Jadilah Peminta yang baik

Manusia tidak boleh hidup sendirian di muka bumi ini, kita semua perlukan tempat bergantung. Bergantung harap untuk meneruskan perjalanan di dunia ini, tempat meminta kala memerlukan. Tidak kiralah betapa hebatnya seseorang itu, bohonglah jika dia katakan yang dia tidak pernah meminta.  Dalam kehidupan seharian kita, sama ada kita sedar atau tidak, kita tidak boleh lari dari meminta. Ada yang jelas, ada juga yang secara tidak jelas. Jadi, jika kita ada melafazkan perkataan yang terkandung kata akar ‘pinta’ dalamnya atau yang semaksud dengannya, sudah cukup menjadikan kita seorang peminta. Bahkan, sebuah harapan yang kita lafazkan dalam hati juga adalah permintaan dan menjadikan kita seorang peminta.

“Saya minta maaf.”

“Saya minta sangat, tolonglah percaya pada saya.”

“Saya minta jasa baik tuan berkenaan perkara ni.”

“Nak minta tolong sikit boleh?”

“Minta kerjasama para peserta untuk memenuhkan kerusi di bahagian hadapan.”

Ayat-ayat ini sering kita dengar.  Keadaan mungkin berubah, tetapi peminta itu akan tetap wujud. Maksud saya, adakalanya kita akan menjadi orang yang meminta, adakalanya kita akan jadi orang yang dipinta. Ia bergantung pada situasi. Namun pada satu situasi, kita akan kekal sebagai peminta untuk selama-lamanya. Hakikat ini takkan berubah walau apapun keadaannya. Kita akan terus jadi peminta. Ya, kita akan jadi peminta yang setia. Jadi, adalah penting bagi kita untuk menjadi peminta yang baik. Agar kita yang meminta tidak hampa.

Jadilah peminta yang baik dengan meminta hanya pada yang sepatutnya. Memohon pada yang mampu memberi. Memohon pada ALLAH yang telah menciptakan kita dan meletakkan Dia sebagai tempat bergantung kita yang tunggal. PadaNya kita mohon segalanya, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah memohon ampun atas dosa-dosa yang telah kita lakukan, memohon perlindungan dan kemurahan rezeki. Dan, proses meminta ini dipanggil doa. Bagi seorang yang beriman, wajib baginya mengakui kekuasaan ALLAH dan berdoa hanya padaNYA. Bukan meminta pada makhluk yang tidak punya apa-apa. Telah turun perintah terus dari ALLAH yang menuntut hambaNya untuk berdoa.

“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” [Al Mukmin : 60]

Doa bukanlah satu perkataan yang membawa maksud mudah semudah ejaannya. Tetapi ia adalah satu proses meminta daripada yang Maha Esa. Satu saat seorang hamba itu memuji tuhan setinggi-tingginya dan merendahkan diri serendah-rendahnya. Pada waktu inilah, kita dapat merasakan betapa kerdilnya kita tanpa nikmat dari ALLAH yang tidak pernah putus.  Dengan doa kita dapat menolak bala. Bala ini boleh datang dalam pelbagai bentuk.  Ia tidak terhad kepada bencana alam sahaja. Kecurian dianggap bala, tidak hujan untuk tempoh masa yang lama juga dianggap bala. Inilah antara kelebihan sepotong doa. Tetapi berapa ramai orang yang berdoa tetapi tidak dimakbulkan. Di mana silapnya? Sudah bertahun-tahun meminta tetapi tidak pernah dapat, kita akan mula berputus asa. Mungkin ada juga yang mula rasa tidak guna berdoa lagi. Masya ALLAH, jangan rasa begitu. Sebelum kita mula menyalahkan, lihatlah diri kita sendiri. Kerana penghalang doa itu bukanlah dari orang lain, tetapi dari kita sendiri. Kita sendiri yang gagal menjadi peminta yang baik, sedangkan ALLAH tidak pernah menzalimi kita. Jadi, marilah kita renungkan sebentar, apakah halangan yang menyebabkan doa tidak diterima.

Seteguh mana imanmu?

Lemah iman adalah antara punca mengapa doa tidak diterima. Termakbulnya doa seseorang itu bergantung pada keteguhan imannya. Orang yang lebih dekat kepada ALLAH akan lebih makbul doanya berbanding mereka yang jauh. Lemah iman disebabkan dua faktor, kurang beribadah maksudnya ibadah sunat, dan juga banyak melakukan maksiat. Ada juga faktor ketiga yang dinyatakan oleh Imam Syafie iaitu lemah iman juga boleh terjadi kerana kejahilan. Jadi, nilailah semula seteguh mana iman anda dan teruslah berdoa.

Sihatkah hatimu itu?

Penyakit dalam hati ini juga merupakan kudis-kudis yang meratah doa kita sehingga ia tidak termakbul. Penyakit hati ini hanya kita sahaja yang tahu kerana selain ALLAH, hanya kita yang tahu apa yang ada dalam hati kita. Jika kita masih menaruh dendam pada saudara seislam, jika kita masih menaruh dengki dengan kejayaan sahabat sendiri, jika hati kita masih penuh dengan idea-idea mahu menjatuhkan orang lain, jika hati itu benci pada kebaikan dan suka pada maksiat, tidak perlulah pertikaikan mengapa doa kita tidak diterima. Jadi, perbaikilah sekeping hati itu dan teruslah berdoa.

Jika terputus tali ini, maka terputus jugalah doamu

Tali silaturrahim wajiblah dipelihara. Tidak lengkap iman seseorang itu sebelum dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Memutuskan silaturrahim ini terbahagi kepada dua. Memutuskan secara terus dan langsung tidak bertegur sapa. Ataupun masih bertegur sapa tetapi tidak mahu untuk bersatu dan bekerjasama. Jika hubungan silaturrahim ini dipandang enteng dan tidak dipelihara, ia juga adalah penghalang kepada termakbulnya sebuah doa. Jadi sambunglah kembali tali itu dan teruslah berdoa.

Yang mana satu idaman kalbu?

Yang mana satu lebih kamu cintai? Dunia atau akhirat? Terlalu mencintai dunia juga menyebabkan doa seseorang itu terhenti. Kerana terlalu mengejar dunia, dia menjadi kikir untuk menginfakkan hartanya. Sedangkan dengan banyak memberi infak, ia dapat membantu agar doa kita mudah dimakbulkan. Dengan infak itu kita yakin ALLAH akan memakbulkan doa kita. Jadi, jangan lokek dan banyakkan bersedekah dan juga teruslah berdoa.

We are what we eat

Ha, dah terkeluar bahasa Inggeris. Bukan apa untuk memudahkan kefahaman. Doa yang datang dari seorang yang makan makanan yang haram atau dari sumber yang haram tidak akan dimakbulkan. Tapi ingat, makanan haram itu bukanlah hanya babi dan yang tidak disembelih dengan nama ALLAH semata-mata tetapi makanan yang dibeli dengan hasil haram juga dikategorikan sebagai haram. Begitu juga dengan perkara syubhah.  Lebih baiklah ditinggalkan jika timbul perasaan was-was. Analoginya mudah sahaja, jika kita ada sekole air masak yang terjamin kehalalalannya, kita letak ke dalam gelas yang berhabuk. Adakah kita akan meminumnya? Walaupun sejernih dan sebersih manapun air tersebut, letak sahaja dalam gelas yang berhabuk akan tercemarlah kebersihannya. Jadi, berhati-hatilah dengan makananmu, dengan harta mu pastikan ia dari sumber yang halal. Dan teruslah berdoa dengan sumber yang baik.

“Wahai orang-orang beriman, makanlah kamu daripada (makanan-makanan) yang baik daripada apa yang Kami telah rezkikan kepada kamu.” [Surah al-Baqarah: 172]

Adakah kamu mengerti?

A: Boleh tolong saya?

B: Boleh. Apa yang awak mahu saya bantu?

A: Saya ada minta sesuatu. Tapi saya tidak tahu apa yang saya minta. Saya tak faham apa yang saya

     minta.

B: Kalau macam tu, macam mana saya nak bantu?

Sudah fitrah, bagaimana mahu membantu jika yang meminta bantuan sendiri tidak tahu bantuan apa yang diminta. Samalah juga seperti doa, bagaimanakah akan termakbul sebuah doa itu jika kita sendiri tidak memahaminya. Yang saya maksudkan, saat kita berdoa beramai-ramai, panjang lebar doanya tetapi jika ditanya maksudnya, mampukah kita tafsirkan? Jika kita tidak faham dengan apa yang sedang didoakan, tidak ada gunanya kita menadah tangan sambil menyebut ‘amin’berulang kali sedangkan maksudnya langsung tidak kita ketahui. Bagaimana mungkin hadirnya kekhusyu’kan dan kesunggguhan pada sebuah doa yang tidak difahami butir bicaranya. Jika kita tidak mampu berdoa dalam bahasa Arab, gunalah bahasa yang mampu bagi kita menjiwai doa tersebut. ALLAH itu maha Bijaksana, biarlah bahasa apapun, telah berada dalam pengetahuanNya. Tapi jika mampu dalam bahasa Arab dan difahami adalah lebih baik. Kerana dengan tiada kefahaman, kita akan lalai dalam berdoa.  Dan doa dari orang yang lalai, tidak sesekali diterima. Jadi, fahami doa itu dan teruslah berdoa.

Yakin dan usah gopoh

Berdasarkan sebuah hadis yang sahih, maksudnya:

“Berdoalah kamu kepada ALLAH dengan keyakinan doa kamu akan dikabulkan.”

Saat kita berdoa itu, yakinlah bahawa doa itu diterima. Mintalah dengan sepenuh hati. Jika kamu tidak yakin dengan doamu, tak payahlah berdoa. Kerana doa itu senjata bagi mereka yang meyakini. Dan janganlah tergesa-gesa mahu doa itu dikabulkan. Kerana ALLAH maha mengetahui apa yang lebih baik dan ALLAH tidak suka hambaNYA yang terburu-buru. Jadi, binalah keyakinan dan teruslah berdoa.

Pilihlah detik yang paling dekat dan bersuaralah dengan lembut

Bilakah detiknya kita paling dekat dengan ALLAH? Ia adalah saat dahi kita berada separas dengan kaki. Pada saat inilah kita merendahkan diri serendah-rendahnya pada ALLAH dan mengagungkan kebesaranNYA. Waktunya adalah bila kita sujud. Pintalah apa sahaja, gerakkannlah bibirmu tapi jangan engkau lafazkan dengan suara kerana kita dilarang bercakap sewaktu solat. Biarpun hanya dengan gerakan bibir tanpa suara, ALLAH tetap mendengarnya.

“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh dia Maha Mengetahui segala isi hati. Apakah ALLAH yang menciptakan itu tidak mengetahui? Dan Dia Mahahalus, Maha Mengetahui.”

                                                                                                                                                 [Al Mulk : 13-14]

Dan saat di luar solat, misalnya selepas membaca Al-Quran, sebelum tidur juga digalakkan untuk berdoa.  Berdoalah dengan suaramu. Namun, lembutkanlah suara itu dan janganlah terlalu kuat.

“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”  [Al-araf : 55]

Jadi, pada waktu yang tepat dan dengan suara yang lembut, teruslah berdoa.

InsyaAllah dengan sedikit perkongsian ini, kita mampu menjadi peminta yang lebih baik.

 

One thought on “Jadilah Peminta yang baik

  1. “Ya Rabbku, sesungguhnya sekalipun tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, aku belum pernah kecewa dalam berdo’a kpd Engkau , ya Rabbku”

    (editted from Doa Nabi Zakariya AS)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s