Kita mampu sebenarnya..

Sudah lebih 10 hari Ramadhan bersama kita. Ada yang menyambutnya dengan gembira, ada yang mungkin berduka kerana tidak lagi boleh menjamah makanan tengah hari. Ada yang biasa sahaja dengan kehadirannya. Tapi beruntunglah bagi mereka yang merindui bulan semulia ramadhan ini. Bulan yang penuh berkat dan dijanjikan pelbagai hikmah. Satu-satunya bulan kita dapat merasakan kuatnya ukhuwah sewaktu iftar jami’e, indahnya bertaddarus menunggu isyak dan syahdunya bertarawih bersama. Satu kitaran indah yang hanya akan berlaku pada bulan mulia ini. Saya pasti semua antara kita berkongsi harapan yang sama iaitu “Ku mengharapkan ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna..”

Setiap kali ramadhan datang, suasana akan turut berubah.  Kalau pada bulan-bulan biasa, sementara menunggu pensyarah datang, masa akan dihabiskan dengan membaca surat khabar atau berbual kosong. Tapi dengan hadirnya Ramadhan, ramai yang mengisinya dengan membaca Al-Quran. Kalau dulu, balik sahaja dari kelas, dalam kepenatan, ramai  yang akan tertidur. Tapi dengan hadirnya ramadhan, ia akan lebih terisi. Ada yang mengambil peluang membaca Al-Quran, ada yang mengisi masa dengan ulangkaji.  Kalau dalam situasi JAD, bagi rumah yang menyediakan iftar, antara waktu lepas kelas dan sebelum waktu berbuka adalah waktu kritikal. Kerana apa? Kerana berkejar ke sana ke mari mencari bahan untuk memasak juadah iftar. Tangan tak berhenti bekerja menyempurnakan juadah berbuka. Penat. Tapi bila tahu ganjaran memberi makan orang berbuka adalah besar, tak kisahlah penat pun. Lebih-lebih lagi bila lihat masakan kita dinikmati dengan penuh selera, hati pun berbunga gembira.

Malam-malam pada bulan ramadhan juga tidak serupa dengan malam-malam yang biasa. Setelah solat maghrib, ramai yang akan mengambil peluang bertaddarus. Impiannya mahu khatam 30 juzuk sebelum Ramadhan berakhir. Kemudian diteruskan pula dengan solat isyak. Usai sahaja solat isyak, makmum dan imam tidak akan bersurai. Tetapi akan berzikir sebentar sebelum bangun semula untuk menunaikan solat sunat terawikh. Rutin ini akan diteruskan hari demi hari. Malah pada sepuluh malam terakhir yang menjanjikan sejuta keampunan dan hadirnya sebuah malam yang lebih baik dari yang lainnya. Lailatulqadr yang hanya ada dalam ramadhan. Pendek kata, masuk sahaja bulan ramadhan semuanya mampu berubah. Ibadah yang dulu kita rasa berat memikulnya, terasa mudah dilaksanakan.

Apa buktinya di sini? Sebenarnya kita mampu sahaja untuk beribadah dengan lebih baik. Menunaikan amalan yang sunat setelah amalan fardhu disempurnakan. Mungkin ada yang akan berkata,

“Bulan puasa lain. Masa ni syaitan kena ikat. Sebab tu leh beramal lebih.”

Saya tidak berapa pasti tentang kenyataan syaitan diikat itu. Tetapi walaubagaimanapun, nafsu kita tetap ada. Kita berpuasa, tapi nasfu untuk menjamah makanan masih terasa. Kita puasa, tetapi kita masih ada nasfu untuk membeli bermacam-macam sewaktu berkunjung ke bazar masih ada. Hakikatnya kita tetap perlu melawan keinginan kita pada bulan puasa. Kita jadi lebih kuat untuk melawan nafsu kerana kita dihujani dengan pelbagai kelebihan dan ganjaran. Secara batinnya, Ramadhan memang berbeza. Tetapi zahirnya hari-hari yang dilalui tetap sama. Masa masih 24 jam, siang masih mendahului malam, waktu solat kekal 5 waktu. Tiada apa yang berbeza. Jadi jika kita mampu untuk berubah pada bulan ramadhan, mengapa tidak berlaku perkara yang sama pada bulan-bulan lain? Atau secara mudahnya pada setiap hari dalam hidup kita. Kerana memang fitrah kita diciptakan untuk beribadah. Cuma mungkin pada masa biasa, kita sedikit ego untuk tunduk pada fitrah itu lalu memilih untuk tewas pada godaan.  Padahal jika kita memotivasi diri sendiri, kita mampu untuk beramal dengan lebih baik, membaca al-Quran seperti pada bulan ramadhan. Walaupun pada bulan lain tiada terawih dan tiada Lailatulqadr, tetapi peluang yang ALLAH sediakan tetap sama. Setiap kebaikan pasti menerima pahala, pintu taubat masih terbuka dan ALLAH masih sentiasa mendengar doa hamba-hambaNYA.  Jadi mengapa tidak segala yang kita betulkan pada ramadhan kali ini kita teruskan pada bulan-bulan lainnya sehingga kita bertemu lagi dengan ramadhan? Itulah tujuan utama kelebihan Ramadhan yang ALLAH kurniakan. Supaya kita dapat melatih diri menjadi insan yang lebih bertaqwa dan beramal soleh. Jika kita mampu pada bulan ramadhan, kita juga mampu pada bulan-bulan lain. Ya, kita mampu sebenarnya!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s