Putus Asa-Bukan Jalan Pintas

Putus asa. Dua perkataan pendek yang digandingkan bersama, menjadi suatu frasa yang membawa makna kekecewaan. Pernahkah anda berputus asa?

Berputus asa merupakan sesuatu yang dilarang dalam Islam. Saya  nukilkan satu situasi sebagai contoh,  X-san telah berusaha bersungguh-sungguh dalam shiken (peperiksaan), tetapi dia telah gagal. Lalu dia berputus asa dan tidak mahu terus berusaha. Sedangkan peluang untuk lulus itu masih ada. X-san menganggap bahawa kalaupun dia terus belajar, dia tetap akan gagal dan tidak akan berjaya. Itulah salah satu contoh orang yang berputus asa.

Berputus asa biasanya akan membuatkan seseorang itu terus kecewa dan mengambil tindakan di luar kotak pemikirannya. Sebagai contoh, membunuh diri, iaitu salah satu dosa besar di sisi Islam.

Saya pernah terbaca dalam sebuah majalah, metafora si anak gajah. Seekor anak gajah dirantai pada sebatang tiang sejak kecil. Pada awalnya, ia meronta-ronta untuk melepaskan diri. Namun oleh sebab kakinya yang masih kecil dan rantai yang menambatnya begitu kuat, ia gagal melepaskan diri. Setelah beberapa tahun, anak gajah itu membesar sebagai gajah dewasa. Secara logiknya, dengan kakinya yang besar, sekali rentap sahaja sepatutnya ia sudah boleh melepaskan diri. Sayangnya, gajah itu tidak pernah terfikir untuk berbuat begitu kerana pengalamannya gagal ketika kecil membuatkan gajah itu tidak mahu mencuba lagi. Mengapa?

Penyebab Putus Asa

Sebenarnya, apakah yang menyebabkan kita berputus asa? Salah satunya ialah barangkali kita banyak melakukan dosa dan maksiat. Benar, manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa, tetapi kita sebenarnya boleh memperbaiki diri dan berikhtiar meninggalkan dosa dan maksiat tersebut. Salah satu caranya ialah dengan beristighfar. Malah Nabi Muhammad s.a.w yang maksum, iaitu terpelihara daripada melakukan dosa dan kemaksiatan  juga beristighfar. Apatah lagi kita sebagai manusia biasa ini yang sering terdedah dengan dosa dan maksiat, perlunya kepada istighfar dan keampunan Allah s.w.t.

Seterusnya, rasa ingin berpututs asa juga berkait rapat dengan pemakanan kita. Mungkin makanan yang kita ambil selama ini daripada sumber yang haram atau syubhah. Makanan yang kita ambil itulah yang menjadi darah daging.

Bersendirian juga menjadi penyebab kita berputus asa dengan rahmat Allah s.w.t. Apabila kita bersendirian, kita mudah didekati oleh syaitan. Nabi Muhammad pernah berkata:

Rahmat Allah itu berada dalam jemaah.

Apabila kita berada dalam jemaah, kita lebih mudah mendapatkan nasihat daripada orang yang berilmu dan alim. Dalam satu hadis sahih, Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

Ad-din adalah nasihat.

Selain itu, tiada matlamat dalam diri menjadikan kita mudah berputus asa. Apakah sebenarnya tujuan kita diciptakan dan apakah tujuan hidup kita di muka bumi ini? Allah s.w.t berfirman dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud:

Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepada-Ku.

Sebetulnya, sebagai hamba-Nya, kita harus meletakkan matlamat yang jelas iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Maka, matlamat hidup kita bukanlah di dunia sahaja bahkan, mencapai kebahagiaan di akhirat juga harus menjadi salah satu matlamat hidup kita. Apabila bertanyakan tentang matlamat seseorang, jawapannya adalah berputar pada cita-cita contohnya mahu menjadi doktor, jurutera dan sebagainya. Seharusnya kita memikirkan juga matlamat untuk mencapai kebahagiaan di akhirat kelak.

Katakan Tak Nak! Pada Putus Asa

Kita tidak mahu berputus asa, namun ketika itu jugalah syaitan menguasai diri dan emosi mula memberontak.

Pada ketika itu, bertawakallah kepada Allah s.w.t. Islam merupakan agama yang indah, kerana setelah kita berusaha, perlunya kepada tawakkal yakni menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menentukan segala sesuatu. Atau dalam erti kata lain, kita perlu bersiap sedia untuk menerima qada’ dan qadar-Nya dengan reda. Di sinilah pentingnya sifat sabar dalam diri ketika menerima segala yang telah ditentukan-Nya, kepada diri, keluarga dan kehidupan. Ingatlah firman Allah s.w.t dalam Surah At-Talaq ayat 7 yang bermaksud:

Allah tidak membebani seseorang melainkan (sesuai) dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan.

Kedua, bersangka baiklah terhadap Allah. Musibah yang kita hadapi seringkali membuatkan kita berprasangka buruk terhadap Allah, padahal itu mungkin suatu ujian untuk menguji keimanan kita kepada-Nya.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Allah s.w.t berfirman, ‘Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku.’

Rasulullah s.a.w bersabda, maksud hadis riwayat Muslim:

Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah.

Apakah maksud berbaik sangka dengan Allah? Berbaik sangka di sini adalah rasa takut dan harap yang saling bergandingan ataupun rasa takut mengatasi rasa harap. Seorang hamba yang bersangka baik dengan Allah:

  1. Apabila melakukan sebarang ibadah, dia akan bersangka baik bahawa Allah akan menerima ibadahnya itu dan membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran pahala.
  2. Apabila berdoa, dia tahu bahawa Allah akan memakbulkan doanya.
  3. Apabila dia berdosa, segera bertaubat dan bersangka bahawa Allah pasti menerima taubatnya dan mengampunkan dosanya.
  4. Apabila ditimpa musibah, dia akan bersangka baik bahawa di sebalik ujian itu ada hikmahnya.

Selain itu, haruslah kita bertafakur iaitu merenung setiap apa yang terjadi. Apabila Allah memberi nikmat, adakalanya kita lupa untuk bersyukur kepada-Nya. Sebaiknya kita sentiasa merenung kelemahan diri kita, adakah kita  sentiasa mengingati Allah ketika senang dan susah? Tepuk dada, tanyalah iman.

La Tahzan

La tahzan. Janganlah bersedih saat kita ditimpa ujian atau musibah. Jadikanlah ia sebagai suatu proses pentarbiyahan. Kita didik diri kita supaya tidak mudah berputus asa, teguh pendirian serta kuat semangat dalam mengharungi cabaran dunia yang fana ini. Bukankah Allah s.w.t sentiasa bersama-sama orang yang bertaqwa?

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),  Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

[94:5-8]

Advertisements

7 thoughts on “Putus Asa-Bukan Jalan Pintas

  1. saya seorang pelajar perubatan di luar negara sekarang berada di tahun ke enam…insyaAllah berencana untuk mengundurkan diri dari pengajian dikeranakan tidak mampu mencapai kompetensi yang diharapkan untuk menjadi seorang doktor yang baik dan benar…

  2. @mat,
    anda sahaja yg lebih memahami hikmah yg ada… dan tentu sahaja Allah jua yang Maha Mengetahui hakikat yg tidak kita fahami… Maka walau apa jua yang mungkin sedang anda rasakan tatkala ini, sy doakan semoga anda beroleh ketenangan dan dipertemukan dengan hikmah yg tersirat… semoga Allah redha dengan kehidupan kita…

  3. salam…sy cuba tidak b’pts asa & tabah m’hdapi dunia yg penuh m’cabar…ttp, kbnykan insan disekeliling yg tidak se’fikrah’…memandang rendah dgn diri sy…mujurlah ada d klgn rkn2 yg menemani…”B’KENALAN & b’sahabat krn ALLAH…”. namun, ats skp segelintir yg m’mandang rendah kpd sy… amat malu apbl dimalukan & d pndg rendah d hdpn semua org..terkadang sy smkn lemah…hggkn sy smkn takut utk b’hdpn dgn msyrkt luar…bagaimana utk terus bangun…sedangkan sy kini d tahap “bertahan”… momentum d tahap yg sama…sy masih x boleh maju ke hdpn,…bgmn utk b’ganjak dr thp “bertahan” kpd tahap “maju ke hadapan”..?adakah sy dikira sdh b’putus asa..?

  4. @kiha,
    bertahan itu juga satu perjuangan, masakan boleh dikira berputus asa… sumber segala kekuatan dari Allah, maka mohonlah kepada-Nya… namun, bukankah deen ini juga milik Allah, dan Allah boleh memenangkannya dengan hanya berfirman “Kun Fayakun”, tapi kenapa Deen ini akan dimenangkan dengan usaha manusia…kerana itulah sunnah Deen ini….begitu juga dengan kita….Allah boleh menyelesaikan masalah kita dengan ucapanNya sahaja…namun ia tidak terjadi demikian.Memohon pertolongan dari Allah mesti diikuti dengan usaha secara fardi atau jamai bergantung pada persoalan yang dihadapi. Jadi memohon pertolongan dengan Allah dan kemudian kepada manusia adalah sunnah dan fitrah…itu sebab kita dijadikan berpasangan dan hidup secara kolektif (jamaie). maka berdampinglah selalu dengan mereka2 yg telah lama atas jalan ini untuk mendapat tempias2 kekuatan mereka…

    Tiada yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita dari Allah Azza Wa Jalla. Dijadikan sesuatu keatas diri kita adalah atas nama dan sifatnya yang dia selalu ajarkan pada kita untuk membacanya bila kita memulakan sesuatu urusan “Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang” Jadi apapun yang berlaku keatas kita ianya terjadi diatas sifat ini. Manusia yang memiliki perspektif ini tidak akan resah bahkan sentiasa mengambil hidup ini sebagai tarbiyyah dari Allah.

    Seseorang itu akan hanya mampu bertahan diatas sesuatu urusan yang telah dipilihnya apabila pilihannya itu adalah diatas kefahaman dan ilmu yang yakin. Apatah lagi bila ia dapat merasakan nikmat hidup dalam urusan yang telah dipilih. Mungkin pada mata kasar org lain, kehidupannya itu membosankan dan menyusahkan namun untuk sipemilik jiwa itu…urusan hidup yang menyusahkan inilah ‘yang menghidupkan makna kehidupan bagi dirinya’

    p/s : nasihat2 ini dicopy paste dari seorang yg besar jiwanya, ketika beliau menasihati sy suatu ketika dahulu, yg juga mungkin seperti anda kini, yg mula merasakan bibit2 berputus asa…. harap bermanfaat…

  5. manusia tidak akan puas berkata-kata,kita baik diejek,kita buruk dicemuh. Bukan setakat saya dan awak sahaja,malah Rasulullah sendiri. Jadi,lihatlah apa yang Allah kata bukan manusia kata. =D

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s