Ada Apa Dengan Ramadhan (?)

http://www.youtube.com/v/Rh2rmh6HLc0?fs=1&hl=en_US

[Anda dinasihatkan menonton video ini untuk mendapat pemahaman yang lebih baik, kesalahan saya dalam mengolah ilmu yang cuba disampaikan adalah kelemahan sendiri, dan sebarang pembetulan dan tunjuk ajar, amat dihargai]

Akhirnya telah separuh Ramadhan berlalu.

Dengan terik matahari musim panas Jepun yang menghangatkan suhu melebihi 30˚, di saat-saat cuti semester yang menggoda kita meneroka segenap Jepun, atau sesetengah terpaksa berulang alik ke universiti menyiapkan kajian, saat itu pula kita terpaksa meletihkan diri menahan lapar dan dahaga seawal jam 3.30 pagi hingga 6.30 petang (bagi suasana Jepun).

Ada apa dengan Ramadhan sebenarnya? Yang dengan kehadirannya menggugat keseronokan hidup kita?

Manusia

Ahli psikologi memperkenalkan konsep “animal tendency”, masyarakat timur dengan konsep Yin dan Yang, walau apa jua nama yang diberi, manusia sepakat, ada komponen dalaman di dalam diri manusia selain jasad fizikal yang membentuk perilaku dan personaliti manusia, seterusnya melengkapkan kewujudannya.

Islam mempunyai bahasa tersendiri untuk menerangkan komponen dalaman ini.

Dan (sebutkanlah peristiwa) perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari Roh (ciptaan) Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat manusia.

[al-anbiya, 21:91]

Manusia terdiri daripada jasad dan roh.

.

Roh

Roh telah dicipta Allah, lebih dahulu, sebelum jasad kita sempurna dibentuk dalam rahim ibu kita. Bahkan, roh kita telah lebih dahulu berkomunikasi secara langsung, dengan Allah, ketika Allah berfirman,

أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ

Bukankah Aku Tuhan kamu?

Maka kita semua pula menjawab,

بَلَىٰ شَهِدْنَا

Bahkan! Sungguh kami menjadi saksi.

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.

[al-A’raf, 7:172]

Maka tatkala roh dihantar kita dihantar ke dalam rahim ibu kita, satu-satunya pengetahuan yang telah sedia ada bersama roh, ialah kenyataan bahawa Allah adalah Tuhan semesta alam.

Namun yang membezakan antara manusia, setelah dilahirkan, ada yang lupa akan hakikat ini. Mengapa?

.

1 Antara 2

Pertama, perlu kita fahami, setiap makhluk yang diciptakan Allah, bersifat saling bergantung antara satu sama lain. Yang tidak memerlukan pergantungan hanyalah Allah.

Maka seperti mana jasad kita bergantung kepada makanan, minuman, perlindungan dan sebagainya, roh kita juga bergantung pada sesuatu untuk meneruskan survival.

Apa yang akan terjadi, jika kita mempunyai 2 orang anak, dan kita hanya memberi makan kepada seorang sahaja? Tentu yang seorang lagi akan kelaparan, kebuluran seterusnya pengsan, koma atau mati.

Begitu juga apabila roh kita terus-terusan tidak diberi makan, ia akan lemah. Apakah yang akan hilang jika daya survival roh hilang? Kesedaran kita tentang hakikat Allah adalah Tuhan semesta alam akan lemah dan menghilang.

Maka menjadilah kita manusia-manusia yang lupa Tuhan, lantas lupa dirinya hamba, dan terus-terusan membuat kerosakan di muka bumi.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik (derhaka).

[Al-Hasyr, 59:19]

.

Chicken Soup For The Soul

Jadi apakah makanan Roh untuk memastikan kelangsungan survivalnya?

Roh tidak seperti jasad. Jasad sebagaimana yang kita tahu, asalnya diciptakan dari tanah (komponen organik). Maka makanan (keperluan) yang diperlukan oleh jasad untuk meneruskan survivalnya datang dari tanah (bumi). Nasi, beras, gandum, duit, batu, pakaian, rumah, semuanya dimanfaatkan dari hasil perut bumi.

Tetapi roh bukan dicipta dari tanah. Roh adalah cahaya yang diturunkan Allah, dihantar oleh malaikat ke dalam rahim ibu kita. Since (oleh kerana) roh adalah sesuatu yang diturunkan oleh Allah, maka makanannya (keperluannya) juga turut merupakan cahaya yang diturunkan oleh Allah.

Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan kepada rasulNya serta kepada penerangan cahaya (Al-Quran) yang Kami turunkan dan (ingatlah), Allah Amat Mendalam PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

[at-Taghabun, 64:8]

Makanan bagi roh adalah Al-Quran.

.

Puasa

Objektif puasa adalah jelas; untuk mencapai Taqwa.

Taqwa bukan bererti takut (kepada Allah) semata-mata. Takut adalah “khauf” dalam bahasa Arab. Namun taqwa adalah, disebabkan rasa takut kepada Allah, maka kita mengambil langkah-langkah keselamatan, itulah taqwa. Taqwa adalah perasaan (takut) dan tindakan (diambil disebabkan rasa takut).

Jadi jika kita hanya takut kepada Allah (balasan neraka), semata-mata itu belum lagi dikira taqwa. Sehinggalah kita mengambil langkah-langkah yang sewajarnya disebabkan rasa takut itu, barulah bererti kita bertaqwa.

Apakah yang mendorong kita bergerak, melakukan tindakan-tindakan yang sewajarnya itu?

Roh yang kuat. Kekuatan roh yang penuh sedar akan hakikat Allah ialah Tuhan semesta alam yang akan memandu manusia melaksanakan tanggungjawab yang sewajarnya.

Apa kaitan taqwa dan puasa?

Apabila kita berpuasa, kita menahan lapar dan dahaga. Bererti, kita telah menahan keperluan jasad kita. Seharusnya puasa mengurangkan tumpuan kita kepada makanan-makanan jasad, dan mula fokus kepada makanan-makanan roh. Maka ini memberi ruang kepada roh kita untuk diisi.

Kesimpulannya, puasa memberi ruang untuk kita menguatkan roh dan meningkatkan taqwa.

.

Ramadhan

Namun apakah yang istimewanya dengan puasa di bulan Ramadhan berbanding puasa sunat isnin khamis, atau puasa sunat di bulan-bulan lain?

Menahan lapar dahaga, mengurangkan tumpuan kepada makanan-makanan jasad, semua ini kita boleh dapatkan dengan berpuasa sunat di bulan lain.

Jadi ada apa dengan Ramadhan?

Allah menerangkan Ramadhan dalam ayat 185 surah al-Baqarah, bukan sebagai bulan yang diwajibkan puasa, bahkan sebagai bulan yang diturunkan al-Quran.

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah….

[2:185]

Istimewanya Ramadhan sehingga diwajibkan berpuasa di bulan ini, salah satu sebabnya, kerana pada bulan ini diturunkan makanan roh kita, iaitu al-Quran.

Puasa tidak memberi makna apa-apa kepada taqwa, jika kita hanya melemahkan jasad kita pada siang hari, tanpa mengambil peluang menguatkan roh kita di malam hari.

.

Al-Quran

Jika al-Quran ialah makanan roh, apakah nutrient-nutrien yang ingin diurai dan diserap darinya? Di dalam ayat yang sama (2:185), Allah berfirman, al-Quran sebagai :

  1. Huda linnas (petunjuk bagi sekalian manusia)
  2. Wabayyanatin minal huda (dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk)
  3. Walfurqaan

Furqaan dari kata furuq/faraq dalam bahasa arab, membawa erti sesuatu yang memisahkan dengan jelas antara dua perkara. Sebagai contoh, sungai yang memisahkan 2 tebing.

Al-Quran memisahkan di antara apa yang sepatutnya kita buat, dengan apa yang tidak sepatutnya kita buat, sebagai hamba Allah yang bertaqwa.

Dengan ciri itu, ia menjadi garis panduan kita (petunjuk) dalam membuat apa-apa tindakan.

Patut aku lempang dia ke, patut aku bersabar?

Patut aku mengumpat ke, patut aku diam?

Patut aku tidur ke, patut aku bangun?

Patut aku solat ke, patut aku main game?

Sehingga al-Quran menjadi titik rujukan kita dalam membuat apa-apa tindakan, itulah bererti al-Quran sebagai  Huda linnas (petunjuk bagi sekalian manusia).

.

Review

Kesimpulan, taqwa bukan semata-mata perasaan takut kepada Allah, bahkan apabila rasa takut itu membuahkan tindakan yang sewajarnya, barulah bererti taqwa. Tindakan yang sewajarnya itu, ditentukan dari al-Quran sebagai garis panduan. Hanya roh yang kuat dengan kesedaran, mampu memimpin kita mengambil tindakan yang wajar, dan puasa memberi ruang kepada kita untuk menguatkan roh.

Maka, pada Ramadhan yang berbaki separuh ini, marilah kita perbanyakkan menghayati al-Quran, mendalami maksudnya, mengamalkan panduannya, serta kurangkan sejenak kesibukan kita berfikir menu untuk berbuka puasa.

Renung-renungkan dan selamat beramal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s