Merasai Islam

Khamis lalu, saya bersama 2 rakan yang lain, menaiki tren selama kira-kira 8 jam setengah dari Kyoto menuju ke Tokyo. Alhamdulillah hujan gerimis yang mengiringi perjalanan kami membuatkan cuaca tidak berapa panas dan memungkinkan kami meneruskan ibadat puasa. Asalnya kami berniat untuk solat jumaat keesokan harinya di masjid Asakusa kerana ada program sempena ramadhan di situ, tetapi kerana keletihan kami terlewat bangun dan terpaksa solat jumaat di masjid berhampiran (masjid shin-okubo). Kami tiba agak lewat dan masjid telah dipenuhi begitu ramai jemaah, sehinggakan ada yang terpaksa solat jumaat di anak-anak tangga.

Seusai solat jumaat, kami bergegas ke masjid Asakusa. Program berjalan lancar sepanjang petang tersebut. Rata-rata peserta memberikan komitmen dan kerjasama yang baik walaupun masing-masing keletihan menempuh perjalanan panjang.

Selesai solat maghrib dan berbuka puasa, peserta mengambil peluang untuk berehat dan membaca al-Quran. Ketika saya menuju ke bilik wudhu’, 2 orang pemuda Jepun tiba. Dalam hati saya terdetik, “Alhamdulillah, ada juga peluang berkenalan dengan muslim Jepun”.

Namun, ketika semua jemaah bangun untuk solat Isya’, 2 pemuda Jepun tadi masih tetap duduk di belakang masjid. “Mungkin mereka dah jama’ Isya’ dengan Maghrib” detik hati. Seusai solat tarawih, kelibat 2 pemuda Jepun tadi sudah tidak kelihatan. Ketika bersembang-sembang dengan seorang senpai (senior) yang telah bekerja di Jepun, barulah saya tahu bahawa kedua-dua pemuda Jepun tadi bukan muslim. “Mungkin mereka cuma nak belajar tentang Islam” sambung senpai tersebut.

Seusai tarawih, rata-rata peserta pulang ke rumah masing-masing. Saya bersama-sama beberapa rakan dan senpai memilih untuk beriktikaf sahaja di masjid tersebut. Selepas solat subuh keesokan harinya, saya menyambung tidur semula (amalan yang tidak baik untuk dicontohi…). Selepas bangun dan mandi, 2 pemuda Jepun tersebut datang lagi ke masjid dan berbual-bual dengan senpai-senpai. Terdetik juga di hati saya untuk memberikan 2,3 naskhah buku-buku tentang Islam dalam bahasa Jepun yang sudah berhabuk di belakang masjid, tapi memandangkan buku tersebut bukan milik saya, maka saya batalkan sahaja hasrat tersebut. Selepas solat zuhur, saya pulang ke rumah dan membiarkan senpai berbual tentang Islam bersama pemuda Jepun tersebut.

Ahad lepas, saya sempat bertemu dengan senpai yang berbual dengan pemuda Jepun tersebut.

Senpai : Ingat lagi budak Jepun 2 orang yang datang masjid Asakusa hari tu?

Saya : Ingat…

Senpai : Lepas korang semua balik, budak Jepun tu pun balik juga. Lepas tu, masa nak buka puasa, diorang datang balik ke masjid. Abang sempat la sembang-sembang sikit dengan diorang. Abang offer nak bagi buku-buku tentang Islam kat belakang masjid tu kat diorang, tahu diorang jawab apa?

Saya : Tak tahu…

Senpai : Diorang cakap, kalau buku-buku tentang Islam, diorang dah banyak dah baca. Tapi diorang tak dapat nak ‘feel‘ (‘rasa’) Islam tu daripada pembacaan diorang. Sebab tu diorang datang masjid, nak tengok dan hayati sendiri Islam. Dan diorang kata, daripada pengalaman diorang di masjid Asakusa 2,3 hari tu, diorang dapat ‘feel‘ yang diorang cari.

Subhanallah.

Kisah ini mengingatkan saya kepada artikel yang lepas, Utopia (11) : Rasa

Kita bagaimana pula? Bertahun-tahun puasa di bulan ramadan, berulang-ulang kali khatam al-Quran, berjayakah kita meraih ‘RASA’ sebagai muslim? Jika masih belum, tidakkah berminat untuk mencarinya? Lebih-lebih lagi di bulan ramadan yang penuh mulia ini.

Jika 2 pemuda Jepun tadi sanggup ulang-alik ke masjid dalam cuaca musim panas Jepun yang sungguh memeritkan hanya semata-mata untuk merasai Islam yang sedang beliau pelajari, tidakkah tergugah iman kita untuk berkorban lebih lagi hanya semata-mata untuk merasai Islam yang sedang kita anuti?

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

[Al-A’raf, 7:179]

.

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

[Al-Hajj, 22:46] 

One thought on “Merasai Islam

  1. salam..begitu terkesan apabila membaca mengenai kesungguhan pemuda2 jepun tersebut dalam merasai islam walaupun belum menjadi seorang muslim..
    bagaimana dengan diri kita sendiri yang sudah semmemangnya dilahirkan sebagai islam? adakah kesungguhan untuk merasai nikmat islam itu ada dalam diri kita?
    salam ramadhan 1431H

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s