Saldo dan Tangan

Cerpen: Saldo dan Tangan

Muzaf Ahmad

Kejadian yang aneh telah terjadi dalam hidupku. Benar-benar aneh. Aku terbaring di atas katil buruk di sebuah hospital. Aku dapati tanganku sudah digari ke kepala katil. Gari itu pula berat sekali. Kakiku? Ah, dirempongkan juga! Sekeliling bahagian dahiku pula berjahit dengan benang. Perit sungguh. Kurasakan seperti doktor-doktor itu telah membelah tempurung kepalaku. Entah apa tujuannya, aku tidak mengerti.

Aku cuba menggerak-gerakkan jari-jemariku. Ah, aku tidak bebas bergerak! Kubuka mataku perlahan-lahan. Kelihatan kelibat-kelibat manusia di kiri, kanan, depan dan belakangku. Ada juga kelibat manusia lalu-lalang membawa dulang ubat-ubatan dan menolak troli. Seorang jururawat mendekatiku. Mukanya tersenyum. Manis orangnya. Gari pada tangan kiriku dibukakan. Dia memegang tanganku dan membiusku dengan cecair berwarna biru tua keunguan. Barangkali ubat tidur.

” Ubat apa ini cik? Iodinkah?”

”Maaf encik, preskripsi ini dirahsiakan. Rahsia!”

”Mengapa pula, bukankah saya pesakitnya? Justeru, saya harus tahu semua ini cik. Apa ia memang preskripsi sulit?”

Dia menggaru-garu kepalanya. Dia mengangkat bahunya beberapa kali. Lalu, pergi dari situ tanpa berbicara apa-apa. Aku pula yang semakin kehairanan. Hairan kerana semua orang di situ lain macam saja tindak-tanduk mereka. Sudahlah begitu, suasana di sini juga hambar dan kelam. Tak seperti hospital biasa yang pernah aku lewati. Sibuk dan riuh rendah. Lain dengan yang ini.

Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata. Sempit dan rimas rasanya kamar ini. Badanku berpeluh-peluh. Suis kipas tidak dibuka. Aku kepanasan. Tidak, aku harus bergerak dan memasangnya segera. Aduhai, betapa bodohnya aku! Bukankah kedua-dua tanganku bergari? Aku meronta-ronta. Bagaimana bisa aku ke sana?Ah, tidak dapat kubertahan lagi dengan suhu begini! Mengapalah aku berada di sini. Aku tidak tahu sebabnya.

Seingat aku tempat terakhir yang aku pergi ialah ke sebuah kelab malam. Mungkin setelah aku mabuk aku terus memandu pulang. Barangkali aku kemalangan. Kemudian, dirawat di sini. Entahlah, itu cuma andaianku. Ataupun aku dipukul oleh sahabatku sendiri kerana kalah judi. Ya, memang malam itu aku tewas lagi. Itu juga salah satu terkaanku yang tak terbukti. Aku mahu bertanya doktor itu, mengapa aku di sini. Tapi dia membisu seribu bahasa. Mukanya pula masam mencuka.

Aku semakin takut dengan orang-orang di sini. Seolah-olah aku telah membuat banyak masalah. Pandangan mereka yang tajam kepadaku seperti aku ini musuh mereka. Musuh utama. Aku tak tahan lagi. Aku meraung semahu-mahuku. Aku takut kalau aku ditikam oleh mereka sampai mati. Mati dengan menderita.

”Encik Haikal.”

”Ya, saya.”Aku menjawab tenang.”

”Sebentar sahaja lagi anda akan dimasukkan ke kamar bedah.”

”Sekali lagi? Tapi doktor, untuk apa pula kali ini?”

”Tanganmu akan dipotong dari hujung jari hingga ke pangkal siku.”

”Kedua-duanya sekali doktor?”

”Ya, kedua-duanya sekali”

”Kenapa perlu begitu doktor? Tangan saya ini masih sempurna. Masih bisa

digunakan lagi! Saya merayu doktor, jangan dipotong. Kasihanilah saya…”

”Maaf, kami tetap akan melakukannya.”

Semakin tertekan kurasa. Sudahlah kepalaku ditebuk, tanganku pula mahu dikudungkannya. Apa semua ini? Semuanya berlaku tanpa aku sendiri mengerti alasannya. Daripada mereka menyeksaku begini, lebih baik aku dibiarkan mati saja! Apa gunanya aku hidup begini?Ya Tuhanku, bantulah aku. Aku tak sanggup melihat tanganku kudung!

Nampaknya doaku tidak dimakbulkan. Aku ditolak ke dalam kamar bedah lagi. Aku meraung sekuat hati. Tapi aku tak bisa lari. Tangan dan kakiku masih bergari. Empat orang doktor di sekelilingku bersarung tangan getah. Mulut bertutup. Seorang doktor dibantuoleh dua orang jururawat. Operasi pembedahan berjalan. Bukan sahaja tanganku akan dipotong, malah mereka melakukannya dalam keadaanku yang sedar. Aku hanya mampu memejamkan mata semahu-mahuku.

Habis sahaja pembedahan, gari dilepaskan. Doktor dan jururawat ketawa sinis.  Mereka meninggalkanku sendiri di dalam kamar bedah. Mereka keluar seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Biarlah mereka dengan keseronokan itu. Aku kini merasa bebas. Bebas untuk bergerak. Bebas untuk ke mana-mana walaupun tanpa kedua-dua belah tanganku. Tapi, bagaimanakah kesanggupanku menghadapi masyarakat di luar sana? Aku malu kerana tidak sempurna lagi. Aku malu untuk berjumpa kakakku, Aryanti. Sudahlah aku banyak berhutang dengannya. Wang yang dipinjam habis dibuat berjudi. Dan kini, aku tak punya apa-apa lagi. Tak punya wang atau sebarang harta. Tak punya jari-jemari atau tangan!

Fikiranku semakin berselirat. Apakah aku harus mencari kerja untuk mendapatkan wang? Wang untuk melangsaikan hutang-hutang Kak Yanti? Dan dalam keadaan cacatku sebegini, siapakah yang sanggup menerimaku bekerja? Siapa? Aku tak bisa menulis, menaip atau mengangkat barang lagi. Aku bingung.

Mataku yang terkatup lama terbuka perlahan-lahan. Juzuk-juzuk cahaya menerobosi anak mataku. Seputar mataku terasa pedih setelah keluar dari dimensi mimpi yang maha dasyat itu. Astaghfirullahhalazim. Mimpi ini benar-benar telah membuatkan aku terfikir. Perasaanku terjeda. Sekarang aku hanya mampu memikirkan bilakah detik kematianku. Setahun? Sebulan? Sejam? Seminit dua atau beberapa saat lagi? Wahai Tuhanku, sungguh, aku bertaubat!

Aku berangkat ke rumah Kak Yanti.

”Kak Yanti, Haikal minta maaf kak! Mintak maaf banyak-banyak…”

”Minta maaf kenapa? Kenapa kamu berlutut begini? Cepat bangun. Kalau ya pun mari masuk dulu. Hari pun dah gelap ni.”Kak Yanti yang sedang bertelekung mempelawaku semesra dulu meskipun sebelum ini aku sering sahaja berkasar terhadapnya.

”Apa yang terjadi denganmu?”

”Kak Yanti, tadi saya bermimpi yang aneh sekali. Ia membuatkan saya berfikir dan bermuhasabah diri. Saya mahu bertaubat. Saya mahu berubah. Saya tidak akan berjudi lagi. Saya tidak akan minum arak lagi. Saya tidak akan ke lorong maksiat itu lagi. Tidak akan lagi. Saya berjanji akan melangsaikan semua hutang kakak sebelum ajal saya sampai. Saya mahu berubah kak! Kak Yanti bimbing saya ya!”

Dia tersenyum. Aku dapati garis-garis kelegaan terukir pada senyumannya itu. Aku menghulurkan lima puluh ringgit kepada Kak Yanti.

”Saldonya aku pulang kemudian ya kak. Boleh kan?”

”Ya sudah, akak tak kisah. Syukurlah. Nampaknya doa akak sudah dimakbulkan Tuhan. Lepas solat Maghrib, akak selalu mendoakanmu supaya berubah dan kembali ke jalan-Nya. Alhamdulillah.”

”Terima kasih kak. Aku sangat terhutang budi. Budi baikmu.”

”Ingat Kal, Allah itu Maha Pengampun. Janganlah kamu ulangi kesilapan lampau. Sentiasalah ingat akan nikmat-nikmat yang dikurniakan-Nya. Bertaubat nasuhalah kepada-Nya.”

Laungan azan Maghrib bergema.

”Ayuh Kal, mari kita solat Maghrib berjemaah di surau.”

Advertisements

2 thoughts on “Saldo dan Tangan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s