Dari SACC ke Setiawangsa

Alhamdulillah telah selesai semuanya. Semester ini telah berakhir bersama seribu kenangan.  Bagi saya sendiri, pengakhiran semester ini membawa lebih erti berbanding yang lain. Kenapa? Nanti saya ceritakan. Sekarang saya mahu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua senpai yang telah berjaya memperoleh diploma mereka. Tahun ini,  saya berpeluang menyertai majlis graduasi yang gemilang ini. Mata saya ini memerhati setiap wajah senpai yang hadir sewaktu raptai majlis graduasi dari sudut pentas kecil untuk alat-alat gamelan di tepi pentas besar yang tersergam dalam dewan SACC yang luas itu. Saya tak dapat nak mentafsir secara tepat apa yang sedang bermain dalam fikiran mereka tatkala melangkah masuk dan duduk di dalam dewan itu, tapi saya percaya pasti ada perasaan lega dan puas dalam hati mereka kerana segala penat lelah mereka berjuang selama tiga tahun di JAD terbayar dengan penganugerahan segulung diploma sebentar lagi.

Setelah agak lama memerhati pergerakan senpai, saya kembali menyambung latihan gamelan bersama rakan-rakan lain. Walaupun kami hanya sekumpulan kecil yang duduk bersesak di atas pentas yang tidak seberapa, namun peranan kami membawa impak yang besar pada majlis tersebut. Alunan muzik  kamilah yang akan mengiringi kebanyakan aturcara majlis termasuklah saat senpai-senpai menerima diploma mereka.

Sedang kami asyik mengetuk alatan kami dalam melengkapkan irama sebuah lagu, guru kami, Encik Razak bersuara. Saya kira ia adalah nasihat dalam nada gurauan.

“Kalau awak semua tak main betul-betul  untuk senpai, nanti time awak, kouhai pulak yang tak main betul-betul.”

Saya yang mendengar agak tersentak di dalam hati. Betul apa yang cikgu cakapkan, apa yang kita buat akan diberi balasan yang setimpal. Allah maha adil. Jadi, saya tetap akan cuba yang terbaik walaupun kami bukanlah dari golongan yang professional.

Akhirnya saat yang ditunggu-tunggu tiba. Majlis graduasi dumulakan! Alunan muzik gamelan kami mengiringi tetamu dan para jemputan masuk ke dalam dewan.  Saya dapat lihat ketekunan rakan-rakan gamelan dalam memainkan alat muzik masing-masing mengikut not-not muzik yang terbentang di hadapan mereka. Saya juga turut bersemangat, tapi dalam semangat itu, ada juga masanya saya tersilap not dan berbunyi pada waktu yang tak sepatutnya. Maklumlah manusia tak lari dari melakukan kesilapan. J Tapi, saya sedikit terkilan kerana tak dapat menyaksikan saat semua senpai naik ke pentas menerima diploma mereka. Namun, dalam hati saya ada terselit rasa bangga kerana berpeluang mengenali dan belajar bersama insan-insan yang telah berjaya mengharungi cabaran untuk sampai ke tahap itu. Dan saya berharap juga dalam tempoh setahun lagi, nama saya akan turut dipanggil naik untuk menerima diploma itu. Tapi ada seorang lagi yang turut berkongsi rasa yang sama seperti saya. Bezanya, dia telah dengan lantang menyuarakan rasa bangganya terhadap senpai-senpai semua. Nak tahu siapa? Anda semua perlu menunggu lagi. J

Setelah majlis graduasi tamat, saya bergegas menaiki bas pak cik Tahir untuk pulang ke TBP.  Saya harus cepat kerana dari TBP saya akan ke rumah emak saudara yang terletak di Keramat AU. Dan, kenderaan yang akan menghantar saya juga tak dapat menunggu lama.  Mengikut perancangan, kenderaaan itu hanya dapat menghantar saya ke stesen LRT Setiawangsa sahaja bukanlah terus ke rumah makcik.

Perjalanan ke Setiawangsa dimulakan dalam jam 6.40 petang. Pasti anda semua dapat meneka, kenderaan yang saya naiki untuk ke Setiawangsa adalah sebuah bas Unisel yang dipandu oleh pakcik Tahir.  Dan pakcik Tahir jugalah yang berkongsi rasa bangga terhadap senpai-senpai atas kejayaan mereka.

“Pakcik mengantuk sebenarnya ni. Jadi, kamu kenalah sembang dengan pakcik ye.” Pakcik Tahir bersuara sebaik sahaja bas melintasi CSR sambil tangannya menukar gear.  Ayat inilah yang membawa kepada perbualan tanpa henti antara saya dan Pakcik Tahir sepanjang hampir sejam setengah perjalanan kami.

“Pakcik tengok tak senpai ambil sijil tadi?” saya mula bertanya.

“Tengok. Bangga pakcik tengok diorang ambil sijil. Yelah, anak bangsa sendiri. Memanglah sebelum ni pakcik penat hantar diorang sana-sini,terkejar-kejar nak sembahyang maghrib, tapi bile tengok diorang berjaya, pakcik rasa bangga. Entahlah tak tahu macam mana nak gambarkan. Tapi sejuklah hati pakcik ni. Lebih-lebih lagi yang hormat orang tua. YA Allah, tak tahu macam mana nak gambarkan. Nanti kalau kamu dah tua, kamu rasalah sendiri.”

“Pakcik pun banyak bantu juga. Kalau bukan pakcik yang tolong hantar kami ke Unisel. Tak dapat juga kami belajar.” Pakcik hanya tersenyum. Mungkin geli hati dengan jawapan yang saya berikan.  Memang jawapan itu kelihatan kelakar. Pakcik kan pemandu bas kami, jadi dah memang sepatutnya dia menghantar kami ke Unisel setiap pagi.

Tapi apa yang saya kagumi adalah ketekunan pakcik dalam memegang amanahnya sebagai pemandu bas yang membawa kami ke Unisel yang kadang-kadang membuatkan saya terfikir. Pakcik telah berusaha bersungguh-sungguh menjalankan tugasnya, saya bagaimana pula? Adakah saya telah memegang amanah sebagai pelajar dengan baik? Pertanyaan itu saya jawab dalam diam.

“Tapi kalau tengok cara korang belajar, memang patut pun korang dapat majlis dan kejayaan macam tadi tu. Susah. Korang belajar memang susah. Pakcik pernah tidur kat rumah senpai dulu, tengok diorang tidur pukul dua, tiga pagi.”

Pakcik menyambung. Aku hanya mengangguk, itulah hakikat kehidupan JAD.

“Sebab tulah pakcik bangga. Sebab ramai orang sebaya kamu ni, kat luar buat kerja tak berfaedah. Ada yang merempitlah, melepak. Macam-macam. Jadi, kamu jangan sia-siakan peluang ni. Belajarlah baik-baik. Tolonglah anak bangsa.”

Sekali lagi saya hanya membalas dengan anggukan. Dalam hati, terbit rasa syukur kerana telah ditakdirkan ALLAH memasuki JAD. Sekurang-kurangnya kehidupan saya terjaga. Pandangan saya alihkan ke luar memerhatikan kenderaan yang sudah mula sesak. Saya mendapat idea untuk bertanya soalan bagi meneruskan perbualan.

“Pakcik, kalau pakcik tersangkut dalam jammed, sempat ke nak solat maghrib?”

“Ala, apa susah. Kalau tak sempat, pakcik berhentilah kat tepi jalan, solat dalam bas.”

“Wudhu macam mana pakcik?”

“Tu. Ade berbotol-botol air kat tepi pintu tu. Kat atas tu pulak ade sejadah. Ni ade kompas untuk tahu arah kiblat. Dalam hati, saya rasa kagum melihat persediaan pakcik untuk memastikan solatnya terjaga.

“Kalau arah kiblat tu senget. Camne pakcik? Ruang bas ni kan kecik.”

“Solatlah duduk, mana yang mampu. Bukan susah, yang susahnye bile taknak je. Bile taknak sembahyang.” Aku akui kebenaran kata-kata pakcik. Perkara akan jadi susah bila kita taknak, bermacam-macam alasan yang kita bagi. Walaupun alasan tu kita dapat atasi. Selepas sahaja melintasi pintu tol keempat, pakcik bersuara lagi.

“Sebenranya dalam hidup kita ni. Perkara yang sama akan berulang-ulang. The same thing will happen in our life, again and again.”

“Apa maksudnya pakcik?” Saya yang kurang faham bertanya. Dalam masa yang sama, otak ligat berputar untuk mentafsir.  Kemudian saya memahami maksud pakcik.  Kita akan sentiasa menghadapi cabaran yang sama dalam hidup. Yang membezakan adalah cara kita memandang dan menghadapi cabaran itu. Sebagai contoh, setiap hari kita dapat shukudai yang banyak, ada yang akan berusaha untuk buat kerana mereka memandang shukudai itu sebagai latihan untuk membantu mereka. Tapi ada yang akan biarkan ia berlalu, kerana menganggap ia hanya sebagai beban yang diberi oleh sensei kepada mereka. Begitu juga bila kita mengantuk dalam kelas, ada yang terus tidur kerana menganggap, dah mengantuk nak buat macam mana? Tapi ada yang akan berusaha untuk tidur awal dan basuh muka supaya tidak mengantuk lagi. Cara mana yang betul, anda tentukan sendiri.

“Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”

[As Syams, 8-10]

Jam 8.10 malam, saya tiba di stesen LRT Setiawangsa. Selepas mengucapkan terima kasih pada pakcik Tahir, saya melangkah keluar.  Dalam hati saya bertekad untuk menyampaikan apa yang saya peroleh hari ini dalam bentuk tulisan. Walaupun tidak sehebat mana isinya, dan tidak seindah mana gaya bahasanya dan saya sendiri tidak pasti sejauh mana keberkesanannya. Tapi itu bukanlah saya yang menentukannya, saya cuma ingin berkongsi.  Dan inilah yang sedang anda baca sekarang.

Akhir kata, buat senpai-senpai semua, semoga berjaya di Jepun. Walau sesusah mana pun cabaran, janganlah mengaku kalah. Kerana telah ALLAH janjikan dalam AL-Quran, anda semua adalah orang-orang yang menang. Ganbattene!

“Dan barangsiapa yang menjadikan Allah, Rasulnya dan orang-orang beriman sebagai penolongnya, maka sungguh, pengikut (agama) Allah itulah yang menang.” [Al Maidah, 56]

Nota: Perbualan yang ditulis telah diubah kerana masalah untuk mengingati semula ayat perbualan sebenar. Tapi maksud yang ingin disampaikan adalah sama.

*TBP- Taman Bukit Pelangi

*Senpai- Senior

*Shukudai- Homework

*Sensei- Lecturer

*Ganbatte- All the best

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s