Aku, Dia atau KAMU?

“Siapa yang patut terima nasihat? Aku,Dia atau KAMU?”, tanya seorang sahabat kepadaku.

Seorang pemimpin yang baik adalah mereka yang tidak pernah merasakan dirinya paling hebat dan bijaksana. Mereka tidak pernah merasakan dirinya adalah insan terbaik.

Sebaliknya , seorang pemimpin yang hebat adalah seorang insan yang merasakan dirinya serba kekurangan. Ditambah pula sedang memikul amanah yang sangat besar, pemimpin yang hebat akan sentiasa mengharapkan pandangan, teguran dan nasihat orang lain, khususnya para penasihat yang dilantik.

Ini kerana, ruang kebijaksanaan manusia yang sentiasa terbatas tidak pernah memungkinkan dirinya melakukan yang terbaik bersendirian selamanya.

Keterbatasan itu terkadang akan meletakkan diri di relung kebuntuan hingga tidak mampu membuat pertimbangan yang terbaik. Dan pada saat ini, pandangan,teguran dan nasihat orang lain adalah penawar terbaik untuk memastikan diri tidak karam hingga mendorong diri melakukan kesilapan dalam menunaikan amanah.

Inilah sikap yang perlu ada pada seorang yang bergelar pemimpin.

Siapa pemimpin??

Presiden MPP(Majlis Perwakilan Pelajar), Editor Az-Zariyyat, ADUN dan Ahli Parlimen, Ketua Menteri, Perdana Menteri, ketua syarikat, ketua pasukan bola sepak, ketua chef dan ketua kelas semuanya merupakan pemimpin.

“Jadi, aku tak payahlah terima nasihat sebab aku bukan pemimpin”. Betul ke??

Jangan terlupa, setiap daripada kita adalah pemimpin bagi diri kita sendiri. Jadi, kita juga perlu menerima nasihat agar diri kita terpimpin untuk memimpin orang lain.

Dunia sekarang jadi kelam kabut kerana pemimpin yang tidak terpimpin memimpin dunia. Rasuah berleluasa, sikap perkauman diutamakan, hukum agama tidak dilaksanakan secara menyeluruh, yang haram dihalalkan, yang salah; disebabkan mereka yang bersalah itu konco-konconya, mereka terselamat, yang betul; disebabkan mereka tak sebulu, dihukum dengan tidak adil.

Kerana apa semua itu berlaku?? Sebabnya, para pemimpin yang memimpin itu tidak terpimpin. Alim ulama yang mengkritik, dikritik semula. Mufti yang tidak sebulu dipecat dan pelbagai fitnah dilontarkan agar mufti dan alim ulama tersebut dikeji.

Itu semua bukan kerja pemimpin yang terpimpin. Pemimpin yang terpimpin akan menerima nasihat dan kritikan orang lain, lebih-lebih lagi nasihat alim ulama agar mampu memimpin dengan lebih baik bukannya mengkritik semula alim ulama tersebut.

Kenapa kita perlukan nasihat??

Mempunyai kuasa tidak bermakna diri sendiri merupakan insane terhebat. Berada di takhta kekuasaan bukan bermakna diri sendiri tidak memerlukan pandangan, teguran dan nasihat daripada orang lain. Menjadi ketua dalam sesebuah kerajaan tidak bermakna hanya kita sahaja yang betul dan orang lain semua tidak betul. Menjadi ketua rumah tidak bermakna sang suami sahaja yang betul dan anak-anak semuanya salah.

Sebaliknya, pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang sentiasa dahagakan teguran, nasihat dan pandangan orang lain. Ini kerana, dalam diri mereka sentiasa ada perasaan bimbang dan takut tergelincir dari landasan agama dalam menunaikan amanah yang dipikul.

Bagaimana dengan ANDA?? Adakah anda pemimpin yang hebat???

Waima Rasulullah s.a.w.; pemimpin agung, sendiri sentiasa meminta nasihat dan pandangan daripada para sahabat. Bahkan teguran dan nasihat Allah s.w.t. sentiasa diwahyukan kepada baginda melalui Malaikat Jibril, kerana sebagai manusia biasa keterbatasan sebagai makhluk tetap ada pada diri baginda.

Malah, khalifah selepas baginda sendiri jika dilihat dalam pidato pertama di hadapan rakyat sentiasa meminta agar rakyat memberi teguran dan nasihat kepadanya. Jika mereka tersilap, rakyat diminta membaikinya. Begitulah sifat pemimpin Islam yang sebenar. Mereka tidak bongkak dan memandang rendah terhadap pandangan, nasihat dan teguran daripada orang lain. Sebaliknya segala pandangan, nasihat dan teguran itu dijadikan penawar untuk mengelakkan diri daripada tergelincir daripada landasan kebenaran.

Bagaimana dengan para pemimpin di luar sana?? Adakah anda juga pemimpin yang hebat??

Ketika Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah, beliau telah melantik beberapa individu yang bijaksana dan bertakwa menjadi penasihat peribadinya.

Antara mereka adalah Salim bin Abdullah, Muhammad bin Ka’ab al-Qurdzi dan Roja’ bin Haywah. Roja’ bin Hawyah merupakan penasihat utama khalifah sebelum Umar, iaitu Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

Suatu hari, Umar telah memanggil kesemua penasihat peribadinya itu untuk menghadiri satu pertemuan. Dalam pertemuan tersebut, Umar bin Abdul Aziz meminta supaya beliau diberikan nasihat yang bernas untuk memotivasikan dirinya agar semakin mantap untuk menunaikan amanah Allah s.w.t. terhadap rakyatnya.

“Apabila kamu inginkan sejahtera daripada azab Allah s.w.t, maka hendaklah kamu berpuasa dari keseronokan dunia, dan berbukalah pada saat kematianmu nanti,” Salim bin Abdullah memberi nasihat.

Berkerut dahi Umar mendengar nasihat Salim, tetapi kemudiannya dia tersenyum kerana memahami maksud nasihat yang dilontarkan oleh Salim itu.

Kemudiannya, Umar memandang wajah Muhammad bin Ka’ab. Pandangan itu sebagai tanda bahawa Umar mahu Muhammad pula berkata sesuatu untuk memberikan nasihat kepadanya.

“Apabila kamu inginkan sejahtera daripada azab Allah s.w.t., jadikan orang-orang tua Muslim sebagai bapamu, jadikan anak-anak muda Muslim sebagai saudaramu dan jadikan anak-anak kecil Muslim sebagai anakmu. Justeru, muliakanlah bapamu, hormatilah saudaramu dan lemah-lembutlah terhadap anak-anakmu,” ujar Muhammad bin Ka’ab pula.

Umar mengangguk mendengar nasihat Muhammad itu. Nasihatnya penuh dengan seribu satu hikmah dan falsafah.

Wajah Roja’ bin Hawyah pula dipandang oleh Umar seraya bertanya, “Apakah tuan tidak mempunyai sebarang nasihat yang mahu diberikan kepadaku?”

“Ada wahai Umar,” jawab Roja’ ringkas.

“Silakan tuan, aku sudah tidak sabar mahu mendengar nasihat berhikmah daripadamu,” Umar berkata sambil tangan kanannya memegang tangan kirinya bersilangan jari.

Sambil tersenyum melihat watak Umar, Roja’ berkata, “Apabila kamu inginkan kesejahteraan daripada azab Allah s.w.t., maka cintailah untuk kaum Muslimin seperti kamu mencintai dirimu sendiri, dan bencilah untuk merekaseperti kamu bencikan untuk dirimu sendiri.”

Umar merasa amat berbesar hati lantaran sahabat-sahabatnya yang dilantik sebagai penasihat telah memberikan pelbagai nasihat berguna buatnya. Umar berbangga dapat mendengar nasihat-nasihat yang sarat dengan hikmat yang telah diberikan oleh penasihatnya itu.

Inilah manifestasi sifat dan sikap seorang pemimpin yang tidak pernah merasakan dirinya lebih hebat dari orang lain. Walaupun Umar seorang yang zuhud, tetapi beliau tidak pernah menganggap dirinya yang terbaik, lantas tidak memerlukan nasihat dan teguran orang lain.

Puasalah daripada keseronokan dunia yang sementara ini untuk mencari keseronokan di akhirat kelak yang kekal abadi. Sayangilah Muslimin di sekeliling kamu seperti mereka adalah bapa, saudara dan anak kamu. Seterusnya, cintailah mereka sepertimana kamu mencintai akan diri kamu sendiri dan bencilah perbuatan mereka yang melanggar syariat sepertimana kamu membenci diri kamu sendiri. Insya’Allah kesejahteraan daripada azab Allah s.w.t. akan kita kecapi.

Marilah kita sama-sama mendoakan bapa, saudara dan anak-anak kita di Palestin yang sedang teruk dibelenggu oleh sekatan kehidupan oleh Israel Laknatullah. Doakan juga bantuan kemanusiaan yang ingin disampaikan kepada penduduk Palestin melalui Lifeline4Gaza(LL4G) dapat disempurnakan. Jika ada kelapangan dan kemudahan, sama-sama kita laksanakan solat hajat agar Israel Laknatullah ditimpakan bala kerana menyerang saudara seagama kita di sana. Amin…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s