Utopia (11) : RASA

Cinta itu memang kompleks.

Ia tidak semudah berjumpa dengan orang yang hensem/lawa, tersentuh dengan budi baik si dia, jatuh cinta, kahwin dan hidup bahagia selama-lamanya.

Kalau cinta itu pada yang cantik, ada ramai juga jatuh cinta pada yang tak lawa.

Kalau cinta itu pada yang baik, ada ramai juga yang jatuh cinta pada orang yang tak berapa baik.

Benci juga kompleks.

Ia tidak semudah seseorang melakukan perkara yang kita tidak suka, lantas kita jadi benci pada dia.

Adakala seseorang tu tak ada salah apa-apa pun pada kita, tapi tengok muka dia sahaja dah membuatkan kita rasa meluat, menyampah dan benci.

Kategori “Muka mintak penampar!” kata senior saya di sekolah dulu.

Kenapa segalanya kompleks? Kerana perasaan itu, soal hati, bukan boleh ditafsir-tafsir atau dirungkai-rungkai dengan logik akal SEMATA-MATA.

.

Islam Nan Mudah

Begitu juga soal beragama.

Ada orang kata Islam itu mudah.

Jika semudah itu agama ini, mengapa berpuluh tahun menganut, belajar, mengajar dan diajar tentang Islam, masih lagi tidak mampu membentuk sebuah peribadi muslim yang sebenar?

Jika mencegah perbuatan keji dan mungkar itu semudah pada melaksanakan solat, mengapa bertambahnya masjid-masjid besar di Malaysia, bercambah juga kilang-kilang arak terbesar, pusat-pusat judi dan maksiat?

Jika amar makruf (mengajak melakukan kebaikan) itu semudah membentangkan bayangan-bayangan syurga, dan menerangkan balasan-balasan pahala yang berjela-jela, mengapa bercambahnya kitab agama, maksiat terus juga berleluasa?

Jika mencegah kemungkaran itu semudah menceritakan azab-azab neraka, dan bengisnya malaikat-malaikat penjaga neraka, mengapa banyaknya ceramah-ceramah, banyak juga masalah ummah?

.

Walaupun Asasnya Kukuh

Ingatkah kita pada cerita bani Israel yang dikisahkan dalam kitab petunjuk sepanjang jalan kita dalam surah Baqarah ayat 246?

Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: Lantiklah seorang raja untuk kami supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah Nabi mereka menjawab: Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?, Mereka berkata: Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami dan (dari) anak-anak kami? ……

Bani Israel mempunyai sebab yang cukup kukuh untuk berperang. Mereka dihalau dari tempat tinggal dan dipisahkan dari keluarga dan anak-anak. Satu situasi yang cukup menguatkan emosi dan membangkitkan motivasi untuk berjuang mempertahankan hak-hak diri. Mereka sudah berkorban sejauh ini, demi mengejar janji Tuhan. Maka apakah setelah begitu banyak benda yang dikorbankan, mereka hendak berhenti di pertengahan jalan, sedangkan janji Allah semakin dekat untuk mereka gapai?

Akal yang waras menafsir situasi dan keadaan mereka akan cepat membuat kesimpulan, sudah pasti mereka akan terus berjuang dan berperang melawan tentera Jalut untuk meraih janji Tuhan di depan mata. Namun,

……Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

Namun sebab yang kuat itu tetap tidak menggugah hati mereka untuk menunaikan kewajipan itu. Soalnya mengapa?

.

Islam yang sebenar

Baru-baru ini ada program di Jepun, ‘Sense Our Soul’. Dalam satu sesi LDK bersama rakan-rakan yang lain, kami membincangkan situasi umat Islam sekarang. Rata-rata memberi pendapat umat Islam tidak mengamalkan Islam yang sebenar.

Maka ia mencetuskan satu persoalan ironis yang wajar difikir-fikir bersama.

Susah sangat ke nak amalkan Islam yang sebenar? Kalau betul lah Islam ini agama yang benar, agama fitrah, diturunkan untuk memimpin manusia dan menjadi rahmat seluruh alam, mengapa ia begitu susah untuk diamalkan oleh manusia?

Apakah sebenarnya yang menyebabkan agama ini susah diamalkan dengan sebenar-benarnya?

Kurang didikan agama?

Tepat sekali mengikut skema jawapan kertas pendidikan Islam Sijil Pelajaran Malaysia. Baiklah, katakanlah memang benar, masalahnya pada kurang didikan agama. Maka ilmu apa lagi yang kurang, yang tidak dididik kepada masyarakat?

Ilmu fiqh? Halal haram makan minum, sah dan batal dalam solat, hukum wajib dan sunat solat jemaah, ilmu kaifiyyat beramal bulan rejab dan syaaban?

Ilmu tauhid? Perincian rububiyyah dan uluhiyyah, penerangan ilmu asmaa’ wa sifat, ilmu mencari kedudukan arasy Allah?

Ilmu akhlak? Dalil-dalil quran dan hadis berbuat baik sesama manusia?

Ilmu apa yang kurang antara kita sehingga kita tidak boleh mengamalkan Islam yang sebenar?

Berapa ratus orang membaca laman web ini? Berapa ratus pula artikel telah tercatat? Berapa ribu pula yang hobinya memang membaca laman-laman web Islam? Berapa ribu pula yang sememangnya mempunyai laman web Islam sendiri? Berapa ratus ceramah agama pernah kita dengar? Berapa ratus khutbah jumaat pernah kita hadir?

Tidak cukup banyakkah ilmu agama kita?

Berapa banyak lagi ilmu agama yang kita perlu cari, untuk amalkan Islam sebenar?

.

Agama itu pada hati

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

[7:179]

Lantas neraka itu dicipta bukan untuk mereka yang tidak mengoptimumkan kemampuan akal untuk mengkaji hukum hakam halal haram dalam agama, tetapi bagi mereka yang tidak menggunakan hati sebaik-baiknya untuk memahami ayat-ayat Tuhan.

Agama itu tidak semudah kita duduk beramai-ramai, ambil sebiji tafsir Quran, keluarkan isi-isi penting, senaraikan ciri-ciri ahli syurga, senaraikan ciri-ciri ahli neraka, terbitkan dalam blog, letak di facebook dan tag semua orang, terbitkan dalam buletin, tayangkan di televisyen, dan sebulan kemudian semua orang menjadi Muslim Sebenar.

Akhirnya hati juga yang menentukan perilaku manusia.

Kerana itu segala-galanya yang berkaitan dengan agama ini menjadi kompleks.

Membina masyarakat Islam menjadi kompleks.

Membina negara Islam menjadi kompleks.

Mengamalkan Islam itu sendiri menjadi kompleks.

Kerana agama itu soal hati. Hati yang merasa. Merasa bertuhan. Merasa diri hamba. Merasa tunduk dan patuh. Merasa berserah diri, setiap masa, setiap ketika. Hati yang tidak merasa berat, menghambakan diri kepada Tuhan.

Pernahkah engkau (wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?

[52:40]

Ini adalah hakikat pertama yang perlu difahami oleh mereka yang bercita-cita menegakkan Islam. Bahawa menegakkan agama itu bermula pada mencipta hati yang merasa dirinya hamba, bukan pada mengasah akal tentang hukum hakam halal haram agama (SEMATA-MATA).

Wallahualam…

.

Bersambung….

5 thoughts on “Utopia (11) : RASA

  1. btol sgt artikel ni..sume mende bermula dgn hati..hadis,”ada seketul daging dlm diri manusia, jika baik daging ni, bsiklah seluruhnya, jika buruk daging ni, bruklah seluruhnya..dan daging itu ialah hati”..bto; x hadis ni?? kalo ada salah, tolong btolkn..onegaishimasu..tp rasa nye, daitai imi dye btol kowt..

  2. @qqq

    “Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”(Hadith ke-6, Hadith 40 An-Nawawi)

  3. setiap manusia tidaklah sempurna.walaupun seperfect mana di pandangan manusia dia tetap ada kelemahan yang tidak mampu dirungkai oleh mata ,tetapi di penglihatan allah yang tidak tebatas dalam apa jua sekalipun melihat amal sesorang itu setiap masa dan ketika.
    belian.
    cantik dipandang.
    bekilau-kilau
    namun kalau kita gune kanta pembesar ke,microscop pasti ada kecacatan yang terlihat.
    inilah fitrah manusia yang dijadikan MEMANG akan lalai dalam tiap ketika.
    namun bagi manusia yang dibukakan pintu hatinya sahaja yang mampu menghayati setiap sabdaan nabi penutup nabi dan ayat ayat daripada allah.hayatilah surah masa..
    sesungguhnya manusia itu akan rugi…
    TETAP AKAN RUGI!!!
    tetapi tidak bagi manusia yang beramal soleh,

    tapi xcukup dengan itu.

    kene pesan dengan manusia lain dengan kebenaran,,,
    bende yang baik,,TIDAK lagha…mengingati allah sebagai pencipta

    tapi itu semua x cukup kalau dia tidak berpesan-pesan dengan kesabaran…harap dapat hayati…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s