Utopia (Final) : Tarbiyyah

Saya percaya jawapan untuk menyelesaikan setiap masalah manusia cuma satu.

Saya percaya jika seseorang itu mengantuk, maka jawapan untuk menyelesaikan masalahnya hanya tidur.

Dan apabila seseorang lapar, jawapan untuk menyelesaikan masalahnya cuma makan.

Namun akhirnya, jawapan yang satu itu akan membiakkan banyak pilihan.

Kita boleh memilih untuk makan banyak, makan sedikit, makan coklat, makan nasi, makan buah, makan keropok, makan hati, makan makanan halal, makan makanan haram, makan babi, makan ayam, dan pelbagai lagi pilihan.

Dan adakala pilihan-pilihan yang banyak ini, menyerabutkan kepala kita untuk menjawab persoalan yang kita alami.

“Hari ni nak masak apa ye? Semalam dah masak lauk kurma, hari ni takkan nak buat gulai lagi, buat ayam goreng lah. Tapi kalau buat ayam goreng, tak ada kuah pulak, rasa hambar pulak makan. Hmmm masak pucuk paku masak lemak cili api sekali la. Tapi cili api pulak tak ada, nak beli kat kedai mana ye? Beli kat kedai Pak Mat mahal sikit, lagi-lagi lepas gula naik harga ni, semua barang naik harga. Kalau beli kat kedai Ah Chong murah sikit tapi jauh kena kayuh basikal. Tukar menulah, cari kat internet nak menu best-best………………….”

Masalah semudah “lapar”, yang boleh diselesaikan dengan jawapan semudah “makan”, boleh dirumitkan dengan pelbagai pilihan yang tersedia.

Begitulah realiti antara masalah, jawapan dan pilihan.

Ada masalah, kita tak tahu apakah jawapannya.

Ada jawapan, kita tak punya pilihannya.

Ada juga banyak jawapan dan pilihan, tapi kita tak tahu apakah masalah sebenarnya.

.

Masalah Ummat

Apakah sebenarnya masalah ummat yang kita canang-canangkan ini?

Seluruh negara, seluruh dunia, ramai orang sibuk mengatakan ummat ini bermasalah (yang tak ambil peduli pun tak kurang juga ramainya…).

Atau sebenarnya ummat ini tidak bermasalah, dan masalah-masalah yang diwar-warkan hanyalah propaganda zionis untuk memecahbelahkan ummat?

Anda harus menjawab pada diri, apakah sebenarnya masalah ummat ini? Ya, anda yang membaca, sila jawab pada diri!

Mari luaskan mata, luangkan masa, jenguk berita-berita di Malaysia dan seluruh negara. Kita sedia maklum tentang kadar jenayah, maksiat yang berleluasa hatta di negara majority muslim sekalipun. Belum lagi disentuh aspek-aspek kehidupan sosial, berkenaan isu ekonomi, rasuah, pembangunan pendidikan, teknologi, sektor perindustrian dan segalanya yang diurus tadbir orang Islam yang rata-rata penuh dengan kelompongan dan korupsi.

Jadi di manakah janji bahawa agama ummat ini adalah rahmat kepada seluruh alam?

Luaskan pandangan lagi. Di Jepun, pusat perjudian (Pachinko), kedai menjual arak, kedai video lucah, majalah animasi (manga) lucah, wanita-wanita yang mendedahkan aurat boleh dilihat di mana-mana (Malaysia pun tidak kurang juga sebenarnya…).

“Eh gila ke apa? Diorang kan orang Jepun, bukannya orang Islam, memanglah tak tutup aurat…”

Kita rasa macam tu?

Kita tak terasa ke orang Jepun, orang Amerika, orang Britain dan semua manusia sebenarnya, adalah tergolong dalam ummat akhir zaman ini? Yang masing-masing diciptakan Tuhan yang sama, mempunyai tujuan hidup yang sama, dan akan dibangkitkan bersama?

Ummat ini seluruh manusia sahabatku.

Yang diciptakan dari air mani yang hina, yang sama-sama bertaraf HAMBA pada Tuhan yang sama.

Jadi kenapa ummat ini terus-terusan melakukan kemungkaran, terus-terusan melakukan kerosakan?

Apakah sebenarnya masalah yang membelenggu ummat ini, sebelum kita bercerita panjang lebar pula tentang jawapan penyelesaiannya?

.

Masalah?

Adakah masalahnya pada ketiadaaan negara yang menjalankan hukum hakam Islam secara sempurna? Jika itu masalahnya, adakah dengan menukar Malaysia menjadi negara Islam sebenar, akan mengubah keadaan ummat? Jika dengan isu pengharaman jersi MU, ummat di Malaysia bangkit melenting sehingga ramai yang gagal melihatnya sebagai aspek menyerahkan diri kepada Islam dan menambahkan taqwa kepada Allah, apakah yang akan terjadi apabila kita haramkan pula Konsert Jom Heboh, Seven Eleven yang menjual arak, haramkan rokok, jalankan hukum hudud? Adakah ummat akan menerima dengan rela, kerana ia dijalankan atas autoriti sebuah negara Islam?

Adakah masalahnya pada kekurangan dana ekonomi? Lupakah kita pada pak-pak arab yang dengan megah membeli plat kereta termahal dunia dengan harga US$ 14.2 juta (plat nombor 1), US$ 6.86 juta (plat nombor 5) dan US$ 4.6 juta (plat nombor 7)? Kalau plat kereta dah berjuta-juta US Dollar, bayangkan berapa mahal pula harga keretanya. Sedangkan di satu sudut berjuta rakyat Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain, hidup kelaparan.

.

Jauh

Masalahnya bukan pada faktor-faktor luaran yang nampak besar.

Masalahnya kerana ummat ini, anda, saya, kita, pemimpin, rakyat, hampir semuanya, jauh dari Tuhan.

Yang beragama Islam sekalipun, ramai yang jauh dari Tuhan, apatah lagi yang bukan beragama Islam.

.

Tarbiyyah (Jawapan)

Kerana itu ummat ini perlu dikembalikan, perlu didekatkan semula dengan Tuhan.

Dan saya percaya jawapan kepada masalah ini, hanyalah tarbiyyah.

Namun mendefinisikan tarbiyyah menjadi sangat susah, apatah lagi apabila istilah ini semakin murah meniti bibir-bibir kita.

Di sini lahirlah pelbagai pilihan, untuk menafsirkan apa itu tarbiyyah, dan bagaimanakah sebenarnya tarbiyyah yang terbaik.

.

Tarbiyyah (Pilihan)

Dan ini adalah pilihan saya dalam mengertikan tarbiyyah.

Tarbiyyah itu bukan setakat memberi ilmu, menyampaikan ayat-ayat Allah, dan mendidik tetapi tarbiyyah itu adalah membentuk dan membina. Membentuk hati-hati yang kenal Tuhannya. Kenal tanggungjawabnya. Kenal tujuan penciptaannya. Kenal hakikat dirinya Hamba.

Kerana tarbiyyah itu sifatnya membentuk manusia, ia tidak boleh dijalankan secara ‘touch-n-go’, datang dan pergi. Perlu ada sebuah mekanisma pengawalan, untuk memastikan jiwa manusia itu terbentuk sedikit demi sedikit, hingga akhirnya menjadi seperti yang kita kehendaki. Kita tidak mentarbiyyah sesuka hati, kerana kita ada tujuan akhir, ada bentuk yang ingin kita bina, daripada seorang manusia kepada seorang hamba.

Kerana itu tarbiyyah ini perlu berterusan. Tidak ada sijil graduasi dalam dunia tarbiyyah. Tidak ada sesiapa yang berhak mengaku dia sudah selesai ditarbiyyah.

Kenapa?

Kerana iman itu naik dan turun. Tarbiyyah itu bertanggungjawab memacu semangat ketika iman naik, dan membekalkan semangat apabila iman turun.

Memahami hakikat ini, sebuah sistem tarbiyyah yang berterusan diperkenalkan. Setiap minggu kita berkumpul, duduk di dalam lingkungan, saling mengingatkan, saling menguatkan binaan. Ada yang selesa menggelarnya usrah, halaqah, liqa’, smart group, atau apa sahaja nama yang kita letakkan.

Dan daripada lingkungan-lingkungan kecil ini, kami mengharapkan manusia-manusia hamba akan terbentuk, seterusnya melebarkan lagi lingkungan-lingkungan ini ke seluruh kampung, bandar, negeri, negara dan dunia.

Ya, cita-cita saya besar. Cita-cita kami besar.

Di bulatan kecil itu kami berkongsi cita-cita yang besar.

Dengan langkah kecil ini, kami pancangkan angan-angan besar.

Mungkin cukup kecil, sungguh kecil untuk menjadi signifikan kepada dunia. Amat kecil untuk memberi kesan apa-apa kepada dunia.

Namun akhirnya itulah pilihan yang kami pilih, dalam menjawab permasalahan ummat ini.

Anda bagaimana pula?

Sabda Rasulullah yang bermaksud,

“Bergembiralah Khubaib, agama ini akan menang hingga suatu masa nanti seorang penunggang dari Eden ke Oman akan berjalan tanpa rasa takut kecuali hanya kepada Allah dan takut kambingnya dimakan serigala.”

“Maka bersabarlah engkau(Muhammad), sungguh, janji Allah itu benar dan sekali-kali jangan sampai orang-orang yang tidak meyakini(kebenaran ayat-ayat Allah) itu menggelisahkan engkau.”

(Ar-Rum:60)

.

Renungan

Renungkan pengembaraan Nabi Musa mencari Khidir.

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya (Yusha’ bin Noon): “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus ke suatu masa yang tidak pasti”

[al-Kahf 18: 60]

Musa bukan berjalan saja-saja. Perjalanannya mencari Khidir adalah perjalanan mencari hikmah kehidupan, mencari hakikat kebenaran.

Perhatikan, keazaman Musa sangat tinggi, baginda tidak akan berhenti berjalan sehingga bertemu tempat yang dijanjikan.

Jika tidak bertemu?

Baginda akan terus berjalan, terus dan terus, sehingga waktu yang tidak pasti. Bermakna suatu pengembaraan yang tidak ada penghujung yang pasti.

Walau sehingga mati, pencarian itu tetap terus dilakukan.

Harus keazaman kita seperti itu, dalam mencari kebenaran dan hakikat kehidupan.

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNya.”

(al Insyiqaq:6)

Kamu akan menemuiNya.

Namun, kitakah orang yang bekerja keras menuju Tuhan itu?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s