Kebahagiaan Itu Dicuri Lagi!

Berkesempatan untuk bercuti di musim persekolahan memang menyeronokan. Pagi-pagi lagi rumah sudah riuh rendah dengan suara adik-adik yang gegas bersiap untuk ke sekolah. Dengan baju yang putih bersih, menampakkan kesucian hati yang belum dikotori dengan bermacam masalah sosial yang timbul dalam kalangan remaja sekarang. Selepas pukul 6:45 pagi, rumah kembali sunyi. Semacam mati dengan gelak tawa adik-adik yang sudah ke sekolah menaiki kereta ibu. Saya pasti, setiap rumah memiliki suasana dan hawa yang sama dengan rumah saya setiap pagi. Tidak kiralah di muka bumi yang mana.

Melihat adik-adik yang bersekolah, saya terimbas kenangan lalu. Semasa masih bersekolah. Diriku yang sifar dengan ilmu. Jahil dengan dunia pelajaran. Namun, masih cekal untuk meneruskan sekolah. Berbekalkan dengan hanya beberapa kupang, saya masih gagah untuk mengayuh basikal ungu. Hadiah dari bapa kerana saya mahu ke sekolah lagi! Alam persekolahan memang menyeronokkan. Setiap hari bertemu dengan guru-guru dan rakan-rakan. Walau dapat bertemu dengan mak cik kantin sekali pun memberi kebahagiaan yang tersendiri. Setiap hari, bertemu dengan wajah yang sama, mendengar suara yang sama, dan bermain di tempat yang sama pada waktu rehat tidak sedikitpun membuatku untuk tidak ke sekolah. Mereka memberiku kebahagiaan dan harapan untuk terus gigih dan tekun menelaah setiap lembaran ilmu yang terkandung di dalam kitab-kitab. Kitab-kitab pinjaman yang sering bertukar tangan setiap kali saya dapat naik kelas.

Waktu sesungguhnya mencemburui kita semua. Tidak terkecuali diri saya yang kerdil ini. Bapa bertukar tempat kerja setelah hampir 10 tahun berkhidmat di daerah Johor Bahru ini. Dan kali ini, kami sekeluarga ke daerah yang belum pernah terfikir oleh kotak akal saya untuk menetap di sana. Mersing, sebuah daerah yang kecil, wujud di timur negeri Johor Darul Takzim. Inilah perpisahan pertama, berlaku ke atas diri saya. Setiap minit bersama-sama rakan-rakan menjadi pepejal hidup yang sentiasa bermain di mata. Sedih, pilu, dan sayu memikirkan kebahagian yang telah dirampas itu.

Tempat baru. Suasana baru. Hawa baru. Segalanya baru buat diriku di daerah kecil itu. Setiap hari, wajah-wajah yang sering kutatap tanpa jemu berubah bentuk. Namun sedikit pun tidak mengubah kegigihan dan ketekunanku untuk mengaut setiap ilmu yang ditebarkan oleh guru-guru di sana. Banyak yang saya belajar di sana. Dan belum tentu dapat kalau saya tidak berhijrah ke daerah terpencil ini. Umur semakin dewasa. Dengan kedewasaan ini, saya menuntut lebih banyak masa untuk kebebasan. Hampir setiap minggu, ada saja aktiviti bersama rakan-rakan baru yang dirancang. Sudah tentunya, tidak boleh tidak! Saya mahu mengikuti aktiviti-aktiviti yang kelihatan menyeronokkan bagi orang-orang yang sebaya saya ketika itu. Menyusuri pantai yang memutih. Indah berseri dengan kilauan butir-butir pasir yang memancarkan kilauan terik matahari. Menguasai puncak tertinggi di kawasan kampung rakan sekolah. Hampir dapat melihat setiap rumah di bawahnya. Tapi, masih ada satu lagi kekurangan. Aktiviti yang dibantah keras oleh ibu dan bapa. Aktiviti yang saya impikan sepanjang hidup di sana. Aktiviti yang sehingga kini masih belum tercapai – meneroka pulau-pulau yang berselerakan di perairan Mersing, kawasan taklukan Laut China Selatan.

Kiranya panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Saya berhijrah sekali lagi. Setelah dua tahun mengukir sejarah di daerah kecil yang indah itu. Bukan kerana bapa yang berpindah tempat kerja. Semuanya kerana ilmu yang lebih kusayangi berbanding setiap detik dan saat bersama rakan-rakan di sini. Saya mencampakkan diri saya ke lembah yang penuh ranjau. Cabaran dan dugaan berjalan seiring dengan setiap langkah kakiku di sana. Sekolah berasrama penuh. Di daerah kelahiran datukku – daerah Pontian. Jauh daripada pusat bandar. Bertempat di Jelutung. Satu nama yang baru menerpa gegendang telingaku.

Walaupun penuh duri dan ranjau, saya tetap tabahkan hati untuk mengukir senyuman mesra. Sebagai hadiah kepada guru-guruku dan rakan-rakanku yang banyak bersabar untuk membimbing dan menuntun saya ke jalan kejayaan. Kehidupan di sini lebih menuntut kesabaran dan kekuatan mantal dan spiritual daripada saya. Segalanya berubah. Rakan-rakan seantero Malaysia, pelbagai bangsa, bahasa, dan agama. Penuh warna-warni. Inilah pertama kali dalam sejarah hidupku. Berkawan dengan rakan bukan sebangsa. Di sini, di tanah bertuah ini, saya dibesarkan dengan disiplin. Menjadikan diri lebih berdisiplin berbanding sebelumnya. Mematangkan minda yang muda remaja. Membuka pintu akal yang selama ini malu-malu untuk menjenguk ke luar.

Segalanya berubah. Kicauan burung-burung yang menghiasi pagi hari dan sarapan sentuhan kasih sayang ibu, berubah kepada bunyi siren yang bisa memekakkan telinga dan sarapanyang hanya untuk mendapatkan kesegaran minda diawal pembelajaran. Bukan setakat itu sahaja, kitab-kitab nipis yang setiap kali kudukung, berubah kepada kitab-kitab yang lebih tebal. Menampakkan ketokohan seseorang pelajar yang berulang alik ke asrama setiap hari, tanpa jemu untuk mendukungnya. Namun begitu, masih ada persamaannya. Kegigihan dan ketekunanku untuk menelaah tidak pudar. Tapi semakin berapi-api. Berebut-rebut untuk melepasi aras yang telah ditetapkan oleh sekolah, malah aras kepuasan diri sendiri.

Walaupun kelihatan sengsara dengan semuanya, masih ada kebahagiaan yang bersinar untukku di sini. Sukan. Permainan. Dan bermacam jenis pasukan beruniform menjadi titik kebahagiaanku di sini. Sebabnya hanya satu. Boleh ponteng kelas! Walaupun hanya seminggu paling lama. Dan semestinya saya boleh bercuti dengan percuma! Sejauh Kedah di utara dan Kelantan di timur. Saya dapat tambang bas, makanan, dan penginapan percuma untuk percutian di musim persekolahan. Satu tawaran yang berbaloi-baloi. Bayarannya hanya dengan bersukan, memerah kepala dengan kuiz-kuiz matematik, dan berkhemah seriangnya bersama rakan-rakan. Inilah aktiviti yang direncanakan sepanjang percutian percuma ini. Syaratnya: mengharumkan nama sekolah adalah keutamaan. Bukan sekadar dengan kemenangan, tetapi juga dengan peribadi dan peri laku baik yang ditonjolkan.

Lima tahun membaja batas ilmu yang disemai oleh tenaga pengajar di Pontian ini terasa singkat. Umpama kerdipan mata yang termasuk habuk di jalanan. Semaian-semaian ilmu membesar, subur dan segar. Mempersiapkan diri dengan perjuangan yang lebih berbahaya. Tanpa bimbingan dan dorongan. Hanya yang kuat mampu bersaing dan terpasak gagah dengan kemenangannya. Itulah kehidupan selepas sekolah. Tanpa disiplin yang dijadualkan, jarang mendengar kata-kata teguran dari guru-guru, tanpa bimbingan daripada ustaz dan ustazah, tanpa segalanya. Kecuali dengan kemahuan sendiri untuk mencari. Kehidupan itulah yang kutempuh kini. Itulah jalan yang kuharungi sehingga tiba giliranku untuk kembali kepadaNya. Jalan yang lebih dahsyat godaan dan ranjaunya.

Tanpa kusedari, sehinggalah saya melihat adik-adik ke sekolah, sekali lagi, kebahagiaan saya dicuri. Dicuri dengan kesibukkan diri. Dalam kesesakan waktu untuk memajukan diri. Di dunia asing bagi saya. Dan dalam sebuah kehidupan yang saya sendiri tidak pasti pengakhirannya. Kebahagian dulu yang lenyap. Sehingga tidak tercapai akal untuk mencapainya kembali. Bisakah saya untuk berlari-lari bersama rakan-rakan di persisiran pantai? Sama-sama berpeluh dalam kesusahan menawan puncak tertinggi di Mersing dulu berulang kembali? Tidak mungkin rasanya pada usia saya kini. Yang kekal hanyalah kebahagiaan untuk saya terus gigih dan tekun menelaah kitab-kitab. Itulah kebahagiaan yang belum pernah hilang, dicuri oleh sesiapa.

Maka, marilah kita sama-sama untuk menelaah kitab-kitab. Terutamanya kitab Al-Quran yang menjadi manual kehidupan setiap muslim dan muslimah. InsyaAllah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s