Utopia (4) : Hati Nabi Yang Terluka~~

Terus! Mulai saat ini, harus terus berlari ke langit, mengejar mimpi! Kerana mimpi kita ialah mimpi yang besar. Kita, dan hanya kita, yang melihat mimpi ini, yang layak menukarnya menjadi realiti.

Tapi di mana mulanya?

Membaiki struktur ekonomi umat Islam yang kian runcing?

Membersihkan sistem politik yang kian hancing?

Menjernihkan isu Palestin yang kian hening?

Meluruskan sistem pendidikan yang kian bening?

Mengisi jiwa remaja muslim yang kian kering?

Mana nak mula?

Kadang-kadang bila habis ikut program daurah ke, rehlah ke, jaulah ke, tiba-tiba kita jadi semangat nak ubah masyarakat. Datang segala darah pejuang mengalir dalam badan. Tapi akhirnya kecundang kerana tidak tahu hendak bermula di mana. Seringkali juga, kita kecundang kerana tidak tahu hendak berakhir di mana.

Adakala terlalu panjang masa kita berfikir, mengatur strategi, hingga akhirnya semangat itu luntur ditelan masa. Adakala juga terlalu pendek masa kita berfikir, mengatur strategi, hingga akhirnya segala usaha terbang bersama masa.

Setiap pembaharuan itu memerlukan pembaharuan, namun tidak semua perubahan akan membawa kepada pembaharuan.

.

Mati Di Jalan Allah

Bagi yang mendapat fikrah Islam yang jelas, siapa tidak ingin mati syahid dan meraih syurga Allah? Siapa yang tidak mahu, mati sebagai pahlawan, yang kisahnya menjadi teladan umat? Mati di jalan Allah; senantiasa meniti bibir-bibir kita.

Namun bagaimana seseorang yang tidak hidup di jalan Allah boleh mati di jalan Allah? Bagaimana dunia yang diciptakan oleh Allah, boleh diubah oleh tangan-tangan yang tidak mahu meminta kepada Allah?

Kita ni selalu sangat nak buat benda besar-besar (perubahan), sampai terlupa kepada perkara yang paling asas. Akhirnya kita akan tersedar, rupa-rupanya, langkah pertama, ke arah perubahan yang besar, segalanya bermula dari hati sendiri.

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

[8:45]

Allah mengingatkan kita agar kembali berdoa padanya, agar kita berjaya menentang perancangan musuh. Jika Allah yang menjadi Penolong kita dalam perjuangan ini, apakah tidak sudi kita menyambut tawaran itu? Kita, yang setelah Allah berjanji menjadi Penolong dan menguatkan kita, tiba-tiba tidak mahu/sudi memohon pertolongan-Nya, memanglah sesombong-sombong makhluk atas dunia!

Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.

Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.

[8:62-64]

Bagaimana hati yang jauh dari Allah, mampu pula menyatukan hati-hati manusia di atas jalan kebenaran?

Jadi langkah pertama ialah latih hati, untuk selalu ingat Allah, selalu bangun malam doa pada Allah.

Mari kita renung sikit, secebis kisah perjuangan nabi.

.

Hati Nabi Yang Terluka~

Antara surah awal yang turun kepada Nabi ialah surah muzammil. Dalam surah ni, Allah perintah nabi suapaya bangun malam, sembahyang, doa pada Dia.

Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat)

[73:2]

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.

(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;

Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

[73:6-9]

Sebab apa? Sebab lepas ni nabi akan tempuh perjalanan yang berat. Allah akan turunkan al-Quran beserta perintah-perintah-Nya yang berat, bagi jiwa yang belum sedia.

(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

[73:5]

Kita dah pernah bincangkan sebelum ni, perjuangan nabi memang payah. Kerana nabi juga manusia biasa, yang ada hati dan perasaan. Ingat nabi tak tertekan ke bila ajak keluarga ke arah Islam, keluarga sendiri menentang, masyarakan menentang.

Maka (Apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman dengan keterangan ini (AlQuran)”.

[18:6]

Boleh kita bayangkan kepedihan jiwa yang nabi alami, sampai dalam Quran dibuat andaian, adakah nabi barangkali sampai nak bunuh diri kerana sedih?

Kita pernah rasa sedih macam tu? Kalau belum rasa, belum lagi lah tu kita bersungguh-sungguh dalam dakwah ni. Maka haruslah kita sama-sama usaha kuat lagi, sampai hati kira rasa macam tu.

Jadi dengan segala tekanan, tentangan, kecamuk perasaan yang besar tu, pada siapa lagi yang nabi, dan juga kita, nak sandarkan pengaduan dan harapan, kalau bukan pada Allah, Pemilik segala kekuasaan?

.

Ad-Dhuhaa

Sahabat, bangunlah malam, selalu-selalu doa pada Allah. Saya nak kongsikan surah yang paling saya suka baca dalam solat malam, dan kalau hati tengah resah, iaitu surah Dhuhaa.

Diriwayatkan, seketika wahyu terputus, dan nabi diejek oleh orang-orang kafir,

“Tuhan Muhammad dah tinggalkan dia”

Sedihnya nabi bukan kepalang, bila hilang tempat bergantung tiba-tiba macam tu. Kemudian turun surah ni nak pujuk nabi. Surah ni penuh dengan ayat-ayat pujukan yang lembut dan mesra, serta membelai jiwa kita dengan rahmat Allah yang tidak pernah kunjung hilang.

Allah gambarkan suasana pagi yang cerah dan ceria, dan malam yang tenang, jernih dan hening, sebagai muqaddimah. Dua suasana yang paling jernih dan bening dalam waktu siang dan malam. Dua waktu, hati menjadi paling dekat dengan alam, dan paling mudah tunduk insaf kepada-Nya.

Kemudian, Allah beritahu, Allah tidak pernah membenci nabi dan tidak pernah meninggalkannya. Bahkan Allah ceritakan kisah-kisah sebelum nabi diangkat menjadi rasul. Bagaimana nabi yang dahulunya yatim, Allah berikan tempat perlindungan dengan perantaraan hamba-Nya Abdul Mutalib dan Abu Talib. Bagaimana nabi yang dulunya miskin, Allah kurniakan dengan kesederhanaan jiwa dan isteri yang kaya raya. Sebelum nabi diangkat menjadi rasul lagi, Allah dah kurniakan segala bantuan dan rahmat kasih sayang-Nya, maka apakah selepas nabi diangkat menjadi rasul, Allah akan meninggalkannya sendirian.

Begitu juga kita. Sebelum kita mendapat kesedaran Islam ni, cuba hitung berapa banyak nikmat Allah bagi? Allah beri kita kesihatan, beri kita kawan-kawan yang baik, kehidupan yang ceria, kesempatan untuk bernyawa dan macam-macam lagi Allah dah bagi sebagai tanda sayang-Nya kepada kita. Maka apakah selepas kita memilih untuk berjuang memenangkan agama-Nya, tiba-tiba Dia menjadi tidak sayang pada kita dan meninggalkan kita?

Maka selepas ini, walau apa jua yang kita rancangkan, walau apa jua rintangan yang menghalang, walau apa jua yang menekan perasaan kita, bangunlah dan luahkan segalanya kepada Allah. Menangislah pada-Nya, luahkan segalanya. Di saat, tiada manusia lain, sudi memahami apa yang kita nak cakap, saat tiada orang lain nak dengar luahan hati kita, Allah sentiasa sudi mendengar luahan hati kita. Hamburkanlah segala kesedihan pada-Nya, dan mintalah bantuan-Nya sebagai bekalan perjuangan.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).

[57:16]

Dan ingatlah pesan Allah :

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api Neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat bersenang-senang.

[18:29]

Siapa nak beriman, maka berimanlah. Siapa nak kufur ingkar, kufurlah. Allah dah sediakan syurga untuk yang beriman, dan neraka untuk yang kufur. Akhirnya, pilihan tetap di tangan kita….

Untuk tahu siapa kita di sisi Allah, check, siapa Allah di hati kita?

http://www.youtube.com/v/NNaPnIf_mFo&hl=en_US&fs=1&

rujukan : tafsir fi Zilal : ad-duhaa

One thought on “Utopia (4) : Hati Nabi Yang Terluka~~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s