Mama cantik. Kan papa?

“Mama nak pergi berapa hari?”

“Dalam dua minggu. Afifah tolong ambilkan beg mama dalam bilik.” Humairah meminta puteri kesayangannya itu mengambil barangnya.

“Nanti bila saya dah naik kapal terbang, abang bagi surat ni pada Afifah ya. Ini amanah terakhirnya.” Humairah menghulurkan sepucuk sampul pada Imran. Imran terkedu.

“Tapi abang risau Afifah tak dapat terima.”

“Abang, kita dah didik dia dengan baik sedaya upaya kita. InsyaALLAH dia dapat terima. Lagipun kita tak boleh nak rahsiakan perkara macam ni. Abang jangan risau ya.” Humairah memujuk suaminya dengan senyuman.

“Afifah, papa nak tunjuk sesuatu pada Afifah.” Imran menguatkan hatinya untuk memberitahu Afifah.

“Ni gambar siapa papa?”

“Inilah mama Afifah.” Jawab Imran sambil tersenyum.

“Tapi, kenapa tak sama dengan..?!” Afifah keliru.

********************************************

Assalamualaikum..

Apa khabar sayang? Mama harap sayang sihat. Maaflah kerana mama tidak selalu bersama Afifah, mama tidak dapat lihat perkembangan Afifah setiap hari. Masa tak mengizinkan mama buat begitu. Tapi mama selalu berharap agar Afifah menjadi anak yang baik dan solehah. Kita tak tahu apa yang bakal terjadi dalam hidup kita. Sebab itulah kita perlu sentiasa bersedia. Yakin bahawa setiap yang terjadi adalah yang terbaik ALLAH tentukan buat kita.

Saat surat ini ditulis, Afifah masih bersama mama. Afifah masih bersatu dengan mama. Denyut nadi Afifah dapat mama rasakan dan kadang-kadang bila Afifah tendang perut mama, mama terjerit sedikit sebab sakit. Tapi sakit itu mama rasakan begitu indah, segala susah payah mama sepanjang Afifah berada dalam perut mama merupakan kenangan manis yang tak dapat mama lupakan. Kerana mama tahu, Afifah adalah anugerah paling bernilai yang ALLAH kurniakan pada mama dan papa. Dan biarlah perit manapun untuk mama lahirkan Afifah, mama tak kisah. Asalkan Afifah dapat melihat dunia dan berbakti pada agama. Tinggi harapan mama untuk melihat Afifah bangun sebagai seorang srinkandi Islam dalam dunia yang semakin hanyut sekarang ni. Lalu bersama harapan yang tinggi itu, mama memilih nama yang indah buatmu, Afifah Solehah.

Tapi Afifah, bila mama teringatkan satu maksud hadis ini, mama jadi risau. Mungkin Afifah pun tahu tentang hadis ini. Mama tak dapat ingat dengat tepat susunan ayatnya, cuma isinya membuatkan mama tersentuh. “Bila matinya keturunan Nabi Adam, akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara. Segala amal jariah, ilmu yang disampaikan dan doa anak-anak yang soleh.” Alhamdulillah, yang pertama dan kedua, dapat mama lakukan. Tapi bagaimana dengan yang ketiga? Mama tak dapat lakukan. Tak mungkin sayang. Kerana doa itu ada pada Afifah, hanya Afifah yang mampu doakan untuk mama. Tapi, adakah mama hanya  berdiam diri dan berharap agar Afifah doakan untuk mama? Tidak sayang, jika mama berbuat begitu maknanya mama zalim pada dirimu. Mama perlu mendidik dirimu dengan agama agar Afifah tahu tanggungjawab Afifah sebagai anak dan hamba ALLAH.

Namun, sekali lagi kerisauan melanda hati mama. Dalam dunia yang serba moden ini, ramai yang sudah jauh tersimpang. Pada pendapat mam kerana mereka hanya percaya akan kewujudan ALLAH, tapi tidak meyakininya. Berapa ramai mama lihat anak-anak remaja yang tewas dengan godaan syaitan kerana ibu bapa mereka gagal dalam mendidik. Adakah mama mampu? Adakah mama mampu mendidik Afifah sehingga doa Afifah untuk mama diangkat sebagai anak yang solehah? Bila difikirkan semula, bukan hak mama untuk menentukan semua itu, sebagai hambaNYA mama hanya mampu berusaha dan yakin pada janjiNYA. Ya, mungkin ALLAH tidak member banyak waktu untuk kita bersama, tetapi Dia maha Adil. Dia berikan mama kesempatan untuk mencoretkan warkah ini buatmu, sayang. Agar dapat mama sampaikan sesuatu kepadamu.

Ada satu kisah yang mama ingin ceritakan. Kisah inilah bukanlah bersumberkan Al-Quran mahupun hadis, tapi ada suatu mesej yang mama rasakan berguna untuk Afifah. Kisahnya tentang ahli silap mata dan buah epal. Pada suatu hari, ahli silap mata mengadakan pertunjukan. Dalam pertunjukan itu ahli silap mata akan memanah sebiji epal yang diletakkan di atas kepala pembantunya dari jarak 20 meter. Ahli silap mata tersebut berjaya melakukankannya dan dia mendapat tepukan yang gemuruh dari para penonton. Semua penonton mengagumi apa yang dilakukan oleh ahli silap mata itu. Mereka percaya dengan kebolehannya memanah sejauh itu dengan ketepatan kerana mereka telah menyaksikan dengan mata mereka. Tapi, jika salah seorang penonton diminta untuk berdiri pada jarak 20 meter sambil menunggu ahli silap mata memanah sebiji epal di kepalanya, mama pasti tiada siapa yang sanggup. Mereka pasti risau akan keselamatan mereka walaupun baru sebentar tadi mereka percaya dengan kebolehan ahli silap mata itu.

Afifah faham tak apa yang cuba mama sampaikan? Bukanlah mama minta Afifah bersedia dengan sebiji epal dan menunggu untuk dipanah. Apa yang mama mahu adalah Afifah mesti yakin dengan kalimah syahadah yang Afifah ucapkan. Pada ALLAH Afifah letakkan kepercayaan Afifah. Tentang syurga, neraka, pahala dan dosa mama mahu Afifah yakin pada semua janji ALLAH itu. Bukan hanya percaya dengan apa yang dibaca, atau percaya dengan apa yang Afifah dengar daripada ustazah. Mama mahu Afifah jadi seperti sahabat Rasulullah yang berjihad demi Islam. Yang sanggup membiarkan diri mereka dilukai di medan perang kerana mereka yakin dengan kesakitan itu ada satu ganjaran terbaik yang ALLAH janjikan buat mereka. Mama risau jika Afifah hanya percaya dengan mata dan telinga sahaja, Afifah akan mudah terpedaya dengan hasutan syaitan yang sentiasa mahu melalaikan kita. Memanglah fitrah untuk kita sebagai manusia ada rasa ragu, tetapi pada ALLAH tidak ada keraguan pada kekuasaanNYA.

Sayang, bila Afifah dah meningkat dewasa, dan mula melihat dunia, pasti Afifah akan tertanya-tanya. Tertanya-tanya mengapa ada antara mereka yang tegar meninggalkan solat dan mendahulukan urusan dunia. Mengapa ada yang sanggup meminum arak dari memilih air sirap. Mengapa ada yang sanggup memegang tangan mereka yang bukan muhrim, berdua-duaan tanpa rasa malu. Padahal dari memegang tangan bukan muhrim, adalah lebih baik mereka memegang seekor khinzir. Mengapa ada yang kaya, tetapi bakhil dari membantu yang memerlukan. Dan pelbagai lagi ragam manusia yang angkuh pada penciptanya. Ini kerana mereka percaya adanya syurga, adanya neraka. Tetapi mereka tidak meletakkan keyakinan padanya. Mereka lebih mengejar keseronokan dunia walaupun mereka tahu ia hanya sementara. Mereka tahu adanya azab ALLAH, tetapi mereka masih meremehkannya dan memilih untuk berbuat noda. Mereka tidak percaya dengan mendekati ALLAH mereka akan beroleh kebahagiaan. Seorang kekasih tidak yakin bahawa dia akan mengecapi kebahagiaan jika dia berpisah dengan teman lelakinya kerana mencari redha Ilahi. Dia lebih memilih untuk terus bersenda gurau dengan kekasihnya yang bukan muhrim itu kerana dia dapat rasa keseronokannya pada saat itu. Dia takut untuk berpisah kerana dia tidak yakin bahawa dengan bersolat dan merasai cinta ALLAH adalah lebih baik. Dia buta dek kerana tipu daya syaitan. Bagi mereka yang bakhil pula, mereka tidak yakin bahawa semua rezeki datang daripada ALLAH. Mereka bimbang kekayaan mereka akan berkurangan. Lalu mereka menjadi kikir.

Mama tahu, pasti Afifah tertanya-tanya, bagaimana mama boleh mengatakan yang mereka ini sebenarnya tahu tentang syurga dan neraka tetapi mereka tidak yakin. Kerana bila ditanya, dan diajak berubah ada antara mereka yang menjawab,

“Kau peduli apa? Kubur masing-masing.”

“Aku tahu aku salah. Dah tua nanti aku bertaubatlah.”

Lihat? Mereka tahu mereka melakukan dosa dan adanya balasan neraka. Cuma, mereka masih terus melakukannya. Mama harap ayat ini takkan keluar dari mulut Afifah.

Dan di satu sudut dunia yang lain, mungkin Afifah dapat melihat seorang yang sanggup mengorbankan waktu tidurnya untuk bermunajat kepada ALLAH, ada yang sanggup berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu, ada yang sanggup bersusah-payah menyampaikan dakwah walaupun tidak ramai yang mendengarnya. Mungkin juga Afifah berjumpa dengan seorang yang sanggup melupakan kekasihnya demi cinta ALLAH. Dan yakin pada jodoh yang ditentukan oleh penciptaNYA dan berusaha mendapat yang terbaik. Afifah juga pasti berjumpa dengan kisah ironi seorang yang miskin tetapi tidak kikir dalam memberi bantuan walaupun hanya secebis roti. Tak perlulah mama terangkan mengapa, cukuplah jika mama katakan, mereka itulah golongan yang yakin pada ALLAH. Yakin pada janji ALLAH dan pada balasan yang lebih baik dan kekal iaitu syurga. Yakin bahawa setiap rezeki adalah kurniaan ALLAH dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Semoga Afifah menjadi seyakin itu pada akidah yang Afifah pegang. Pada kalimah syahadah yang Afifah lafazkan.  Yakin bahawa setiap ketentuan ALLAH ada hikmahnya. Supaya Afifah yakin bahawa kematian  mama saat Afifah masih bayi adalah takdir yang terbaik. Semoga dengan keyakinan ini, Afifah tidaklah menangisi pemergian mama, sebaliknya mendoakan mama. Meskipun saat Afifah membaca warkah ini mama sudahpun berada di alam lain, namun mama amat menyayangimu sayang. Dari kejauhan mama mengharapkan sepotong doamu.

Yang jauh,

Mama.

Air mata Afifah mengalir. Dia meletakkan surat itu ke dadanya.

“Papa, kenapa mama meninggal?”

“Dia sakit, sayang.”

“Sekarang mama dah tiada, apa yang boleh Afifah buat untuk mama?”

“Afifah Solehah. Tanggungjawab seorang anak tidak terhenti saat ibubapanya meninggal dunia. Bahkan ia menjadi permulaan. Di sinilah doa seorang anak itu diharapkan dan segala tingkah lakunya harus dijaga mencerminkan didikan yang ibubapanya beri. Afifah mesti jaga peribadi, saat Afifah mahu berbuat sesuatu yang tidak baik, takutlah pada ALLAH dan fikirlah papa yang menyayangi Afifah dan mama yang menanti di sana. InsyaALLAH sayang, kamu takkah mampu melakukan salah itu.”

“Urm! Afifah akan doa untuk mama.” Afifah mengangguk faham sambil tersenyum walaupun air mata masih bersisa.

“Tapi macam mana dengan mama yang lagi satu?”

“Auntie Humairah tu adik mama Afifah, dan dia akan tetap jadi mama Afifah juga.”

Afifah mengangguk faham sekali lagi sambil merenung gambar itu.

“Mama cantik. Kan papa?”

“Ya. Dia cantik. Cantik agama dan akhlaknya.”

“Mama sempat tengok Afifah?”

“Sempat masa Afifah bayi. Dan mama pun cakap Afifah cantik.”

Afifah tersenyum, begitu juga dengan Imran. Imran berdoa agar zuriatnya menjadi insan yang berguna.

“Jika anak-anak tidak dididik oleh ibu bapa,

maka mereka akan dididik oleh zamannya….”

3 thoughts on “Mama cantik. Kan papa?

  1. Salam..
    tahniah kepada para pembangun laman ini…
    sangat berguna pada pembaca dan tambah minat dalam agama kerana kini agama dipandang enteng…jiwa menjadi kering dek kerana rohani yang yang telah lama menjerit perih minta jangan kering….tahniah sekali lagi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s