Ramadan : Belajar Taqwa Dari Seekor Anjing

” Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. ” – (Surah Al-Baqarah: 183)

Alhamdulillah, sebentar tadi telah selesai program ceramah sempena Ramadan yang akan menjengah tiba minggu hadapan. Ibadat puasa diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, kerana tanpa iman di dada, tidak akan mampu seorang manusia menanggung tanggungjawabnya. Sebagai analogi :

Katakan suatu hari Asraff sedang berpuasa. Ketika tengah hari yang panas terik, Asraff berjalan terhuyung hayang menahan lapar menuju ke rumah setelah tamat kelas. Ketika masuk ke dalam bilik, Asraff terpandang sepotong kek lapis di atas meja.

(selingan : kek lapis adalah makanan kegemaran Asraff, sesiapa nak mengurat dia boleh lah hadiahkan kek lapis banyak-banyak kepada dia)

Asraff menelan air liur berkali-kali. Entah mana datangnya air liur yang sebanyak itu. Asraff tak mampu bertahan lagi, Asraff mengunci pintu biliknya dan mencapai potongan kek lapis di atas meja. Baru sahaja hendak menyuapkan kek lapis itu ke mulut, hatinya terdetik, “Allah nampak!”. Lantas segera diletakkan semula kek tersebut dan Asraff beristighfar di dalam hati.

Begitulah hakikat ibadat puasa yang kita lakukan. Kita berpuasa bukan kerana kita tidak boleh (baca: tidak mampu) makan atau minum, bahkan kita memilih untuk tidak makan dan tidak minum walaupun mampu berbuat sedemikian. Kerana apa kita memilih untuk tidak makan dan tidak minum? Kerana kita yakin Allah memerintahkan kita berbuat sedemikian, dan walaupun orang lain tidak nampak, Allah nampak! Itulah iman!

Dan hikmah yang terselit dalam ibadat puasa ini, supaya orang-orang yang beriman diangkat setingkat lagi menjadi orang-orang yang bertaqwa.

“…………semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”

Berkenaan kisah taqwa ini, saya teringat sebuah kisah yang saya baca dalam buku U-turn Ke Jalan Lurus Oleh Ust. Zul Ramli M. Razali (buku ini padat dengan kisah-kisah motivasi dan membangunkan jiwa, saya amat mengesyorkan kepada rakan-rakan untuk memilikinya).

Kisah ini menceritakan tentang sebuah stesyen kereta api kecil di Switzerland yang mempunyai tugu seekor anjing. Kisahnya bermula begini…

Suatu ketika dahulu, terdapat seorang pemuda yang memilki seekor anjing. Beliau sangat rapat dengan anjing beliau dan sangat menyayanginya. Setiap kali pemuda tersebut perlu bekerja di luar daerah, beliau akan membawa anjingnya bersama ke stesyen kereta api. Kemudian keesokan harinya, anjing beliau akan datang semula ke stesen yang sama untuk menjemputnya pulang ke rumah.

Pada suatu hari, pemuda tersebut perlu ke luar daerah untuk urusan yang penting. Seperti biasa beliau membawa anjingnya meredah cuaca musim dingin Switzerland, menuju ke stesen tersebut. Apabila kereta api sampai, seperti biasa beliau mengusap dan membelai anjingnya. Beliau mendakap dan mencium anjingnya, kali ini lebih lama daripada biasa. Pemuda tersebut melambai-lambai kepada anjingnya dan suara gonggongan manja anjingnya sayup-sayup semakin hilang dibawa angin musim dingin.

Namun sesampainya pemuda tersebut di pecan yang dituju, beliau diserang penyakit dan meninggal dunia. Mayatnya dikebumikan di sana.

Keesokan harinya, seperti biasa, anjing tersebut berlari riang meredah angin sejuk yang bertiup menuju ke stesen berikut untuk menyambut tuannya pulang. Anjing tersebut berdiri dengan penuh sabar sambil menjelir-jelirkan lidahnya di suatu sudut stesen, tempat ia selalu menjemput tuannya. Anjing tersebut menanti dan terus menanti.

Namun setelah beberapa kereta api berlalu, dan kelibat tuannya masih belum kelihatan, anjing tersebut mula resah. Apabila kereta api seterusnya tiba, ia menunggu di depan pintu gerabak dan menyalak-nyalak riang dengan harapan tuannya akan mendengar suaranya. Kereta api silih berganti merakam suara salakan anjing tersebut yang kian kepenatan. Akhirnya anjing tersebut pulang ke rumah dengan kecewa.

Keesokan harinya, anjing tersebut masih belum berputus asa. Ia berlari-lari riang dengan harapan hari ini tuannya akan pulang dan membelainya manja seperti biasa, memberinya minum susu hangat di musim sejuk ini, dan ia boleh merebahkan tubuhnya dalam dakapan tuannya setelah penat bermain seperti hari-hari sebelumnya. Berbekalkan semangat itu, anjing tersebut terus setia menyalak di depan pintu gerabak kereta api.

Begitulah rutin harian anjing tersebut setiap hari. Berlari riang kea rah stesen dengan penuh pengharapan, kemudian pulang semula ke rumah dengan wajah yang sugul kecewa. Tahun berganti tahun, musim silih berganti, anjing tersebut terus setia menanti tuannya.

Hinggalah di saat ia tua, ia hanya mampu mundar mandir di stesen mencari tuannya. Di saat-saat akhir kehidupannya, ia hanya mampu terbaring lesu di tempat yang sama kali terakhir tuannya mengusapnya manja dan mendakapnya erat. Panjang sungguh episod dukanya, dan akhirnya ia mati menanggung kerinduan yang amat sangat pada tuannya, dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di situ juga.

Pihak stesen yang mengikuti perkembangan cerita duka anjing ini telah mendirikan sebuah tugu bagi mengenangkan jasa dan kasih sayang seekor anjing menanggung kerinduan kepada tuannya.

Begitulah kisah kesetiaan seekor anjing. Betapa taatnya ia kepada tuannya sehingga di saat-saat akhir kehidupannya. Tidak hairanlah sehingga saidina Ali pernah berkata,

“aku belajar tentang Taqwa daripada kesetiaan seekor anjing kepada tuannya”

Malunya kita bila mengenangkan hubungan kita dengan Allah dibandingkan hubungan anjing dengan tuannya. Betapa seekor anjing hanya dilayan seperti anjing. Diberi makan di bawah meja, dirantai di luar rumah (disekat kebebasan bergerak), diberi tidur di ruang asing di luar rumah menahan kedinginan malam dan dirantai di leher ketika dibawa berjalan. Namun cukuplah satu sebab yang menjadi kesedaran kepada anjing tersebut, bahawa ia bukan anjing jalanan yang tidak bertuan. Hanya atas kesedaran itu,  seekor anjing menggenggam erat setianya pada tuannya hingga ke hembusan nafas terakhir.

Berbanding dengan kita. Kita bukan setakat dikurniakan pelbagai kelebihan, bahkan kita diangkat darjat melebihi makhluk-makhluk lain dengan dikurniakan akal. Bahkan para malaikat turut diperintahkan sujud kepada kita di awal penciptaan manusia. Bahkan kita diturunkan dengan satu jawatan yang sangat mulia, menjadi khalifah (pentadbir dan penguasa) muka bumi ini. Kita dikurniakan sejuta nikmat dan rahmat walaupun kita berdiri di antara iman dan kufur.

Namun kesetiaan kita masih tidak mampu menandingi kesetiaan anjing kepada tuannya.

Bila diajak melakukan kebaikan, kita sibuk mencari dalil untuk tidak melakukannya.

Bila diajak ke surau solat jemaah, kita sibuk mencari dalil menolak kewajipan solat jemaah.

Bila diajak berdakwah, kita sibuk mencari seribu alasan untuk melarikan diri.

Bila diajak mencegah kemungkaran, kita sibuk memunggah segala kelemahan diri untuk dijadikan alasan.

Bila diseru manusia kea rah kebenaran, kita sibuk mencari kelemahan dan kekurangan si penyeru itu supaya kita tidak perlu mengikutnya.

Sebenarnya, jawapan yang paling asas, kita tidak mahu melakukannya.

Kerana apa? Kerana kita tidak setia. Tidak setia kepada Tuan (Tuhan) yang memberi segala nikmat hidup kepada kita.

Kita sibuk menggali hukum halal haram sesuatu perkara, bukan kerana ghairah untuk mencari kebenaran mengetahui perintah yang Allah kemukakan. Tetapi kita sibuk mencari hukum dan dalil agar dapat melepaskan diri daripada beramal.

Maka saya menyeru kepada diri sendiri dan sidang pembaca.

Marilah kita bentuk semula hati kita yang penuh daki-daki maksiat, sempena bulan Ramadan yang bakal menjengah tiba ini. Bulan ini dijanjikan seribu rahmat dan keampunan, dan amat malanglah bagi kita jika gagal merebut hikmah dan kelebihannya.

riwayat Al-Hakim :

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya

Bersamalah kita memanfaatkan ganjaran bulan Ramadan ini. Marilah kita berusaha menjadikan Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Kerana kita masih belum pasti dapatkah kita bersama semula dalam Ramadan yang akan datang?

Maka mari perbanyakkan amalan, ringankan tangan menghulur bantuan, maniskan muka mengukir senyuman, murahkan jiwa memberi sedekah, ringankan langkah mengatur ziarah, banyakkan solat sunat, membaca al-Quran, qiamullail, iktikaf, banyakkan beramal walaupun sekadar mengutip sampul gula-gula di jalanan.

Semoga segala amalan yang baik mendapat balasan dari Allah biarpun hanya sebesar biji sawi yang tersembunyi di langit dan di bumi atau di dalam hati.

Renung-renungkan dan selamat beramal.

4 thoughts on “Ramadan : Belajar Taqwa Dari Seekor Anjing

  1. kisah yang menyentuh hati..kisah anjing tu la..analogi atas tu xditerima,hahahah..bile mase plak aku ske kek lapis ni?pelik2

  2. haah..buku U-turn ke Jalan Lurus tu sgt menarik. sy juga mengesyorkan buat rakan2..

  3. sangat menginsafkan la entri nih. sejak aku jumpe website azzariyat baru2 ni, dah jadi rutin pulak, hari2 kena baca website ni sebab korang sgt pandai tulis artikel yg best dan sesuai dgn keadaan semasa. congratz untuk azzariyat’s team~ =)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s