Lidah? Ya, lidah!

Lidah itu lembut dan tidak bertulang. Jika kata-kata yang kita ungkapkan itu baik maka ia boleh memberi manfaat kepada orang lain. Jika kata-kata itu tidak baik maka ada dua kemungkinan samaada ia sia-sia atau boleh menimbulkan dosa semata-mata. Malah kadang-kadang ia ibarat pedang tajam yang bisa membunuh. Pepatah ada menyebut, ‘terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya’.

Sebab itulah kita digalakkan mengawal lidah sebaik mungkin kerana ia satu amanah. Berdiam diri itu bukanlah bermakna tidak pandai dan begitu juga sebaliknya, banyak bercakap itu tidak semestinya menunjukkan kecerdikan seseorang. Kualiti diri seseorang itu dapat diukur daripada kemampuannya menjaga lidah. Orang yang beriman pasti akan menuturkan kata-kata yang baik dan hanya diam daripada menuturkan kata-kata yang sia-sia seperti sabda Nabi s.a.w;

” Siapa yang beriman pada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” [ Hadis riwayat Bukhari dan  Muslim]

Rasulullah s.a.w adalah contoh manusia yang sangat menjaga tutur kata baginda. Baginda berucap, berdialog, berbicara dan berkhutbah dihadapan orang ramai secara berahklak. Baginda termasuk dalam golongan orang-orang yang sangat jarang berbicara. Namun, sekali berbicara, isi bicara baginda pasti ada kebenarannya, nilai ucapannya sangat tinggi seolah-olah mutiara indah yang bermutu yang keluar dari mulut baginda. Ucapan baginda mampu menembus hati, menggugat kesedaran, membekas dijiwa dan mampu mengubah perilaku seseorang dengan izin Allah s.w.t. Malah baginda digelar Al-Amin kerana sejak kecil lagi baginda tidak pernah berkata dusta.

Anda ingin lihat kualiti diri seseorang? Mudah saja! Lihatlah pada tutur katanya. Empat jenis kualiti diri manusia berdasarkan tutur katanya. Jadi, nilai sekarang, anda dalam golongan mana!

Pertama, orang yang berkualiti tinggi. Jika berbicara, isinya padat dengan hikmah, idea, gagasan, ilmu , zikir serta penyelesaian. Orang seperti ini, bicaranya mampu memberi manfaat kepada diri sendiri malah mampu memberi manfaat juga kepada orang lain. Bicaranya penuh dengan motivasi dan sentiasa berpandangan positif dalam setiap perkara yang diutarakan.

Kedua, orang yang biasa-biasa saja. Ciri orang seperti ini adalah orang yang asyik menceritakan sesuatu peristiwa. Contohnya, melihat kemalangan jalan raya atau rompakan, dia pasti akan gempar menceritakan tentang peristiwa itu seolah-olah dia berada di semua tempat kejadian.

” Tadi ada orang rompak bank. Dasyat wei! bla..bla..bla…”

” Tadi ada kereta masuk gaung! Ngeri betul aku tengok mayat pemandunya. Keadaan kerata takyah cakap la…. bla..bla..bla..”

Situasi ini biasa berlaku dalam komuniti melayu khususnya. Perasaan ingin tahu membuak-buak, perasaan mahu menokok tambah cerita juga membuak-buak. Asalkan orang ramai berminat mendengar cerita mereka.

Ketika bertemu artis atau melihat gamba artis, dia asyik bercerita tentang artis tersebut.

” Mawi ni dah kawin..”

” Aku dengar Abby dan Norman dah berpisah la…”

pendek kata, apa saja peristiwa yang berlaku pasti akan diceritakan tanpa peduli samaada dia layak bercerita mengenai perkara itu atau sebaliknya. Jika melalui percakapan itu, orang lain mampu mengambil iktibar, pastinya dia tidak rugi. Namun, jika sebaliknya, maka sia-sia saja percakapannya itu.

Ketiga, orang yang rendah kualiti diri. Cirinya, jika bicara isinya pasti sarat dengan keluhan, celaan, dan hinaan.

” Haisshh panasnya hari ni😦 ”

” Kau ni gemuk la. hahahah ”

Mungkin kita seringkali menganggap kata-kata itu sebagai gurauan, namun siapa tahu kata-kata kita itu mampu membuat rakan-rakan kita berkecil hati dan semakin menjauh dengan kita.

Golongan keempat adalah orang yang cetek fikirannya. Iaitu mereka yang sering berbicara tentang kehebatan dirinya, jasa-jasanya dan kebaikan yang dilakukan. Bukankah hidup ini satu bentuk pengabdian diri kepada Allah s.w.t?  Maka tidak layak untuk kita banggakan nikmat kesenangan yang Allah kurniakan kepada kita. Golongan ini selalu ingin dilihat menonjol dan mendominasi. Jika ada yang lebih baik daripadanya, hatinya bagai dihiris-hiris. Perasaan hasad dengki membuak-buak. Orang seperti ini akan selalu mengharapkan orang lain jatuh dan mungkin golongan keempat ini mudah mengalami tekanan kerana asyik memikirkan bagaiman mahu menjatuhkan orang lain.

Tuntasnya, hidup ini ibarat roda. Kadang kala kita diatas dan akan tiba pula masa kita dibawah. Berhati-hatilah apabila berbicara. Cuba bataskan dengan etika, berbicaralah atas landasan kebenaran, Jagalah lidah kita, kurangkan jumlah kata-kata maka kuranglah jumlah tersalah kata!

Jadi, sudahkah kita muhasabah diri kita dalam golongan mana. Jika dalam golongan satu, syabas! Jika masih dalam golongan dua, tiga dan empat, masih banyak yang perlu kita perbaiki. Saya sudah jumpa saya dalam golongan mana! Banyaknya yang perlu diperbaiki.Anda bagaimana? Sama-sama kita tarbiyah diri kita🙂

http://www.youtube.com/v/BwGYUSn9F9s?fs=1&hl=en_US

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s