Muhasabah~

Tempoh hari saya sempat menonton sebuah rancangan televisyen Jepun tentang mereka yang tidak boleh lupa setiap perkara yang telah lalu. Ada seorang wanita Jepun, mengalami kemalangan ketika kecil menyebabkan kerosakan yang teruk di bahagian saraf otaknya. Beliau tidak mampu ingat atau menghafal apa-apa. Bermula dari kegagalan menghafal apa yang baru dipelajari di kelas, semakin hari daya ingatan beliau makin lemah. Keadaan menjadi semakin teruk sehinggakan beliau boleh terlupa untuk mengambil barangan yang dibeli walaupun baru sahaja dibayar. Beliau bahkan boleh lupa apa-apa yang terjadi kepadanya beberapa minit yang lalu.

Namun Allah mentakdirkan kehidupan yang lebih baik untuk beliau.

Muncul seorang lelaki dalam hidupnya yang sanggup dan redha dengan keadaannya dan sudi berkongsi masa depan dengannya. Mereka berkahwin. Namun timbul satu masalah, apabila wanita tersebut mengandung. Doktor menyarankan agar beliau tidak melahirkan anak tersebut, namun naluri keibuannya bertegas untuk tetap melahirkan anak tersebut.

Akhirnya beliau selamat melahirkan anaknya. Namun membesarkan anaknya merupakan cabaran paling besar dalam kehidupan mereka suami isteri. Beliau adakala lupa menguruskan anaknya. Menyedari masalah yang dihadapinya, wanita tersebut membuat satu rancangan.

Beliau mula mengatur kehidupannya dengan teliti. Beliau membuat jadual harian. Beliau mencatat waktu untuk memasak, waktu untuk menyusukan anak, waktu untuk memandikan anak, dan segala urusan kecil dan besar. Bahkan beliau turut mencatat nota-nota kecil dan ditampal di sekeliling rumah untuk mengelakkannya lupa perkara yang telah dan harus dilakukannya.

Kesan dari hasil usaha gigih beliau tersebut, akhirnya, beliau menjadi seorang yang sangat kuat ingatan. Beliau boleh ingat dan hafal segala perkara yang telah berlaku dan gagal melupakannya.

Nampak seperti menarik, namun ini pendapat saya, bukan mudah juga sebenarnya untuk mereka yang tidak boleh lupa semua perkara. Mereka akan sentiasa ingat perkara yang menakutkan, menyedihkan dan perkara-perkara yang kita ingin lupakan. Namun, bukan mudah juga bagi mereka yang tidak ingat semua perkara.

Tetapi kita lain.

Kita sebagai manusia biasa, Allah takdirkan untuk bersifat mudah lupa akan kebanyakan  perkara. Tetapi kerana sifat lupa itu kita akhirnya akan rugi. Kenapa?

Bayangkan anda sudah tahu, esok ada jamuan hari raya di rumah jiran sebelah rumah, namun keesokannya anda lupa dan pulang lewat ke rumah. Rugi kan?

Bayangkan anda sudah menyiapkan lukisan technical drawing yang anda habiskan masa berminggu-minggu untuk siapkan, dan pada hari terakhir anda patut menghantarnya, anda terlupa untuk membawanya ke kelas. Rugi kan?

Semua perkara yang kita sudah tahu baik buruk dan kesan akibatnya, namun apabila kita terlupa, kita akan rugi. Kerana apabila terlupa kita cenderung membuat keputusan yang salah, dan mendapat musibah.

Kerana itu Allah yang Maha Penyayang awal-awal lagi telah berpesan, hendaklah kita saling berpesan antara satu sama lain, kerana jika tidak kita menjadi golongan yang rugi!

Demi Masa!

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

[103:1-3]

Kerana jauh di sudut hati kita sebenarnya, kita telah tahu akan apa yang benar dan apa yang salah di sisi Allah. Cuma adakala kita terlupa dan membuat keputusan yang salah. Maka kita perlu dipesan dan diperingatkan.

Namun, bukan semua pesanan dan peringatan, benar-benar terkesan di hati kita. Betul?

Saya dan Azzariyat

Saya menyertai Azzariyat ketika saya baru-baru berkenalan dengan hakikat kehambaan dan keislaman yang dianuti. Ilmu saya kosong di dada. Yang ada ketika itu, hanya semangat untuk mengkritik, menghentam, mengutuk, semua benda yang nampak salah di mata saya yang daif ini.

Semakin lama saya bergelumang dengan Azzariyat, saya mula muhasabah. Ya, muhasabah itu tidak cukup besar untuk mengubah segala sifat mazmumah saya, namun ia membuka minda untuk saya mula mencari dan mengisi ruang dada yang kosong dengan ilmu.

Ketika itu, seorang rakan, memperkenalkan beberapa laman web Islamik yang penuh dengan artikel-artikel yang membangunkan jiwa. Saya mula bergelumang dengan bahan-bahan bacaan di internet, dan mula berjinak-jinak dengan buku-buku fikrah.

Saya jadi bersemangat. Mengkhatamkan banyak bahan bacaan, memerhati teknik penulisan mereka.

Namun tahukah anda, beberapa tahun selepas itu saya mula sedar. Banyaknya bahan dan peringatan yang saya baca, tetap jua saya terjerumus berkali-kali melakukan kesalahan dan kesilapan yang sungguh tidak patut saya lakukan selepas membaca segala peringatan tersebut. Banyak perkara tidak dapat saya aplikasikan dalam kehidupan, dengan segala bahan dan peringatan yang saya baca. Bahkan lebih teruk, lebih banyak lagi bahan yang telah saya baca yang saya lupa.

Saya mula resah dan memerhatikan apa yang salah. Dan tahukah anda, ketika itu, penulisan manusia yang menenangkan dan memuhasabah semula diri saya, adalah apabila saya menyemak tulisan-tulisan saya sendiri.

Ya, tulisan lampau saya di Azzariyat. Ketika itu saya sedar, apa-apa jua yang saya coretkan di laman ini, satu ketika nanti pembaca akan lupa, sepertimana saya lupa apa yang telah saya baca di laman-laman web lain. Namun, satu-satunya orang, yang akan menyemak dan membaca semula apa yang telah saya catatkan dan mengambil muhasabah darinya, hanyalah saya.

Kenapa? Kerana tulisan ini berharga kepada saya. Ia berharga, kerana saya yang menulisnya.

Mulai saat itu, saya faham, apa jua yang saya tuliskan, orang yang paling banyak mendapat manfaat darinya, bukan anda, tapi saya. Bahkan walau bertahun-tahun berlalu, saya tetap akan mendapat manfaatnya, selagi saya masih menyemak dan memuhasabah kembali apa yang telah saya tuliskan. Begitu juga sebaliknya, jika anda menulis bahan-bahan muhasabah, orang yang akan paling banyak mendapat manfaatnya walau setelah bertahun-tahun berlalu, bukan saya atau pembaca lain, bahkan diri anda sendiri.

Kesimpulan

Maka saya membuat kesimpulan, manusia paling baik untuk memberi peringatan kepada kita sewaktu kita lupa ialah orang-orang di sekeliling kita. Namun tidak selalu kita cukup bertuah untuk memiliki orang-orang di sekeliling untuk menasihati kita. Maka lebih baik dari itu ialah kita menasihati diri kita sendiri. Melalui tulisan-tulisan yang kita wariskan untuk diri sendiri.

Saya menyeru kepada semua pembaca, mulailah menulis. Menulis nota ringkas, menulis diari, menulis blog atau sebagainya. Apa-apa jua yang anda baca, apa-apa jua yang anda pelajari, apa-apa jua yang anda faham, apa-apa jua yang berlaku dalam kehidupan anda, satu hari nanti anda akan lupa. Maka sementara anda masih ingat, catatkanlah hikmahnya di mana-mana, kerana satu hari nanti peringatan itu akan kembali kepada anda. Walaupun di saat-saat anda tidak mengharapkannya.

Maka mulalah sekarang. Menulis. Dan beri peringatan pada diri sendiri. Supaya anda tidak menjadi orang yang rugi. Salam muhasabah~

p/s : Ini merupakan kali terakhir saya menulis secara rasmi selaku salah seorang editor Azzariyat.com. Saya mohon keampunan dari semua, atas segala kesalahan yang telah saya lakukan dalam penulisan-penulisan lalu. Pesanan saya, kerana saya manusia yang lemah dan daif, janganlah bulat-bulat menerima apa yang telah saya tuliskan di Azzariyat ini. Jika salah betulkan, jika meresahkan anda, rujuklah orang yang lebih berilmu. Semoga anda dan saya sama-sama diredhai Allah, dalam usaha kita mendalami agama.

6 thoughts on “Muhasabah~

  1. sedih la plak baca komen muzaf..
    insyaAllah, Allah gantikan yang lebih baik utk azzariyat..
    Euforia xde, tapi semoga semangatnya terus mekar dalam hati kita..

    sama2 ikhlas hati, tingkatkan kualiti dalam amal kite..
    Islam ini pasti tertegak jua satu hari nanti!!

  2. ganbatte euforia untuk jalan baru yang pasti akan lebih mencabar
    saya percaya perjuangan dakwah anda tak berhenti disini;

  3. nasihat yang baik.. jalan yang baik tidak selalunya mudah dan jalan yang mudah tidak selalunya baik.. =) even you leave azzariyat, but azzariyat will never leave you.. insyaALLAH.. keep reading..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s