Lebah~

Kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk-makhluk yang tidak menciptakan sesuatu? Maka patutkah kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?

[an-Nahl, 16:17]

Baru selesai membelek  tulisan Harun Yahya tentang lebah madu. Subhanallah, begitu banyak pengajaran yang besar daripada makhluk sekecil lebah. Kemudian saya membelek Wikipedia, dan terjumpa sesuatu yang menarik. Disebabkan teori konspirasi (illuminati) begitu sensasi masa kini, mungkin info ini melegakan sedikit jiwa-jiwa muslim yang cemas, mari kita namakan ia, teori konspirasi Islam. Huhu.

Teori Konspirasi Islam

Perhatikan ayat yang dipetik dari Wikipedia,

Sebagai serangga, ia mempunyai tiga pasang kaki dan dua pasang kepak. Lebah membuat sarangnya di atas bukit, di pohon kayu dan pada atap rumah. Sarangnya dibina daripada lilin yang terdapat dalam badannya. Lebah memakan madu bunga dan debunga.

Perhatikan pula ayat dari al-Quran,

Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.

[an-Nahl, 16:68]

Sama kan? Macam teori konspirasi.

Tapi saya bukan hendak bercerita tentang itu. Saya nak bercerita tentang lebah dan kita.

Renungkan, betapa lebah itu patuh pada perintah Allah, Allah arahkan lebah bina sarang di gunung, pokok dan bangunan, betul-betul lebah bina sarang dekat situ. Kita? Patuhkah kita kepada arahan Allah, sebagaimana lebah? Atau kita lebih hina daripada itu?

Lebah

Terdapat lebih kurang 20 ribu spesies lebah dan mereka boleh dijumpai di setiap benua kecuali antartika. Beribu-ribu ekor lebah (seperti juga semut), hidup bersama dalam satu sarang dalam keadaan teratur dan harmoni; sesuatu yang sangat sukar dibuat oleh manusia masa kini.

Di dalam satu komuniti (sarang) lebah, terdapat sekurang-kurangnya 3 golongan iaitu lebah ratu, lebah jantan dan lebah pekerja (betina). Lebah jantan bertugas untuk mengawan dengan lebah ratu dan akan mati sebaik-baik sahaja selesai mengawan.

Cuba kita bayangkan, kita adalah lebah jantan, takut tak nak mengawan dengan lebah ratu? Sebab kita tahu, lepas mengawan kita akan mati. Agak-agak kalau kita lah lebah jantan tu, kita nak mengawan atau kita lari? Cuba bayangkan kalau lebah jantan memberontak, atau lari daripada sarang (tanggungjawab), adakah lebah-lebah boleh kekalkan kemandirian spesies mereka?

Namun lebah jantan patuh pada ketentuan Allah. Sebab itu lebah boleh hidup teratur dan harmoni kekal hingga sekarang. Yang tidak patuh, suka memberontak, dan lari dari tanggungjawab hanya manusia sahaja. Sebab itu……

Lebah betina pula bertugas mengumpul debunga dan manisan, menjaga anak-anak lebah, dan membersihkan sarang.

Tahukah anda ada pakar kimia dalam kalangan lebah?

Lebah Pakar Kimia

Lebah betina yang bertugas membersihkan sarang akan membuang bekas-bekas yang ditinggalkan oleh lebah yang menetas, lebah yang mati dan bahan-bahan bukan kepunyaan sarang. Jika ada sesuatu yang sangat besar dan tidak boleh dibawa keluar dari sarang, mereka akan mengawet benda tersebut dengan bahan anti-bakteria yang disebut ‘propolis’. Tujuannya supaya bahan-bahan tersebut tidak membiakkan bakteria dan membahayakan kesihatan lebah-lebah lain.

Tahukah anda dari mana propolis ini didapati? Keluar semulajadi dari dalam badan lebah? Salah. Kalau keluar semulajadi, tak boleh lah kita nak gelarkan lebah ni pakar kimia. Lebah akan mengumpul sejenis bahan yang dinamakan damar daripada tunas sebahagian pokok yang melekit dengan bantuan rahang bawah mereka. Kemudian damar ini akan dicampurkan dengan air liur mereka lalu terhasillah bahan kimia yang dinamakan propolis.

Mereka akan melumur setiap objek yang terlalu besar untuk dibuang dari sarang dengan propolis.

Persoalannya, bagaimana lebah tahu cara menghasilkan propolis? Lebih daripada itu, bagaimana lebah boleh tahu, makhluk yang mati (lebah dan sebagainya) atau bahan buangan boleh membiakkan bakteria dan berbahaya kepada kesihatan?

Lebah Arkitek Terulung

Tentu ramai yang sudah tahu kehebatan sarang lebah yang berbentuk heksagon itu. Namun tahukah anda sarang lebah dibina daripada titik-titik yang berbeza dan tidak tertumpu pada satu titik sahaja?

Anda pernah buat technical drawing? Atau cuba sahaja ambil sehelai kertas, buatkan 3,4 titik kecil di atas kertas tersebut secara rawak dengan hanya menggunakan pensel, tidak menggunakan pembaris dan sebagainya. Kemudian lukiskan heksagon di setiap titik-titik tersebut. Teruskan melukis heksagon sehingga semua heksagon dari setiap titik bercantum antara satu sama lain.

Bagaimana lukisan anda? Jadi? Cantik? Memang mustahil nak lukiskan heksagon yang begitu teratur dan sempurna daripada titik-titik berbeza tanpa pengiraan rapi.

Tetapi itulah yang dilakukan oleh lebah.

Tanpa melukis pelan, mereka mampu menghasilkan sarang yang begitu sempurna.

Kesimpulan

Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.

[an-Nahl, 16:69-70]

Semua ini adalah hasil kerja makhluk kecil bernama lebah, yang Allah tidak kurniakan akal untuk mereka berfikir dan menilai baik buruk. Yang Allah tidak perintahkan semua malaikat tunduk sujud padanya.

Mari kita muhasabah hasil makhluk agung bernama manusia, yang dimuliakan dengan jawatan khalifah dan hamba. Bagaimana nilai kita di sisi Allah berbanding seekor lebah?

Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya). Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.

[an-Nahl, 16:49-50]

Takutkah kita kepada Tuhan yang mengatasi kita dengan kekuasaan-Nya?

Saya bukan orang yang layak untuk menulis dan mengulas tentang surah an-Nahl. Cuma saya mengajak rakan-rakan, mari kita mentadabbur surah an-Nahl ini, dan kita renungkan nikmat-nikmat Allah yang telah selama ini kita dustakan.

(Mereka melakukan yang demikian) kerana mereka kufur, tidak bersyukur akan nikmat-nikmat yang kami berikan kepada mereka. Oleh itu, bersenang-senanglah kamu (dengan nikmat-nikmat itu bagi sementara di dunia), kemudian kamu akan mengetahui (balasan buruk yang akan menimpa kamu).

[an-Nahl, 16:55]

Renung-renungkan dan selamat beramal…

2 thoughts on “Lebah~

  1. “…Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”[an-Nahl, 16:69]

    kita ni terlalu sibuk atau terlalu malas untuk berfikir?
    hmm…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s