Aku rajin tetapi malas

“Kenapa aku malas nak belajar? Padahal aku rajin untuk beribadah. Aku boleh bangun awal untuk solat subuh berjemaah. Tidak malas berjemaah di surau bagi setiap waktu solat. Aku baca Al-Quran setiap hari, malah tidak lupa untuk memahami setiap kalimah yang aku baca. Aku selalu juga ikut usrah-usrah yang senpai bawa. Setiap hujung minggu, hidup aku tidak pernah sepi. Aku sibuk hadiri undangan seminar-seminar anjuran mana-mana badan Islam di sekitar Shah Alam ini. Aku rajin bertanya khabar mak dan abah. Aku juga tak lupa untuk menjenguk mak dengan abah di kampung bila ada masa lapang. Adik-adik aku juga tidak aku abaikan mereka dengan tipu helah dunia zaman ini. Tapi, bila saja masuk topik belajar, aku jadi tak bersemangat. Tangan yang tangkas menolong orang lain tiba-tiba menjadi lemah. Lemah untuk mengangkat sebatang pensil pun. Mata yang sukar untuk terlelap ketika mendengar seminar tiba-tiba menjadi layu. Hampir-hampir tertutup bila aku mula membaca beberapa lembaran nota. Malah, aku  kadang kala tertidur tanpa sempat untuk mengulang kaji”.

Pernahkah kata-kata di atas terlintas di fikiran anda? Membingit di telinga anda? Atau, anda semua sememangnya seorang yang rajin belajar? Langsung tiada masalah untuk menimba ilmu. Dan dalam masa yang sama, anda juga seorang yang istiqamah dalam beribadah? Jika anda pernah tertanya-tanya seperti ini, anda mungkin memiliki masalah yang sama dengan sahabat saya. Masalah yang mengganggunya setiap waktu. Syukur, dia tidak putus-putus meminta nasihat dan pendapat daripada rakan-rakan yang lain termasuklah saya.

Mulanya saya terkedu apabila dia berkongsi masalah ini dengan saya. Tidak pernah terlintas difikiran saya bahawa dia seorang yang malas untuk belajar. Sebab selalunya, apa yang saya nampak, dialah yang akan menjadi orang pertama dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Dan terlalu sukar untuk mencari masa yang dia habiskan dengan bermalas-malasan. Saya tahu, masalah ini merupakan masalah yang berat. Lebih-lebih lagi dia memang seorang pejar sepenuh masa. Tapi, kenapa dia malas untuk belajar? Persoalan ini terngiang-ngiang di dalam minda saya. Dan kesempatan ini membuat saya ingin berkongsi dengan anda semua persoalan ini. Mari kita fikirkan bersama-sama.

Kawan saya seorang yang beragama Islam. Seorang muslim. Adakah dia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba kepada Penciptanya? Ya, dia laksanakan dengan baik. Berdasarkan kenyataannya di atas. Dia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim untuk tunduk sujud kepada yang Maha Esa. Dia juga nampak sibuk mencari keredhaan allah s.w.t. dengan melibatkan diri dalam berdakwah dan bertarbiyah. Kawan saya juga seorang anak. Dan dia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Dia tidak lupa ibu dan bapanya masih hidup. Dan dia tidak mengeluh untuk berkhidmat kepada mereka. Dia juga tidak lupa dengan tanggungjawabnya sebagai abang. Yang menuntutnya untuk membawa adik-adik ke arah kebaikan. Mengukuhkan akidah adik-adiknya supaya tidak lalai dengan nikmat-nikmat dunia yang sementara. Dia juga seorang teman yang baik. Sentiasa cuba membantu rakan-rakan yang lain seandainya mereka menghadapi masalah. Sesungguhnya, dia memang melaksanakan setiap amanah yang dipikul di pundaknya sebaik mungkin.

Tetapi, dia  tidak sedar bahawa dia juga seorang pelajar. Seorang pelajar yang memikul pelbagai amanah dan tanggungjawab. Sebagai contoh, tanggungjawab untuk menimba ilmu. Tanggungjawab dengan penaja program untuk menyelesaikan degree dengan cemerlang. Malah, dia juga memikul tanggungjawab untuk merealisasikan harapan ibu bapanya. Sekiranya dia suka untuk beribadah, dia juga perlu tahu konsep beribadah yang sebenar. Dia perlu tahu bahawa setiap gerak geri yang kita lakukan di muka bumi ini dikira ibadah. Selagi dia tidak memiliki niat yang buruk dan melaksanakan ibadah itu dengan bersungguh-sungguh. Malah, setiap butir bicaranya setiap hari turut dikira sebagai doa. Dan doa itu juga merupakan salah satu bentuk ibadah. Malah Allah s.w.t meminta kita untuk sentiasa berdoa kepadanya.

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

(Surah al-Ghafir [40]:60)

Keterbukaan agama Islam kepada hambanya dalam melaksanakan ibadah tidak pernah terbatas. Di mana-mana dan bila-bila masa, ibadah itu boleh dilaksanakan. Selagi sesuatu ibadah itu tidak melampaui batas syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Malah, terdapat rukhsah-rukhsah yang telah ditetapkan bagi melaksanakan sesetengah ibadah. Berbalik kepada persoalan di atas, sahabat saya perlu mengingat kembali konsep beribadah dalam Islam sedalam-dalamnya. Sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan satu ibadah. Dan sekiranya dia mengatakan, “Aku rajin untuk beribadah.” Maka, dia juga perlu rajin untuk menuntut ilmu. Kerana belajar itu salah satu bentuk ibadah yang seseorang hamba boleh praktikkan di mana-mana jua. InsyaAllah, seandainya dia berfikiran sedemikian, dia tidak akan berasa malas untuk belajar. Mohonlah kepada Allah untuk mendapat petunjuk daripadaNya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s