Sebuah Kereta Lembu

Dalam dunia ini, ada banyak benda yang kita sayang. Sesetengah daripadanya kita sayang lebih daripada yang lain. Nilai sesuatu barang berbeza pada pandangan setiap orang. Contohnya sebuah buku nota kecil. Bagi seorang peniaga, buku nota kecil ibarat aset paling berharga dalam hidupnya kerana mencatat hutang piutang niaganya. Bagi seorang pelajar, buku nota kecil berharga buat seketika sahaja, setelah tamat periksa, tidak bernilai lagi. Namun, daripada banyak golongan, orang yang paling menghargai buku nota kecil, tentulah pembuat atau pencipta buku nota tersebut. Setuju?

Sesuatu barangan mungkin menjadi paling berharga apabila dihadiahkan oleh orang tersayang. Namun lebih daripada itu, ia akan lebih dihargai jika ia dibuat dengan susah payah, jerih letih kita sendiri. Tambah manis lagi, jika dalam proses pembuatannya kita menghadapi pelbagai masalah dan berjaya kita atasi.

Namun, sangat menyakitkan jika barang tersebut dimusnahkan di depan mata, dan kita tidak mampu berbuat apa-apa. Tambah pedih lagi apabila yang memusnahkan barang kesayangan kita adalah orang yang paling kita sayangi/hormati.

Itulah mungkin yang terjadi pada Sultan Alauddin Riayat Shah tika muda baginda. Kisah ini saya baca dari sebuah novel fiksyen, kisahnya mungkin sahih mungkin tidak, namun saya percaya hikmahnya berguna bagi yang mengerti dan sudi memahami.

Kisah bermula ketika baginda masih muda dan belum ditabalkan menjadi sultan Melaka. Baginda berguru dengan seorang ahli tasawuf bernama Nuh Ha Mim. Baginda diperintah untuk taat dan patuh pada setiap ajaran gurunya. Suatu hari, gurunya meminta baginda membuat sebuah kereta lembu.

Pening juga kepala baginda kerana baginda langsung tidak tahu menahu bagaimana cara untuk membuat kereta lembu. Namun digagahkan juga kudrat, dipanggil bersama dua temannya, dan mereka sama-sama memerah akal untuk membina sebuah kereta lembu.

Berjalanlah mereka ke seluruh pelusuk negeri, mencari kayu-kayu bermutu untuk dibuat badan kereta lembu. Untung juga Melaka ketika itu meriah dengan pasar-pasar jualan, maka mudahlah mereka mencari bahan mentah untuk kereta tersebut. Mereka juga mencipta teknologi baru, mencairkan besi dan dituang besi cair tersebut pada bahagian tertentu di badan kereta untuk mengukuhkan binaan. Seterusnya mereka turut menambah sistem brek ringkas bagi memudahkan kereta lembu tersebut diperlahan dan diberhentikan.

Setelah berhempas pulas selama dua minggu akhirnya kereta lembu tersebut berjaya disiapkan. Maka baginda membeli khas 2 ekor lembu jantan yang gagah perkasa untuk mengangkut kereta lembu tersebut. Berjalanlah baginda mengusung kereta lembunya dengan penuh rasa bangga dan megah ke rumah gurunya yang tersayang.

“Silakanlah tuan guru menaiki kereta lembu yang tidak seberapa ini, bersiar-siar keliling kota,” titah baginda dengan penuh debar dan ghairah menanti saat kereta kesayangan ciptaannya dirasmikan oleh gurunya. Gurunya hanya tersenyum melihat tingkah anak muridnya.

“Tukar lembu jantan ini dengan lembu betina,” perintah gurunya.

Baginda tercengang dan kehairanan, namun tidak berani mempersoal tindakan gurunya. Maka ditukarkan lembu jantannya yang gagah perkasa kepada dua ekor lembu betina. Baginda sendiri menjadi pemandu kereta lembu tersebut.

Akhirnya mereka sampai ke suatu kawasan berbukit. Lembu betina yang membawa mereka tidak mampu menanggung beban yang berat dan bergerak perlahan mendaki bukit tersebut. Baginda juga terlupa memasang tongkat (penahan) di belakang kereta, akibatnya beberapa kali kereta tersebut ‘tersengguk-sengguk’ mendaki bukit. Lantas baginda membuat keputusan untuk berpatah balik menuruni bukit.

Dalam perjalanan turun, baginda terlihat gurunya dengan sengaja mencabut gandar kereta. Kereta beroleng ke kiri dan kanan dan akhirnya baginda mencabut pemegang kereta daripada lembu dan membiarkannya menyelamatkan diri. Dengan ilmu persilatan yang ada baginda menyelamatkan gurunya daripada kereta yang terbabas itu. Dengan rasa kesal dan geram, baginda melihat sahaja keretanya melanggar pokok dan pecah berderai. Habislah segala penat lelah baginda, musnah sekelip mata.

Baginda pulang ke rumah dengan rasa sedih dan kecewa. Setelah tiga hari ketika perasaan baginda mulai tenang, baginda datang bertemu gurunya. Gurunya meminta baginda meluahkan apa yang terbuku di dada.

“Maafkan anakanda jika tersalah kata. Memanglah kesalahan anakanda terlupa memasang tongkat di belakang kereta dan anakanda pohon ampun dan maaf. Namun pada hemat anakanda, adalah tidak wajar ayahanda menukarkan lembu jantan kepada lembu betina tanpa bertanya pendapat anakanda dahulu. Sedangkan anakanda yang menciptanya, tentulah anakanda yang lebih jelas kelebihan dan kekurangannya. Maafkan anakanda jika terkasar bahasa,”

Gurunya tersenyum sahaja.

“Anakku, begitulah perihal kehidupan kita di dunia ini. Kehidupan ini hendaklah mengikut aturan yang telah ditetapkan Pencipta kita semua. Jika memandai-mandai sendiri, akibatnya jadilah kemalangan, bukan sahaja di dunia malah lebih teruk lagi di akhirat nanti. Semua peraturan dan panduan jelas tercatat dalam kitab suci Al-Quran dan lembaran-lembaran hadis, berpegang teguhlah anakanda pada keduanya. Seterusnya, lembu betina tidak mampu melakukan kerja lembu jantan. Begitulah perihal wanita dalam kehidupan. Bukan mahu menyamakan wanita dengan lembu betina, namun sekadar perbandingan, ada kerja yang sesuai untuk wanita dan begitu juga sebaliknya. Lembu betina tidak mampu menanggung beban lembu jantan kerana memang lembu jantan dicipta untuk tujuan tersebut sedangkan lembu betina untuk tujuan lain. Bijaksanalah anakanda mengaturkan keduanya. Yang akhir, ingatlah anakanda hidup ini bukan selalu landai, adakala kita perlu mendaki dan menuruni bukit. Maka siap siagalah kita semua, jangan sampai terleka dan buatlah persiapan sentiasa. Serta bertawakkallah pada yang Esa. Semoga anakanda membesar menjadi seorang pemimpin yang adil dan saksama.”

Gurunya menerangkan panjang lebar.

Baginda terharu dan insaf akan kejadian tersebut.

Tamatlah kisah yang saya olah daripada pembacaan lalu. Mungkin para pembaca ada pengajaran dari sisi yang lain daripada saya. Nilailah dan ambillah hikmah mengikut acuan masing-masing.

Semoga kita terdewasa dengan pengalaman.

4 thoughts on “Sebuah Kereta Lembu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s