Utopia (12) : TANGGA

[Sila baca “Utopia (11) : RASA” terlebih dahulu]

Pagi itu sensei (lecuturer) saya memulakan kelas dengan mengajar tentang kanji (sejenis tulisan Jepun) kejuruteraan.

Sensei : Garis pertama melambangkan syurga dan garis kedua melambangkan dunia. Dan garis ketiga melambangkan tangga yang menghubungkan antara dunia dan syurga. Maka kejuruteraan membawa maksud, tangga yang menghubungkan dunia dengan syurga.

Wallahualam betul atau tidak. Tapi pandangan beliau mencuit hati saya.

Tangga-tangga ke Syurga

Agama itu diturunkan untuk membentuk hati. Hati yang merasa dirinya hamba. Yang tidak melawan apabila diperintah Tuan-nya. Hati yang sejahtera. Itu matlamat beragama.

Namun itu sahaja tidak cukup. Kerana ilmu yang tidak dicerna sebaiknya tidak dapat membentuk hati yang merasa. Akal harus ligat mencari dan memerhati supaya hati dapat menghayati. Akal yang mencerna. Itu alatnya untuk membina hati yang sejahtera.

Justeru akal itu menjadi tangga membawa hati ke syurga. Sebagaimana ia telah membawa hati Ibrahim yang sejahtera menemui Tuhan-nya.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: Inikah Tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: Inikah Tuhanku? Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: Inikah Tuhanku? Ini lebih besar. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).

Demikian dengan akal itu Ibrahim bertemu dengan Tuhan yang sebenar. Setelah puas mencari, mentafsir dan berfikir.

.

Ulul Albab

Akal bukan perkara remeh-temeh, kerana ia lah tangga yang membawa hati ke syurga. Jadi sangat penting, akal itu dibentuk menjadi matang sehingga mampu membuat penilaian yang tepat (Ulul Albab). Kerana itu perkataan Ulul Albab disebutkan 16 kali dalam al-Quran. Golongan Ulul Albab ini, merupakan golongan yang diiktiraf Allah untuk mereka yang dapat membezakan yang benar dan salah, yang berfaedah dan sia-sia, yang kemuncaknya membawa mereka menemui hakikat kebenaran dan membawa hati merasai keinsafan.

…. oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab.

[39:17-18]

Pertamanya haruslah kita BERUSAHA mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepada kita. Apakah maksudnya?

Sesuatu itu kita tumpahkan usaha apabila ia tidak datang mudah-mudah bergolek kepada kita. Bermakna ia sesuatu yang sukar atau payah. Tapi mengapa pula perkataan-perkataan yang sampai kepada kita, kena usaha pula nak dengar?

Biasalah kan benda-benda agama ni, memang susah kita nak dengar.

Ada ceramah yang berjela-jela sampai kita bosan.

Ada khutbah melalut-lalut sampai kita tersengguk-sengguk setiap kali Jumaat.

Ada tazkirah meleret-leret sampai kita pun keliru di mana ‘point’ yang nak disampaikan.

Ada kuliah yang berulang-ulang sampai kita rasa kita dah tahu dah semua benda nak disampaikan.

Memang susahlah kan nak dengar perkataan-perkataan yang macam ini, walaupun dihidangkan terus ke telinga kita? Sebab itu walau susah macam mana pun, kita kena usaha juga mendengar. Walaupun ada yang buat kita meluat, sakit hati, marah, geram dan sebagainya.

Selepas mendengar, pilih yang terbaik. Tidak menjadi Ulul Albab, mereka yang tidak membuat pilihan yang terbaik berdasarkan apa yang mereka dengar.

Sebab apa kena pilih?

Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai Ulul Albab, supaya kamu berjaya.

[5:100]

Sebabnya zaman sekarang ini banyak benda yang buruk-buruk nampak hebat di mata kita. Banyak pula yang mengkagumkan dan menarik hati kita. Dan lebih parah lagi, banyak pula yang buruk-buruk itu terselindung di sebalik nilai agama.

Ada banyak perkara-perkara yang tidak benar dalam agama, tapi kita terima bulat-bulat sebabnya yang bercakap itu, orangnya berjanggut lebat, sopan santun, nampak alim dan warak pada mata kita. Ada juga banyak kisah-kisah yang diselewengkan dalam agama, tapi kita terima bulat-bulat sebab yang bercakap itu nampak hebat pada gaya dan penyampaiannya. Kadang-kadang sebab yang menyampaikan itu ustaz-ustaz kita di sekolah lama, atau orang-orang tua yang kita segani, kita terima sahaja bulat-bulat tanpa berfikir kebenaran perkataan mereka.

Dan sebenarnya entah-entah ada banyak kesalahan dan kesilapan pandangan yang saya tulis atau kami, editor-editor Azzariyat tulis, tapi anda terima sahaja sebab kami pusing-pusing ayat bagi nampak benda itu betul.

.

Malas

Sebab itu Ulul Albab, tidak boleh main terima saja apa orang kata. Berusaha mendengar semua perkataan yang sampai, biar ia sedap atau membosankan, itu satu hal. Memilih pula perkataan yang terbaik, itu satu hal yang lain.

Jadi 2 kemalasan perlu dihindari golongan Ulul Albab. Malas mendengar (malas mencari walau apa alasan sekalipun). Dan malas berfikir.

.

Tenggelam

Tapi berhati-hati!

Memang akal itu dituntut untuk meneroka, mencari, berfikir dan mentafsir hakikat kebenaran kehidupan ini. Namun semua itu, hanyalah sebagai alat untuk membawa hati tunduk mengenal Tuhan.

Jadi jangan sekali-kali tenggelam dalam keghairahan meneroka ilmu, terutama cabang-cabang yang gelap dalam agama ini. Saya sentiasa berpendapat, setiap persoalan yang tidak menambahkan iman apabila terjawab atau tidak persoalan tersebut, merupakan perkara yang sia-sia dan tidak wajar dibazirkan masa untuknya. Walaupun mungkin ada manfaat, tapi lebih banyak lagi keburukan-keburukannya (‘at least’ membazir masa). Contohnya seperti berbalah isu wujudkah Adam sebelum nabi Adam, siapa yang bersalah dalam kes perang Siffin dan perang Jamal dan sebagainya.

Terjawab atau tidak persoalan-persoalan ini, tetap tidak membantu kita mendekatkan diri kepada Tuhan. Malah mungkin tambah menjauhkan. Atau anda rasa membantu? Jika anda jujur (‘simple but utmost complicated’) merasakan ia membantu anda dan umat ini mendekatkan diri kepada Tuhan, teruskanlah. Akhirnya, bak kata seorang pak cik kepada saya, “Apa juga yang kita hendak lakukan, biarlah akhirnya kita punya jawapan, untuk dpersembahkan kepada Tuhan”.

.

Tangga dan Syurga

Akhirnya, akal itu alat terbaik, yang Allah turunkan kepada kita untuk membantu kita mengemudi hati bertemu Tuhan. Maka perlulah akal itu digunakan sebaik mungkin, untuk berfikir dan mentafsir kebesaran Tuhan. Kerana akal itu tangga yang membawa hati ke syurga.

Namun, mana-mana bentuk pemikiran yang menggagalkan akal menjadi alat untuk mencapai matlamat, hanyalah ibarat tangga yang rosak atau patah, yang sia-sia, tidak boleh diguna. Lantas menjadi lah ia, sampah!

…setengah bagai bunyi enggang, setengah bagai bunyi kuau…

“Bacalah dengan menyebut nama tuhanmu yang menciptakan” (al-Alaq, ayat 1)

kita ini selamanya terbiasa dengan permainan akal dan perasaan.
kita ini manusia kan, dan kita ini berbeza, kerana itu fikir fikir kita juga punya beza.
dari yang beza itu kita lahirkan, cuba menzahirkan titik pertemuan, apa ada silang? dimana bucunya? siapa di garis yang mana?
kadang kadang tak jumpa, puas sudah mencari, puas juga memberi.

kadang kadang kita salah, tapi kita tegakkan benang yang basah
kadang kadang kita kalah, tapi selamanya kita tak sedar kita rebah
kadang kadang kita lemah, tapi ramai antara kita yang pura pura gagah
kadang kadang kita ini gajah, tapi kita tuding pada kuman yang tak semenggah
kadang kadang kita lupa, tapi kita lebih rela orang tak nampak kita leka, konon konon kita ‘power’

kadang kadang kita ini terlalu banyak bicara, hanya logik sahaja, syariat kita sia
kadang kadang kita ini taksub membaca, yang ada hanya beberapa eja, kita sangka hebat semua
kadang kadang kita permain agama, dan kita tak rasa, kita buat juga, kita terus sangka, betul segalanya

kita ini selamanya hamba, tapi ramai kita yang ingat kita ini raja

p/s : kredit untuk abang **** atas sajak di atas…

2 thoughts on “Utopia (12) : TANGGA

  1. Salam..

    Ralat: petikan maksud ayat Quran [35:17-18] di atas sebenarnya pada ayat [39:17-18]

    Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s