Utopia (2) : Siapa Bermimpi?

Semalam saya bermimpi, terdampar di sebuah padang pasir yang tandus. Bahang mentari kian garang memamah tubuh saya. Saya berjalan dan terus berjalan, tekak semakin kering kehausan. Tiba-tiba dari kejauhan saya ternampak susuk tubuh seorang lelaki dengan jubah putih bersih, dengan senyuman yang paling indah boleh diukir oleh seorang insan, dia menghulurkan secawan minuman lantas memperkenalkan diri sebagai Rasullullah. Baginda kemudian berkata

Dialog di atas cuma rekaan. Anda pernah bermimpi berjumpa Rasullullah? Jika tidak pernah, cuba bayangkan perasaan anda jika bermimpi bertemu tidakkah anda rasa bersemangat untuk menambah ibadat selepas itu? Tidakkah anda rasa ingin tambah berusaha mendekatkan diri kepada Allah?

Namun bagaimana pula jika anda hanya mendengar kisah daripada rakan, bahawa dia bermimpi berjumpa Rasullullah? Mungkin anda akan berbisik di dalam hati “menipu je dia ni”? Atau seketika anda akan tertanya-tanya, kenapa dia yang bermimpi bertemu Rasullullah dan bukan anda? Walau apa pun persoalan yang bermain di fikiran anda, kesannya hanya seketika dan tidak memberi banyak pengaruh dalam kehidupan anda.

Bagaimana pula dengan mimpi berjumpa hantu? Apakah sama perasaan takut yang menimpa orang yang bermimpi berjumpa hantu, dengan orang yang hanya mendengar kisah tentang mimpi berjumpa hantu?

.

Perubahan

Semua pembaharuan memerlukan perubahan, namun bukan semua perubahan membawa kepada pembaharuan.

Perubahan yang membawa kepada pembaharuan, perlu diasaskan dengan keberanian untuk mengimpikan masa hadapan. Dalam bahasa mudah merealisasikan mimpi kepada realiti. Namun kitalah orangnya yang harus bermimpi terlebih dahulu.

Setuju atau tidak, sama ada situasi Islam semakin baik atau sebaliknya, kita tidak dapat menolak hakikat bahawa sebenarnya kita jauh lagi dari hakikat menjadikan Islam sebagai ustaziyatul alam. Maka muncul pelbagai gerakan dakwah dan tarbiyyah untuk bekerja ke arah merealisasikan mimpi-mimpi melihat Islam menjadi rahmat kepada seluruh alam. Sejarah gerakan-gerakan dakwah ini panjang, sepanjang sejarah agama ini sendiri. Dan ia tertubuh hasil semangat padu para pengasas dan pendukung awalnya yang berusaha keras ke arah apa yang mereka mimpikan.

Namun semakin jauh gerakan dakwah ini berjalan, menemui generasi moden hari ini, kita semakin banyak membaca kisah-kisah mimpi dan impian generasi terdahulu, namun kita sendiri tidak pernah mengimpikan apa-apa. Maka segala ungkapan ‘masa depan adalah milik Islam’ hanya datang dari hafalan kita terhadap kisah mimpi seorang lelaki bernama Fathi Yakan dan seangkatan dengannya.

Memetik sebahagian artikel Ustaz Hasrizal dalam laman saifulislam.com :

APA SEBENARNYA YANG ANDA PERCAYA?

Ini soalannya.

Apa sebenarnya yang kita percaya selama ini. Sebelum saya bertanya apakah sebenarnya yang kita perjuangkan selama ini?

Perjuangan adalah suatu komitmen kepada apa yang kita yakin. Tetapi jika keyakinan kita begitu goyah hingga sentiasa terganggu oleh usikan idea kontra dan gigitan nyamuk, maka itu bukan lagi keyakinan. Ia hanya taqlid dalam perjuangan. Taqlid boleh berlaku bukan hanya kepada soal fekah, ia adalah pembawaan yang juga boleh menguasai pejuang dan perjuangan.

Mengapa taqlid?

Kerana anda menghafal idea dan fikrah.

Tanda fikrah itu hanya hafalan, ialah apabila fikrah itu gagal berhubung dengan realiti semasa.

Da’ie menulis dan berceramah dengan membuat ‘quotation’ dari sebanyak mungkin kata-kata tokoh. Si fulan berkata, si fulanah menyebut.

Ia boleh membantu memperlihatkan yang da’ie itu banyak membaca. Sekurang-kurangnya lebih dari anak buahnya. Tetapi semua yang beliau quote, adalah fikrah orang lain. Beliau sendiri, kita sendiri, apa yang kita faham, apa yang kita percaya?

Hal ini terjadi apabila kita tidak pernah mempersoalkan apa yang kita percaya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja saya mengajak kita semua memicit butang reset seperti yang dilakukan oleh Rene Discarte sejurus beliau menamatkan pengajian di Jesuit Academy of La Flèche.

Ragukan kembali semua yang telah dipelajari, dan cari jalan untuk mengembalikan keyakinan terhadap apa yang ingin kita pegang sebagai kepercayaan hidup.

“Dubito, ergo cogito, ergo sum“

Tetapi ia mungkin terlalu ekstrim.

Cukuplah dengan memulakan langkah memberanikan diri untuk berdiskusi. Gunakan minda untuk berwacana, lebih dari jari untuk menyumbat telinga.

Sekali lagi saya petik nasihat Abu Tayyib al-Mutanabbi, “jika kamu mahu menjadi seorang yang mempunyai pandangan, jadilah seorang yang berpendirian. Sesungguhnya pandangan boleh menjadi rosak, hanya kerana kamu berbelah bagi!”

Ketika mereka yang bersaing dengan Islam begitu aktif mengukuhkan kefahaman mereka terhadap apa yang mereka percaya, gerakan Islam akan hilang siginifikasinya jika ia didukung oleh daie yang fikrahnya seperti istana kaca!

.

Setiap individu dalam umat hari ini perlu berani untuk mempunyai mimpi sendiri.

Jika anda melihat Islam hancur di dalam mimpi anda, bangkit dari tidur, dan atas perasaan takut melihat kehancuran itu, tumpukan usaha membantu agama.

Jika anda melihat Islam cemerlang di dalam mimpi anda, bangkit dari tidur, dan atas perasaan gembira itu, bangunkan agama seperti dalam mimpi anda.

Walau apa pun mimpi anda, pastikan ia berpengaruh untuk meluruskan langkah anda selepas bangun dari lena.

Namun sebelum itu, andakah orang yang sedang bermimpi itu?

“Setiap orang dapat berfikir dengan mudah,namun tidak semua fikiran yang terpendam dalam diri seseorang boleh diekspresikan dalam perkataan. Banyak orang yang boleh berhujah, tetapi hanya sedikit dari mereka yang sanggup bertahan (sabar) ketika beramal. Masih banyak orang yang mampu beramal, tetapi hanya sedikit yang mampu menanggung beban jihad yang begitu berat dan beramal secara berkesinambungan. Orang-orang yang berjihad itu adalah pendukung-pendukung pilihan yang sangat jarang dan sedikit, tetapi mereka juga boleh tersalah jalan dan tidak mencapai tujuan jika tidak mendapat bimbingan daripada Allah”

[Hassan al-Banna]

[Utopia (1)]

One thought on “Utopia (2) : Siapa Bermimpi?

  1. tq atas peringatan..
    mimpi juga perlu ada asasnya..
    ke mana nak dihalakan langkah kaki yg seterusnya…

    yg pasti, matlamat akhirnya hanya 1 jua..
    semoga bertemu dengan redhaNya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s