperintah di bawah kepimpinan Maharaja Mutsuhito Meiji (1867 – 1912), beliau pernah menghantar surat kepada ‘khalifah terakhir umat Islam’, Sultan Othmaniyyah iaitu Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1909) di Istanbul. Surat itu merupakan perutusan dari seorang Maharaja ‘Timur’ kepada seorang Maharaja ‘Timur’ yang lain, menyatakan keinginan Maharaja Mutsuhito untuk mengangkat persamaan ketimuran itu ke tahap yang lebih tinggi.


Maharaja Meiji

“Kita berdua adalah Maharaja Timur, dan sudah tentu menjadi tuntutan keperluan sesama kita dan rakyat kita, untuk bersahabat dan saling berhubung, sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat Barat sesama mereka, tatkala Barat itu juga melihat kita sebagai ’satu’ iaitu ‘orang Timur’. Beta melihat orang Barat menghantar misionari mereka ke negara ini untuk menyebarkan agama mereka kerana kebebasan beragama yang ada di sini…

Beta melihat tuan tidak melakukan perkara yang sama. Beta mahu tuan menghantar pendakwah-pendakwah ke negeri ini untuk mengajar dan menyebarkan agama tuan, yang boleh menjadi asas ikatan moral antara kita!”, titah Maharaja Mutsuhito Meiji di dalam perutusannya kepada Sultan Abdul Hamid II di ibu kota Ummah, Istanbul.

Tatkala tamadun Islam di ambang keruntuhan dek serangan luar dan dalam, ketika itulah suatu negeri baru ditawarkan sebagai tapak menyuburkan Islam… bumi Jepun.


Sultan Abdul Hamid II

Surat Maharaja Meiji itu sangat menarik perhatian Sultan Abdul Hamid II. Di Istana Yildiz, sebuah komiti telah ditubuhkan untuk mengkaji akan hal ini. Komiti itu dibentuk bersama Sheikh al-Islam dan Menteri Pendidikan, kedua-duanya sangat mengambil berat akan pelawaan luar biasa ini. Ketika itu, kedua orang penting Istana ini telah berpakat bersama Sayyid Jamal al-Din al-Afghani, reformis Muslim terkemuka di zaman itu yang bermastautin di Istanbul, untuk menyediakan perancangan berkaitan hal ini. Mereka pergi mengadap Sultan dan diskusi bermula.

“Kami mencadangkan agar sebuah rombongan deligasi dibentuk dari kalangan ilmuan Madrasah Istanbul untuk dihantar ke Jepun”, kata Sheikh al-Islam dan Menteri Pendidikan.

Sayyid Jamal al-Din al-Afghani hanya mendiamkan diri.

Sultan Abdul Hamid II merenung ke arahnya dan meminta pandangan al-Afghani.


Sayyid Jamal al-Din al-Afghani

“Tuanku, ilmuan-ilmuan yang dicadangkan itu telah menjauhkan Muslim dari Islam, bagaimanakah mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk mengajak masyarakat Jepun kepada agama kita? Saya berpendapat, adalah penting untuk kita mengkaderkan golongan bijak pandai, memberikan mereka pendidikan khas untuk melayakkan diri mereka memikul tugas ini mengikut keadaan semasa”, tegas Sayyid Jamal al-Din al-Afghani.

Sultan terdiam.

“Buat masa ini, cukuplah dihantar surat perutusan bersama hadiah-hadiah yang sesuai untuk memaklumkan kepada Maharaja Meiji bahawa jemputannya sudah diterima dan diberikan perhatian yang serius. Nyatakan yang tuanku akan menunaikan jemputan itu dengan sebaik mungkin”, simpul Sayyid Jamal al-Din al-Afghani kepada Sultan Abdul Hamid II.

Cadangan itu diterima.

Perutusan dihantar, namun agenda pendidikan khas untuk pendakwah Islam ke Jepun itu tidak terlaksana. Jemputan itu ditelan masa dan hilang dari ingatan…

Sultan Abdul Hamid II menggerakkan Agenda Pan Islamisma beliau dengan begitu agresif. Sayyid Jamal al-Din al-Afghani yang sering berkonflik bersama beliau, adalah ideologue yang tidak boleh dikesampingkan. Pan Islamisma adalah ibarat Islam sebagai ideologi politik, bertujuan membina ikatan emosi dan rasa antara umat Islam seantero dunia, agar bersatu padu mendepani imperialisma Barat yang semakin dominan.

Perutusan Pan Islamisma dihantar ke seluruh dunia.

Dan saya merenung ke luar, melihat pekat malam yang menyelubungi Laut Cina Selatan, menjejaki perjalanan kapal Ertugrul yang belajar atas titah Sultan Abdul Hamid II menuju Jepun.

607 anak kapal bersama 57 pegawai telah memulakan pelayaran jauh menuju Jepun pada 14 Julai 1889, bersama Kapten Ali Bey sebagai ketuanya. Perjalanan membelah lautan itu sungguh dramatik. Persinggahannya ke India, dan Semenanjung Tanah Melayu sarat dengan pelbagai catatan yang berharga. Masakan tidak, kapal utusan khalifah bangsa Islam itu belayar dengan misi besar, mengajak kaum Muslimin bersatu dari Istanbul ke hujung terbitnya mentari harapan.

Selepas 11 bulan belayar, Ertugrul tiba di Yokohama pada 7 Jun 1890.


Krew kapal Ertugrul disambut meriah

Rombongan yang dipimpin oleh Kapten Ali Bey itu disambut meriah oleh Maharaja Meiji dan penduduk Jepun. Mereka saling bertukar hadiah dan meriam ditembak ke udara sebagai mengalu-alukan ketibaan rombongan yang dinanti-nanti ini. Masyarakat Jepun keluar beramai-ramai berpesta dan berebut-rebut melihat bendera dan kapal Othmaniyyah.

Selama beberapa hari, pelbagai majlis diadakan. Ketibaan kaum Muslimin Othmaniyyah itu amat dialu-alukan.


Kapal Ertugrul sebelum pelayaran akhirnya pada tahun 1890

“Tangguhkan sebentar. Ini musim taufan!”, pesan watan kepada tetamu.

Namun Ertugrul tidak bertangguh. 15 September 1890, Ertugrul berlayar meninggalkan Yokohama.

Hari pertama cerah menyinar. Kapal itu ceria dengan 1001 berita yang ingin disampaikan kepada Sultan di Istanbul. Namun segala-galanya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila taufan 16 September datang seperti yang dipesan. Ertugrul terperangkap di dalam bencana.

Sehingga lewat malam, kapal dan kira-kira 600 anak buahnya dalam keadaan genting. Pelbagai kerosakan berlaku dan tatkala pekat malam mengundang pagi, Ertugrul terhempas berkecai merempuh terumbu di Pulau Oshima, tidak jauh dari pantai Wakayama yang berbatu.

Dalam jerit pekik warga utusan khalifah, Ertugrul tenggelam ditelan ombak. Lebih 500 anak kapal terbunuh. Maharaja Meiji menyambut berita itu dengan kesedihan.


Tugu peringatan Tragedi Kapal Ertugrul di Pulau Oshima hari ini

Terasa basah air mata saya mengenangkan kemalangan itu. Ia bukan sekadar kemalangan yang menenggelamkan kapal utusan Khalifah, ia juga menenggelamkan harapan ramai umat Islam di Kepulauan Melayu yang turut sama mengirimkan mesej ke kapal Ertugrul agar Khalifah mengusahakan bantuan membebaskan tanah air kita dari penjajahan Britain dan Belanda.

Bukan itu sahaja, ia turut sama menjadi siri bencana yang akhirnya menyaksikan tenggelamnya legasi Ummah apabila Sultan Abdul Hamid II sendiri digulingkan oleh Parti Ittihad ve Terakki pada 1909 dan Khilafah Othmaniyyah dengan rasminya dikebumikan pada tahun 1924… tiada lagi Islam dan Ummah sebagai satu. Turki menjadi Turki, Jepun sebagai Jepun, Tanah Melayu bergelar Malaysia, dan semangat persaudaraan Islam hilang ditelan masa.

Satu kisah yang cukup menyedihkan,Islam telah dekat dengan mereka tapi Allah tidak izinkan.Sekali fikir,pasti kita rasakan ‘alahai ruginya,kalaulah Jepun Islam,pasti Islam dah maju sekarang’ tapi perlu diingatkan bahawa apa yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin Jepun tidak Islam di tangan alim-ulama’ Turki tapi di tangan kita. Ya,di tangan kita. Duta-duta kecil Malaysia yang ke Jepun. Mungkin dengan hadirnya kita di bumi Sakura, Jepun bakal berubah. Daripada mereka yang menjadikan agama sebagai satu kehendak,ada takpa tiada pun takpa,berubah menjadi manusia yang menjadikan agama sebagai keperluan.

Usah malu solat di bawah tangga,usah malu solat di tengah padang,usah malu solat di tepi jalan,berbanggalah dan yakinlah bahawa anda betul. Insya Allah,kalau betul niat kita,kalau betul cara kita,kita akan menjadi asbab(sebab) hidayah orang Jepun memeluk Islam.Usah malu memakai tudung,usah malu memakai kopiah,boleh jadi dengan memakai tudung,memakai kopiah,orang Jepun mula bertanya, “kenapa anda bertudung?” Maka gunalah kesempatan itu untuk terangkan apa itu Islam yang sebenar.

Kisah 2:

Kisah ini diceritakan kepada saya secara mulut ke mulut,betul atau tidak saya pun tidak dapat pastikan tapi saya percaya bahawa Naqib saya tidak akan menipu. Dia pernah hidup di Jepun dan pernah pergi ke pusat Islam Jepun. Suatu hari ketika dia dan kawan-kawannya ke sana,mereka ternampak seorang pakcik tua,lemah dan tidak bermaya. Entah macamana kerana saya lupa,dialog antara mereka bermula. Pakcik tua yang tadi lesu dan tidak bermaya,kini menjadi tersangat cergas.

“どこから来た?” (datang/asal dari mana?)

“マレーシアから来ました。”(datang dari Malaysia)

“あ、マレーシア。。クランタン!”(oh Malaysia..Kelantan!)

Selepas itu pakcik itu menceritakan kisah hidupnya.Rupa-rupa,pakcik yang tua ini merupakan Presiden pusat Islam Jepun. Dia dulu bekas tentera,semasa Jepun ingin menjajah Kelantan,kapal terbang yang dinaikinya terhempas di Kelantan. Dia tidak sedarkan diri dan bila dia bangun,dia lansung tidak berjumpa dengan kawan-kawan yang naik satu kapal terbang. Dia terbaring di atas sehelai alas, rupa-rupanya dia sedang dirawat oleh satu keluarga yang cukup peramah di Tumpat,Kelantan.Ketika ini,dia lansung tidak terfikir tentang agama dan bila Jepun menyerah kalah,dia pulang ke Jepun.

Sesampai sahaja dia di Jepun,dia mula berfikir tentang agama dan akhirnya,dia telah memeluk Islam. Dialah pengasas pusat Islam Jepun.Perhatikan,dengan hanya perlakuan baik sebuah keluarga itu,dia terfikir dan akhirnya telah memeluk Islam.Di mana kita berada, ingatlah bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita.

Maka atas sebab itulah,jangan takut berlaku baik. Amalkan Islam,banggalah dengan Islam kerana tiada agama yang lebih tinggi daripada agama Islam.

Advertisements

3 thoughts on “Ini Kisah Jepun

  1. sy suka artikel2 yg mcm ni..penuh ilmu…penuh dgn pengajaran…dan bkn itu shj..sy juga akn rasa lebih mudah utk mnceritakn or menyebarkan artikel2 yg mcm ni….kalau bleh….isilah pula artikel2 yg berkaitan dgn usul fiqh or hukum2….yg berjuang,,,,

  2. dan bagi saya …patut kalao kita tgk jepun dtg tanah melayu dulu… heran kenapa jepun rapat dgn org melayu.. saya agak org melayu dan tentu islam .. so jawabnya itu watashi punya kawan lah… cina plak mmng jepun nampak besar kecil besar kecil je lah sbb sekutu russia tu… mmng bila2 la bg lh blh hilang kapara “poton kapara”… tak sangka Ya Allah Allah Akhbar … Islam (turki uthmaniyah dihujung hayatnya bersahabat baik dgn empreor MMeiji”.. mmng sungguh bagai dikata, moral Org Jepun saya tgk sama mcm apa yg Baginda Nabi MUhammad SAW. buat… dari segala mcm perbuatan , sampaikan beperang pun tgk lah guna pedang dan naik kuda..Allah hai,sunnah nabi tu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s