Diari GRUM:Bekalan

Pengalaman pertama

2 hari yang sangat bermakna, menyertai GRUM: Gerakan Responsif Ummah Madani. Walaupun hanya berpeluang menyertai  selama dua hari kerana kekangan masa, ia mengajar kami 1001 erti.

Kami telah disambut baik oleh fasilitator program dan peserta-peserta lain yang sudah beberapa minggu dalam program. Walaupun pertama kali bertemu, mereka begitu ramah menegur. Aura ukhwah antara kami utuh. Tidak mengira umur, sama ada masih belajar atau sudah bekerjaya. Itulah GRUM.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Kemesraan, kasih sayang dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Explorace

Saya pernah menyertai aktiviti explorace, tetapi hanya terhad di satu-satu tempat sahaja. Explorace GRUM sangat berlainan. Explorace GRUM menguji kekuatan fizikal dan mental kerana memerlukan para peserta bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain. Para peserta harus menggunakan wang saku yang diberikan, tidaklah begitu banyak sekadar untuk tambang kenderaan awam dan makan minum.

Maka bermulalah cabaran.

Arahan pertama ialah menyelesaikan 2 sudoku tahap susah. Kumpulan kami mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikannya. Berkat kerjasama satu kumpulan, akhirnya kami berjaya menyelesaikannya tatkala masih ada kumpulan lain yang sedang memerah otak. Setelah menunaikan solat Dhuha, kami memulakan perjalanan.

Perjalanan ini menuju ke sebuah restoran di mana kami diarahkan menebar roti canai setiap seorang. Dalam perjalanan, kami dibenarkan mencari dana kumpulan dengan apa cara sekalipun selagi halal. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk membuat kerja di restoran itu seperti membersihkan meja makan dan mengutip sampah. Pengalaman menebar dan memasak roti canai sendiri merupakan satu pengalaman baru yang menyeronokkan.

Kemudian kami mengambil bas ke Klang sebelum ke Central Market Kuala Lumpur. Setibanya di Klang, kami mengambil bas terus ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan itu, kami ditugaskan menghafal beberapa potong ayat al-Quran dan menyampaikan isu Palestin kepada masyarakat awam.

Setibanya di Central Market, kami menerima klu baru di checkpoint. Tugasannya ialah membuat apa-apa sahaja kerja amal dalam jangka masa yang ditetapkan. Kami berbincang dan membuat keputusan untuk membantu mempromosikan dua buah gerai. Di sinilah pentingnya skill komunikasi dan mendekati masyarakat. Penting untuk menjadi berani dan membuang rasa malu berhadapan ketika berhadapan dengan masyarakat.

Setelah berjaya menyelesaikan tugasan, kami bergerak ke KL Sentral untuk tugasan seterusnya. Solat Zuhur berjemaah, kemudian kami menjamu selera roti canai yang telah ditebar pagi tadi. Ada kumpulan yang menjadikan roti canai sebagai sarapan. Namun, kami merancang dari awal lagi sebagai makan tengah hari untuk menjimatkan perbelanjaan.

Di  KL Sentral

Betul-betul di hadapan McD, kami duduk dalam halaqah, menyambung lagi hafalan yang masih belum selesai. Setelah selesai, kami mendapat klu baru dan ditugaskan ke sebuah kawasan kem dengan menaiki KTM.

Dalam perjalanan itu, kami sampai agak awal berbanding kumpulan-kumpulan lain. Oleh itu, kami merancang untuk meneruskan kerja-kerja untuk menambah dana kumpulan. Tibalah kami di kawasan sebuah pekan. Kami cuba mencari kerja di restoran-restoran. Ada sebuah gerai yang kelihatan serba kekurangan. Saya pasti jika anda melihat keadaan gerai itu, anda akan merasakan mungkin mereka tidak membenarkan kami bekerja dan mendapatkan dana. Tidak, tanggapan anda salah!

Sememangnya mereka tidak membenarkan kami bekerja. Tetapi, tuan gerai itu terus menghulurkan dana yang termampu diberikannya. Syukur. Dalam keadaan yang serba kekurangan dan susah, masih ada golongan yang sudi menyampaikan bantuan. Maka, kita tidak sepatutnya melihat keadaan luaran seseorang sahaja. Ibarat buah durian, luarnya berduri-duri, kulitnya tidaklah setegang dan selicin kulit epal, tetapi, siapa sangka di dalamnya tersembunyi isi yang lazat. Pepatah orang putih juga ada mengatakan, “Don’t judge a book by its cover.”

Check Point Penamat

Setibanya di penamat, kami diajar memanah. Kemudian kami ‘didera’ dengan aktiviti berlumpur. Tidak mengapa kerana selepas itu kami dibenarkan terjun ke sungai beramai-ramai.

Apa Yang Dikaut

Hidup ini ibarat satu perjalanan.  Sebagaimana pesanan Nabi s.a.w bahawa hidup kita yang fana di dunia ini ibarat satu pengembaraan. Banyak yang diperlukan oleh seorang pengembara. Contoh paling mudah: bekalan.  Sebagai contoh, kami menyimpan dahulu roti canai yang ditebar sebagai bekalan makanan tengah hari. Manalah tahu kalau-kalau duit poket kami tidak mencukupi untuk kesemua 7 orang ahli kumpulan. Begitu juga dengan kehidupan hakiki kita. Bekalan kita di dunia ini ialah amal ibadah. Amalan kitalah satu-satunya bekalan yang dibawa, bukannya harta benda, kereta, roti canai, laptop dan sebagainya.

Seperti permainan Explorace ini, titik terakhirnya ialah menang-kalah. Markah kami dikira berdasarkan hasil kerja mengikut arahan dan jumlah dana yang terkumpul. Begitu juga dengan kehidupan sebenar kita. Destinasi terakhir kita ialah menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Sebelum sampai ke alam akhirat, setiap amalan kita di dunia akan dihisab. Maka berdasarkan amalan-amalan itu, terputuslah ketentuan sama ada kita ke syurga @ neraka.

Banyak pengajaran yang kami kaut dalam setiap perkara yang kami lalui dalam GRUM 2010. Semoga GRUM terus dilaksanakan pada masa-masa akan datang.

Wallahualam…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s