Nombor Telefon Allah

Satu perkongsian untuk semua. Semoga kita dapat memetik pengajaran kerana di ladang dunia ini kita semaikan amalan, dan ranuman hasilnya di akhirat kelak…

Budak 7 tahun: Kakak, kakak tau tak nombor telefon Allah?

Kakak: ?? (mengerutkan mukanya)

Budak 7 tahun: Adik tau nombor telefon Allah! 24434.

Kakak: Ha? (termenung lama, tidak mengerti dan terdiam)

Kakak: Oh… rakaat dalam solat ke? Siapa yang cakap kat adik? (tersenyum)

Budak 7 tahun: Guru besar adik yang cakap waktu perhimpunan tadi.

Lama juga si kakak itu termenung tatkala mendengar patah kata ‘nombor telefon Allah’ kerana memikirkan maksud disebaliknya dalam-dalam. Yang dimaksudkan dengan ‘nombor telefon Allah itu ialah solat 5 waktu yang dilaksanakan tiap-tiap hari. Mungkin sesuai benar perumpamaan ‘nombor telefon Allah’ itu untuk kanak-kanak yang baharu belajar tentang solat. Satu perumpamaan yang saya kira agak menarik.  Anda rasa?

Solat fardu: Satu kewajipan

Perumpamaan tetap perumpamaan. Kewajipan tetap kewajipan. Solat fardu 5 waktu sehari semalam adalah kewajipan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t kepada kita sebagai hamba-Nya. Solat merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang 5.

Kewajipan mendirikan solat diperintahkan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna seperti mana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’:ayat 103)

Namun, berapa ramaikah umat Islam hari ini yang meninggalkan solat? Hari ini tua muda bukan ukuran bagi mereka. Beginilah fenomena zaman ini:

Yang tua merasakan “Aku ni dari dulu lagi tak sembahyang, alang-alang dah tak sembahyang baik….”

Yang muda merungut “Malas ar nak sembahyang. Parent aku tak sembahyang pun….”

Diriwayatkan daripada Amru bin Syu’ib bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Suruhlah anak kamu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Harus kita ingat, suatu hari nanti, amalan kita akan dihisab oleh Allah s.w.t di mahkamah-Nya. Apakah kita menunaikan kewajipan bersolat? Adakah cukup 5 waktu? Adakah kita khusyuk dalam solat?

Daripada Abu Hurairah r.a, menukilkan sabdaan Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya.”

(Riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi)

Mari Kita Renungkan

Saya cukup tersentuh tatkala membaca sebuah kisah teladan dalam sebuah buku. Suka untuk saya berkongsi kisah itu  di sini.

Suatu ketika, Urwah b. Zubair melakukan perjalanan dari Madinah ke Syam yang sangat jauh dan penuh dengan rintangan. Dia selalu menyelesaikan bacaan al-Qurannya setiap empat hari sekali dan selalu bangun sepertiga malam. Dia ibarat laut yang tak bertepian, itulah gelaran yang disandangkan oleh Zuhry kepadanya.

Sesampai di Syam, dia menginap disebuah rumah, Takdir Allah, dia diserang penyakit akkalah (penyakit seperti kanser) pada kakinya. Penyakit itu menjalar ke pergelangan kakinya hingga terpaksa dipotong. Namun, dia tetap brsabar terhadap dugaan Allah yang menimpanya. Setelah itu, penyakitnya menjalar lagi hingga ke betis dan akhirnya lutut sehingga anggota badan itu terpaksa dipotong. Namun, dia tetap bersabar dengan apa yang dialaminya itu.

Para doktor memberikan minuman khamar (minuman keras) kepadanya agar dia mabuk dan tidak berasa sakit ketika kakinya dipotong. Urwah merupakan seorang yang Zuhud dan takut untuk melakukan maksiat. Doktor memerintahkannya untuk meneguk khamar tersebut. Namun dia menjawab:

“Demi Allah, saya tidak akan meminumnya. Bagaimana boleh saya menghilangkan kesedaran saya dengan meminumkhamar, sedangkan kesedaran yang saya miliki merupakan kurniaan Allah kepada saya? Bagaimana saya akan melakukan sesuatu yang diharamkan Allah? Jika saya dalam keadaan solat saya akan lupa dengan rasa sakit, maka ketika itu potonglah kaki saya.”

Tatkala dia sedang solat, kakinya dipotong. Ketika dia selesai solat,barulah dia sedari bahawa kakinya sudah dipotong. Dan dia tidak sedikitpun merasa sakit.

Begitulah kisahnya. Betapa khusyuknya solat Urwah b. Zaid. Cuba kita renungkan diri kita pula. Apakah sampai kita pada tahap kekhusyukan itu? Saat kita menghadap Allah, saat itulah fikiran diserang dan berperang dengan seribu satu macam perkara. Bertubi-tubi busur panah syaitan menembusi relung fikiran.

“Alamak, report ngan shukudai tak siap lagi! Adoi, laparnye perut… Eh, jap lagi nak makan kat mane ek? Syasya bukak tak hari ni? Mak cik bakso? Alamak, aku rasa macam tertinggal duit kat atas… Ishh, panjang betul imam ni baca… Siapa lalu lalang ni, aku nak sembahyang pun tak senang..”

Begitulah penyakitnya, fikiran kita menerawang jauh saat takbiratul ihram diangkat dan tangan dalam keadaan qiam. Akhirnya, bilangan rakaat entah ke mana, bacaan entah sudah sampai ke mana, dan khusyuk entah tak kunjung tiba.

Kita tak mahu melupakan sejenak duniawi kerana Allah s.w.t. Tuhan yang telah menciptakan kita dan jagat alam seluruhnya. Sedangkan Nabi s.a.w berkata dunia ini hanyalah seperti sebuah perjalanan. Justeru, saat kita mengangkat takbiratul ihram, orang Jepun kata: shuuchuu. Atau orang Melayu kata: tumpukan perhatian. Khusyuk. Itulah kunci solat yang diterima Allah s.w.t.

Solat adalah jalan untuk kita sentiasa mengingati Allah. Dalam perkataan lain, solat tanda pengabdian dan syukur seseorang hamba kepada Allah atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan.

Solat juga boleh menghapuskan dosa. Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Oleh itu, solat lima kali sehari semalam boleh menghapuskan dosa kecil yang kita lakukan.

Selain itu, solat juga boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar. Solat yang dikerjakan dengan ikhlas, khusyuk dan mengikut segala rukunnya mencegah orang mengerjakannya daripada melakukan maksiat serta kemungkaran.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan perkara yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”

(Surah al-Ankabut, ayat 45)

Intiha

5 kali sehari kita diseru dengan seruan azan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Dan kadang-kadang kita terleka dengan hal-hal dan hiburan dunia lantas meninggalkan tuntutan solat berjemaah.

Katakan:

Dalam sebuah pertandingan Explorace, ada 5 cabaran yang perlu dilalui oleh para peserta.

Si A membuat kerja secara berkumpulanDia diberikan 27 mata untuk setiap cabaran kerana menyelesaikannya pada masa yang ditetapkan.

Manakala si B melakukannya seorang diri dan hanya satu mata yang diperolehinya untuk 5 cabaran itu.

Jadi markah penuh si A ialah135 manakala markah si B hanya 5. Jauh berbeza bukan? Sudah tentu, si A yang mencapai kemenangan pada akhirnya.

Itu baru contoh yang maujud. Kita tidak tahu berapa banyak pahala yang Allah kurniakan untuk solat brjemaah. Lebih-lebih lagi ia digandakan dengan 27 kali ganda. Subhanallah!

Sama-samalah kita fikirkan…Sesungguhnya, tiada panggilan sepenting seruan Ilahi!

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s