Kerana Ramadhan sudah tidak lama lagi bersama kita~

Situasi 1 : Salina ingin berubah. Daripada tidak bertudung menjadi seorang wanita bertudung. Namun dia hairan melihat akhlak kawan-kawan yang bertudung litup. Suka benar bercerita keburukan orang lain. Pantang lihat orang buat silap, terus dikritik. Itu tidak kena, ini tidak kena. Seakan-akan mereka memandang rendah kepada orang lain dan merasakan diri mereka cukup sempurna hanya bila mereka lengkap menutup aurat. Bukankah bertudung itu perintah Allah? Kalau mereka boleh mengikut perintah bertudung, mengapa mereka tidak boleh mengikut perintah Allah supaya sentiasa bersangka baik dan menutup aib saudara seislam?

Situasi 2: Zahid teringin menyertai rakan-rakan yang berdakwah. Kalau selama ini dia seorang yang tidak ambil peduli dengan aktiviti-aktiviti dakwah ini, sekarang dia begitu bersemangat untuk berdakwah menyebarkan agama Allah. Namun dia hairan melihat akhlak rakan-rakannya yang bersemangat dalam berdakwah. Mereka cukup bersemangat bila berdakwah, apabila tiba waktu peperiksaan, mereka malas belajar. Didalam kelas pula selalu tidur. Kerja sekolah pun selalu mereka buat lambat dan meniru. Bukankah dakwah itu sangat dituntut bagi setiap umat Muhammad s.a.w? Bukankah belajar dan mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang juga alat kepada dakwah? Apabila pendakwah-pendakwah mencapai kecemerlangan didunia ini, sudah pasti orang yang masih jahil semakin yakin dengan keindahan islam.

Situasi 3: Mawi ingin berubah menjadi seorang insan yang baik. Jika dulu dia seorang yang sangat jahil, kini pintu hatinya terbuka untuk menjadi seorang yang elok akhlaknya. Dia cuba mendampingi rakan-rakan yang selalu solat berjemaah dimasjid. Namun dia hairan melihat akhlak ‘budak-budak surau’ ini. Kadang-kadang mereka memandang rendah kepada rakan-rakan yang jarang turun solat disurau. Kalau ada yang turun ke surau ketika musim peperiksaan, mulalah mereka memandang sinis. Kalau bercakap hal sedekah, mulalah mereka banding-bandingkan nilai wang yang mereka sedekahkan.

Mengapa saya wujudkan tiga situasi diatas?

Kerana saya rasa terpanggil untuk  mengingatkan diri sendiri dan juga pembaca sekalian tentang perkara-perkara yang mungkin kita terlepas pandang. Kerana kita manusia, maka kita tidak lari dari sifat pelupa. Menjadi manusia yang berada dalam tarbiyah kadang-kadang menguji kita. Dan ujian ini lebih berat dari ujian-ujian lain kerana ujian ini adalah ujian didalam hati manusia. Menjadi seorang yang berada didalam tarbiyah membuat kita mudah rasa ‘cukup’ baik dan orang lain ‘tidak cukup’ baik dimata kita. Itu yang membuat kita mudah memandang rendah perbuatan orang lain.

Kerana saya rasa terpanggil untuk memuhasabah kembali fitrah hidup sebagai manusia biasa. Memasuki ‘dunia dakwah’ merupakan satu tiket untuk kita menjadi seorang hamba Allah yang punya akhlak yang mulia, menjadi hamba Allah yang akidah dan ibadahnya mantap. Namun seringkali rasa bangga dalam diri itu menjerat kita menjadi sebaliknya. Akhlak kita rosak kerana selalu saja mengkritik akhlak orang lain. Akidah dan ibadah kita hilang kualitinya bilamana kita merasa bangga dan cukup dengan amalan-amalan kita.

Penat lelah kita beribadah, habis masa kita terisi dengan kerja dakwah, akhirnya ia menjadi seakan sia-sia hanya kerana satu penyakit hati bernama riya’.

“Sesungguhnya yang paling aku khawatirkan menimpa kamu sekalian ialah syirik yang paling kecil. Mereka bertanya: Apakah itu syirik yang paling kecil ya Rasulullah? Beliau menjawab: Riya! Allah berfirman pada hari kiamat, ketika memberikan pahala terhadap manusia sesuai perbuatan-perbuatannya: Pergilah kamu sekalian kepada orang-orang yang kamu pamerkan perilaku amal kamu di dunia. Maka nantikanlah apakah kamu menerima balasan dari mereka itu.” Hadith Riwayat Ahmad.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya’ kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, Kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” Surah Al-Baqarah ayat 264.

Inilah masa kita bermuhasabah. Pernah atau tidak ketika beramal ibadah, kita rasa diri kita sudah banyak beramal, kita sudah banyak melakukan solat-solat sunat, sehingga kita rasa kita layak memandang rendah kepada amal ibadah orang lain?  Pernah atau tidak kita bersedekah dan kita rasa kita sudah cukup pemurah sehingga kita sentiasa terbayang-bayang jumlah wang yang telah kita sedekahkan? Pernah atau tidak kita rasa kita sudah cukup sempurna apabila kita lengkap menutup aurat sehingga kita rasa kita layak mengkritik akhlak orang lain?

Sedangkan yang memberi kita daya upaya untuk beribadah itu adalah Allah s.w.t. Yang memberi rezeki untuk kita bersedekah itu Allah s.w.t jua. Yang membuka pintu hati kita menutup aurat dengan sempurna itu Allah s.w.t juga. Tidak berlaku semua perkara tanpa izin Allah s.w.t. Sebanyak mana kita beramal, sebanyak mana kita bersedekah belum tentu menjamin kita ke syurga Allah kerana layaknya manusia ke syurga Allah dengan izin dan rahmat dari Allah jua.

Wahai sahabat, kita adalah orang Islam dan kita adalah umat yang terbaik. Maka dimana pun kita berada, nama islam bersama-sama kita. Elok akhlak kita, maka eloklah nama islam yang dibawa. Dan jika buruk akhlak kita, maka renung-renungkan apakah tafsiran orang-orang yang masih jahil tentang islam.

Masa yang kita gunakan ke jalan Allah ini pastikan tidak sia-sia hanya kerana perasaan bangga diri dalam hati. Janganlah biarkan perasaan bangga diri ini membuat akhlak kita menjadi buruk dan amal ibadah kita menjadi sia-sia.

Kenapa saya bicara soal ini ketika bulan Ramadhan? Kenapa tidak saya bicara kisah malam lailatul qadar? Kenapa tidak saya bicarakan kisah hari raya yang bakal tiba? Kerana Ramadhan tidak lama lagi bersama kita. Kerana Ramadhan sudah tinggal kurang 10 hari akan meninggalkan kita. Dan ada apa dengan Ramadhan?

Kerana Ramadhan ini bulan yang cukup mulia, diikat syaitan yang telah banyak menggagalkan kita dari terus menjadi hamba Allah yang diredhai. Maka inilah masanya kita berusaha mensucikan hati kita dan memulakan kembara kehidupan ini dengan gaya hidup yang dituntut syariat.  Kerana saya menyeru kepada diri sendiri dan pembaca untuk menjadikan Ramadhan kali ini sebagai titik mula untuk kita melakukan perubahan.

Apakah perubahan yang telah kita lakukan dibulan Ramadhan ini? Jika kita berjaya menghabiskan 30 juzuk al-Quran, maka teruskanlah sebegitu dibulan-bulan lain. Jika kita berjaya menahan diri daripada mengumpat, maka teruslah menahan diri sebegitu dibulan-bulan lain. Dan jika kita masih belum menjadikan hati kita ikhlas beribadah, maka mulalah ikhlaskan hati dari sekarang. Sekiranya kita masih belum menangkis sifat ujub, riya’ dan takbur, maka tangkislah sifat itu sekarang agar diri kita suci dari sebarang dosa bermula bulan Ramadhan ini sehingga kita berhenti bernafas dibumi Allah ini🙂

2 thoughts on “Kerana Ramadhan sudah tidak lama lagi bersama kita~

  1. setuju dengan artikel ini,kenapa hanya di bulan ramadhan kita khatam quran tapi di bulan lain tak?
    ya,cuba kita bandingkan amal kita di bulan ramadhan dengan syawal,terlampau banyak berkurang kan? Itulah bukti kuatnya pengaruh syaitan dalam hidup kita.
    Kita secara fitrahnya ingin lakukan kebaikan tapi bila syaitan ada,semuanya pudar,amalan jadi susah

  2. setuju benor nape mu royak..aku tkt org leni jd hamba ramadhan je…abis pose start mula

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s