Cerpen:Andai Itu Takdirnya…

Prolog…

Manusia dari dahulu hingga kini sering berselisih pendapat tentang hakikat kemanusiaan. Pelbagai teori dan falsafah tercipta, sehingga akhirnya manusia akan percaya, bahawa apa yang dicari sebenarnya berada dekat dengan hati kita sendiri. Sejauh mana kata-kata cuba melunakkan bahasa mentafsirkan siapa kita, hanya hati sahaja yang mampu memberi erti kepada diri.

Ibarat kata pepatah, hidup ini umpama roda, sekejap di atas sekejap di bawah, tidak penting kita di atas atau bawah, soalnya di jalan mana kita berputar? Kerana sebentar lagi roda akan berhenti, dan kita akan rebah terkulai atas jalan yang kita telusuri.

Kisah ini kisah Amir. Amir yang mempunyai hati, namun sering tidak mengerti. Terus setia mengayuh roda kehidupan sampai nanti tiada siapa yang tahu, di jalan mana dia berhenti…

Amir…

Amir periang (baca:bising). Bila berjumpa dengan kawan lelaki, dia peluk mereka dan bila jumpa dengan kawan-kawan perempuan, dia mula menggatal. Sememangnya perwatakan dia menyakitkan hati kawan-kawannya. Yang jelas, Amir tidak pandai membaca mood kawan-kawannya, dia tidak tahu bila boleh bergurau dan bila tidak boleh. Pernah suatu hari ketika keputusan kuiz diumumkan, Amir mendapat markah penuh sementara kawan perempuannya mendapat kosong. Tanpa rasa bersalah, dia mengejek rakannya itu, sehingga menyebabkan kawan yang sedang bersedih ini terasa hati dengannya lalu menangis dan berlari ke luar kelas meninggalkan Amir.

Perangai Amir dari hari ke hari makin menjadi, seorang demi seorang kawannya menangis disebabkannya. Sikapnya yang suka berhutang dan tidak membayar balik membuatkan kawan-kawan yang rapat dengannya mula menjauhkan diri darinya.  Tanpa disedari,Amir dibenci oleh kawan-kawannya hatta kawan baiknya sendiri. Cuma, tiada siapa yang mampu menzahirkan kebenciannya, jadi mereka memilih untuk memulau Amir. Walaupun keputusan untuk memulaukan Amir itu tidak diumumkan tapi jelas sekali, dalam sedar atau tidak, hati mereka telah bersepakat untuk memulau Amir.

Amir dapat merasakan bahawa kawan-kawan cuba lari daripadanya. Lalu, dipeluknya setiap lelaki yang berjalan di hadapannya dan dengan spontan dia bertanya,

“kau sayang aku ke tak?”

Siapa yang mampu untuk berkata tidak dengan soalan yang sebegitu,tambahan pula soalan ini ditanya sambil dipeluk. Mereka yang masih mempunyai perasaan kasih dan sayang pada sahabat tidak mungkin mampu berkata tidak. Amir tahu bahawa jawapan yang keluar dari mulut kawan-kawannya tidak ikhlas tapi dia senyum tanda gembira. Paling kurang,mereka masih mampu menjawab, “aku sayang ko la, mir.”

Tanpa dorongan daripada kawan-kawan di sekelilingnya,dia bagaikan layang-layang yang terputus talinya, dia hilang arah tujuannya. Dia mula mencari mereka yang memerlukannya. Setiap hujung minggu, dia akan ke satu tempat yang mana ‘mereka’ memerlukannya. Dimakannya pil khayal, padanya dengan memakan pil khayal,segala tekanan yang dialaminya akan hilang. Dia terkapai-kapai mencari arah tujuan hidupnya.

Suatu senja ketika warna merah kelihatan di sipi-sipi langit, dia baring di atas katilnya, memikirkan nasib dirinya. Apakah mampu dia hidup 3 tahun di JAD tanpa kawan? Soalan inilah yang berpusing-pusing di dalam fikirannya. Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila pintu biliknya diketuk oleh seseorang.

“Amir, jom solat Magrib kat surau, solat berjemaah.”

Itulah suara yang dia dengari tiap-tiap hari tanpa henti sepanjang 6 bulan dia belajar di JAD. Suara yang tidak putus-putus mengajaknya ke arah kebaikan, suara yang menjadi pintu tujuan hidupnya dan suara ‘turning point’ dalam hidupnya.

“Kejap, tunggu aku. Aku nak mandi wajib dulu,” balas Amir.

“Hah? Mandi wajib? Baiklah, aku tunggu.” Terkejut Takuiyuddin.

“Dah,jom. Tapi,boleh ke aku nak solat kat surau ni, aku dah la tak pernah pergi sana dan solat pun aku jarang buat..”Soal Amir sambil matanya merenung lantai.

“Boleh,boleh. Jom,maybe orang dah start solat kot,”terang Takuiyuddin.

Betul, kedatangan Amir ke surau diperhatikan oleh ramai teman satu batchnya. Semua orang terkejut dengan kedatangan Amir yang bukan sahaja turun ke surau tidak pernah bahkan solat pun jarang sekali.

“Bapak ar,Amir dowh..”Adi terkejut melihat kedatangan Amir.

“Ye la..Amir..Ah,kejap je tu.Tak percaya,tengok la,kalau bukan esok,minggu depan dia dah tak datang,” ujar Huzair dengan nada yang sedikit sinis.

Amir merasakan dirinya diperhatikan orang tapi dikuatkan keyakinan bahawa inilah jalan yang dicarinya selama ini. Walaupun agak kurang selesa dengan reaksi kawan-kawannya, dia pura-pura tidak nampak dan duduk tersenyum seolah-olah memanggil kawan-kawan lain datang memotivasikan dirinya. Penantian demi penantian,tiada seorang pun kawan yang datang bertegur sapa dengan serius,yang ada cuma sekadar ejekan.

Dia hampa, dia sedih dan dia menyesal, tanggapannya terhadap ‘budak-budak’ surau yang gembira dengan ahli baru lesap begitu sahaja. Kawan-kawan yang padanya alim dan warak langsung tidak mengajak dan bertanya khabarnya, dia menjadi lagi yakin bahawa kawan-kawan surau pun tidak suka akan dirinya.Lalu tanpa menoleh kebelakang lagi,dia teruskan hidup dengan kehidupan lamanya.

.

Masih Ada Yang Sayang…

Rupa-rupanya, masih ada kawan yang menghiraukannya, Kasim namanya. Kasim pun membenci Amir tapi atas dasar ukhuwwah sesama muslim,dia kuatkan hatinya dan dia gagahkan kaki untuk melangkah masuk ke dalam bilik Amir.

“Amir,lama tak nampak kat surau….”Tegur Kasim sambil memicit-micit bahu Amir.

“Hahahah..Lama?Aku baru turun seminggu je,ko cakap macam aku ni ahli surau je..?”Soal Amir.

Perbualan dua orang sahabat ini didengari oleh Takuiyuddin yang sedang berwudhu’ di dalam bilik air berdekatan dengan bilik Amir.Tanpa membuang masa,Takuiyuddin pun masuk ke dalam bilik Amir sambil tersenyum-senyum,mungkin dia pun ingin menegur Amir tapi keberanian itu belum cukup. Alang-alang sudah ada orang datang menegur Amir,dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ‘share’nya dalam berdakwah.

“Amir,jom la turun surau lagi. Semua orang gembira kau turun surau,”pelawa Takuiyuddin dengan tiba-tiba.

“Em…”Sokong Kasim.

“Takui,boleh aku tanya kau dan aku harap kau dapat jawab soalan aku dengan ikhlas,boleh?”Soal Amir.

“Aku ok je,”balas Takuiyuddin dengan muka yang tenang,dia agak gementar tapi disebabkan Kasim berada di sebelahnya,perasaan gementar itu mampu diatasinya.

“Jujurnya, aku tahu semua orang tak suka aku, semua benci aku, tapi kau benci aku tak? Macam mana kau boleh panggil aku turun surau walaupun dari hari pertama lagi aku tak pernah endahkan kau?”Tanya Amir.

“Er…Jujurnya juga, aku pun benci kau. Masa panggil kau turun surau,aku kuatkan iman aku. Kau tahu, aku sakit sangat bila aku ajak kau turun surau, tapi kau,bukan setakat turun surau tapi solat pun kau tak buat.Sakit…Kadang-kadang, rasa nak sepak kau pun ada tapi aku yakin kekerasan bukanlah cara yang paling baik dalam berdakwah,”jawab Takuiyuddin dengan jujurnya.

“Terima kasih Takui sebab tidak berselindung dengan aku. Aku ingin berubah,aku ingin orang lain dekati aku semula tapi..belum terlewatkah?”Soal Amir pada dua orang kawannya itu.

“Maksud kau?”Tanya Kasim walaupun dia tahu maksud ‘terlewat’ yang dimaksudkan Amir sebenarnya.

“Ya la,aku dari dulu lagi tidak pernah solat. Masa mula-mula aku turun surau,aku terpaksa mandi wajib sebab dah hampir 3 bulan aku berhadas besar. Tiap-tiap hari aku…..”Terang Amir, mukanya kelihatan begitu menyesal dengan perbuatannya sebelum ini.

“Mir, pernah dengar kisah pembunuh yang membunuh 1000 orang?”Soal Kasim,dia memang kaya dengan kisah-kisah teladan.

“Belum,kalau kau tak kisah,ceritakan.”

“Ada seorang pembunuh,dia telah membunuh 999 orang di negerinya. Polis atau apa-apa yang sama tugas dengan polis takut dengannya hinggakan mereka sepakat untuk membiarkan saja si pembunuh bebas, mereka takut kalau mereka tangkap pembunuh,mereka pula yang dibunuh.Namun begitu, atas kehendak Tuhan, pembunuh itu berubah. Dia insaf dan ingin bertaubat,lalu dia pun pergi berjumpa dengan Imam di negerinya dan tanya cara-cara bertaubat. Tapi balas Imam itu dengan perasaan marah kau nak bertaubat? Allah mana terima taubat kau! Tanpa belas kasihan,pembunuh itupun menikam Imam tersebut dengan pisau yang sering dibawanya maka lengkaplah 1000 orang mati di tangannya.Haaaaa,lalu dia pun merantau untuk mencari petunjuk dalam menginsafi dosa-dosanya dan dalam perjalanan,dia telah meninggal dunia. Malaikat telah berkelahi untuk menentukan samada dia ahli syurga atau neraka dan akhirnya,dia dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah walaupun dia telah membunuh 1000 orang.Faham maksudnya?”Cerita Kasim dengan panjang lebarnya.

“Betul,tiada istilah terlambat dalam Islam Mir.Abu Sufyan yang telah menentang Rasulullah semasa di Makkah juga diterima taubatnya inikan pula kau Mir,”tambah Takuiyuddin dengan harapan Amir terima apa yang cuba disampaikan oleh Kasim.

“Em…Tapi macamana?”

“Aku pun tidak pandai dan tidak tahu dari mana kau kena mula untuk berubah,tapi aku rasa cara yang paling baik,kau jaga solat kau dulu. Pastikan kau solat di awal waktu,di tempat azan dilaungkan dan secara berjemaah. Insya Allah,dengan jaga solat semua amalan lain akan terjaga,insya Allah,” cadang Kasim.

“Insya Allah aku boleh ajak kau kalau kau lupa Mir, aku selalu ada untuk kau.”

“Jiwang jugak ko Takui,ingatkan skema.Huhuhu,”seloroh Kasim membuatkan semua orang tergelak.

Alhamdulillah,Amir turun ke surau setiap waktu solat Fardhu kecuali solat subuh. Perkembangannya positif,dia semakin baik,daripada seorang yang sentiasa berhadas besar,kini dia sentiasa dalam keadaan berwudhu’. Daripada seorang yang tidak pernah solat,dia kini menjaga solatnya di awal waktu.Cuma satu masalahnya iaitu perempuan.

.

Alahai Buah Kepayang, ditelan mabuk, dibuang sayang…

“Bi, I nampak you dah lain la sekarang. You macam jauhkan diri daripada I,kenapa Bi? I ada buat salah ke Bi?”Soal Fatin,kekasih hati Amir.

“Er..You takde buat apa..”Balas Amir,dia seperti terumbang-ambing,dia tidak tahu macamana untuk dia terangkan kepada Fatin akan perubahan pada dirinya.

“Bi,kalau I ada buat salah,frankly speak to me please Bi..You suruh I pakai tudung,I pakai. You suruh kita tak call call lagi setiap malam,I ok Bi tapi kenapa ni Bi? Please be honest to me Bi…”Rayu Fatin, air mata mula kelihatan di bibir-bibir matanya.

Terjeda sebentar Amir dibuatnya,apakah patut dia terangkan atau….? Dia bingung apa yang patut dilakukannya. Kini malaikat di dalam hatinya mula berperang dengan syaitan lamanya,antara panggilan Ilahi atau rayuan wanita,dia betul-betul keliru. Dia cuba mengelak daripada Fatin,dia betul-betul tidak tahu apa yang patut dilakukannya.

Akhirnya mereka sampai di Hostel mereka dan Amir terus terdiam. Fatin mula meraguinya tapi kerana cintanya dia pada Amir,segala keraguan itu pudar dengan begitu sahaja. Cinta mereka bukan baru sehari dua tapi setahun lamanya, cinta mereka bukan setakat bertentangan mata tapi ke mana mereka pergi mesti berpegangan tangan, cinta mereka bukan setakat belanja makan tapi semua biasiswa digabung ke dalam satu akaun,itulah cinta mereka.

.

Antara cinta dan CINTA

Langit kelihatan kosong pada malam itu tapi kegelapan malam itu dicerahi dengan bulan purnama dan sebiji bintang di sudut selatan bulan. Kasim yang sedang asyik melayari Internet dan ber’facebook’ dikejutkan dengan ketukan dan salam dari luar biliknya.

“Kasim,boleh aku masuk?”

“Oh,Amir.Sila-sila,”pelawa Kasim sambil membuka pintu biliknya.Amir masuk ke dalam bilik dan menutup pintu, Kasim seperti dapat mengagak apa yang akan berlaku selepas ini,lalu dibaca segala doa penerang hati yang dihafal di dalam hati,moga-moga segala soalan yang akan diajukan sebentar lagi dapat dijawab dengan tenang dan tepat.

“Kasim…”Amir cuba menerangkan sesuatu tapi suaranya tidak keluar dan dia mula menangis.Kasim dengan pantas memeluk Amir dan menepuk-nepuk belakang Amir dengan harapan Amir sedikit tenang dengan tepukannya.

“Amir,ceritalah apa yang kau nak cerita. Aku sedia mendengar. Insya Allah,kalau aku boleh bantu,aku bantu.Kalau aku boleh jawab,aku jawab.”Ujar Kasim.

“Ko pernah bercinta Sim?”Tanya Amir.

“Em..Masa sekolah dulu dan aku ditinggalkan,tapi aku redha sebab pompuan tu tinggal aku sebab dia nak fokus belajar,”balas Kasim,mukanya juga sedikit berubah. Mungkin sedih teringat akan kisah silam.

“Kau tahu kan aku bercinta dengan Fatin kan?”

“Lor,siapa yang tak tau?”

“Aku ingin berubah Sim tapi..”Luah Amir sambil menangis teresak-esak,perit betul hatinya dengan masalah kali ini,ini lagi perit daripada dipulau oleh kawan-kawan. Melihat keadaan Amir,kini Kasim mengerti apa itu cinta dan bagaimana kekuatan cinta.

“Oh,aku faham..Em..”Balas Kasim,dia cuba mencari jawapan yang sewajarnya.

“Amir,aku tidak tahu pasal cinta sebab aku bercinta pun tidak macam kau. Aku bercinta 3 bulan sahaja dan bertemu berduaan pun hanya sekali,cinta aku dengannya hanya cinta telefon,tidak lebih dari itu. Malah,si dia pun tidak pernah mengucapkan ‘I Luv U’ kat aku,jadi aku tidak layak untuk bercakap tentang cinta.Tapi,bagi aku,kau ada 3 pilihan.”Usul Kasim dengan yakinnya.

“3 pilihan?”Amir kelihatan seolah-olah ternampak sinar harapan.

“1st,kau ajak Fatin untuk berubah sekali dengan kau. 2nd,kau tinggalkan dia dan cari orang lain dan 3rd,ko teruskan dengan dia walau apa-apa pun berlaku. Saranan aku,yang 1st iaitu ko ajak dia berubah dengan kau.”Kasim memberi pilihan.

“Aku pernah ajak dia berubah,aku suruh dia pakai tudung pun dia susah,inikan pula…”Balas Amir.

“Em,entahlah cuma yang ketiga bukan pilihan yang baik.Pernah dengar hadis penjual minyak wangi dan pembuat besi?”Soal Kasim.

“Tak..Ceritakan..”

“Sabda Nabi yang maksudnya lebih kurang,sebab aku pun tak berapa ingat sebenarnya,jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi,walaupun tidak memakai minyak tersebut,paling kurang aroma wangi yang dijual itu akan terlekat pada badan kita. Kalau kita berkawan dengan penjual besi,asap yang terhasil tu akan terlekat pada kita. Maksudnya, kalau kita berkawan dengan orang baik, insya Allah kita akan jadi baik dek tempiasnya tapi kalau kita berkawan dengan orang yang berperangai buruk, kemungkinan besar kita akan terikut dengan perlakuan buruknya. Aku tak maksudkan Fatin tu teruk orangnya cuma kalau dia masih ingin kekal dalam keadaan yang dulu dan kau masih bercinta dengannya,susahlah kau nak berubah. Ala, macam pemangkin,pemangkin songsang. Pemangkin tidak rosakkan pertumbuhan tetapi melambatkan pertumbuhan.”

“Faham Sim..Tapi aku cintakan dia Sim..Mana boleh aku lupakan dia..”

“Kau berwudhu’ Mir,kemudian kau solat 2 rakaat,minta Allah tentukan apa yang terbaik buat kau. Kalau boleh, menangislah dalam solat kerana Allah sukakan hamba yang menangis ketika meminta.” Ujar Kasim sambil menahan air matanya keluar dari mata. Dia betul-betul tersentuh dengan masalah kawan yang seorang ini.

“Mir, kalau kau nak nangis sekarang,nangislah puas-puas,jangan pendam lagi. Kalau kau pendam,kau akan rasa lagi sakit.” Nasihat Kasim sambil memeluk Amir.

Kasim pun tidak tahu apa yang patut dia lakukan, dia tahu cinta itu buta dan mencelikkan orang buta bukanlah sesuatu yang senang, dia tahu betapa susah Amir ingin tinggalkan kekasihnya, dia tahu betapa peritnya Amir memutuskan hubungan indah yang dibina selama 1 tahun dan dia tahu betapa sedihnya Amir bila orang yang disayanginya terpaksa ditinggalkan.

Cinta itu buta, mencelikkan orang buta bukan kerja manusia. Hebat mana pun kita berpidato, hebat mana pun kita berkata-kata, kerja mengubah hati dan prinsip hidup manusia bukanlah sesuatu yang senang. Suatu ketika dahulu, Kasim dicabar oleh senior sekolahnya, “ kalau ko betul-betul hebat, try suh budak tu pargi surau.” Pantang dicabar, Kasim berusaha mengajak budak tersebut ke surau. Pernah dia menunggu budak tersebut di luar bilik, akhirnya bukan budak itu sahaja yang tidak ke surau, Kasim sendiri terlepas untuk solat berjemaah.

Amir terus tertekan,tertekan dengan 3 pilihan yang diberikan Kasim.Ya,dia tahu dia ada pilihan ke-4 iaitu meneruskan hidup dengan status bujang tapi Amir sedar dirinya ialah seorang pencinta wanita jadi dari awal lagi,pilihan ke-4 ditolak bulat-bulat.Dia betul-betul buntu apakah pilihan yang sewajarnya dibuat,inilah kali pertama dalam hidupnya mengalami situasi ‘luah mati bapa,pendam mati ibu’. Selama ini hidupnya penuh dengan lawak jenaka,baginya kehidupan ini hanya sekali dan kalau tidak diisi dengan kegembiraan,pasti merugikan. Tapi kini dia sedar akan hakikat kehidupan, kehidupan ini penuh dengan pilihan,untuk maju setapak dia harus membuat pilihan yang betul supaya langkah yang diambil membawanya kepada keberkatan Ilahi.

.

Kita Bukan Ikan

Perubahan yang dilakukan oleh Amir bukanlah calang-calang, bukan semua orang mampu lakukan sepertinya,bagaikan Azazil yang hina dimuliakan Allah. Dari sejahat-jahat makhluk,ia bertukar menjadi malaikat yang doanya pasti dimakbulkan oleh Allah, malaikat-malaikat lain tunduk hormat kepada beliau kerana kesungguhannya menyembah Allah.

Begitulah Amir, dari seorang manusia yang tidak pernah berenggang dengan perempuan, kini ke mana saja dia berjalan,pandangannya tunduk ke bawah. Dari manusia yang menjadikan asap sebagai ruji harian, jangankan sepotong bahkan sekali hisap pun dia tidak mahu.

Tapi, sudah menjadi darah daging orang Melayu, ‘kalau aku kena lumpur,biar kau kena sekali’,kalau dirinya jahat,dia mesti ajak orang lain lakukan kejahatan sepertinya. ‘Masuk neraka mesti berteman’, itulah prinsip yang dipakai dan digagas dalam perlembagaan hidup orang Melayu. Sakit-sakit, kalau ada teman, paling kurang adalah tempat mengadu, kalau masuk neraka seorang diri, susah, nak mengadu pun pada siapa? Batu?

Kalau dibandingkan golongan yang sokong dan golongan yang keji Amir,lagi ramai yang mengeji perubahan Amir. Walaupun di depan Amir mereka gembira, senyum dan memberi sokongan tapi di belakang Amir, segala jenis caci maki keluar dari mulut mereka.

“Ala,sekajap je tu..Mane ade perokok boleh berhenti lama-lama..”

“Warak la kononnya tu..Insaf kejap je tu..Dulu pun die camtu gak,lepas tengok CD lucah,bila dah pancut,insaf,buang CD,bila nak,beli baru..Hangat-hangat taik ayam…Hahahhah..”

Dan bermacam lagi kutukan diludah di belakang Amir. Amir tahu semua itu dan dia amat sedih dengan semua itu. Siapa yang mampu bertahan kalau manusia di keliling asyik mengutuk dan menghina kita? Kita bukan ikan,berenang bebas dalam air masin,ikan tidak pernah terasa masin kecuali ikan masin. Kita adalah manusia,manusia yang terkesan mengikut perubahan sekitar.

1400 tahun dahulu,Allah memerintahkan Rasulullah untuk menukar tempat dakwah baginda, dari Makkah ke Madinah. Sebabnya persekitaran Makkah tidak sesuai untuk dakwah dijalankan, orang-orang Makkah secara majoriti membenci Islam,ke mana sahaja baginda melangkah,caci maki dan kutukan diludah ke atas baginda. Lalu perintah berhijrah ke Madinah menggembirakan baginda. Madinah adalah satu tempat yang mempunyai persekitaran yang baik untuk dakwah dijalankan, penduduknya telah berjanji untuk beriman maka atas dasar persekitaran, Allah mengarah nabi berhijrah.Kalau dakwah Islam pun terkesan dengan persekitaran,apatah kita manusia yang kerdil lagi hina ini?

Amir pulang ke biliknya dengan hati yang betul-betul patah. Dulu,dia menyangka kerana perangainya buruk dia dibenci lalu dia memilih untuk berubah tapi kini,bila dia berubah,kawan-kawan tetap membencinya. Hampir-hampir dia terfikir untuk membunuh diri tapi cepat-cepat niat buruk itu dipadamkan kerana dia masih waras dan tahu batas-batas agama.

BUZZ!!!

Kasim:Ye,ade ape mir?

Amir:sibuk tak sekrang?

Kasim:Tak sangat,nape?

Amir:Aku nak bcakap ngan ko la…

Kasim:Nak aku datang umah ko ke,ko nak datang umah aku?

Amir:aku datang umah ko..jap ek..

Tok Tok~ Pintu bilik Kasim diketuk.

“Masuklah Mir,”pelawa Kasim.Amir masuk sambil menutup pintu dan terus menguncinya.Amir pun duduk di atas katil Kasim,muram benar mukanya dan di tabir-tabir matanya masih kelihatan titis-titis air mata yang baru sahaja mengalir keluar.

“Kenapa ni Mir? Ada apa-apa kau nak kongsikan dengan aku tak?”Soal Kasim sambil menutup laptopnya.

“Sim..Dulu,tyme aku jahat..orang benci aku..Aku ingat bila aku dah jadi baik,orang takkan benci aku lagi..tapi kenapa ada lagi orang yang benci aku?”Soal Amir,matanya tajam merenung ke arah luar jendela.

Kasim menarik nafas panjang sebelum menjawab,akalnya ligat bergerak mencari jawapan yang sesuai dan mampu memuaskan hati Amir.Hebat mana pun Kasim berdebat dan kehebatan ‘brainstorm’nya,dia tetap memerlukan masa untuk berfikir supaya jawapannya menepati kedua-dua pihak, Allah dan Amir.

“Ini bukan cerita baru Mir, ini cerita dulu kala. Macam cerita yang ko dengar sebelum ni, tentang pembunuh 1000 orang tu. Masa dia jadi pembunuh,sume orang benci dia.Bila dia nak bertaubat, orang still benci dia.Tapi, Allah suka tak dia bertaubat?”

“Dia masuk syurga, maksudnye..Allah suke la kot..”

“Bukan ‘kot’ Mir,tapi Allah MEMANG suka. Mulut manusia sampai mati baru tutup Mir, kalau nak ikut semua manusia,hancur..Datang orang ni kata Siti Nurhaliza cantik, datang orang ni pulak kata Lisa Suriani pulak cantik. Lain manusia, lain perangai dan lain kehendak Mir.Yang penting, kau buat apa yang Allah suka, thats it. Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, dalam sekelip mata Dia boleh tukarkan manusia daripada benci kepada sayang dan daripada sayang kepada benci. Cuma, mungkin Dia sedang uji kau sekarang, nak tengok kau betul-betul nak berubah or saja-saja…”Terang Kasim dengan panjang lebar.

“Tapi, Allah kan Maha Mengetahui, takkan Dia tak tahu yang aku betul-betul nak berubah?”Soal Amir, sebenarnya Kasim agak terkejut dengan apa yang dilafazkan Amir tapi dia cuba menerima hakikat bahawa Amir ‘baru’ dengan Islam maka hatinya perlu dijinakkan sedikit demi sedikit.

“Allah maha Mengetahui. Pengetahuan Allah bukan sekadar warna rambut kau warna apa or bilangan rambut kau, tapi pengetahuan Allah meliputi berapa diameter sehelai rambut kau, berapakah sel hidup dan sel mati kat rambut kau..Oh ye, aku lupe kau tak amik Biologi tyme form 5..huhuhu..Gurau,gurau.. Cuma, kadang-kadang Allah nak test hamba-hamba Nya. Dalam Quran, kalau tak silap aku surah Al-Ankabut Ayat 2, Allah nyatakan bahawa Allah akan uji orang beriman. Apa yang dapat kita faham daripada ayat ini dan situasi kau..Kau diuji,maknanya kau adalah orang yang beriman Mir..So, banyakkan bersabar Mir.. Perubahan bukanlah satu perkara yang boleh dilakukan secara tup! Tapi memerlukan pengorbanan Mir.. Banyakkan bersabar, aku bersama kau dan Allah bersama kau Mir..”Balas Kasim dan sekali lagi, manik-manik jernih mengalir keluar dari mata Amir. Kesian Amir, buruk dibalas buruk, baik pun dibalas buruk.

“Ginilah..aku cadangkan ko wat qiam..Mase doa, ko nangis kuat-kuat dan ko ngadu kat Dia..Kalau aku, aku selalu buat tyme sujud..Bila dah settle, lega gile..serius tak tipu..”Cadang Kasim.

“So..Aku tidur kat bilik ko la..Boleh?Aku susah bangun pagi..”Beritahu Amir sambil mengelap air matanya.

“Erk..Aku pun ada masalah sama dengan kau..Ape kata kita tidur kat surau? Insya Allah,bangun..”Cadang Kasim.

“Ok gak..Kejap,nak gi tandas..”Ujar Amir sambil berjalan keluar dari bilik Kasim.

.

Malam Tenang Sang Penginsaf

Malam itu mereka berdua tidur di surau yang terletak di bawah hostel mereka. Surau itu tidaklah besar seperti surau yang ada di taman-taman perumahan lain, hanya muat untuk 100 lelaki,itupun kalau berdiri rapat-rapat. Tapi apa yang uniknya surau ini,di bahagian pemisah lelaki dan perempuan,dua lubang besar seperti pintu telah ditebuk sebagai penghubung jemaah muslim dan jemaah perempuan. Asalnya lubang-lubang itu tiada tapi akibat perselisihan pendapat tentang jemaah muslimah, lubang itu ditebuk demi menjaga maslahat semua orang.

“Ya Allah, kejutkan aku dan Amir pukul 4 pagi..Hanya kepada Kau saja kami memohon, orang lain tak boleh bangunkan kami, hanya Kau saja ya Allah.. Hantarkan tentera Mu untuk kejutkan kami Ya Allah..”Doa Kasim di dalam hati sambil membaca 4 ayat terakhir Surah Al-Kahfi. Apa yang dia belajar, kalau ingin senang bangun pagi, baca 4 ayat terakhir surah Al-Kahfi dan hembus ke tangan, sapu ke seluruh badan. Dia mengamalkan cara ini sejak dari tingkatan 1.

Semasa di tingkatan 2,seorang kawan yang tidur di katil menghadapnya bangun tepat jam 5 pagi. Alangkah terkejutnya dia bila dia melihat di sisi Kasim ada 2 lembaga hitam yang sedang menggoyang-goyang Kasim seolah-olah ingin mengejutkannya. Tiba-tiba lembaga itu lesap dengan begitu sahaja dan Kasim bangun dari tidurnya. Magik tapi itulah yang berlaku bila Kasim betul-betul nekad dan yakin dengan amalannya.

Seperti biasa, bila dia yakin dengan pertolongan Allah, Allah pasti datang membantu. Tepat pukul 4 pagi, Kasim terjaga dari tidurnya. Dia meraba-raba mencari kaca matanya dan sebaik sahaja dia memakai kaca matanya, dia ternampak ada satu lembaga sedang berdiri di saf pertama. Dia terperanjat, rupa-rupanya Amir sedang mendirikan solat. Amir telah bangun setengah jam lebih awal daripadanya.

Ketika sujud Amir berdoa, “Ya Allah, aku adalah hamba Mu yang paling berdosa. Selama ini aku langsung tidak pernah endah dengan kewujudan Mu, solat atau tidak, itu bukan masalah bagiku. Aku suci atau tidak, itupun bukan masalah bagi ku. Entah bila kali terakhir aku solat aku sendiri telah lupa ya Allah..Bila emak tanya aku sudah solat atau belum, aku tanpa berfikir panjang menjawab sudah. Aku langsung tidak terfikir balasan akhiratMu Ya Allah. Selama ini aku berpegangan tangan dengan Fatin, aku peluk, aku dakap..Semua telah aku buat Ya Allah..Aku tidak tahu samada Kau terima taubat ku ini. Aku tahu hanya neraka sahaja yang layak bagi ku Ya Allah..Atau,mungkin lagi teruk dari neraka Ya Allah..Aku tau, kalau aku dimasukkan ke dalam neraka, aku akan dibakar hidup-hidup, tangan aku yang aku guna untuk pegang Fatin akan dibakar, dikoyak dan dilenyek-lenyek. Aku tahu,kaki yang aku guna untuk ke kelab malam akan dipatah-patah, dirobek-robek dan dibakar. Aku tahu ..Aku tahu..

Ya Allah,ampunkan aku Ya Allah.. Andai Kau menghantar malaikat maut sekarang untuk tarik nyawa ku, hold dulu ya Allah, aku belum bersedia, masih banyak perkara harus ku taubat pada Mu ya Allah, masih banyak perkara ingin ku luahkan pada Mu ya Allah, masih bertimbun masalah ingin ku tangis pada Mu ya Allah, kepada Mu aku mohon agar berikan daku kekuatan dalam mengalami arus perubahan ini.

Ya Allah,aku tahu cintaku pada Mu bukan seperti wali-wali Mu ya Allah, tapi aku adalah manusia hina yang mula mencintai Mu ya Allah, maka ampun dan buktikan lah cinta Mu pada ku dengan menyenangkan perjalanan hidupku. Ya Allah,aku tidak salahkan mereka semua membenci ku ya Allah, aku memang layak dibenci, aku memang layak dihina cuma hantarlah juga kawan-kawan yang selalu menepuk belakang ku, memberi semangat kepadaku dan menolongku di waktu aku dihina. Agar, cintaku pada Mu tidak hilang dek caci maki manusia yang lain…”Walaupun doanya dalam bahasa Melayu, namun dia cukup yakin dan pasti Allah memahaminya. Mungkin disebabkan keletihan menangis,dia terlena dalam sujudnya.

.

Khabar Dari Kampung

Pagi itu cuaca sedikit suram, matahari tidak kelihatan di ufuk langit, awan seolah-olah menutupi segenap ruang tapi Amir kelihatan sangat cergas pagi itu. Dia melangkah kaki ke Universiti dalam keadaan yang sangat ceria, sesiapa sahaja yang dijumpai,pasti dipeluk kecuali yang perempuan.

“Sayang aku tak?”Soal Amir ketika memeluk Kasim.

Sambil tersenyum Kasim membalas, “kalau tak?”

“Kalau tak,kau kene sayang aku jugak..”Balas Amir sambil tergelak kerana dia tahu Kasim sayang padanya.

“Betul la, aku tak sayang kau pun,kalo aku sayang kau, apa sebab?”Soal Kasim lagi, niatnya ingin bergurau.

“Sebab..emm..Sebab aku dah nak gi..”Jawab  Amir secara spontan dan dia terus keta wa.

“Ye la, cepat la pergi, aku dah rimas ni.”Balas Kasim.

Tiba-tiba gurauan mereka terhenti apabila talefon bimbit Amir berbunyi.

“Assalamualaikum..”

“Angah..Sob23..”

“Kenapa ni bu? Apa yang dah berlaku?”

“Angah kena balik hari ni jugak, ayah kau masuk ICU, dia sesak nafas pagi tadi lepas solat Subuh.”

“Erk..Ok bu, petang ni Angah balik..”

Talian telefon diputuskan. Muka Amir berubah, tadi dia ceria kini dia berduka.

“Kenapa Mir?”Soal Kasim, dia perasan Amir bersedih.

“Ayah aku masuk ICU,dia sesak nafas pagi tadi.”

“Pastu,balik lah sekarang..”Kasim memberi cadangan.

“Tapi Bas ke Pahang ade petang, dalam kol 4..”

“Ok,balik kol 4. Cepat pergi beli tiket sekarang..”Arah Kasim, tadi dia memberi cadangan tapi kini dia memberi arahan. Kasim ialah seorang yatim, ayahnya meninggal ketika dia sedang menduduki peperiksaan menengah rendah dan dia tahu betapa peritnya perasaan seorang anak bila tidak dapat melihat wajah terakhir seorang bapa ketika dia menghembus nafas yang terakhir.

Alangkah malang nasib Si Amir bila komuter yang dinaikinya untuk ke Pudu mengalami sedikit kelewatan. Dia tiba di stesen bas Pudu pukol 4.30 petang dan yang pasti, tak perlu dicari lagim bas yang akan membawanya balik ke Pahang sudahpun pergi meninggalkannya. Kasim yang menemaninya agak cemas, dia betul-betul tidak ingin melihat wajah Amir ketika ayahnya pergi meninggalkannya.

“Amir, ko naik teksi ni. Tambang,ko pinjam duit aku dulu..”Cadang Kasim.

“Ok..Terima kasih banyak2..”

“Kalo ape-ape terjadi, kau tabahkan hati, semua ada hikmah. Kalau ko sedih, just call me ok?”

“Terima kasih banyak-banyak Sim sebab hantar aku sampai sini, lepas ni kompem kau dah tak nak hantar aku sejauh ni kan?”

“Uish, kau ni, sempat lagi bergurau tyme critical camni..hahahaha..”

“OK Mir, aku pergi dulu. Jaga diri elok-elok and terima kasih banyak-banyak..”

.

Warkah Alam Barzakh

“Kasim, Kasim, cepat bukak berita TV3!”Jerit Takui sambil tercungap-cungap.

“Sebuah teksi yang membawa seorang penumpang ke Pahang telah berlanggar dengan sebuah lori balak. Penumpang Teksi tersebut dilaporkan telah meninggal dunia di tempat kejadian , pemandu teksi masih lagi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemandu lori tersebut hanya mengalami beberapa luka kecil sahaja…”

.

Epilog…

Mir, aku tak pernah kesal, tidak mengenali kau lebih awal. Aku juga tidak pernah kesal dengan segala kisah hitam yang kau lalui. Kerana tanpa semua itu, kau tidak akan menjadi seperti sekarang.

Namun satu perkara yang aku kesal, aku tidak pernah sempat mengucap sayang pada kau.

Aku sayangkan kau Mir… Sepenuh hati… Walau orang lain tak pernah mengerti…

Moga Allah menyampaikan rasa kasih dan cintaku pada mu, Mir.

http://www.youtube.com/v/NcEyGU8eB2M&hl=en_GB&fs=1&

12 thoughts on “Cerpen:Andai Itu Takdirnya…

  1. salam..ak btul2 touching dgn kisah ni..ak happy n dlm mase yg sam ade sdih n menyesal..jazakallahu khairun kasira kpd penulisnya..akrabnya psahabatan ats dsar ukhuwah Islam=)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s