Si Burung Helang Uhud(1)

“Antara banyak-banyak sahabat, kamu suka yang mana?”

“Saya suka Abu Hurairah. Paling ingat kisah dia sebab dia handsome..haha..”

“Saya suka Mus’ab, sebab dia kaya dan anak mak, tapi sanggup tinggalkan segalanya demi Islam..”

“Saya suka semua sahabat, sebab dari mereka, kita dapat Islam hari ini. Dan dari kisah hidup mereka, kita banyak belajar dan dapat muhasabah keIslaman kita. Tapi yang paling saya suka, Tholhah bin ‘Ubaidillah.”

Namanya mungkin tidak terkenal sebaris dengan nama-nama khalifah ar-Rasyidin, malah mungkin ramai yang tidak mengenalinya, apatah lagi mengetahui kisah hidup insan mulia ini. Namun ketahuilah, dialah yang menjadi hero sewaktu peperangan Uhud dahulu sehingga Saidina Abu Bakar sendiri saat mengenangkan perang itu akan berkata,

“Seluruh hari itu adalah milik Tholhah”

Siapakah sebenarnya Tholhah?

Keislaman Tholhah

Tolhah bin ‘Ubaidillah adalah dari Bani Tamim dan keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah SAW dan juga Abu Bakar as-Siddiq. Beliau adalah seorangy ang mulia, mempunyai harga diri dan sifat dermawan yang luar biasa.

Beliau pernah menceritakan tentang keislamannya.

Suatu hari saya ke pasar Busra dan terserempak dengan seorang pendeta di baiaranya. Pendeta itu lalu berkata,

“Tolong tanyakan adakah di kalangan pengunjung jualan musim ini, terdapat orang yang datang dari Tanah Haram?”

Lalu saya menyahut, “Ada. Sayalah orangnya.”

“Adakah Ahmad sudah muncul?”

“Siapa Ahmad itu?”

“Anak ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttholib. Ini adalah bulan kemunculannya. Beliau adalah nabi yang terakhir. Tempat munculnya adalah Tanah Haram. Tempat hijrahnya adalah kawasan kebun kurma, berbatu hitam dan bergaram. Awas, jangan sampai engkau didahului oleh orang lain untuk menemuinya.”

Ucapan pendeta itu menusuk ke dalam hati saya. Lalu setibanya di Mekah, saya terus bertanya,

“Adakah apa-apa yang berlaku?”

“Ada!Muhammad Al-Amin telah pun membuat pengakuan nabi. Abu Bakar telah pun menjadi pengikutnya.”

Tholhah menjelaskan, saat itu hatinya berbisik, “Muhammad dan Abu Bakar, demi Allah, kedua orang ini pastitidak kaan sekali-kali bersepakat melakukan kesesatan. Muhammad telah pun berumur 40 tahun sedangkan kami tidak pernah melihatnya berdusta. Apakah mungkin beliau yang tidak berdusta kepada manusia sanggup berdusta kepada Allah!!”

Lalu saya keluar ke rumah Abu Bakar dan bertanya, “Adakah engkau telah mengikuti ajaran Muhammad?”

“Ya. Pergi dan berjumpalah dengan dia. Ikutlah ajarannya. Sesungguhnya dia mengajak kepada kebenaran.” Jawab Abu Bakar.

Tholhah pun menceritakan apa yang diceritakan oleh pendeta kepadanya. Tanpa lengah,mereka pergi menemui baginda Rasulullah SAW dan beliau memeluk Islam.

Begitulah Tholhah mendahului orang lain dalam memeluk Islam. Beliau waktu itu mempunyai perdagangan yang maju dan harta yang melimpah ruah. Walaupun begitu, beliau tetap berlumba-lumba berbuat perkara baik.

Burung Helang Uhud

Seperti yang kita sedia maklum, pada waktu peperangan Uhud, kaum Musyrikin beria-ia ingin menebus kekalahan mereka dalam perang Badar sebelumnya. Mereka nekad untuk menang dalam perang kali ini. Pun begitu, para pahlawan Islam tetap tidak menyerah kalah sekali pun menghadapi kemuncak kesusahan dan keletihan berhadapan dengan tentera Quraisy.

Peperangan tersebut memberi tamparan hebat kepada orang musyrik. Ramai di kalangan mereka yang terbunuh menyebabkan mereka terpaksa berundur diri melarikan diri dari tenera Islam yang gagah berani.

Melihatkan pengunduran dan kehinaan yang menimpa orang-orang kafir, tentera Islam segera meletakkan senjata. Kerana peperangan pada hari itu sangat meletihkan mereka. Kepenatan yang mereka rasai luar biasa sekali. Ketika itu pasukan memanah pun turun meninggalkan posisi mereka untuk mengambil habuan harta rampasan perang.

Tiba-tiba tentera musyrik datang dari arah belakang secara mengejut. Sekelip mata mereka berjaya menguasai medan perang. Dalam kecamuk perang ini, ratusan terkorban dan cedera dari kedua belah pihak. Orang Islam terkejut besar dengan serangan secara tiba-tiba ini.

Namun, dalam kegawatan ini, Tholhah masih sempat memandang ke arah Rasulullah SAW. Ketika itu baginda tergelincir ke dalam lubang. Pedang-pedang ganas menghujani baginda. Musuh bagaikan anjing-anjing sesat dan gila menerkamnya. Ringkikan kuda-kuda dari semua penjuru amat kuat. Tangan-tangan yang berdosa berasak-asak untuk cuba mengenakan kecelakaan dan keburukan terhadap Nabi SAW. Maka tidak hairan pada saat-saat genting ini, tersebarnya berita kematian Rasulullah SAW di segenap medan Uhud.

Namun saat itu, terdapat sepasukan tentera yang gagah perkasa bagaikan anak panah membelah pasukan-pasukan musuh yang mempunyai kekuatan pemusnah itu. Pasukan ini memecah masuk kepungan tentera musuh itu lantas dengan berani menyambar Rasulullah SAW untuk keluar dari kepungan tersebut. Mereka berhasil mengeluarkan baginda Rasulullah SAW dari cengkaman orang-orang yang menginginkan kematian baginda.

Pasukan tentera gempur yang menyelamatkan baginda itu, diwakili oleh lelaki agung dan berani ini, Tholhah bin ‘Ubaidillah. Beliau berhasil membawa Rasulullah SAW dengan tangan kirinya dan merangkul baginda ke dadanya. Manakala tangan kanannya menggenggam hulu pedang. Membuatkan kepala orang-orang yang melaluinya terpelanting ke bumi, kiri dan kanan setiap kali dia menghayunkan pedangnya.

Syahid yang berjalan di atas bumi

Malah Abu Bakar sendiri apabila mengenangkan kisah sewaktu perang Uhud akan menyebut, “Seluruh hari tersebut adalah milik Tholhah.” Betapa besarnya pengorbanan Tholhah dan sumbangannya kepada Islam dan baginda Rasulullah saat itu.

Sambungan dari kisah di Uhud, setelah tamatnya perang, Abu Bakar bersama Abu ‘Ubaidah al-Jarrah menemui Rasulullah SAW, lalu baginda berkata,

“Ambil berat terhadap saudaramu itu(uruskan saudaramu itu).”

Betapa mereka terkejut saat itu apabila mendapati terdapat lebih 70 kesan tikaman, kesan pedang, kesan anak panah, malah jari Tholhah juga terpotong. Lalu mereka berdua menguruskannya.

Rasulullah juga pernah berkata,

“Sesiapa yang ingin melihat seorang lelaki yang masih berjalan di atas  muka bumi sedangkan dia telah seesai menunaikan janjinya kepada Allah(seolah-olah dia telah syahid), maka lihatlah Tholhah bin ‘Ubaidillah.”

Allah SWT juga berfirman berkenaan orang yang seumpama Tholhah,

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah(untuk berjuang membela Islam); maka di anatara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu(lalu syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah apa yang mereka janjikan itu sedikitpun.” (al-Ahzab:23)

Kita dan Tholhah

Maka, dengan ini, saya ingin mengajak hati-hati kita semua untuk duduk dan renungkan sejenak tentang keimanan kita. Tentang kita dan Tholhah.

Dia begitu eager mencari kebenaran dalam hidup sehingga bertemu Islam dan menggenggam kemas ajarannya, kita pula bagaimana? Terlalu malas untuk berfikir tentang masa depan dan matlamat hidup, sehingga terleka dengan keseronokan sementara ini?

Dia begitu berani menghadapi musuh Islam kerana keyakinannya pada janji Allah SWT, kita pula bagaimana? Usaha tidak seberapa, tetapi asyik mempersoalkan bilakah janji Allah, pertolongan Allah akan tiba sehingga sering berputus asa dari rahmatNya?

Dia begitu cintakan Rasulullah SAW sehingga sanggup menyerbu kepungan musuh semata-mata untuk menyelamatkan baginda, kita pula bagaimana? Cintakan Rasul hanya di bibir, walau hati sering jauh dari mengingati baginda SAW. Bahkan kisah hidup baginda pun belum habis dibaca, sehingga nak sampaikan seruannya pun terasa berat?

Hari ini, saat mengenangkan keberanian Tholhah, kasih dan cintanya kepada baginda Rasulullah SAW, juga keyakinannya terhadap janji Allah dan keteguhan hatinya dalam melaksanakan janjiNya kepada Allah membuat saya tertanya-tanya kembali, aku ni biar betul, mengaku Islam sahajakah?

Mana bukti kasihku padaNya?

Mana pergi janjiku padaNya?

Mana pula kedudukan baginda Rasulullah SAW dalam hati ini?

Tepuk dada, tanyalah iman~

Semoga perkenalan kita dengan Tholhah, dapat mendidik jiwa hamba, dapat menginsafi kembali keIslaman diri.

Bagaimana pula dengan sifat dermawan luar biasa Tholhah? Kalau beliau tidak syahid di medan Uhud, bagaimana pula kematiannya? Nantikan Si Burung Helang Uhud(2).

Semoga lebih banyak dapat kita pelajari dari beliau.

“Ya Allah, restuilah junjungan kami Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda semuanya. Juga berikanlah kesejahteraan kepada mereka sebanyak-banyaknya.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s