Belajar Jadi Isteri Menyenangkan Dari Ummu Dahdah

Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda,

“Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.”

Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya:

“Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?”

Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu.

Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?”

Rasulullah s.a.w bersabda: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama”

Saya pasti anda semua, wanita di luar sana turut berperasaan seperti saya. Risau memikirkan kitalah kelak yang akan menjadi penambah golongan kita di neraka kelak. Wanita terkenal dengan sifat yang penuh emosi, cepat merajuk dan sebagainya yang kadang-kadang menjadikan kita seorang yang menafikan segala kebaikan dan nikmat yang diterima sebelum ini. Maka, marilah kita bersama-sama menyelusuri perjalanan hidup Ummu Dahdah, isteri yang sangat menyenangkan suaminya.

Kehidupan Ummu Dahdah

Hijrah Rasulullah SAW ke Yathrib(Nama lama Madinah) merupakan sebuah rahmat yang besar buat warga Madinah. Penghantaran Mus’ab bin Umair sebagai duta besar Rasulullah SAW untuk menyampaikan Islam di negeri ini juga menyumbang kepada penerimaan Islam secara beramai-ramai oleh penduduk Madinah.

Dan antara ramai yang memeluk Islam itu, salah satunya adalah keluarga Abu Dahdah Thabit Ibn Dahdah Ibnu Nuaim Ibn Ghunmin ibn Iyyas, isterinya Ummu Dahdah dan juga seluruh keluarganya. Keluarga yang agak berada ini memiliki berbidang tanah dusun kurma yang memberikan banyak keuntungan kepada mereka.

Ummu Dahdah merupakan contoh isteri yang setia dan menyenangkan apabila beliau sentiasa menyokong usaha suaminya. Apabila suaminya mengambil keputusan untuk memeluk Islam dan membantu perjuangan Rasulullah SAW sebagai tentera kaum muslimin, tiada langsung keluhan dan kekesalan yang ditunjukkan.

Menafkahkan Kebun

Ketika turunnya firman Allah SWT yang bermaksud,
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak…” (QS Al-Baqarah:245)

Abu Dahdah tertarik dengan tawaran tersebut dan berkata kepada Rasulullah SAW,

“Saya ingin jadikan ayah dan ibu saya sebagai tebusan, adakah Allah akan meminjam daripada kita padahal Allah tidak memerlukan pinjaman daripada sesiapa pun?”

Balas Rasulullah SAW,

“Ya, dan Allah akan memasukkan kamu ke dalam syurga dengan pinjaman tersebut.”

Abu Dahdah bertanya lagi,

“Apabila saya berikan pinjaman kepada Allah, adakah Allah akan menjamin syurga untukku dan anak-anakku?”

“Ya.” Jawab Rasulullah.

Maka Abu Dahdah pun membuat keputusan dan pintanya,

“Jadi Rasulullah, hulurkanlah tanganmu kepadaku.”

Rasulullah pun menghulurkan tangannya dan Abu Dahdah menyambutnya dan berkata,

“Saya memiliki dua bidang tanah dusun kurma. Salah satunya di tanah rendah Madinah dan satu lagi di tanah tinggi Madinah. Demi Allah, saya berikan kedua-duanya untuk jalan Allah.”

“Abu Dahdah, jadikanlah salah satunya untuk Allah, dan satu lagi sebagai sumber kehidupan keluarga kamu.” Kata Rasulullah.

Namun balasnya,

“Aku bersaksi di hadapanmu, ya Rasulullah, sesungguhnya aku akan jadikan semua kebaikan kedua-dua kebun ini untuk Allah. Kebun tersebut dikelilingi sebanyak 600 pohon kurma.”

“InsyaAllah, Allah akan membalas syurga untukmu,” kata Rasulullah SAW.

Ummu Dahdah yang menyenangkan

Lantas Abu DAhdah pun meninggalkan Rasulullah SAW lalu menuju ke arah kebunnya. Saat itu, Ummu Dahdah beserta anak-anak mereka sedang berada di kebun. Lalu Abu Dahdah pun mendendangkan syair yang menerangkan maksud bahawa beliau telah mewakafkan kebun tersebut untuk jalan Allah dan berharap isterinya mengerti dan merestui tindakan beliau.

Isterinya lalu membalas,

“Engkau telah beruntung dalam perniagaanmu. Semoga Allah memberkati apa yang telah engkau belanjakan ke jalanNya.”

Ummu Dahdah kemudiannya merapati anak-anak mereka. Beliau kemudian mengeluarkan kurma yang sedang dimakan oleh anak-anaknya dan kurma yang berada di dalam baju anak-anaknya. Semua kurma itu dilemparkan semula ke dalam kebun tersebut.

Melihat kelakuan pasangan suami isteri tersebut, Rasulullah SAW lalu berkata,

“Alangkah benyaknya tanda pokok yang besar di syurga milik Abu Dahdah.”

Syahid Di Medan Uhud

Abu Dahdah juga menawarkan dirinya sebagai tentera Islam untuk berjuang di Medan Uhud. Sewaktu tentera Islam kucar-kacir de mdean perang, Abu Dahdah menyeru mereka dengan lantang,

“Semua orang Ansar, dekat padaku. Abu Thabit ibn Dahdah. Jika Muhammad terbunuh, sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak akan mati. Berjuanglah kamu untuk mempertahankan agama, nescaya Allah akan menolong kamu.”

Mereka mendekati beliau dan bersama-sama melancarkan serangan ke atas kafir Quraisy. Akhirnya, Abu Dahdah ditakdirkan mati di tangan Khalid al-Walid yang merupakan tentera musyrikin saat itu. Kematian beliau diterima dengan hati terbuka oleh Ummu Dahdah. Ummu Dahdah begitu tenang menerima khabar tersebut, beliau tidak menangis, meraung mahupun memukul-mukul wajah seperti perempuan jahiliah yang lain. Yang keluar dari mulutnya hanyalah, “Allahuakhbar” dan “Innalillahi wainna ilayhi rajiun” berkali-kali.

Walaupun suaminya terkorban, Ummu Dahdah gembira mendapat tahu Rasulullah SAW selamat kembali ke Madinah. Semuanya kerana beliau telah merelakan dirinya menerima Allah SWT sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Rasulnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s