Alamak, berat dah bertambah!

Berat dah bertambah! Saya tahu. Walaupun tidak menggunakan alat penimbang, saya tahu ia bertambah. Walaupun tiada bacaan berapa puluh kilogram, tapi saya tahu ia memberatkan saya. Walaupun tidak kelihatan dengan mata, tapi ia akan tetap akan bertambah. Setiap hari, setiap masa kanousei untuk ia bertambah sentiasa ada. Tapi sayang, banyak hati yang tidak mengambil kisah tentang penambahan ini. Tapi sedarilah, selagi kita bergelar manusia, ia akan sentiasa bertambah. Kerana kita tidak maksum. Selagi nafas dihela, kita tak akan dapat lari daripada melakukan dosa. Jadi beratnya akan sentiasa bertambah jika kita tidak berusaha mengurangkannya.

“Semalam tidur lewat sangat sebab buat shukudai last minute, solat subuh lepas waktu habis.” -Berat bertambah.

“Tadi kat kelas panas sangat, lipat lengan baju sampai nampak lengan. Nampak aurat, tapi tak apalah, dah panas.” –Berat semakin bertambah.

“Dah pukul 8, tapi nak baca komen kat facebook kejap, lagi lima minit baru solat.” – Berat terus bertambah.

“Minggu ni nak keluar dengan si dia, tapi sebab takut mak tak izinkan, cakap kat mak nak keluar dengan housemate.” –Berat terus mencatatkan kenaikan bacaan.

“Hari ni mood tak baik sangat. Marah semua orang, tahu ada kawan yang terasa. Tapi asalkan hati puas, itu yang paling penting. Nak minta maaf, tak payahlah.” –Berat bertambah lagi.

Berat dosa kita. Selalukah kita mengukurnya? Bagi mereka yang dosanya lebih berat daripada pahala, nerakalah tempatnya kecuali dengan rahmat ALLAH.  Jadi kalau dikira semula, setelah berpuluh tahun kita bernafas di bumi ALLAH, berapakah berat dosa kita? Berapa kg? Tak terhitung kita. Masya ALLAH! Tapi rileks, jangan panik. Kerana cara hendak mengurangkan berat ini mudah. Lebih mudah daripada menurunkan berat badan sebanyak 0.5kg. Apakah ia? Ia adalah taubat.

Untuk bertaubat, adalah sangat mudah. Cuma ramai antara kita yang memberatkan definisi perkataan ini. Bertaubat bukanlah dengan melakukan solat taubat sahaja, bertaubat bukanlah terhad pada mereka yang sudah tua sahaja. Tetapi bertaubat ini adalah seruan ALLAH kepada semua hamba-hambaNYA.

Sesungguhnya bertaubat sangat mudah. Setiap kali kita berbuat dosa, segeralah kita beristighfar dan memohon kepada ALLAH. Kita tak perlu mengeluarkan modal untuk memohon ampun. Jika kita telah mencuri sesuatu, saat kita memulangkannya semula barang itu, ia sudah dikira bertaubat dan dia berazam agar tidak mengulanginya lagi.

Untuk dosa-dosa kecil, insyaALLAH dengan membaca Al-Quran, ia dapat dihapuskan. Dengan berkata-kata dengan perkataan yang baik, kita dapat menghapuskan dosa. Dengan memberi sedekah, terhapus dosa kita, dan tercatitlah pahala buatnya. Dengan beristighfar, ALLAH ampunkan dosa kita. Jadi janganlah kita melengahkan taubat kerana kita tidak tahu bila kita nyawa akan berpisah dengan tubuh.

Jika kita telah terlanjur melakukan dosa besar, janganlah kita rasa khuatir, bersegeralah bertaubat, kerana ALLAH itu maha pengampun. Maha, ertinya sangat. Jadi apa yang perlu dirisaukan? Mohonlah ampun kepada ALLAH kerana ALLAH maha mendengar, maha pengasih dan maha pengampun. Banyak seruan ALLAH dalam AL-Quran yang menyuruh kita untuk bertaubat. Dan ALLAH telah menjanjikan syurga kepada mereka yang bertaubat. Ingat, ALLAH tidak memungkiri janjiNYA.

Jika ditakdirkan kita mengulangi dosa kita, teruslah bertaubat kepada ALLAH. Janganlah berputus asa, walaupun sebesar mana pun dosa kita, dengan rahmat ALLAH, ia pasti terhapus jika lahir dari hati seorang hamba yang memohon. ALLAH tidak akan membiarkan hambaNYA bergelumang dengan dosa. Jadi ALLAH membuka luas keampunanNYA kepada mereka yang memohon.

Kita tidak maksum, walaupun kita mengulangi dosa kita, ALLAH masih akan mengampuninya sekiranya kita bertaubat. Namun, janganlah kita mengambil mudah perkara dosa ini. Cuma ingatlah, pintu taubat akan tertutup pada dua waktu. Waktu tersebut adalah saat nyawa sudah sampai ke kerongkong dan saat matahari telah terbit dari barat, iaitu kiamat.

Jadi sebelum saat tersebut tiba, sama-samalah kita mengukur berat dosa kita. Agar kita dapat bertaubat dan memohon ampun pada ALLAH. Yakinlah pada kalimah yang selalu kita baca, ‘Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah, Maha Penyayang’. Sahutlah sabda Rasulullah kepada kita yang mahu kita bertaubat. Sedangkan Rasulullah juga bertaubat kepada ALLAH, jadi ambillah contoh ini.

Renunglah hari-hari kita, adakah kita telah melakukan dosa hari ini? Adakah hati rakan yang kita sakiti? Adakah amalan wajib yang telah kita remehkan? Ajar hati kita untuk menggeruni azab ALLAH agar kita akan meninggalkan dosa. Ajar lidah ini untuk sentiasa berdoa dengan rasa rendah diri memohon keampunan ALLAH. Sesali setiap dosa kita agar kita tidak mengulanginya bukan berputus asa dalam memohon ampun. ALLAH telah sediakan taubat nasuha untuk kita semua. Jadikan setiap taubat kita taubat nasuha. Sesungguhnya ALLAH mencintai hambanNYA yang bertaubat.

Jadi, di samping kita mengira BMI (Body Mass Index), marilah kita sama-sama mengira SMI (Sin Mass Index) juga.. InsyaALLAH.. =)

Dosa pada waktu pagi akan terhapus dengan taubat pada waktu petang, dan dosa pada waktu petang akan terhapus dengan taubat pada waktu malam…

One thought on “Alamak, berat dah bertambah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s