Jika kita mati………..~

Pejam celik pejam celik, sudah lebih 10 hari kita bernafas dibulan Ramadhan. Di bulan Ramadhan ini juga, buka sahaja helaian akhbar, hampir kesemua muka-muka depan  akhbar bercerita tentang kematian. Cerita tentang kematian warga tua yang kemalangan ketika pulang membeli juadah berbuka puasa. Cerita tentang kanak-kanak yang telah 5 tahun menderita sakit akhirnya menghembuskan nafas terakhir di bulan yang mulia ini. Cerita tentang pemuda mati dipukul along. Dan yang terbaru, kisah kematian kanak-kanak yang melambung ke atas pokok akibat letupan mercun yang kuat.

Hakikatnya,  kematian itu suatu kenyataan yang pasti. Dan ada pujangga berkata, kematian akan berlaku diantara dua waktu solat kita. Maka jalani ibadah solat kita sebaik mungkin seolah-olah itu solat terakhir kita. Mungkin sukar difikirkan, dan mungkin tidak pernah pula kita fikir, andai ketika ini adalah saat terakhir kita bernafas.

Andai kita mati sesaat lagi;

Adakah amal ibadah kita sekarang mampu membawa kita ke syurga Allah? Sedangkan syurga Allah itu bukan calang-calang orang yang mampu menjejakinya. Jadikan setiap ibadah adalah ibadah yang terbaik dan semoga istighfar dan kata taubat sentiasa terucap dibibir dan dihayati dalam hati disetiap saat kita bernafas.

Andai kita mati seusai waktu sahur nanti;

Adakah terjamin kita tiada dosa dengan Allah? Adakah terjamin kita tiada dosa dengan ibu bapa?  Adakah terjamin kita tidak pernah buat guru-guru kita berkecil hati? Dan adakah terjamin tidak pernah sekalipun kita buat salah dengan sahabat-sahabat kita? Sentiasalah memohon maaf dan yang paling indah dalam hidup, sentiasa menjadi seorang yang pemaaf juga pemberi maaf.

Andai kita mati esok hari;

Mungkinkah ada amalan-amalan yang dapat membela kita di hari pembalasan? Jika punya anak-anak, adakah anak-anak kita itulah anak soleh dan solehah yang akan mendoakan kita kelak? Bagaimana pula dengan sedekah jariah kita? Adakah kita insan yang sentiasa menghulur bantuan kepada yang memerlukan?  Adakah kita sang ikhlas bersedekah? Atau kita orang yang tersenyum sendirian tatkala mengingat kembali berapa keping duit yang kita sedekahkan sepanjang hidup. Atau mungkin juga  kita ini sang riak dengan sedekah jariah yang kita beri selama ini.

Andai kita mati seusai terawih esok hari;

Adakah kita mati sebagai insan yang benar-benar dituntut Allah s.w.t?  Adakah kita benar-benar melaksanakan dua tujuan kehidupan kita? Adakah kita insan yang beribadat dengan bersungguh-sungguh?  Adakah kita insan yang tidak jemu meraih redha Allah? Adakah kita insan yang tidak jemu membantu agama Allah? Atau kita insan yang acuh tak acuh dalam ibadah. Atau kita insan yang sentiasa rasa cukup dengan ibadah kita. Atau kita insan yang telah putus asa membantu agama Allah s.w.t.

Mungkin kadang-kadang kita rasa kita sudah jemu hidup bersyariat. Mungkin kadang-kadang kita rasa kita sudah puas beribadah. Mungkin kadang-kadang kita rasa mahu berputus asa berdakwah dijalan Allah. Mungkin kadang-kadang sekecil-kecil perkara mampu membuat kita melemah untuk terus berada atas jalan dakwah. Sedangkan hakikatnya ibadah dan dakwah adalah nafas kita. Selagimana kita bernafas, selagi itulah ibadah dan dakwah bersama-sama kita.

Semoga dibulan Ramadhan ini, kita bernafas dalam ibadah yang ikhlas dan tidak lupa juga bernafas dalam dakwah yang berterusan🙂

2 thoughts on “Jika kita mati………..~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s