Kesabaranmu terbukti!

Pada suatu hari, Rasulullah SAW duduk di rumahnya sambil menaikkan sedikit kemejanya. Kemudian datanglah Abu Bakar meminta izin untuk masuk. Beliau mengizinkan tanpa mengubah posisi duduknya sama sekali.

Setelah itu datang pula Umar dan meminta izin kepada Nabi SAW dan Nabi SAW masih berkeadaan begitu. Lalu Umar meneruskan perbincangannya dengan baginda SAW. Kemudian datang pula seorang sahabat. Serta-merta Rasulullah SAW berdiri lalu membetulkan pakaiannya dan kemudian duduk kembali. Lalu berbincang dengan sahabat tersebut.

Setelah sahabat itu pergi, Aisyah bertanya kepada baginda akan kelakuannya sebentar tadi. Kenapa di saat sahabat yang seorang itu datang, baru baginda bertindak membetulkan bajunya. Baginda lalu berkata, “Wahai Aisyah, sesungguhnya Usman adalah lelaki yang pemalu. Aku khuwatir bila saat dia menemuiku dalam keadaan seperti itu, dia malu untuk berbicara denganku tentang sesuatu yang diinginya. Tidaklah aku merasa malu dengan seorang lelaki yang para malaikat pun malu kepadanya.”

Dialah Saidina Usman bin Affan, seorang sahabat, menantu, dan khalifah yang malaikat pun malu kepadanya.

Dialah antara sahabat yang banyak menyumbangkan harta kekayaannya untuk Islam.

Dia yang amat pemurah dan sederhana perwatakannya.

Dalam kelembutan, dia tetap bertegas apabila disuruh untuk memilih iman atau kekufuran.

Dia sangat dikasihi oleh penduduk Quraisy, sehingga para ibu mereka berdoa untuk anak-anak mereka,

“Semoga Zat Yang Maha Pengasih menyayangimu seperti cintanya kaum Quraisy terhadap Usman.”

Kerana itu jugalah, sewaktu perjanjian Hudaibiah, Rasulullah SAW dan para sahabat sepakat untuk menghantar beliau untuk bertemu dengan puak Quraisy.

Tersenarai di antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga.

Malah Rasulullah SAW sendiri memilih untuk mengahwinkan dua orang puterinya dengan beliau.

Namun, ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa di pengakhiran hidupnya, Allah uji kesabaran dan keimanan beliau dengan ancaman dan kepungan dari kaum muslimin sendiri.

Khutbah terakhir Saidina Usman

Saat-saat akhir hidupnya, beliau dikepung. Pergerakannya terbatas. Malah beliau dihalangi untuk bersolat di Masjid Nabi. Dalam satu kesempatan di khutbah terakhirnya di masjid tersebut,

“….Apakah di dalam masjid terdapat para sahabat Rasulullah SAW?”

Para sahabat lalu menjawab, “Ya…”

“Apakah di antara kalian ada Ali?”

Mereka menjawab, “Ya..”

“Apakah di anatar kalian ada Zubair?”

Mereka menjawab, “Ya..”

“Apakah di antara kalian ada Thalhah?”

Mereka menjawab dengan jawapan yang sama.

Usman kemudian berkata,

“Apakah engkau mendengarku wahai Ummul Mukminin, Aisyah?”

Mendengar pertanyaan itu, semua mereka diam. Usman lalu berkata,

“Aku bersumpah kepada kalian dengan Islam, pakah kalian tahu bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa yang membeli sumur(telaga) Rumah, agar kaum muslimin dapat minum dengan air tersebut, maka baginya yang serupa dengan itu di syurga.’ Maka aku pun membeli telaga itu dari hartaku lalu kuberi semua kaum muslimin untuk minum darinya. Rasulullah SAW gembira lalu bersabda, ‘balasannya adalah syurga.’ Aku bersumpah kepada kalian demi Allah dan Islam, apakah aku benar-benar melakukan hal tersebut?”

Para sahabat kemudian berteriak, “Benar.” Usman lalu berkata, “Ya Allah, bagiMu lah segala pujian. Hari ini kalian telah menghalangiku meminum air sehingga aku terpaksa minum air laut.”

“Apakah kalian tahu bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, ‘Barangsiapa yang memperluas Baitullah, maka baginya sebuah rumah di syurga.’ Kemudian aku membeli sebuah rumah milik *** dengan hartaku lalu aku perluas masjid Nabi SAW dengan tanah yang kubeli tersebut. Namun sekarang kalian tidak membenarkan aku untuk bersolat di Masjid Rasulullah SAW.”

“Aku bersumpah kepada kalian demi Allah dan Islam, tidakkah kalian tahu bahawa Nabi SAW pernah berdiri di atas mimbar lalu bersabda, ‘Barangsiapa yang mempersiapkan keperluan pasukan perang Tabuk,’ Mendengar pertuturan baginda, semua diam kecuali aku. Lalu aku berkata, ‘Ya, akan kusiapkan segala keperluan pasukan perang tersebut.’ Nabi SAW pun bersabda, ‘Setelah ini Usman tidak akan menemukan kesulitan atas apa yang telah dia lakukan.’”

Orang-orang pun menjawab, “Ya benar.”

Usman kembali berkata, “Maka ingin aku bertanya kepada kalian, mengapa kalian tidak membenarkan aku untuk berdiri di atas mimbar Rasulullah SAW?!”

Kemudian, saat ramai hadirin mula menangis, beliau berkata lagi.

“Aku bersumpah kepada kalian demi Allah dan Islam.” Lalu Ibnu Zubair berkata,

“Apakah engkau pernah mendengar sabda Rasulullah SAW, ‘Usman adalah kekasihku di syurga kelak.’”

Zubair kemudian berkata, “Aku bersaksi bahawa baginda pernah bersabda demikian.”

Usman lalu berkata, “Aku bersumpah kepadamu demi Allah dan Islam, wahai Thalhah! Apakah engkau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Wahai para hadirin peganglah tangan teman duduk kalian.’ Kemudian Rasulullah SAW berdiri lalu memegang tanganku seraya bersabda, ‘Sesungguhnya Usman adalah temanku di dunia dan akhirat.’”

Thalhah pun berkata, “Ya benar.”

Usman berkata lagi, “Aku bersumpah kepadamu demi Allah, wahai Ummul Mukminin! Suatu ketika engkau datang tatkala aku sedang bersama Rasulullah SAW, dengan keadaan kaki baginda berada di atas pahaku, kemudian turun wahyu kepada baginda dan akulah yang selalu menulisnya. Baginda berkata, ‘Tulislah wahai Utsaim’ Aku bersaksi kepada kalian bahawa jika kalian membunuhku, maka demi Allah kalian tidak akan saling mencintai setelahku selamanya.

Beliau kemudian berkata lagi,

“Atas dasar apa kalian ingin membunuhku? Apakah aku menimbulkan fitnah bahawa aku telah murtad dari agamaku atau aku berbuat zalim kepada kalian dan belum memberikan hak kalian? Atas dasar apa kalian mahu membunuhku? Saksikanlah wahai para sahabat Rasulullah SAW sesungguhnya aku berlepas diri hingga aku bertemu dengan Rasulullah SAW”

Mimpi bertemu Rasulullah SAW

Suatu malam, saidina Usman bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW. Rasulullah sAW berkata kepadanya, “Mereka telah membuatmu haus wahai Usman.”

“Benar wahai Rasulullah.”

Rasulullah SAW berkata lagi, “mereka telah membuatmu lapar, wahai Usman.”

“Benar wahai Rasulullah.”

Rasulullah berkata, “Sukakah engkau bila esok engkau berpuasa lalu berbuka di sisi kami?”

“Nak wahai Rasulullah.”

Lalu Usman pun bangun dari tidurnya sambil ketawa.

Kematian Usman

Saat-saat akhir hidupnya, para pemberontak semakin berani untuk menyerang beliau. Selama ini mereka hanya mengepung dan menyekat pergerakannya. Namun hari itu, mereka mula membakar pintu rumah beliau. Usman menghalang para sahabat yang mahu membelanya. Beliau berkata,

“Aku tidak akan menjadi orang yang pertama kali menumpahkan darah pada umat Muhammad setelah Rasulullah SAW.”

Hanya Hasan bin Ali dan Abdullah bin Umar yang dibenarkan bersama beliau.

Akhirnya para pemberontak menceroboh rumah beliau dan memotong tangannya yang sedang membaca mushaf al-Quran. Lalu seorang lagi memukul bahu beliau dengan besi.

Di akhir hayatnya Usman berkata, “Ya Alllah Wahai Zat yang memiliki kemuliaan. Aku bersaksi kepadaMu bahawa aku telah bersikap sabar sebagaimana NabiMu telah berwasiat kepadaku.”

Hari itu, pergilah seorang lagi pembela agama ini.

Pengajaran

Sebaik-baik dan selembut-lembut Saidina Usman, akhirnya beliau diuji dengan sikap umat Islam(golongan munafik) sendiri. Jelas menunjukkan, ujian-ujian yang mendatang dalam kehidupan seharian kita, bukanlah tanda kebencian Allah pada kita. Malah tanda kasihNya agar kita terus bergantung harap padaNya.

Kadang-kadang dalam usaha menegakkan dan mengamalkan Islam dalam diri kita, kita dipandang seroang oleh masyarakat. Rakan-rakan yang dulu sering ketawa bersama, perlahan-lahan meninggalkan kita yang kononnya sudah tidak sealiran. Saudara-mara, pakcik makcik yang terkejut dengan perubahan kita, kadang-kadang melunturkan semangat untuk berubah. Namun jika difikirkan kembali, apalah sangat yang kita hadapi berbanding dia yang telah Allah janjikan syurga pun, berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia yang menggugat kesabaran dan iman.

Akhirnya segala persoalan berbalik kepada diri kita sendiri. Biar manusia tidak menghargai dan memandang sepi segala pengorbanan yang telah kita lakukan. Sebab yang menilai kita hanya Dia. Pandangan yang lebih utama semestinya pandanganNya pada kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s